KENYATAAN MEDIA KENYATAAN MENTERI INDUSTRI UTAMA YB TERESA KOK PADA 13 SEPTEMBER 2019 DI HO CHI MINH, VIETNAM
Saya melahirkan kebimbangan berhubung kenyataan dari pihak berkuasa Indonesia yang telah menyita ladang anak syarikat milik empat syarikat ladang kelapa sawit utama Malaysia. Ini berikutan kebakaran yang dikatakan berpunca dari ladang terbabit. Ini satu tuduhan yang sangat serius.
Daripada rekod kami, empat syarikat Malaysia yang dinamakan adalah antara syarikat penanaman kelapa sawit yang paling dihormati. Mereka mengamalkan amalan penanaman lestari yang disahkan melalui MSPO, RSPO, ISCC atau gabungan sistem pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Mereka yang akrab dengan industri akan menjamin bahawa tindakan pembakaran terbuka seperti tuduhan terkini akan mengakibatkan pemberhentian status pensijilan mereka bukan sahaja di Indonesia tetapi sepanjang operasi mereka termasuk di Malaysia. Tindakan sedemikian akan menjadi tidak produktif terhadap status perniagaan mereka.
Saya tidak dapat memberi ulasan terhadap siasatan dan laporan dari Indonesia sehingga saya mendapat akses kepada laporan siasatan.
Bagaimanapun, empat syarikat berkenaan telah dihubungi dan memaklumkan bahawa mereka komited bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk memperbetulkan dakwaan tersebut dengan segera.
Tindakan sedemikian juga sangat tidak masuk akal kerana saya tetap bimbang bahawa tuduhan-tuduhan itu akan digunakan oleh aktivis anti-kelapa sawit yang boleh menyebabkan menjejaskan Indonesia dan Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit utama.
Saya juga akan berbincang dengan rakan sejawat saya dari Indonesia dan berharap dapat menyelesaikan masalah ini dengan cepat dan mesra.
TERESA KOK MENTERI INDUSTRI UTAMA 13 SEPTEMBER 2019
MISI EKONOMI DAN PROMOSI KE ARAB SAUDI PADA 22 – 26 APRIL 2019
1. Kementerian Industri Utama (MPI) akan mengadakan misi ekonomi dan promosi ke Arab Saudi mulai 22 – 26 April 2019 yang diketuai oleh YB Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Timbalan Menteri Industri Utama. Delegasi yang akan disertai oleh pegawai kanan Kementerian dan agensi di bawah Kementerian akan mengadakan beberapa pertemuan dengan pemain industri sawit dan di Arab Saudi.
2. Pertemuan dengan pihak berkepentingan ini diadakan bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan perdagangan minyak sawit, meneroka peluang pasaran dan rakan dagangan baru serta memperkukuhkan jaringan rangkaian perdagangan untuk meningkatkan import minyak sawit dan produk kayu negara. Selain itu, pertemuan ini juga dapat memberi ruang bagi Malaysia menerangkan usaha-usaha yang telah dilaksanakan dalam memastikan pengeluaran minyak sawit mampan serta kebaikan minyak sawit kepada kesihatan.
3. Arab Saudi merupakan antara pasaran terbesar bagi eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit serta kayu dan produk kayu Malaysia dalam kalangan negara-negara Timur Tengah. Pada tahun 2018, nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit serta kayu dan produk kayu ke Arab Saudi adalah sebanyak RM1.49 billion. Rantau Timur Tengah dilihat sebagai antara destinasi eksport produk komoditi yang berpotensi untuk dikembangkan dan seterusnya meningkatkan lagi syer pasaran produk komoditi di pasaran antarabangsa.
4. Misi ini merupakan salah satu langkah berterusan Kementerian untuk mempromosikan eksport produk komoditi. Aktiviti-aktiviti yang telah dirancang sepanjang misi ini termasuk persidangan, perbincangan dengan pihak industri dan lawatan kerja diharapkan dapat mempromosikan eksport industri komoditi negara dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara.
KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA PELAKSANAAN PENGECUALIAN KHAS DUTI EKSPORT KE ATAS MINYAK ISIRUNG SAWIT MENTAH (CPKO) DAN MINYAK ISIRONG SAWIT DIPROSES (RBDPKO)
Kementerian Industri Utama akan melaksanakan Pengecualian Khas Duti Eksport Ke Atas Minyak Isirung Sawit Mentah (CPKO) dan Minyak Isirong Sawit Diproses (RBDPKO) bermula 1 Oktober 2019 sehingga 30 Jun 2020.
2. Pelaksanaan pengecualian khas duti eksport ini bertujuan untuk meningkatkan lagi kadar eksport CPKO dan RBDPKO ke luar negara dan seterusnya akan membantu mengurangkan stok CPKO di pasaran tempatan terutamanya di Sabah dan Sarawak. Tambahan lagi, pengecualian ini akan bertindak sebagai pemangkin dalam meningkatkan eksport CPKO dan RBDPKO melalui syarikat-syarikat baru dan pemain industri sedia ada ke luar negara dan secara tidak langsung akan membantu meningkatkan harga minyak sawit negara. Di samping itu, pelaksanaan ini juga dilihat sebagai pendekatan untuk menggalakkan pihak industri sawit untuk mengeluarkan produk-produk hiliran yang bernilai tambah tinggi.
3. Dalam hubungan ini, Kementerian Industri Utama melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia akan memantau dan mengawal selia jumlah pengeksportan CPKO dan RBDPKO setiap bulan bagi memastikan bekalan yang mencukupi untuk kegunaan industri tempatan. Pengecualian khas ini boleh ditarik balik dan diberhentikan serta-merta. Selain itu, Kementerian akan terus melaksanakan langkah-langkah yang bersesuaian bagi memperkukuhkan harga minyak sawit melalui pengecualian ini di pasaran tempatan.
