KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA PERJANJIAN PENANAMAN SATU JUTA POKOK HUTAN DI SABAH ANTARA MAJLIS MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOC) DAN JABATAN PERHUTANAN SABAH (JPS)
1. Pada hari ini, YB Teresa Kok, Menteri Industri Utama dan YB Datuk Christina Liew, Timbalan Ketua Menteri Sabah telah menyaksikan satu perjanjian dimeterai di antara Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) yang diwakili oleh Datuk Dr Kalyana Sundram, Ketua Pegawai Eksekutif dan Datuk Mashor Mohd Jaini, Ketua Konservator Hutan mewakili Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) dan bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah.
2. Perjanjian ini adalah bagi menzahirkan hasrat MPI bekerjasama dengan JPS untuk menanam 1 juta pokok hutan di Lower Kawag iaitu sebahagian dari Kawasan Hutan Simpan Ulu Segama Malua.
3. Inisiatif ini adalah susulan daripada kempen Sayangi Sawitku yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 24 Mac 2019. Inisiatif tersebut telah dilancarkan bagi menangkis serangan kempen anti minyak sawit yang mengancam industri sawit terutamanya kepada golongan pekebun kecil yang melebihi setengah juta orang.
4. Menyedari kepentingan berkaitan peranan industri sawit di Malaysia, kempen ini diharap dapat menanam sikap bangga kepada negara dan lebih menghargai minyak sawit Malaysia dengan tumpuan kepada kepentingan sosio-ekonomi, kesihatan, nutrisi, penggunaan sebagai bahan makanan dan bukan makanan.
5. Penanaman 1 juta pokok telah dikenal pasti sebagai salah satu program di bawah kempen Sayangi Sawitku yang melibatkan aktiviti perhutanan semula. Program ini menyasarkan penanaman sebanyak 1 juta pokok spesis hutan dalam tempoh 10 tahun. MPI dan JPS telah mengenal pasti kawasan seluas 2,500 hektar hutan terosot di Lower Kawag, Hutan Simpan Ulu Segama Malua sebagai permulaan bagi program penanaman semula hutan.
6. MPOC telah diberi peranan untuk menerajui penanaman semula pokok spesies hutan dengan kerjasama JPS. Peruntukan bagi program ini akan disumbangkan oleh industri sawit Malaysia dan lain-lain pembiayaan yang diterima melalui MPOC sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat dan sosial industri.
PAMERAN PRODUK KOKO BANGUNAN UTAMA PARLIMEN 4 JULAI 2019 (KHAMIS)
1. Kementerian Industri Utama mengadakan Pameran Produk Koko di Bangunan Utama Parlimen pada 4 Julai 2019 (Khamis) dalam usaha mempromosikan produk agrikomoditi khususnya produk berasaskan koko dalam kalangan pihak berkepentingan.
2. Pameran sehari ini bertujuan memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia mengenai kebaikan dan khasiat produk berasaskan koko tempatan dan seterusnya meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap produk koko buatan tempatan khususnya yang dibangunkan menggunakan teknologi Lembaga Koko Malaysia.
3. Sektor koko secara khusus telah menyumbang sebanyak RM5.55 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun 2018. Destinasi eksport koko dan produk berasaskan koko Malaysia meliputi 128 buah negara dan Singapura, Indonesia, Jepun, Amerika Syarikat dan China merupakan pasaran utama.
4. Dalam tempoh 2011 sehingga tahun 2018, sumbangan sektor koko kepada KDNK telah menunjukkan peningkatan pada kadar purata tahunan sebanyak 4.6% setahun. Pada tahun 2018, sektor koko menyumbangkan sebanyak RM 1,441 juta kepada KDNK. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 4.6% berbanding RM 1,377 juta pada tahun sebelumnya. Sektor koko menyumbang sebanyak 0.1% kepada KDNK negara.
