JERANTUT: Lebih 150,000 penoreh yang memiliki keluasan kebun getah kurang dua hektar terjejas pendapatan kerana tidak menikmati harga komoditi yang kini melonjak lebih RM4 sekilogram sejak bulan lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Pahang, Anuar Mustakim berkata, perkara itu berlaku kerana harga getah sekerap yang dibeli pusat pengumpul atau pembeli berlesen tidak selaras di kebanyakan tempat di seluruh negara khususnya di luar bandar.
“Bagi kawasan luar bandar harga getah yang ditawarkan pihak pembeli antara RM3 hingga RM3.50 sahaja, begitu juga kawasan pedalaman ada kalangan pekebun cuma memperoleh kurang RM2.50.
“Keadaan ini lebih teruk apabila ada penoreh yang cuma menerima hasil jualan getah kurang RM2 sekilogram khususnya kawasan yang jauh daripada bandar dan pedalaman termasuk perkampungan Orang Asli di Pahang dan tempat-tempat lain,” katanya di sini kelmarin.
Menurutnya, harga tidak sama di beberapa tempat berkemungkinan berpunca daripada pembeli selaku ‘orang tengah’ bagi pihak pengumpul berlesen di kawasan-kawasan tertentu.
“Orang tengah atau sub ini akan mengambil sedikit keuntungan dengan memotong harga berkenaan dengan alasan jarak perhubungan kenderaan atau pengangkutan yang jauh serta kualiti getah sekerap berkenaan.
“Cuba bayangkan seorang pekebun yang mempunyai hasil kurang daripada 100 kilogram sudah tentu tidak sanggup memunggah sekerap dalam perjalanan yang jauh ke pusat pengumpul di luar seperti mana dialami oleh pekebun kecil di Pos Lenjang dan Pos Sinderut kawasan Ulu Jelai,” katanya.
Anuar yang juga Ahli Jawatankuasa Kebajikan PKPPM selanjutnya mencadangkan pihak berwajib membuka lebih banyak pusat pengumpul getah yang berlesen di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memberikan kemudahan buat pekebun kecil di situ.
Katanya, kerajaan juga boleh menimbangkan pemberian subsidi bersasar diesel kepada pekebun kecil atau pembeli berlesen di pedalaman dan luar bandar supaya dapat meringankan kos pengangkutan antara beban selama ini menyebabkan kesan pembelian getah sekerap tidak selaras berbanding di pinggir bandar. – UTUSAN
Kuala Lumpur: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Perladangan dan Komoditi sedang menyiapkan kertas Kabinet bagi mengatasi pelbagai permasalahan yang melanda pekebun kecil getah di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata antara isu yang akan dibangkitkan dalam kertas Kabinet berkenaan adalah seperti penyakit Luruhan Daun Pestalotiopsis (LDP), kekurangan tenaga kerja serta kawasan tanaman getah yang tidak ditoreh di seluruh negara.
"Terdapat kira-kira 420,000 hektar (tanaman getah) yang tidak ditoreh. Saya juga bertemu dengan persatuan pekebun-pekebun kecil dan kami bincang beberapa kaedah baharu cara untuk mengatasinya termasuk berkenaan soal harga lantai getah.
"Walaupun kerajaan telah meningkatkan harga lantai getah dengan lebih tinggi daripada tahun sebelumnya, saya fikir kita harus lakukan sesuatu kerana lateks sahaja yang diimport mencecah RM6 bilion setahun, sedangkan kita adalah pengeluar getah asli yang terbesar," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut berpendapat pendekatan teknologi dan pemasaran baharu perlu dilakukan agar pembelaan terhadap nasib pekebun kecil getah di negara ini dapat dibantu.
Terdahulu, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mencelah meminta kerajaan mengambil pendekatan khusus supaya hasil dan keperluan getah negara dapat dicapai sewajarnya memandangkan terdapat segelintir pekebun kecil yang terpaksa menebang pokok getah serta menanam tumbuhan lain apabila penyakit LDP menyerang ladang mereka.
