KOTA BHARU - Penjara Kelantan bakal melahirkan lebih ramai penoreh getah profesional dalam kalangan banduan melalui latihan di bawah Program Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dan parol bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) cawangan Kelantan.
Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaakob berkata, usaha itu juga bagi membolehkan penghuni penjara yang sudah bebas mengusahakan ladang getah terbiar di negeri ini.
Menurut Mat, jabatan berkenaan juga perlu menyediakan seramai 750 banduan yang akan dilatih sebagai penoreh getah profesional tahun ini dan menerima sijil daripada LGM.
"Semalam (Ahad) kita melepaskan seramai 93 penghuni penjara secara PBSL untuk bekerja di ladang di Kuala Krai dan Tanah Merah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Penjara ke-234 Peringkat Penjara Negeri Kelantan dan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Pengkalan Chepa pada Isnin.
Mat turut memberitahu, kolaboratif itu membolehkan mereka mengusahakan lebih banyak ladang getah yang ada di negeri ini dan sasaran terbaharu ialah di Gua Musang sebelum diperluaskan ke seluruh negeri.
Selain itu, beliau turut memaklumkan, sebanyak 99.9 peratus banduan di Kelantan mendapat pekerjaan sebaik sahaja mereka dibebaskan.
Menurut Mat lagi, kerjasama dengan kira-kira 48 majikan turut membantu banduan dilatih dalam pelbagai sektor pekerjaan termasuk perladangan, perkilangan, pembuatan, runcit dan makanan.
"PBSL terbukti membantu banduan hidup lebih baik dalam masyarakat dan di Kelantan hanya 0.24 peratus yang kembali semula ke penjara.
"Kita turut berharap mereka akan kembali kepada masyarakat sebagai rakyat yang normal dan selepas tamat hukuman ditawarkan bekerja di syarikat korporat," katanya.
KUALA NERANG: Harga getah yang tidak menentu mendorong seorang penoreh dari Kampung Musa di sini mengusahakan tanaman cendawan Volvariella atau cendawan jerami sejak lapan tahun lepas dan kini menjadi sumber pendapatan utama.
Ismail Ibrahim, 67, berkata berbanding pendapatan sebagai penoreh getah iaitu sekitar RM1,500 sebulan sebelum ini, dia kini mampu menjana pulangan sehingga RM3,000 sebulan dengan menjual cendawan itu yang turut dikenali sebagai cendawan kelapa sawit.
"Saya mula mengusahakan tanaman cendawan ini pada 2016 di kawasan kebun getah saya untuk mencari sumber pendapatan sampingan disebabkan harga getah tidak menentu pada masa itu.
"Tanaman ini hasilnya boleh dituai dalam tempoh kurang sebulan bermula dengan penyediaan medium tanaman menggunakan tandan kelapa sawit sebagai batas diikuti menabur benih yang dihasilkan sendiri," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Ismail yang muncul Naib Johan Anugerah Inovasi Teknologi Pertanian (Kategori Petani) tahun lepas berkata dia mengambil inisiatif menanam Volvariella selepas diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian Daerah Padang Terap pada 2015 sebagai tanaman altenatif bagi menjana pendapatan pekebun kecil getah.
Mampu mengutip hasil sekitar 20 hingga 30 kilogram (kg) setiap hari, Ismail kini mengusahakan tanaman berkenaan di dalam enam khemah dengan keluasan kira-kira 464.5 meter yang boleh mengeluarkan sekurang-kurangnya 180 kg Volvariella bagi satu pusingan tanaman iaitu tiga hingga empat bulan.
"Sekarang saya ada tiga khemah dan disebabkan hasil memberangsangkan, saya bercadang nak luaskan lagi kawasan tanaman untuk tambah pengeluaran setiap musim," katanya yang berhenti menoreh getah sejak 2019.
Ismail turut menganjurkan kursus penanaman cendawan Volvariella di tapak tanaman di Kampung Musa.
"Walaupun harga getah sedang naik, penoreh perlu cuba cari sumber pendapatan sampingan termasuk tanam cendawan Volvariella kerana boleh bantu jika harga getah turun pada masa akan datang," katanya yang banyak menerima bantuan dari segi khidmat nasihat dan peralatan daripada Jabatan Pertanian.
Ismail berkata permintaan cendawan itu sangat memberangsangkan dengan pasaran tertumpu di sekitar Kuala Nerang malah turut mempunyai pelanggan tetap selain mengiklankannya di Facebook.
Menurut Ismail selain digoreng tepung, cendawan Volvariella juga sesuai dimasak sup atau lemak dan dia kini sedang mengorak langkah dengan menghasilkan serunding yang turut mendapat banyak permintaan.
PETALING JAYA: Eksport getah asli Malaysia berjumlah 58,965 tan metrik pada Mac 2024, meningkat 7.0 peratus berbanding 55,083 tan metrik pada Februari 2024.
China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 48.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mac diikuti Jerman (9.3 peratus), Emiriah Arab Bersatu (9.2 peratus), India (6.9 peratus) dan Pakistan (4.5 peratus).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.
“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.14 billion pada Mac 2024, meningkat 3.9 peratus berbanding RM1.1 bilion pada Februari 2024.
Bagaimanapun, ujar beliau, pengeluaran getah asli menurun 9.2 peratus pada Mac iaitu 26,966 tan metrik berbanding 29,691 tan metrik pada bulan sebelumnya.
“Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 0.8 peratus (Mac 2023: 27,188 tan metrik). Pengeluaran getah asli Malaysia pada Mac disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88.5 peratus) berbanding sektor estet (11.5 peratus).
