GUA MUSANG: Kira-kira 400 penoreh dan pekebun getah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah di sini mendakwa pendapatan mereka terjejas susulan kemarau apabila susu getah yang ditoreh berkurangan.
Pekebun, Ahmad Fauzi Salleh, 73, berkata, situasi itu menyebabkan ada dalam kalangan mereka mengambil keputusan berehat sementara sejak bulan lalu akibat kekurangan hasil.
“Setiap kali musim panas, penghasilan susu getah menurun dan hasil yang diperoleh berkurangan sehingga 50 peratus.
“Ketika ini susu getah yang ditoreh cepat kering dan berhenti mengeluarkan susu. Kalau dalam keadaan biasa, penoreh boleh menoreh getah selang sehari. Namun kini, dalam tempoh tiga hari sekali baru boleh menoreh,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi pekebun, Mohd. Rosdi Ayub, 54, berharap kerajaan dapat menyediakan insentif atau bantuan bagi meringankan beban mereka yang terjejas.
Katanya, penoreh kini tersepit dengan pendapatan tidak menentu dan perlu menyara keluarga.
“Saya harap kerajaan dapatlah mempertimbangkan cadangan ini dan dapat meringankan beban kami menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini.
“Apabila tidak dapat bekerja setiap hari hasil getah juga berkurangan malah pendapatan lebih rendah berbanding dahulu. Sebelum musim panas, pendapatan kami mencecah RM1,000 tetapi kini hasil susu sangat sedikit,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan disaran mempertimbangkan insentif khas kepada penoreh getah dan pekebun kecil yang terjejas pendapatan sehingga 50 peratus akibat fenomena cuaca panas. – UTUSAN
KUALA LUMPUR, 24 Jun - Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah sedikit pada Isnin, seiring dengan aliran menurun di pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.
Beliau berkata, sentimen global terjejas oleh kebimbangan terhadap cadangan tarif ke atas kenderaan elektrik (EV) dari China oleh Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini.
“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dikekang oleh kebimbangan terhadap bekalan getah di negara-negara pengeluar getah asli (NR) utama ketika para peniaga menunggu pengumuman data inflasi AS yang akan mempengaruhi kenaikan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata agensi meteorologi Thailand memberi amaran ramalan hujan sangat lebat yang boleh mengakibatkan kejadian banjir kilat dari 24 hingga 26 Jun ini.
Selain itu beliau juga berkata China dan EU sedang berunding mengenai cadangan pelaksanaan tarif ke atas EV buatan China yang diimport ke pasaran Eropah.
“Pengesahan itu dibuat selepas Kementerian Perdagangan China bersetuju untuk memulakan rundingan berhubung siasatan anti-subsidi EU ke atas EV China,” katanya.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) turun 1.5 sen kepada 794.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal berkurangan lima sen kepada 762 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 fizikal berada pada 794 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 757.5 sen sekilogram.-BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pasaran yang kompetitif mendesak pengeluar getah termasuk bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan kemajuan teknologi untuk memperkasakan pengeluaran yang lebih cekap, responsif dan tepat serta mempunyai kawalan yang lebih baik ke atas operasi.
Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia (MRC), Nor Hizwan Ahmad, berkata pihaknya berusaha meningkatkan penggunaan teknologi berasaskan getah di antara pemain industri di Malaysia, selain mempromosikan pasaran getah serta produk getah negara yang terbukti berkualiti di pasaran dunia.
Beliau berkata, pihaknya juga menyediakan insentif dana bantuan untuk membantu pemain industri getah dalam meningkatkan rantaian nilai global.
"MRC berusaha meningkatkan penggunaan teknologi berasaskan getah dan mengadakan Hari Padanan Pengkomersilan (COMMATCH) 2022 dengan kerjasama Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).
"COMMATCH 2022 adalah inisiatif pemula daripada MRC untuk meningkatkan penggunaan teknologi ini, dengan mengumpulkan sembilan pakar daripada industri berkaitan untuk berkongsi maklumat, pengetahuan dan pengalaman mereka mengenai kepentingan inovasi serta saluran sokongan dan bantuan tersedia untuk pengkomersilan produk.
"Saya percaya dengan usaha sama antara MRC dan rakan strategiknya yang lain, kita mampu membentuk satu langkah hebat dalam merangka dan memacu gerakan progresif untuk memajukan industri getah Malaysia, selaras dengan polisi Dasar Pertanian Negara 2021 – 2030 (DAKN 2030)," katanya selepas majlis itu di Taman MRANTI, Bukit Jalil, hari ini.
Pada majlis itu, turut diadakan pertukaran Perjanjian Kolaborasi Pengkomersialan (CCA) antara MRC dan Lembaga Getah Malaysia (LGM), selain bertukar dua memorandum persefahaman (MoU) dengan MRANTI dan NanoMalaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar, berkata melalui kerjasama dengan MRC, pihaknya diamanahkan menyediakan platform pengkomersilan teknologi dan akses pasaran termasuk pasaran IP, nasihat dan pemadanan perniagaan dengan industri.
Beliau berkata, ia bertujuan mengkomersialkan IP daripada rangkaian industri MRC dan penyelidik LGM, institut penyelidikan kerajaan dan universiti berkaitan inovasi getah.
Katanya, pihaknya yakin mampu mengenal pasti keperluan industri dan masyarakat dengan memadankan pembekal dengan pengeluar.
"Kami yakin ini boleh membentuk, membangun dan menyelaraskan usaha kami dengan lebih baik untuk meningkatkan kadar pulangan yang lebih tinggi bagi idea dan inovasi.
"MRANTI juga mempromosikan penyelesaian "Ideas to Impact" dengan menyediakan kemudahan
pembiayaan dan khidmat nasihat dalam usaha pengkomersilan (secara tempatan dan global) untuk inovasi produk getah serta menyediakan akses kepakaran dan pembangunan," katanya.