ARKIB BERITA

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
PELUANG KEEMASAN UNTUK MINYAK EMAS NEGARA MERAMPAS
KEMBALI PASARAN EU
______________________________________________________________________________

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) akan mengambil peluang yang timbul akibat ketegangan politik di Eropah dan kekurangan minyak masak, untuk mempromosikan minyak sawit Malaysia. Kementerian ini juga berhasrat untuk membuka jalan untuk komoditi ini mendapatkan semula bahagian pasarannya, terutamanya di Kesatuan Eropah ( EU).


2. Konflik di Ukraine yang bermula pada Feb 24 Feb telah menjejaskan bekalan global minyak sayuran dengan ketara kerana ketidaktentuan eksport melalui Laut Hitam telah mengakibatkan harga minyak sayuran/masak yang lebih tinggi. Ini boleh mengetatkan lagi bekalan minyak bijian dan sayuran, sekali gus memanjangkan kitaran naik harga minyak ini.


3. Ketegangan di Eropah Timur ini telah menyebabkan kekurangan minyak bunga matahari dan minyak rapeseed kerana kedua-dua negara ini menyumbang 80% daripada eksport global. MPIC percaya bahawa ketegangan di Laut Hitam akan memberi impak yang positif kepada industri minyak sawit Malaysia kerana banyak negara Eropah yang bergantung kepada minyak bunga matahari, kini sedang beralih kepada minyak sawit.


4. Ukraine dan Rusia sedang memasuki masa yang kritikal untuk penanaman bunga matahari yang sepatutnya bermula pada bulan April, tetapi perang yang berpanjangan boleh memberi kesan kepada musim penanaman ini. Eksport minyak bunga matahari daripada Ukraine dan Rusia menyumbang 10% daripada semua eksport minyak masak global.


5. Penganalisis pasaran kini menjangkakan peningkatan permintaan minyak sawit dari rantau EU dalam jangka masa terdekat memandangkan kuantiti eksport kacang soya yang lebih rendah dari Brazil, Paraguay, Rusia dan Ukraine serta pengurangan minyak bunga matahari dari Rusia, Kazakhstan dan Ukraine. Ditambah pula dengan langkah terbaharu negara jiran Indonesia,
yang merupakan pengeksport minyak sawit terbesar dunia, untuk meluaskan skop larangan eksport bahan mentah untuk minyak masak termasuk minyak sawit mentah dan ditapis, harga global minyak sayuran berkemungkinan kekal tinggi untuk separuh pertama tahun ini.mSaya percaya masa sekarang merupakan peluang yang baik untuk minyak sawit mendapatkan semula
keyakinan daripada pembeli Eropah walaupun komoditi ini telah menerima publisiti yang kurang baik pada masa lalu.


6. Dalam hal ini, saya telah mengarahkan agensi berkaitan di bawah MPIC, seperti Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk melaksanakan kempen yang agresif untuk komoditi kami supaya ia dapat mengisi jurang dalam pasaran global minyak minyak. Agensi-agensi ini, dengan kerjasama MPIC, perlu memastikan minyak sawit
Malaysia kekal sebagai pilihan utama dalam pasaran global untuk jangka masa panjang, terutamanya di mana pengguna telah terdedah kepada propaganda negatif pada masa lalu.


7. Di bawah kepimpinan saya, MPIC tidak akan mensia-siakan peluang yangterdapat sekarang. Sudah tiba masanya untuk kita meningkatkan usaha dalammenentang propaganda yang memburukkan kredibiliti minyak sawit. Kita juga perlu mempamerkan pelbagai manfaat kesihatan minyak emas ini, selaras dengan kempen Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan MPOC.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMRUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
06 MEI 2022

Putrajaya: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan menyelaras semula sektor agrikomoditi di seluruh negara bagi memastikan semua negeri dapat mematuhi piawaian dan standard yang ditetapkan badan global termasuk membabitkan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dan alam sekitar.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, siri jelajah ke seluruh negara akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menangani pelbagai isu berbangkit, selain perbezaan merangkumi status tanah di setiap negeri sehingga memberi kesan kepada penarafan Malaysia secara keseluruhan.

"Kita akan mengadakan siri jelajah di semua negeri di Malaysia bagi memastikan sektor agrikomoditi merangkumi pelbagai komponen seperti kelapa sawit, getah dan koko untuk mengguna pakai piawaian dan mematuhi keperluan yang ditetapkan bukannya menggunakan pendekatan yang berbeza.

"Ini kerana badan dunia melihat pematuhan menyeluruh. Jika ada negeri yang tidak patuh, contohnya, status tanah getah tetapi tanam kelapa sawit, ia akan menjejaskan penarafan Malaysia kerana ia menjadi antara satu prasyarat badan dunia," katanya kepada media selepas mengadakan mesyuarat bersama EXCO Pertanian dari 13 negeri di seluruh Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPK, Datuk Chan Foong Hin.