Ahmad Zahid berkata seluas 63,239.80 hektar kebun milik pekebun kecil di seluruh negara dikenal pasti dijangkiti penyakit LDP di seluruh negara.
"Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah berperanan melaksanakan program rawatan dan pencegahan penyakit LDP dengan kaedah semburan bahan kimia dalam empat pusingan setahun," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sentiasa mendukung tatakelola atau tadbir urus baik dengan berpaksikan kepada kerajaan yang memerintah dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan golongan sasar terutama di kawasan desa.
"Dalam hal ini, kami bertindak secara profesional dan kami tahu bahawa yang penting ialah fokus kepada pembangunan minda, akhlak dan pendidikan agama kepada anak-anak ini yang berada di peringkat prasekolah sama ada tabika atau taska," katanya menjawab dakwaan Kemas digunakan untuk tujuan politik.
Berhubung isu rungutan peneroka Felda terhadap kadar potongan hutang ladang yang terlampau tinggi, Ahmad Zahid berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi bagi membincangkan perkara itu.
KUALA LUMPUR: Satu mekanisme untuk mengimbangi paras harga getah untuk pasaran eksport dengan kos pengeluaran dan kos sara hidup pekebun kecil dijangka dimuktamadkan hujung tahun ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Mekanisme Harga Getah Untuk Kesinambungan Hidup Pekebun Kecil (LRPM) adalah antara agenda yang diberi perhatian Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) bertujuan mengawal harga getah dalam pasaran antarabangsa.
Justeru, katanya kerajaan memerlukan masa memuktamadkan keputusan itu kerana perlu menunggu persetujuan bersama antara negara pengeluar.
"LRPM merupakan antara agenda utama kerajaan yang dibincangkan dalam kalangan negara-negara pengeluar getah di bawah ANRPC yang terkesan dengan harga getah semasa yang rendah berbanding dengan kenaikan kos pengeluaran dan kos sara hidup.
"Jika dipersetujui oleh setiap negara pengeluar, LRPM dijangka dapat dimuktamadkan dalam tahun ini, yang mana paras harga getah untuk pasaran eksport tidak boleh rendah daripada kombinasi kos pengeluaran dan kos sara hidup pekebun kecil.
"Bagaimanapun, cabaran utama pelaksanaan mekanisme LRPM ini adalah untuk mendapat kesepakatan semua 13 negara anggota di bawah ANRPC, yang mana sebahagian negara anggota juga merupakan negara pengguna getah seperti China dan Singapura.
"Kejayaan LPRM tertakluk kepada persetujuan dan kesepakatan terutamanya negara pengeluar," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang mahu kementerian menyatakan perkembangan cadangan pengenalan mekanisme LRPM di peringkat antarabangsa bagi memastikan harga getah asli dalam julat yang ditetapkan untuk mengurangkan ketidaktentuan harga getah dunia.
Mengulas lanjut penetapan harga getah, Johari berkata ia seperti komoditi lain berorientasikan eksport yang mana dipengaruhi oleh faktor penawaran dan permintaan getah dunia.
Oleh itu, beliau akui bahawa campur tangan kerajaan untuk mengawal dan menstabilkan harga getah tidak mudah.
"Intervensi daripada kerajaan adalah tidak mudah dan pada tahap yang minimum kerana getah hanya sekitar 3.3 peratus daripada jumlah pengeluaran dunia," katanya.
CHANGLUN: Kira-kira 70 penduduk di Felda Laka Selatan, di sini terpaksa beralih daripada menoreh getah pada sebelah pagi kepada waktu malam berikutan cuaca panas yang melanda negeri ini sejak dua bulan lalu.
Pengerusi Biro Ladang Felda Laka Selatan, Mohd. Jamil Shahbidin, 63, berkata, rata-rata penoreh terpaksa memendekkan tempoh menoreh iaitu dari pukul 7 pagi hingga 9 pagi kerana cuaca panas menyebabkan hasil yang diperoleh sedikit.
