KUALA LUMPUR, 19 Jun- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Rabu, menjejaki harga minyak mentah yang menjadi penanda aras dan pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.
Beliau berkata harga minyak mentah bercampur-campur hari ini berikutan kebimbangan mengenai konflik yang meningkat di Eropah dan Timur Tengah yang mengimbangi kebimbangan mengenai permintaan susulan peningkatan yang tidak dijangka dalam inventori minyak Amerika Syarikat (AS).
“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dikekang berikutan peniaga meneliti unjuran prospek permintaan getah asli global yang meningkat oleh Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli dan kebimbangan mengenai bekalan getah yang terhad berikutan pengeluar utama Thailand mengunjurkan cuaca buruk dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sentimen pasaran disokong oleh jangkaan yang diperkukuh mengenai penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan berikutan data ekonomi AS yang lemah.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) merosot tiga sen kepada 804 sen sekilogram manakala susu getah pukal kekal tidak berubah pada 792 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal sebanyak 802 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 789.5 sen sekilogram.- BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini dengan penanda aras Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) merekodkan paras tertinggi 24 bulan, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah dan langkah rangsangan berterusan di China, kata seorang peniaga.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 melonjak 21 sen kepada 760.5 sen sekilogram (kg), tertinggi sejak Februari 2022 manakala susu getah pukal naik 1.5 sen kepada 688.5 sen sekilogram pada tengah hari.
Peniaga itu memberitahu Bernama bahawa aliran menaik dalam pasaran fizikal juga selari dengan pasaran fizikal getah serantau di tengah-tengah kelemahan ringgit berbanding dolar AS.
Beliau menambah niaga hadapan getah Jepun meningkat hari ini selepas merosot selama dua hari, didorong oleh pasaran saham domestik yang meningkat tinggi dan jangkaan pengukuhan yang berterusan tahun ini.
"Pengendali pasaran dilihat boleh menyerap kekurangan getah asli global yang semakin teruk," katanya.
Pada 5.05 petang, harga bagi penanda aras minyak mentah Brent naik 0.33 peratus kepada AS$83.30 setong.
Sementara itu, pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk getah fizikal SMR 20 berada pada 756 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 693 sen sekilogram. - BERNAMA
PASARAN getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Selasa berikutan harga minyak mentah yang menjadi penanda aras lemah, selain petunjuk dalam pasaran niaga hadapan getah serantau yang kurang menggalakkan apabila ekonomi China yang lembap menjejaskan sentimen pasaran, kata peniaga.
Bagaimanapun, katanya penurunan seterusnya dikekang oleh ringgit yang lemah berbanding dolar AS dan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan getah asli berikutan unjuran cuaca buruk di negara pengeluar utama Thailand.
"Niaga hadapan getah Jepun merosot untuk sesi ketiga berturut-turut pada Selasa, didorong oleh data ekonomi yang lemah daripada pengguna utama China dan harga minyak yang rendah,” katanya kepada Bernama.
Pada masa ini, harga minyak mentah Brent merosot 0.72 peratus kepada AS$84.25 setong.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) berkurangan setengah sen kepada 766 sen sekilogram manakala susu getah pukal susut 4.5 sen kepada 637 sen sekilogram.
Pada jam 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal sebanyak 771.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 633 sen sekilogram.
KUALA LUMPUR, 11 Jun- Pasaran getah Kuala Lumpur menyusut pada Selasa susulan penurunan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan harga minyak mentah, disebabkan aktiviti pengambilan untung, kata seorang peniaga.
Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh ringgit yang menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kemeorosotan pengeluaran getah asli tempatan dalam persekitaran bekalan getah yang terhad, katanya kepada Bernama.
Beliau berkata peniaga pasaran sentiasa memantau dengan teliti data ekonomi AS yang penting dan hasil mesyuarat dasar monetari AS minggu ini.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) turun 9.5 sen kepada 850 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut 2 sen kepada 798 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan bagi fizikal SMR 20 berada pada 843 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 796.50 sen sekilogram. – BERNAMA