ARKIB BERITA



KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini telah mengeluarkan surat peringatan kepada pengilang-pengilang sawit susulan tindakan menghentikan operasi berikutan kejatuhan mendadak harga minyak makan.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, berkata surat itu memberi peringatan kepada pengilang agar menjalankan aktiviti sektor pengilangan buah kelapa sawit dan pematuhan kepada keperluan perundangan di bawah Akta Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).

KUALA LUMPUR: Harga purata minyak sawit mentah (MSM) dijangka lebih rendah tahun hadapan susulan jangkaan pengeluaran minyak sayuran global, yang menjadi pesaing utamanya, berkemungkinan meningkat pada 2023.

Penganalisis Affin Hwang Investment Bank, Nadia Aquidah, berkata harga sawit juga dijangka berdepan tekanan berikutan peningkatan jangkaan kemelesetan ekonomi utama global yang boleh mengekang penggunaan komoditi itu di kebanyakan pasaran.

"Kami berpandangan bahawa harga akan menempuhi beberapa rintangan menaik daripada kenaikan bulan sebelumnya dan mungkin mengalami tekanan dengan jangkaan bahawa pengeluaran global lapan minyak sayuran utama akan meningkat lagi pada musim 2022/2023.

"Selain itu, kemelesetan global yang meningkat boleh menyekat penggunaan di banyak pasaran. Terdapat banyak ketidakpastian dan faktor penentu harga yang perlu diberi perhatian, termasuk kemajuan penuaian global dan hasil sebenar yang dicapai untuk semua minyak boleh dimakan utama.

"Malah, kuantum pembelian dari negara pengimport utama terutamanya negara seperti China dan India, ketidakpastian mengenai koridor eksport untuk produk Ukraine, perkembangan cuaca, serta pengeluaran dan pergerakan saham Malaysia serta Indonesia juga dijangka menjadi rintangan harga sawit," katanya dalam nota penyelidikan.

Purata harga minyak sawit mentah (MSM) untuk penghantaran tempatan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada November 2022 berada pada RM4,087.50 satu tan, meningkat sebanyak 11 peratus bulan ke bulan berbanding purata harga jualan (ASP) bagi MSM November 2021 iaitu RM5,341 satu tan.

Menurut Nadia, harga MSM menurun di bawah RM4,000 satu tan beberapa hari lalu daripada paras RM4,100 satu tan pada minggu terakhir November lalu.

"Kami mengekalkan unjuran ASP MSM kepada RM4,900 hingga RM5,100 satu tan untuk 2022 dan RM3,100 hingga RM3,200 satu tan tahun hadapan," katanya.

Beliau menjelaskan, Affin Hwang Investment Bank mengekalkan saranan UNDERWEIGHT untuk sektor perladangan.

"Risiko utama kepada penarafan UNDERWEIGHT kami pada sektor ini termasuk, permintaan yang lebih kukuh daripada jangkaan dan pengeluaran yang lebih rendah daripada jangkaan yang menjejaskan harga minyak sayuran; eksport keluaran minyak sawit yang lebih kukuh daripada jangkaan; pengeluaran biodiesel yang lebih kukuh daripada jangkaan terutamanya di Indonesia dan Malaysia; dan perubahan positif dalam dasar dan cukai," katanya.

Pengeluaran MSM Malaysia pada November lebih rendah sebanyak 7.3 peratus bulan ke bulan kepada 1.7 juta tan.

Pengeluaran lebih rendah di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, dengan angka masing-masing turun sebanyak 10 peratus, 2.1 peratus dan 6.6 peratus bulan ke bulan kepada 878,500 tan, 427,300 tan dan 374,900 tan.

"Kami percaya pengeluaran MSM Malaysia mungkin memuncak pada Oktober (September-Oktober mengikut sejarah adalah bulan pengeluaran tertinggi bagi minyak sawit Malaysia), dan boleh merosot seterusnya pada Disember disebabkan monsun bermusim dan La Nina yang akan menjejaskan penuaian.

"Untuk tempoh 11 bulan tahun ini, pengeluaran MSM Malaysia meningkat sedikit sebanyak 1.0 peratus tahun ke tahun kepada 16.8 juta tan.

"Bagi musim penuh 2022, kami menjangkakan pengeluaran MSM Malaysia sedikit lebih tinggi berbanding 18.1 juta tan pada 2021," tambah Nadia.

Affin Hwang Investment Bank berkata, eksport sawit berada pada 1.5 juta tan, meningkat 0.9 peratus bulan ke bulan kepada 1.5 juta tan pada November 2022, berikutan peningkatan dalam permintaan daripada beberapa pembeli utama disebabkan oleh harga produk minyak sawit yang menarik berbanding kepada minyak sayuran lain.

