JEMPOL: Kerajaan Negeri menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyasarkan 2,000 hektar kebun getah tidak ditoreh milik pekebun kecil di negeri ini akan dipulihkan tahun ini.
Exco Desa, Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Seri Jalaluddin Alias berkata, jumlah disasarkan itu sebahagian daripada keseluruhan 15,000 hektar kebun getah terbiar seluruh negeri.
“Pelbagai sebab menyebabkan kebun terbiar dan tidak ditoreh antaranya faktor pekebun itu sendiri seperti sudah berusia.
“RISDA sudah diarah mengenal pasti kebun getah terbiar itu dan menjelang akhir tahun ini, kita mahu 2,000 hektar kebun getah terbiar itu dipulihkan.
“Kita mahu usaha pemulihan kebun getah terbiar ini dapat diselesaikan segera dan berharap proses pemulihan ini tidak tergendala akibat pelbagai masalah dan akhirnya menemui kegagalan,” jelas Jalaluddin.
Jalaluddin berkata demikian selepas merasmikan Karnival Usahawan Risda (KUR)@Ekspo Raya Jempol di Bahau.
Menurut Jalaluddin, jika semua kebun terbiar boleh ditoreh semula, ia sekali gus meningkatkan peratusan kawasan penanaman getah di negeri ini.
“Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata RISDA tidak akan menganjurkan program jualan murah seperti pernah dilaksanakan agensi itu sebelum ini.
“Di negeri ini sudah terdapat tiga program jualan murah bagi membantu rakyat iaitu Jualan Agro Madani, Jualan Rahmah dan Jualan Nismilan Prihatin,” katanya.
Dalam pada itu, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata KUR memberi peluang kepada 34 usahawan RISDA menjual produk masing-masing sepanjang Ramadhan dan menjelang sambutan Aidilfitri.
KUALA LUMPUR, 27 Julai-Pasaran getah tempatan dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan berikutan cuaca yang tidak menentu di kawasan pengeluar getah.
Pakar industri, Denis Low berkata ini akan menjejaskan pengeluaran sekali gus mendorong aktiviti pengisian semula stok.
Pengisian stok akan mempengaruhi kenaikan harga getah berikutan bekalan mungkin berkurangan.
Tambahnya, gangguan penghantaran susulan krisis berterusan di Laut Merah dan situasi geopolitik semasa akan turut menjejaskan rantaian bekalan.
Low berkata keadaan itu mungkin menyebabkan harga komoditi tidak menentu kerana pertempuran berterusan di Laut Merah akan mengganggu laluan perkapalan.
Permintaan hanya boleh meningkat apabila perniagaan dan industri getah stabil.
KUALA LUMPUR – Pasaran getah dijangka diniagakan mendatar pada minggu depan dengan kecenderungan menyusut, kata pakar industri Denis Low.
Beliau berkata, kebanyakan pembekal dan peniaga tidak aktif berikutan cuti Aidiladha pada Isnin.
Selain itu, Low berkata pengurangan bilangan kapal belayar susulan krisis Laut Merah, telah meningkatkan kos atau kadar pengangkutan hampir dua kali ganda dengan beberapa laluan menyaksikan peningkatan dua kali ganda dan boleh menjejaskan harga getah global.
Bercakap kepada Bernama, beliau berkata kalangan penggiat pasaran juga bersedia berikutan laporan mengenai kemungkinan fenomena cuaca La Nina melanda wilayah utara pada minggu-minggu akan datang.
Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran diniagakan kebanyakannya rendah seiring dengan prestasi pasaran niaga hadapan serantau getah yang lemah.
Sebagai perbandingan asas Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia atau SMR 20 turun 27 sen kepada 829 sen sekilogram daripada 856 sen sekilogram minggu lepas manakala susu getah pukal susut satu sen kepada 793.50 sen sekilogram daripada 794.50 sen sebelum ini.
Pada 5 petang Jumaat, harga rujukan LGM bagi SMR 20 fizikal mencecah 823 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 793 sen sekilogram. – BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Mei- Pasaran getah tempatan dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan dengan kecenderungan meningkat disebabkan kewujudan aktiviti penambahan stok secara berkala bagi mengekalkan harga getah.
Pakar industri Denis Low berkata cuaca yang semakin memuaskan, akan datang serta berakhirnya musim dingin mungkin mendorong bekalan yang bertambah baik.
“Harga minyak serta dolar US yang tidak menentu mungkin akan memberi kesan kepada harga dan permintaan.
“Keadaan seperti ini mencerminkan ketidaktentuan selain, pada masa yang sama, akan meningkatkan kewaspadaan dan kebimbangan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, seorang peniaga lain berkata harga komoditi akan terus menjejaki prestasi pasaran hadapan getah serantau, kekuatan ringgit berbanding dolar US termasuk penanda aras harga minyak mentah.
Beliau berkata pasaran akan disokong oleh kebimbangan yang berlarutan mengenai gangguan getah asli berikutan cuaca yang tidak menentu di negara pengeluar utama dalam tempoh terdekat.
“Peniaga akan terus memantau petunjuk lanjut mengenai prospek kadar faedah Amerika Syarikat dan langkah rangsangan dari China sambil terus memerhatikan perkembangan dalam konflik geopolitik di Timur Tengah yang masih berterusan,” katanya.
Minggu ini, pasaran getah tempatan menokok pada asas mingguan, disokong oleh kebimbangan terhadap bekalan getah asli yang terganggu di beberapa negara pengeluar akibat keadaan cuaca buruk.
Dari Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 melonjak 13.5 sen kepada 767.5 sen sekilogram daripada 754 sen yang dicatatkan pada minggu lepas, manakala lateks pukal naik 8.5 sen kepada 725.5 sen sekilogram berbanding 717 sen sebelumnya.
Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal berada pada 764.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 724.5 sen sekilogram. - BERNAMA