KUALA LUMPUR, 11 Julai- Harga Getah Mutu Malaysia SMR 20 ditutup tinggi pada Khamis yang juga hari ketiga berturut-turut dan seiring dengan prestasi pasaran niaga hadapan serantau dan harga minyak mentah, kata peniaga.
Sentimen itu juga, katanya, didorong oleh jangkaan penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata unjuran data ekonomi China yang kukuh berserta langkah-langkah rangsangan bagi menyokong pemulihan ekonominya, turut membantu mengekalkan momentum pasaran.
“Bagaimanapun, peningkatan seterusnya dikekang oleh pengukuhan prestasi nilai ringgit berbanding dolar AS menjelang pengumuman laporan inflasi negara maju itu yang penting,” katanya kepada Bernama.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 meningkat 7.5 sen kepada 786.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal turun 2.0 sen kepada 660 sen sekilogram.
Setakat 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 fizikal berada pada 782.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 657 sen sekilogram.- BERNAMA
KOTA BHARU - Kenaikan harga getah sekerap kepada RM4 sekilogram memberi kegembiraan kepada pekebun kecil di negeri ini dalam menjalani Ramadan sekali gus sebagai bonus untuk persiapan menjelang Aidilfitri.
Penoreh getah di Kuala Krai, Adnan Ibrahim, 69, berkata, kenaikan itu amat dinanti-nantikan dalam membantu meringankan bebanan menampung keperluan dan kos sara hidup yang dihadapi sekarang.
Menurutnya, hasil dan untung jualan getah oleh pekebun kecil sepertinya pula perlu dibahagikan kepada dua dengan tuan tanah kerana tidak mempunyai tanaman getah sendiri.
"Sekarang musim panas, susu getah pun kurang dan daun pokok getah juga baru hendak matang sebelum menghasilkan lebih banyak susu getah.
"Jadi, kenaikan ini sangat membantu dalam menambahkan pendapatan kami bagi menjalani ibadah puasa dan juga menyambut hari raya nanti,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Seorang ibu tunggal, Fauzianita Hashim, 43, pula berkata, kenaikan harga getah tersebut sangat membantunya kerana dia memerlukan perbelanjaan yang banyak bagi menyara tiga anak berusia 20, 17 dan 15 tahun.
Katanya yang berasal dari Gua Musang itu, anak-anaknya juga masih belajar dan memerlukan kelengkapan Aidilfitri yang baru bagi menyambut perayaan nanti.
"Baru-baru ini, duit sudah dibelanjakan untuk membeli kelengkapan sekolah dan sekarang nak berhari raya pula.
"Semasa musim tengkujuh lalu tak ada pendapatan kerana tidak dapat keluar menoreh getah tetapi mujurlah ada bantuan RM600, dapatlah membantu golongan penoreh getah dan kali ini menerima pula rezeki kenaikan harga getah ini,” ujarnya.
Seorang lagi penoreh getah, Nik Hamdi Mamat, 64, bagaimanapun berharap akan ada lagi kenaikan harga tanaman komoditi itu dalam tempoh terdekat tahun ini.
Menurut Nik Hamdi, harga RM4 tersebut masih rendah jika dibandingkan dengan Thailand iaitu RM5 sekilogram.
"Seboleh-bolehnya penoreh mahu harga lantai getah pada RM4.50 sekilogram untuk lebih lega menjalani kehidupan dalam keadaan serba-serbi mahal.
"Kerajaan boleh turun padang sendiri melihat kami yang ‘kais pagi, makan pagi’ dan tidak ada pilihan serta tetap akan menoreh getah walaupun harga murah kerana ini sahaja punca pendapatan kami,” katanya.
PETALING JAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi menjangkakan hasil eksport sarung tangan getah yang akan mencatat pertumbuhan dua angka tahun ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, berkata Malaysia meramalkan potensi pertumbuhan permintaan produk getah antara 12 peratus hingga 15 peratus setiap tahun.