"Selain itu, kami percaya bahawa permintaan untuk produk minyak sawit telah mula beralih kembali ke Malaysia dari Indonesia selepas negara berkenaan mengembalikan semula levi eksport minyak sawit pada November tahun ini.

"Untuk 11 bulan 2022, eksport Malaysia berjumlah 14.3 juta tan, meningkat sedikit sebanyak 0.8 peratus tahun ke tahun disebabkan peningkatan dalam eksport ke negara seperti Arab Saudi, Jepun, Filipina dan Turki," katanya.

Nadia berkata, paras inventori berada pada 2.3 juta tan pada November, turun sebanyak 119,800 tan bulan ke bulan dalam inventori minyak sawit Malaysia yang merosot pada November selepas meningkat lima bulan berturut-turut.

"Ini sebahagiannya disebabkan oleh penggunaan yang lebih tinggi mengatasi pengeluaran pada November 2022," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2022/12/1042324/peningkatan-keluaran-minyak-sayuran-jejas-harga-sawit

Sumber: Berita harian

 

KUALA LUMPUR: Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2.0 dijangka dilancarkan pada Mac tahun ini, ia akan mengetengahkan bidang tumpuan utama, iaitu memperkenalkan tarikh akhir untuk mengecualikan tanah yang ditebang daripada diperakui, nilai pemuliharaan tinggi, penilaian impak sosial, kalkulator gas rumah hijau (GHG) serta menangani isu buruh paksa dan kanak-kanak.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Mohammad Hafezh Abdul Rahman berkata versi semakan bagi pensijilan MSPO akan meningkatkan lagi penerimaan minyak sawit Malaysia dalam pasaran global, serta membina kepercayaan terhadap pemain industri tempatan.

Versi semakan semula MSPO 2.0 disahkan oleh Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan dan kini sedang menunggu ia ditandatangani oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bulan ini dan dijangka dilancarkan pada akhir Februari.

"MSPO adalah platform untuk Malaysia menjawab semua dakwaan yang dibuat terhadap industri minyak sawit berhubung dengan kemampanan," katanya kepada Bernama selepas 'Reach and Remind, Friends of the Industry Seminar 2022 and Dialogue' anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) pada Rabu.

Mohammad Hafezh berkata, langkah itu adalah pendekatan yang bijak, di mana piawaian memerlukan pihak berkepentingan terutama pematuhan pekebun kecil dalam memenuhi keperluan MSPO.

"Memandangkan pekebun kecil kekurangan daripada segi mendapatkan sumber untuk mendapatkan audit pensijilan, MSPO sudah pun menanganinya. Kami menyokong keterangkuman dan mahu meningkatkan tahap dan pelaksanaan praktikal untuk pekebun kecil bagi menjadi sebahagian daripada agenda kemampanan kami.

"Sebab itu, menerusi piawaian yang disemak semula ini, kami menangani semua isu kemampanan yang telah dibangkitkan oleh pasaran antarabangsa," katanya.

Mohammad Hafezh berkata, selaras dengan tarikh mandatori pada Januari 2020, MPOCC menjangkakan bahawa tiada penanaman baharu di hutan semula jadi atau kawasan sensitif yang dijalankan selepas tarikh akhir yang ditetapkan.

"Mengenai isu buruh, kami meletakkan kesemua 11 petunjuk buruh paksa oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam piawaian kami dan hakikatnya piawaian MSPO yang disemak semula meneliti buruh paksa, buruh kanak-kanak dan juga pekerjaan tiga segi.

"Selain itu, MPOCC berusaha untuk mengawal dan memastikan tiada buruh paksa atau buruh kanak-kanak dalam industri itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah bahagian Promosi dan Komunikasi Korporat MPOC, Razita Abdul Razak dalam pembentangan kertas kerjanya bertajuk 'Mempromosikan MSPO Kepada Audiens Global' berkata lebih 90 peratus kawasan tanaman kelapa sawit telah mendapat pensijilan MSPO.

"Sekarang kita harus menumpukan kepada kesedaran awam mengenai skim pensijilan sebagai standard yang boleh dipercayai yang diiktiraf oleh negara pengimport.

"Kami mencadangkan supaya promosi MSPO dipertingkatkan di pasaran ASEAN, Asia Pasifik, Asia Selatan, Asia Tenggara dan Timur Tengah," katanya.

Beliau berkata, pengguna global prihatin terhadap isu kemampanan dan alam sekitar dan strategi perbezaan pasaran mesti diguna pakai untuk meningkatkan keutamaan terhadap minyak sawit Malaysia.