5. Perkembangan positif ini didorong khususnya oleh pembangunan pesat industri hiliran koko merangkumi produk coklat, makanan, farmaseutikal dan kosmetik. Produk berasaskan koko seperti coklat, lemak koko, serbuk koko dan pes koko di Malaysia mempunyai liputan pasaran yang luas dan diterima baik oleh pengguna peringkat antarabangsa. Nilai eksport coklat khususnya adalah sebanyak RM1.03 bilion pada 2018 iaitu peningkatan sebanyak RM162.42 juta atau 18.7% berbanding tahun 2017 sebanyak RM868.60 juta.
6. Pameran sedemikian ini dapat menjana pertumbuhan pelaburan baharu dalam sektor pembuatan produk koko khususnya coklat dan konfeksi koko dan seterusnya meningkatkan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Justeru itu, hasrat Malaysia menjadi King of Chocolate di rantau Asia dapat direalisasikan.
Malaysian Cocoa, Naturaly Nutritious Koko Malaysia, Khasiatnya Sejati
KENYATAAN MEDIA MALAYSIA DAN DELEGASI SYARIKAT CHINA KUKUHKAN KERJASAMA DALAM BIDANG KOMODITI
Menteri Industri Utama YB Teresa Kok telah mengadakan pertemuan dengan delegasi syarikat-syarikat China dalam usaha kerajaan mengembangkan pasaran produk komoditi tempatan ke negara China di Kementerian Industri Utama hari ini. Lima memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara syarikat-syarikat China dan Malaysia, antaranya memasarkan produk lada dan minyak sawit merah.
MoU pertama ditandatangani oleh: 1. Mr. Dong Ge (Pengerusi Lembaga Supply & Marketing International Trade Market Management (Guang Dong) Co., Ltd.) 2. Mr. Stanley Liew Joo Kong (Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia)
MoU kedua ditandatangani oleh: 1. Mr. Dong Ge (Pengerusi Lembaga Supply & Marketing International Trade Market Management (Guang Dong) Co., Ltd.) 2. Mr. Mohd Haris Mohd Arshad (Ketua Pegawai Operasi, Sime Darby Plantation Berhad (SDPB)
MoU ketiga ditandatangani oleh: 1. Mr. Zhao He Zhang (Pengarah Urusan Zhong Nong Hui Min (Shenzhen) Information Technology) 2. Mr. Zahrin bin Haris (Green Tree Concept Sdn Bhd)
MoU keempat ditandatangani oleh: 1. Mr. Zhao He Zhang (Pengarah Urusan Zhong Nong Hui Min (Shenzhen) Information Technology) 2. Ms. Eunice Ong (Pengarah Ecoria Resources Sdn Bhd)
MoU kelima ditandatangani oleh: 1. Mr. Zhao He Zhang (Pengarah Urusan Zhong Nong Hui Min (Shenzhen) Information Technology) 2. Mr. Daniel Yong (Pengarah Kami Food Services Sdn Bhd)
MoU ini akan membuka peluang yang baik kepada sektor komoditi negara untuk meneroka pasaran di Negara China.
Majlis pemeteraian MOU ini memperlihatkan minat dalam kalangan syarikat-syarikat China untuk melabur dan menjalankan usahasama dalam sektor komoditi Malaysia.
Perjanjian yang termeterai hari ini merupakan antara hasil lawatan YB Teresa Kok ke China pada Mei lepas dalam misi mempromosikan produk komoditi utama negara.
MISI EKONOMI, PROMOSI DAN PELABURAN KE PAKISTAN, IRAN DAN TURKI PADA 18 – 26 JANUARI 2019
Kementerian Industri Utama (MPI) akan mengadakan misi ekonomi, promosi dan pelaburan ke Pakistan, Iran dan Turki mulai 18 – 26 Januari 2019. Delegasi Kementerian yang diketuai oleh YB Timbalan Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bersama Ketua Setiausaha MPI, YBhg. Dato’ Dr. Tan Yew Chong akan mengadakan beberapa pertemuan dengan rakan sejawat di peringkat Kementerian dan Agensi berkaitan di negara-negara berkenaan. Turut menyertai delegasi adalah pegawai- pegawai kanan agensi di bawah Kementerian dan wakil-wakil persatuan industri komoditi.