“Disebabkan itu, lebih 90 peratus penoreh di sini keluar menoreh pada waktu malam yang mana tempoh menoreh lebih lama kerana cuaca sejuk. Kami akan mula menoreh pukul 9 malam dan kadang-kadang boleh sampai hingga pukul 4 pagi,” katanya ketika ditemui di ladang getah Felda Laka Selatan, malam tadi.
Katanya, tempoh menoreh yang panjang diperlukan memandangkan hasil yang diperoleh ketika pokok getah menggugurkan daun dan mengeluarkan pucuk baharu akan berkurangan.
“Kalau siang, hasil sedikit sebab susu getah menitik dua jam sahaja dan jika malam boleh menitik antara tiga hingga lebih lima jam,” ujarnya.
Penoreh, Rodhi Md. Rejab, 47, berkata, dia juga membuat keputusan untuk menoreh pada waktu malam kerana suhu lebih sejuk.
“Saya rasa lebih selesa menoreh pada waktu malam kerana cuaca sejuk, hasil pun lebih kerana boleh bekerja dalam tempoh lama.
“Pada musim kemarau dan musim daun luruh ini, beza menoreh siang dan malam adalah antara 30 hingga 40 peratus. Contohnya kalau menoreh siang sekarang ini dalam seminggu dapat 200 kilogram (kg) sekerap, kalau malam dalam jangka masa sama akan dapat antara 250 ke 300 kg,” jelasnya yang menoreh di kawasan seluas kira-kira empat hektar.
Namun begitu, katanya, penoreh perlu lebih berhati-hati dengan haiwan berbisa memandangkan kawasan ladang yang gelap-gelita dengan mereka hanya berbekalkan lampu suluh di kepala.
Katanya, menoreh pada waktu malam bukan perkara baharu kerana ia dilakukan kumpulan penoreh di situ setiap kali tiba musim panas.
Seorang lagi penoreh, Mohd Nor Hamid, 75, berkata, dia biasanya akan keluar menoreh bersama dua rakannya selepas waktu isyak hingga awal pagi.
“Waktu siang sekarang ini panas, jadi boleh menoreh sehingga pukul 10 pagi sahaja. Kalau waktu malam boleh dapat lama sikit sebab sejuk,” tambahnya. -UTUSAN
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang membangunkan model konsolidasi dan kluster berpusat dalam usaha menangani kekurangan tenaga kerja tempatan dan asing dalam sektor huluan industri getah.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata strategi dilaksanakan KPK, turut melibatkan beberapa agensi pelaksana lain, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta dalam rantaian bekalan.
Konsep berasaskan 'sebuah entiti' itu melibatkan usaha mengendalikan suatu kawasan tidak bertoreh dengan hasilnya dijual terus kepada kilang pemprosesan tanpa khidmat beberapa orang tengah.
"Entiti ini akan menguruskan operasi ladang getah termasuk memastikan bilangan tenaga kerja mencukupi bagi mendapatkan hasil yang dirancang.
"Melalui kaedah ini, kerajaan menjangkakan masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor huluan industri getah dapat diatasi dan seterusnya membantu meningkatkan pengeluaran getah negara," kata kementerian menerusi jawapan disiarkan di laman sesawang Parlimen, pada Rabu.
KPK menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai langkah untuk menangani isu kekurangan tenaga kerja tempatan dan asing dalam sektor getah negara.
Menyentuh langkah menstabilkan harga getah, KPK berkata Malaysia bekerjasama dengan negara-negara pengeluar getah utama dunia di bawah kerangka Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) dan Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) bagi menstabilkan harga getah melalui langkah pengurusan bekalan serta meningkatkan penggunaan getah asli dalam kalangan negara pengeluar.
"Pengenalan mekanisme pendapatan pekebun kecil di peringkat antarabangsa sedang dirangka bagi memberi manfaat kepada pekebun kecil.
"Ini khususnya bagi memastikan negara pengimport membayar harga berdasarkan kos pengeluaran dan kemampanan selaras dengan pematuhan kepada standard ditetapkan oleh negara pengguna," kata KPK.