"Ketika ini, tiada perbezaan antara Malaysia dan pengeluar minyak sawit lain, tumpuan kita harus tertumpu kepada minyak sawit mampan atau MSPO.

"Adalah penting bahawa penerimaan ini harus bermula dengan negara jiran kita di Asia," katanya.

Beliau berkata, walaupun MSPO diwajibkan sejak Januari 2020, keterlihatannya di peringkat bawah tidak begitu menggalakkan, wujud keperluan untuk program dorongan dan promosi yang lebih bersepadu untuk meningkatkan keterlihatan MSPO.

Tahun ini, Malaysia meningkatkan usaha pemasaran dan promosinya untuk pengiktirafan global MSPO sebagai standard kemampanan Malaysia.

Pelan pemasaran dan promosi yang menyeluruh diperlukan untuk memastikan keterlihatan dan pemahaman tentang MSPO akan dilaksanakan, bermula daripada penglibatan dengan pegawai utama kerajaan, seminar dan perbincangan dengan persatuan perdagangan serta sektor hotel, restoran dan kafe (HoReCa) dan juga melakukan jerayawara dan pengiklanan luar, elektronik dan media sosial untuk pengguna umum.

Setakat Disember 2021, sejumlah 5.36 juta hektar atau 91.3 peratus daripada jumlah kawasan ladang seluas 5.87 juta hektar telah menerima pensijilan MSPO dan daripada jumlah itu sebanyak 684,970 hektar untuk pekebun kecil terancang dan 518,981 hektar untuk pekebun kecil bertauliah.

-BERNAMA

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/01/908491/pensijilan-mspo-20-akan-dilancar-mac-ini

Sumber: Berita Harian


KUALA LUMPUR: Beberapa negara Barat dilihat masih kekal memainkan propaganda anti sawit walaupun terdapat sedikit peningkatan kesedaran oleh Kesatuan Eropah

(EU) terhadap minyak sawit mampan dan pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata beberapa negara Barat masih kerap mempersoalkan kebolehpercayaan MSPO, skim yang memastikan proses pengeluaran minyak sawit negara secara bertanggungjawab.

Dakwanya, layanan dingin terhadap MSPO itu berlaku disebabkan sikap pilih kasih EU terhadap pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), yang menjadi asas kepada pembangunan MSPO.

"Sejak kebelakangan ini, RSPO dikritik, terutama oleh pertubuhan alam sekitar yang bukan berasaskan keuntungan.

"Mereka berpendapat piawaiannya gagal memberikan perlindungan mencukupi untuk hasil hutan, buruh digunakan dalam ladang kelapa sawit atau menangani perlindungan iklim.

"Penyelidikan Greenpeace juga menggambarkan RSPO sebagai satu usaha penyebaran maklumat tidak tepat mengenai manfaat alam sekitar, selain turut mendedahkan kemusnahan hutan hujan secara besar-besaran di Indonesia yang didakwa disebabkan oleh syarikat yang diperakui RSPO," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraida berkata, keadaan diburukkan apabila beberapa syarikat yang mengguna pakai RSPO menyokong larangan minyak sawit EU atas alasan ia boleh memperlahankan penebangan hutan.

Tindakan itu, menyebabkan ramai pencinta alam sekitar meragui sama ada pensijilan RSPO melencong daripada misi asalnya untuk mengguna pakai amalan pengeluaran minyak sawit mampan.

Malah, katanya, wujud dakwaan terhadap beberapa syarikat RSPO yang dikatakan melanggar hak asasi manusia semasa kemuncak pandemik COVID-19, dua tahun lalu.

Justeru, Zuraida menegaskan terdapat ruang penambahbaikan dalam skim pensijilan RSPO yang berusaha untuk menyemai keyakinan agensi alam sekitar seperti disuarakan Agensi Penyiasatan Alam Sekitar United Kingdom.

"Perkara ini jelas dilihat dengan UK dan EU bersedia memperkenalkan undang-undang baharu menangani perkara haram serta isu hak tanah dan penebangan hutan dalam rantaian bekalan.

"Laporan digunakan Parlimen EU juga menekankan skim pensijilan hanya boleh digunakan, di samping usaha lain yang wajar dilakukan oleh syarikat kerana terdapat kebimbangan bahawa skim pensijilan saja tidak berkesan," katanya.

 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/06/962588/pensijilan-sawit-mampan-malaysia- terima-tempias-kritikan-barat
SUMBER: BERITA HARIAN

 SUMBER: BERITA HARIAN, MS 42
28 JULAI 2022