LANGKAH AGREED EXPORT TONNAGE SCHEME (AETS) MULA MENAMPAKKAN KESAN POSITIF HARGA GETAH
1. Paras harga Standard Malaysia Rubber 20 (SMR20) FOB telah meningkat sebanyak 12.7% dari 521.0 sen/kilogram pada 31 Disember 2018 kepada 587.0 sen/kilogram pada 7 Mac 2019, selepas pelaksanaan AETS ke-6 diumumkan.
2. Pelaksanaan AETS ini telah dipersetujui semasa Mesyuarat Khas Peringkat Pegawai Kanan International Tripartite Rubber Council (ITRC) yang telah diadakan pada 4 dan 5 Mac 2019 di Bangkok, Thailand dengan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari Thailand, Indonesia dan Malaysia. Mesyuarat ini merupakan susulan daripada keputusan yang telah dibuat oleh ketiga-tiga Menteri ITRC sewaktu Mesyuarat Khas Peringkat Menteri ITRC pada 22 Februari 2019 di Bangkok, Thailand.
3. Secara keseluruhannya, ketiga-tiga negara bersetuju untuk melaksanakan AETS selama empat (4) bulan dengan jumlah pengurangan eksport getah asli (NR) sebanyak 240,000 tan metrik. Malaysia akan melaksanakan AETS bermula dari 1 April 2019 hingga 31 Julai 2019 dengan jumlah eksport dihadkan kepada 357,535 metrik tan, iaitu pengurangan sebanyak 15,600 metrik tan.
4. Bagi memastikan pelaksanaan AETS yang berkesan, sebuah jawatankuasa pemantauan iaitu AETS Monitoring and Surveillance Committee telah ditubuhkan dan dianggotai oleh wakil badan pelaksana setiap negara anggota ITRC.
5. Program-program lain di bawah kerangka kerja ITRC seperti Demand Promotion Scheme dan Supply Management Scheme akan diteruskan dan ditambahbaik bagi meningkatkan penggunaan domestik NR dan mengimbangi permintaan dan penawaran NR global. Antara program yang dijangka akan memberikan impak kepada peningkatan penggunaan NR ialah Rubberised Road.
6. Thailand, Indonesia dan Malaysia yakin bahawa kerjasama ini dapat membantu memperkukuhkan lagi harga NR untuk kesejahteraan pekebun kecil getah di rantau ini.
KENYATAAN MEDIA MAJLIS PENSIJILAN MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOCC) MENGENAI MSPO - TRACE
1. Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), yang merupakan sebuah badan pensijilian kelestarian sawit di bawah Kementerian Industri Utama, ingin membuat kenyataan bahawa usaha ke arah menerbitkan peta konsesi sawit bagi pencapaian umum adalah menjadi keutamaan Kerajaan dalam memaparkan ketelusan industri sawit negara.
2. MPOCC telah membangunkan sistem aplikasi MSPO Trace yang berupaya menjejak sumber minyak sawit di sepanjang rantaian nilai telah dilancarkan pada pertengahan bulan November 2019. MPOCC berkeyakinan bahawa pembangunan data raya MSPO Trace seperti mana GeoRSPO, dapat memberi keyakinan kepada para pengguna dan pengimport antarabangsa terhadap usaha untuk memastikan kebolehjejakan dan ketelusan dalam rantaian bekalan. Usaha ini adalah penting dalam menyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa minyak sawit yang dihasilkan oleh Malaysia adalah dijamin dari segi kelestarian dan kualiti, khususnya dalam menangani dakwaan yang mengaitkan produk sawit dengan penyahhutanan, eksplotasi pekerja, pelanggaran hak Orang Asli dan sebagainya.
3. MPOCC yakin menerusi aplikasi MSPO Trace, Malaysia dapat membangun dan mengendalikan operasi skim pensijilan minyak sawit kebangsaan yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
4. MSPO Trace adalah lebih lengkap dan menyeluruh dari segi mengenalpasti lokasi ladang dan fasiliti pemprosesan minyak sawit yang mendapat pensijilan mampan di Malaysia.
5. MPOCC menyasar kebolehjejakan minyak sawit seratus peratus (100%) dengan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sehingga pada peringkat ladang di seluruh negara menjelang 2025.
6. MPOCC yakin MSPO Trace dapat menandingi aplikasi GeoRSPO dan aplikasi MSPO Trace boleh dicapai umum dan dimuat turun dari platform Apps Store dan Google Play.
7. Sehingga 30 November 2019, lebih 3.5 juta hektar atau 60 peratus daripada kawasan ladang sawit telah menerima pensijilan MSPO. Pensijilan ini termasuklah pekebun kecil dengan kawasan tanaman seluas 652,000 hektar dan 1,678 ladang dengan jumlah keseluruhan 2.89 juta hektar. Sebanyak 152 kilang minyak sawit dan 46 kilang penapis juga telah menerima pensijilan MSPO Supply Chain Certification Standard (SCCS).
8. MPOCC juga menyambut baik usaha Sekretariat RSPO yang telah menerbitkan peta konsesi sawit ahli-ahlinya bagi Semenanjung Malaysia dan Sarawak melalui aplikasi peta interaktifnya, GeoRSPO. Inisiatif MSPO Trace dan GeoRSPO akan membantu negara dalam menggalakkan ketelusan pemetaan kawasan tanaman sawit negara dalam memastikan kelestarian industri sawit dan kebertanggungjawaban sejagat semua pemegang taruh industri sawit negara.
Kenyataan oleh:
Encik Chew Jit Seng Ketua Pegawai Eksekutif MPOCC 15 Disember 2019