"Malaysia mengeksport lebih RM11 bilion nilaisarung tangan getah, dengan 86 peratus daripada jumlah eksport produk lateks dan 58 peratus daripada jumlah eksport keluaran getah.
"Jadi secara asasnya tahun ini kerajaan optimistik dengan eksport sarung tangan getah kerana Malaysia sentiasa menjadi peneraju global untuk industri ini," katanya selepas pra pelancaran Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa (IRGCE) Ke-11, hari ini, di sini.
Foong Hin berkata, kerajaan menjangkakan bahawa selagi negara dapat mengukuhkan kelebihan daya saingnya, Malaysia boleh melakukan yang lebih baik dalam industri ini.
Katanya, dengan mengikuti arah aliran pertumbuhan tahunan, serta kepimpinan daripada Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dan usaha yang diletakkan oleh semua pihak berkepentingan, Malaysia boleh mencapai pertumbuhan dua angka.
Sementara itu, Presiden MARGMA, Oon Kim Hung, berkata IRGCE ini adalah untuk menghimpunkan pemimpin industri, penyelidik dan penggubal dasar dari seluruh dunia untuk memupuk pertukaran ilmu dan inovasi yang tiada tandingan.
"Ia berfungsi sebagai platform bukan sahaja untuk perdagangan dan industri tetapi juga untuk pembelajaran dan penglibatan untuk beribu-ribu peserta persidangan di mana pada masa ini, sebanyak 550 gerai ditempah oleh 171 pempamer dari 17 negara untuk IRGCE ke-11.
"Kami menjangkakan lebih 12,000 pengunjung untuk menghadiri dewan pameran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada September ini yang bakal diadakan pada 3 September sehingga 5 September 2024," katanya.
Kim Hung berkata, MARGMA kini sedang meneroka penubuhan piawaian industri untuk sarung tangan getah buatan Malaysia dan melaksanakan inisiatif 'Malaysia Sustainable Natural Rubber', termasuk 'Green Gloves' dan pilihan mesra alam yang lain.
"Kami percaya bahawa kerjasama antara pihak berkepentingan dan penggunaan teknologi dengan internet kebendaan (IoT) serta kecerdasan buatan (AI) dapat membuka jalan untuk meningkatkan rantaian bekalan.
"Usaha ini menekankan komitmen kami terhadap amalan lestari dan pemeliharaan alam sekitar," katanya.
PETALING JAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi optimis hasil eksport sarung tangan getah Malaysia mampu meraih pertumbuhan dua digit tahun ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, tahun lepas, Malaysia mengeksport sarung tangan getah bernilai lebih RM11 bilion.
“Ia disumbangkan oleh 86 peratus daripada jumlah eksport produk susu getah dan 58 peratus daripada jumlah eksport produk getah.
“Pada era selepas pandemik Covid-19, kita telah melihat pertumbuhan kira-kira 12 peratus hingga 15 peratus permintaan setiap tahun dan saya percaya kita boleh mencapai pertumbuhan dua digit tahun ini,” katanya selepas pra-pelancaran Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa (IRGCE) ke-11.
Malaysia merupakan peneraju global bagi industri sarung tangan getah global dan mencatatkan pendapatan eksport sarung tangan getah sebanyak RM3.3 bilion pada suku pertama 2024.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Oon Kim Hung berkata, industri sarung tangan getah telah menunjukkan daya tahan dan fleksibiliti luar biasa dalam menghadapi keadaan global yang mencabar.
“Di sebalik penurunan yang berlaku pada 2023 apabila permintaan terhadap sarung tangan getah merosot ketara berikutan lebihan stok simpanan dan penyusutan ketara harga jualan, kalangan penggiat kita di Malaysia kekal gigih dalam perniagaan dan terus memajukan industri ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MARGMA kini sedang meneroka penubuhan piawaian industri untuk sarung tangan getah buatan Malaysia dan melaksanakan inisiatif ‘Malaysia Sustainable Natural Rubber’, termasuk ‘Green Gloves’ dan pilihan mesra alam yang lain.