Pertemuan ini diadakan bagi memberi penjelasan mengenai kelebihan yang dimiliki oleh produk-produk komoditi Malaysia berbanding negara pengeluar lain. Antaranya seperti kualiti dan keselamatan makanan serta nutrisi yang terdapat di dalam minyak sawit berbanding minyak sayuran lain, kualiti dan kredibiliti produk perkayuan dan produk getah berteknologi tinggi. Selain daripada itu, misi ini juga akan membincangkan beberapa isu yang dianggap sebagai halangan kepada akses pasaran bagi produk- produk komoditi Malaysia. Antaranya seperti cukai import yang tinggi
sehingga 40 peratus (%) yang dikenakan di negara Iran bagi produk minyak sawit dan lain-lain halangan bukan tarif yang akan dilaksanakan oleh Pakistan seperti pengharaman produk makanan (vanaspati) yang menggunakan minyak sawit di negara berkenaan.
Ketiga-tiga negara berkenaan adalah merupakan antara pasaran utama kepada sektor komoditi negara seperti sawit, getah dan kayu kayan. Pada tahun 2017, nilai eksport ke Pakistan, Iran dan Turki bagi ketiga-tiga komoditi tersebut adalah masing-masing sebanyak RM3.05 bilion, RM2.48 bilion and RM 3.63 bilion. Oleh itu, misi perdagangan ini adalah penting bukan sahaja untuk memelihara kedudukan syer pasaran produk komoditi Malaysia di negara berkenaan terjamin malah untuk meningkatkan syer pasaran tersebut ke satu tahap yang lebih tinggi.
Aktiviti-aktiviti yang telah dirancang sepanjang misi ini berlangsung seperti persidangan, pembentangan seminar, perbincangan meja bulat, mesyuarat dua hala dan lain-lain diharapkan akan menghasilkan impak yang berkesan sejajar dengan hasrat MPI untuk membawa industri komoditi negara ke tahap yang lebih cemerlang pada tahun ini dan tahun- tahun akan datang. Pembangunan industri komoditi yang kukuh adalah penting agar semua lapisan masyarakat dapat menikmati kemakmuran negara yang dicapai.
MESYUARAT KHAS PERINGKAT MENTERI INTERNATIONAL TRIPARTITE RUBBER COUNCIL (ITRC) 2019
1. YB Teresa Kok, Menteri Industri Utama akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Khas Peringkat Menteri ITRC 2019 yang akan diadakan pada 22 Februari 2019 di Bangkok, Thailand. Di samping itu, Mesyuarat Peringkat Pegawai Kanan ITRC turut diadakan pada 21 Februari 2019 yang mana YBhg Dato' Dr Tan Yew Chong, Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama akan mengetuai delegasi Malaysia.
2. Thailand, Indonesia dan Malaysia merupakan negara anggota ITRC yang telah ditubuhkan sejak 12 Disember 2001. ITRC diwujudkan bagi mempererat kerjasama dalam kalangan negara-negara pengeluar utama getah asli (Natural Rubber - NR) ke arah menstabilkan harga NR.
3. Tahun 2018 merupakan tempoh yang mencabar bagi industri getah kerana harga NR yang rendah dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti ketidakstabilan pasaran global, kejatuhan harga minyak dunia, Ringgit Malaysia yang lemah berbanding USD dan perang dagang antara Amerika Syarikat dan China.
4. Mesyuarat Khas Peringkat Menteri ITRC di Bangkok, Thailand kali ini penting bagi memberikan peluang kepada Menteri dari negara anggota ITRC membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan lestari industri NR dan memperkukuh harga NR untuk kesejahteraan pekebun kecil getah. Langkah-langkah bagi menangani harga getah yang rendah akan turut dibincangkan.