“Jumlah stok getah asli pada Mac menurun 3.3 peratus kepada 222,455 tan metrik berbanding 229,940 tan metrik pada Februari.
“Kilang memproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.4 peratus diikuti kilang pengguna getah (7.5 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” ujarnya.
Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 8.2 peratus (Mac 2024: 740.37 sen sekilogram; Februari 2024:RM684.19 sekilogram) manakala sekerap meningkat sebanyak 5.9 peratus (Mac 2024:RM640.54 sekilogram; Februari 2024: RM604.59 sekilogram).
Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 4.2 peratus hingga 8.1 peratus.
Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 5.8 peratus (daripada AS$1.56/kg kepada AS$1.65/kg) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) meningkat 18.1 peratus (daripada AS$2.02/kg kepada AS$2.39/kg).
Prestasi suku pertama 2024 menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 7.5 peratus kepada 86,944 tan metrik berbanding 93,956 tan metrik pada suku keempat 2023.
Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku pertama 2024 pula mencatatkan peningkatan 3.7 peratus berbanding suku pertama 2023 (83,848 tan metrik).
Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Mac 2024, pasaran getah Kuala Lumpur bercampur-campur pada Mac apabila G.M.M 20 mencatatkan paras tertinggi baharu sejak April 2017 pada 20 Mac 2024 iaitu pada harga RM805/kg sebelum berkurangan menjelang penghujung bulan.
Pasaran getah asli semakin berkurang dengan jangkaan bekalan getah asli yang terhad berikutan keadaan cuaca dan musim daun luruh.
Namun, rangsangan dan langkah-langkah yang berterusan serta jualan kereta yang lebih baik di China yang disumbangkan oleh kenderaan elektronik (EV) turut memberi sokongan kepada sentimen pasaran. – UTUSAN
CHANGLUN – Kira-kira 70 penduduk di Felda Laka Selatan, di sini terpaksa beralih daripada menoreh getah pada sebelah pagi kepada waktu malam berikutan cuaca panas yang melanda negeri ini sejak dua bulan lalu.
Pengerusi Biro Ladang Felda Laka Selatan, Mohd. Jamil Shahbidin, 63, berkata, rata-rata penoreh terpaksa memendekkan tempoh menoreh iaitu dari pukul 7 pagi hingga 9 pagi kerana cuaca terlalu panas menyebabkan hasil yang diperoleh sedikit.
“Disebabkan itu, lebih 90 peratus penoreh di sini keluar menoreh pada waktu malam yang mana tempoh menoreh lebih lama kerana cuaca sejuk. Kami akan mula menoreh kira-kira pukul 9 malam dan kadang-kadang boleh sampai hingga pukul 4 pagi,” katanya ketika ditemui di Ladang Felda Laka Selatan, malam tadi.
Katanya, tempoh menoreh yang panjang diperlukan memandangkan hasil diperoleh ketika pokok getah menggugurkan daun dan mengeluarkan pucuk baharu akan berkurangan.
“Kalau siang, hasil sedikit sebab susu getah menitik dua jam sahaja dan jika malam boleh menitik antara tiga hingga lebih lima jam,” ujarnya.
Penoreh, Rodhi Md. Rejab, 47, berkata, dia juga membuat keputusan untuk menoreh pada waktu malam kerana suhu lebih sejuk.
“Saya rasa lebih selesa menoreh pada waktu malam kerana cuaca sejuk, hasil pun lebih kerana boleh bekerja dalam tempoh lama.
“Pada musim kemarau dan musim daun luruh ini, beza menoreh siang dan malam adalah antara 30 hingga 40 peratus. Contohnya kalau menoreh siang sekarang ini dalam seminggu dapat 200 kilogram (kg) sekerap, kalau malam dalam jangka masa sama akan dapat antara 250 ke 300 kg,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
KUALA LUMPUR – Eksport getah asli Malaysia berjumlah 58,965 tan metrik pada Mac 2024, meningkat 7.0 peratus berbanding Februari 2024 (55,083 tan metrik).
China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 48.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mac 2024 diikuti Jerman (9.3%), Emiriah Arab Bersatu (9.2%), India (6.9%) dan Pakistan (4.5%).
Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, pengeluaran getah asli menurun 9.2 peratus pada bulan Mac 2024 (26,966 tan metrik) berbanding pada bulan Februari 2024 (29,691 tan metrik).
Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 0.8 peratus (Mac 2023: 27,188 tan metrik).
Pengeluaran getah asli Malaysia pada Mac 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88.5%) berbanding sektor estet (11.5%), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Jumlah stok getah asli pada Mac 2024 menurun 3.3 peratus kepada 222,455 tan metrik berbanding 229,940 tan metrik pada Februari 2024.
Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.4 peritus diikuti kilang pengguna getah (7.5%) dan estet getah (0.1%).
Harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 8.2 peratus (Mac 2024: 740.37 sen sekilogram; Februari 2024: 684.19 sen sekilogram) manakala Sekerap meningkat sebanyak 5.9 peratus (Mac 2024: 640.54 sen sekilogram; Februari 2024: 604.59 sen sekilogram).
Prestasi suku pertama 2024 menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 7.5 peratus kepada 86,944 tan metrik berbanding 93,956 tan metrik pada suku keempat 2023.
Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku pertama 2024 pula mencatatkan peningkatan 3.7 peratus berbanding suku pertama 2023 (83,848 tan metrik). – MalaysiaGazette