“Persatuan percaya kerjasama dengan pihak berkepentingan dan penggunaan teknologi dengan Internet Kebendaan (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) dapat membuka jalan untuk meningkatkan rantaian bekalan.
“Usaha-usaha ini menekankan komitmen kami terhadap amalan lestari dan pemeliharaan alam sekitar,” ujarnya.
Sementara itu, IRGCE ke-11 2024 bakal diadakan dari 3 September sehingga 5 September 2024.
Kim Hung berkata, seramai 171 pempamer dari 17 negara akan turut serta dan menjangkakan seramai 12,000 pengunjung bakal hadir berbanding 11,000 pengunjung tahun lalu.
Tambahnya, edisi ke-11 bertemakan “Ke Arah Industri Sarung Tangan Getah yang Berkesan, Lestari, dan Inovatif” akan menjadi platform penting untuk inovasi dan kerjasama industri. – UTUSAN
KOTA BHARU: Hayat tanaman getah di negara ini dijangka hanya mampu bertahan 15 tahun lagi jika tiada langkah segera diambil.
Berdasarkan rekod Lembaga Getah Malaysia, jumlah keluasan tanaman getah pada 1990 adalah 1.8 juta hektar, namun berkurangan hampir 800,000 hektar kepada 1.08 juta hektar pada 2015 seterusnya 1.07 juta hektar, dua tahun kemudian.
Malah, lebih 500,000 hektar kebun getah tidak bertoreh di negara ini berikutan para pekebun yang sudah pun berusia, ditambah harga komoditi itu yang tidak menentu.
Masalah-masalah ini boleh mendorong pekebun beralih kepada tanaman lain seperti kelapa sawit bagi menggantikan tanaman getah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM), Kameruzaman Ab. Rahman berkata, kebanyakan yang terlibat dengan industri getah di negara ini sudah berusia 50 tahun dan ke atas.
Lebih membimbangkan, menurutnya, generasi muda hari ini seolah-olah sudah tidak berminat untuk melibatkan diri dalam tanaman getah susulan ketidaktentuan harga.
“Melihat kepada situasi ketika ini, saya jangka getah yang sedia ada akan ditukar kepada tanaman lain seperti kelapa sawit dan sebagainya.
“Perkara itu pastinya akan menjejaskan pengeluaran hasil getah negara,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Kameruzaman memberitahu, kerajaan perlu mengambil langkah segera dalam usaha menyelamatkan industri getah negara daripada terkubur pada masa akan datang.
Katanya, penetapan zon getah negara dilihat sebagai salah satu cadangan baik bagi memastikan tanaman getah terus dapat bersaing dengan komoditi lain.
“Bila kawasan itu diisytiharkan sebagai zon getah, lokasi tersebut tidak dibenarkan untuk tukar kepada tanaman lain.
“Bagaimanapun, situasi itu mesti bersifat menang-menang kepada pekebun dengan menyediakan insentif setimpal usaha mereka dalam memberi tumpuan terhadap tanaman getah,” ujarnya.
Beliau menambah, bagi menyokong perjalanan zon getah itu, kerajaan perlu menyediakan industri hiliran di kawasan tersebut bagi membolehkan produk getah terus dikeluarkan.
“Malaysia sepatutnya telah mencapai tahap teknologi tertinggi dalam menghasilkan produk-produk berasaskan getah yang mampu menaikkan harga bahan mentah keluaran tempatan.
“Kita tidak sepatutnya berada di tahap lama iaitu sebagai pengeksport bahan mentah komoditi tetapi menguasai industri pengeluaran produk-produk berasaskan getah.
“Jangan hanya berpuas hati sebagai pengeluar sarung tangan getah. Tambahan pula bahan mentah untuk menghasilkan sarung tangan iaitu lateks adalah import dari negara jiran,” tegasnya. – UTUSAN