BERHUBUNG BELANJAWAN 2020 “MEMACU PERTUMBUHAN DAN KEBERHASILAN SAKSAMA KE ARAH KEMAKMURAN BERSAMA”.
1. Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) mengalu-alukan langkah kerajaan untuk terus menyokong kelestarian industri sawit negara sewaktu dalam pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Yang Berhormat Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia pada 11 Oktober 2019 lalu.
2. Sebagai menyokong ke arah pembangunan mampan, pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) adalah untuk memastikan produktiviti dan kebolehpasaran lebih meluas di peringkat domestik dan global.
3. Sebagai agensi yang mengawal selia skim MSPO sejak 1 Januari 2015, MPOCC yakin langkah menjadikan pematuhan MSPO secara mandatori bertujuan untuk menaik taraf keseluruhan industri dan ia penting ke arah penjenamaan minyak sawit tempatan sebagai produk yang dihasilkan secara mampan dan selamat.
4. Langkah kerajaan dalam Belanjawan 2020 yang memberi dana pinjaman penanaman semula kelapa sawit berjumlah RM550 juta untuk pekebun kecil tanpa cagaran pada kadar faedah 2% setahun dilihat sebagai langkah positif membantu kelompok berkenaan.
5. Menerusi sokongan berterusan kerajaan, MPOCC berharap pelaksanaan dan perancangan kepada setiap pihak berkepentingan dalam industri sawit negara akan menjayakan matlamat MSPO ke arah mencapai 100 peratus pensijilan di seluruh negara, menjelang akhir tahun 2019 dan jangkaan peningkatan produktiviti dan kebolehpasaran sawit negara seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2020.
6. Menerusi MSPO, antara faedah yang diperolehi ialah peluang pemasaran buah tandan segar (BTS) mampan lebih luas, hak pekebun kecil lebih terjamin, akses kepada pinjaman atau modal pelaburan dari institusi kewangan, persekitaran biodiversiti terpelihara, pekebun kecil mempunyai rekod pengurusan ladang yang lebih baik serta keyakinan dan kepuasan pihak berkepentingan.
7. Di samping itu, MPOCC mengalu-alukan langkah kerajaan dalam Belanjawan 2020 yang menyokong usaha menangani kempen anti-minyak sawit dengan peruntukan sebanyak RM27 juta bagi tujuan meluaskan pasaran minyak sawit ke peringkat global serta pelaksanaan penggunaan Biodiesel B20 dalam sektor pengangkutan menjelang akhir tahun depan dijangka mampu meningkatkan permintaan minyak sawit sebanyak 500,000 tan setahun.
Kenyataan oleh; Encik Chew Jit Seng Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia 18 Oktober 2019
KENYATAAN MEDIA PENGURUSAN LADANG SAWIT WAJIB MEMATUHI PIAWAIAN PENSIJILAN MINYAK SAWIT MAMPAN MALAYSIA (MSPO)
BAGI MEMASTIKAN SIFAR KONFLIK DAN ISU PEMBANGUNAN MAMPAN
1. Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) menegaskan semua pengurusan ladang sawit termasuk pekebun-pekebun teratur wajib mematuhi dan melaksanakan piawaian skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi memastikan sifar konflik dan isu pembangunan mampan.
2. Dalam hal ini, MPOCC menggesa setiap pengurusan ladang sawit tidak meminggirkan atau mengabaikan mana-mana prinsip yang telah diberikan garis panduan di bawah MSPO. MPOCC juga sangat memandang serius dengan kejadian terbaharu seekor lagi gajah Pygmy Borneo ditemui mati dalam kawasan ladang sawit, di Beluran, Sabah pada 20 Oktober 2019 lalu, dengan kesan tembakan serta gading hilang seperti mana yang dilaporkan pihak polis.
3. Sehubungan itu, pengurusan ladang sawit hendaklah bekerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi mencari kaedah terbaik mengikut piawaian MSPO yang menitikberatkan pelan pengurusan konflik antara manusia dan hidupan liar termasuk mengenal pasti kawasan mempunyai nilai biodiversiti tinggi.
4. Pengurusan ladang sawit juga perlu mempertingkatkan inventori hidupan liar dan memahami lebih baik terhadap ekologi kehidupan komuniti hidupan liar seperti gajah Pygmy Borneo. Kesedaran komuniti ladang sawit adalah alat penting untuk mengukuhkan ke arah sifar konflik dan sebarang isu pembangunan mampan.
5. Aktiviti pendidikan dan latihan boleh diterapkan dan dilaksanakan bagi membina kapisiti tempatan untuk pencegahan dan penyelesaian konflik hidupan liar serta alam sekitar. Melalui pelan berkenaan, ada juga lokasi ladang sawit berada bersempadan dengan hutan simpan yang boleh menyumbangkan peranan sebagai kawasan perlindungan kepada hidupan liar.
6. Penyediaan laluan koridor di sungai atau anak sungai harus diadakan dan dijadikan sebagai kawasan pemampan sekaligus mengelak kejadian mati ditembak gajah Pygmy Borneo. MPOCC mengesyorkan pihak pengurusan ladang sawit dan Jabatan Hidupan Liar menilai semula kaedah intervensi untuk mengurangkan konflik manusia-gajah.
7. Pengurusan konflik mungkin bukan sahaja bergantung kepada satu kaedah intervensi tetapi perlu digabungkan dengan kaedah lain terdiri daripada tiga lapisan perlindungan seperti pengesan awal, penghalang pasif dan pencegahan aktif.