Mengulas lanjut, Johari berkata, sektor agrikomoditi tidak lekang daripada isu dan cabaran di peringkat domestik mahupun antarabangsa sehinggakan ia memberi implikasi kepada hasil agrikomoditi negeri-negeri untuk dipasarkan ke pasaran antarabangsa sebagai produk keluaran Malaysia.

Katanya, sebarang ketidakpatuhan terhadap piawaian serta peraturan ini akan menggugat kebolehpasaran produk agrikomoditi negara di peringkat antarabangsa, dan ini secara tidak langsung boleh menjejaskan pendapatan kerajaan yang juga banyak bergantung kepada sektor pertanian dan perladangan.

"Perkara ini perlu dilihat dan ditangani secara bersama oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri khususnya membabitkan pematuhan piawaian kemampanan oleh EUDR, usaha pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar seperti High Conservation Value (HCV) serta isu buruh paksa dan hak asasi manusia.

"Isu seperti penyahhutanan (deforestation), pemilikan sah ke atas tanah, kebolehjejakan dan amalan buruh yang baik bukan sahaja isu yang sering dititik beratkan dalam memastikan kebolehpasaran produk sektor agrikomoditi di peringkat antarabangsa, bahkan sejak kebelakangan ini sering dibincangkan dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) baharu.

"Lantaran itu, Malaysia sentiasa komited dalam memastikan produk agrikomoditi serta rantaian bekalan komoditi yang dihasilkan menerusi sektor ini adalah mampan dan bertaraf antarabangsa," katanya.

Beliau menjelaskan, sektor agrikomoditi menyumbang sebanyak RM83.16 bilion atau sekitar 5.31 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu.

 

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2024/08/1117702/selaras-semula-sektor-agrikomoditi-johari

 

Sumber : Harian Metro

PUTRAJAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan melancarkan siri jelajah di setiap negeri untuk memberi penerangan berkaitan kemampanan dalam industri komoditi negara supaya mematuhi piawaian antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah strategik itu bagi memastikan pihak yang terlibat dalam perladangan memahami dan menggunapakai piawaian kemampanan kerana sebarang ketidakpatuhan akan menggugat kebolehpasaran produk agrikomoditi negara di peringkat antarabangsa.

“Bukan sahaja exco negeri perlu faham, bermakna agensi negeri, pejabat tanah negeri dan pemain industri setiap negeri perlu faham. (Pihak kementerian) perlu jumpa mereka dan terangkan dengan mudah supaya mereka faham kesan dari setiap negeri.

“Mereka (badan global) akan melihat keseluruhan Malaysia untuk mematuhi peraturan ditetapkan.

Contonya, walaupun Johor, Perak dan Terengganu patuh, tetapi kalau ada negeri-negeri yang tidak, maka ada masalah untuk mendapatkan pengeluaran ladang kita diguna oleh pihak global,” katanya apabila ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat bersama Exco Pertanian Negeri hari ini.

Katanya, perkara yang perlu dilihat dan ditangani bersama oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri khususnya membabitkan pematuhan piawaian kemampanan oleh Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), usaha pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar, amalan buruh yang baik serta pemilikan sah ke atas tanah.

“Ada maklum balas berkenaan bagaimana kerajaan negeri hendak menyelesaikan isu tanah pertanian kerana ada tanah-tanah yang ditanam kelapa sawit tetapi nama pemilikan itu getah atau koko. Jika mahu mendapatkan sijil kemampanan, salah satu syarat adalah mempunyai pemilikan sah ke atas tanah,” katanya.

Bagaimanapun, pengurusan komoditi negara masih terkawal dan hanya perlu memastikan tiada lagi hutan simpan yang perlu diteroka selepas ini.

“Tanah-tanah yang kita gazetkan sebagai hutan simpan, kita ada sekitar 10.6 juta hektar. Tidak boleh lagi diteroka, tidak kira mahu tanam getah atau sawit. Apabila sudah teroka tu, kita sebagai negara sudah gagal. Pengeluaran kita untuk eksport akan ada masalah.

“Tetapi setakat hari ini kita mematuhi kerana Malaysia mempunyai 54 peratus hutan. Kerajaan Malaysia telah menandatangani (Perjanjian RIO 1992) untuk mengekalkan 50 peratus litupan hutan,” jelas beliau.

Sektor agrikomoditi telah menyumbang RM83.16 bilion atau sekitar 5.3 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun lalu.

 

https://www.buletintv3.my/nasional/siri-jelajah-komoditi-akan-dilaksana-beri-penerangan-isu-kemampanan-johari-ghani/#google_vignette

 

Sumber : Buletin TV3