8. Sehubungan itu, pihak MPOCC akan mengarahkan kepada Badan Pensijilan (CB) yang dilantik untuk menjalankan siasatan lebih lanjut terhadap pengurusan ladang sawit terbabit, terutama dari aspek pematuhan piawaian MSPO, di mana kejadian kematian terbaharu gajah Pygmy Borneo dikatakan berada di kawasan ladang sawit.
Kenyataan oleh;
Encik Chew Jit Seng Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia 22 Oktober 2019
CADANGAN MALAYSIA DALAM USAHA MENGIMBANGI JURANG PERDAGANGAN DENGAN INDIA
Menteri Industri Utama, YB Teresa Kok telah mempengerusikan mesyuarat pada 14 Oktober 2019 yang melibatkan pegawai kanan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bagi membincangkan usaha untuk meningkatkan perdagangan dua hala dengan India.
Mesyuarat tersebut merupakan mesyuarat susulan daripada perbincangan antara YB Teresa Kok, Menteri Industri Utama bersama Hon. Piyush Goyal, Menteri Perdagangan dan Industri India di New Delhi pada awal Ogos tahun ini. Semasa perbincangan tersebut, YB Teresa Kok telah menegaskan sekali lagi komitmennya untuk merapatkan jurang perdagangan antara kedua-dua negara. Dalam hal ini, Malaysia akan meneroka peluang untuk meningkatkan import gula mentah dari India pada tahun 2020.
Selain itu, syarikat-syarikat tempatan juga digalakkan untuk mengimport lebih banyak produk dari India dengan memanfaatkan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA). Di samping itu, Malaysia juga sedang mengkaji prospek untuk mengimport lebih banyak daging kerbau dari India selaras dengan peningkatan permintaan pasaran tempatan.
Langkah ini dibuat dengan mengambil kira kepentingan India sebagai pasaran eksport ketiga terbesar pada tahun 2018 bagi minyak sawit dan produk berasaskan sawit dengan nilai eksport sebanyak RM6.84 bilion. Jumlah ini menyumbang 10.1% kepada jumlah keseluruhan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit negara yang jelas menunjukkan betapa pentingnya pasaran India kepada Malaysia.
YB Teresa Kok mengambil perhatian terhadap berita-berita semasa mengenai isu-isu yang menggugat hubungan baik antara Malaysia dan India, yang telah lama terjalin dan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara sejak 6 dekad yang lalu. Dalam hal ini, Malaysia sentiasa terbuka untuk mengadakan rundingan dengan Kerajaan India dalam mengimbangi jurang perdagangan antara kedua-dua negara.
MENTERI INDUSTRI UTAMA MENGENAI PELAKSANAAN SKIM EKSPORT MINYAK SAWIT MENTAH TANPA DUTI EKSPORT
Kementerian Industri Utama menyeru para pengeksport untuk mengambil kesempatan pengecualian duti eksport minyak sawit mentah (crude palm oil) yang dilaksanakan dari 1 Mei 2019 sehingga 31 Disember 2019.
Tempoh bebas cukai ini akan membolehkan pihak industri untuk merancang dengan lebih rapi langkah untuk meningkatkan eksport dan membuka pasaran baharu. Ia akan memberi ruang bagi pengeksport untuk memperluaskan lagi pasaran untuk minyak sawit Malaysia.
Pengecualian ini akan diberikan walaupun harga minyak sawit mentah mencecah RM2,250 se tan metrik dan ke atas, iaitu paras yang boleh dikenakan cukai.
Kementerian Industri Utama amat prihatin dengan situasi semasa industri sawit di mana kadar stok minyak sawit berada di paras 2.92 juta pada 31 Mac 2019 dan harga minyak sawit mentah pada 26 April 2019 adalah RM2,014.50. Dalam keadaan seperti ini, langkah pro-aktif yang sewajarnya perlu diambil bagi meningkatkan daya saing industri sawit.
Kementerian berharap Skim Eksport Minyak Sawit Mentah Tanpa Duti Eksport ini dapat mengurangkan stok minyak sawit dan seterusnya meningkatkan harga CPO. Dengan itu, langkah ini akan membantu industri sawit kita termasuk pekebun kecil di seluruh negara.
Kementerian Industri Utama juga akan terus memantau paras stok minyak sawit bagi memastikan ia mencukupi untuk memenuhi keperluan bekalan industri hiliran sawit negara.
KENYATAAN MEDIA PENAMATAN PELANTIKAN KHIDMAT SETIAUSAHA SULIT KANAN KEPADA YB TIMBALAN MENTERI INDUSTRI UTAMA
Satu pengakuan yang tidak beretika di dalam media sosial telah dibuat menerusi klip video oleh Encik Haziq Abdullah bin Abdul Aziz, yang merupakan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Timbalan Menteri Industri Utama pada 12 Jun 2019.
Pihak Kementerian memandang perkara tersebut sebagai satu pelanggaran nilai, etika dan Peraturan-peraturan Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa termasuk Perintah Am serta Perjanjian Kontrak. Surat tunjuk sebab telah diberikan dengan serta-merta dan Encik Haziq Abdullah telah menjawab. Bagaimanapun pihak Kementerian tidak berpuas hati dengan jawapan balas yang diberikan.
Sehubungan itu, Kementerian telah mengambil langkah menamatkan kontrak perkhidmatan beliau berkuat kuasa pada 18 Jun 2019.
Kementerian tidak akan bertolak ansur dalam sebarang soal perilaku yang menjejaskan reputasi serta imej Kementerian. Dengan penamatan ini, pihak Kementerian tidak lagi mempunyai apa-apa kaitan dengan Encik Haziq Abdullah.