KUALA LUMPUR - Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengambil tindakan tegas terhadap syarikat pengimport produk yang mendiskriminasi minyak sawit di negara ini, kata Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, setiap produk import yang mempunyai tanda mendiskriminasi produk sawit akan didenda sehingga RM250,000 mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.
"Kita nampak banyak produk import dari luar (negara) yang tidak ada kena-mengena dengan sawit, tetapi pada pembungkusan dinyatakan ‘tanpa minyak sawit’ atau palm oil free.
"Kita ada undang-undang. Mereka mendiskriminasi produk kita, mana boleh? Di Indonesia, anda tidak akan berdepan situasi ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Johari berkata, perbincangan bersama KPDN akan dilakukan pada bulan hadapan.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara FGV dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan pelancaran label baharu minyak masak SAJI dengan logo MSPO.
Beliau berkata, dalam usaha memampankan industri sawit negara, Johari berkata KPK akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk meletakkan logo MSPO pada setiap produk berasaskan minyak sawit yang dipasarkan dalam negara.
Tambah beliau, kewujudan logo MSPO dapat menekankan kepentingan alam sekitar serta kesedaran terhadap usaha kemampanan dalam industri sawit negara.
Sementara itu, pemeteraian MoU berkenaan adalah sebagai jalinan kerjasama antara MSPO dan FGV dalam mempromosi silang, menukar maklumat sekali gus meneroka peluang baharu dan inisiatif berkaitan kemampanan dalam industri minyak sawit dan halal. – Bernama
KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan penubuhan Pasukan Petugas Bersama (Ad Hoc JTF) berkaitan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dengan kerjasama bersama Indonesia, Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dan Suruhanjaya Eropah dalam usaha memastikan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MYSPO) dapat memenuhi perundangan.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha tersebut dilakukan bagi memastikan minyak sawit Malaysia tidak didiskriminasi di pasaran Eropah dan juga dunia.
“Melalui platform ini, pihak Kesatuan Eropah bersetuju untuk membantu menangani kekangan dihadapi Malaysia dan Indonesia dalam memenuhi keperluan EUDR.
“Mesyuarat pertama Ad Hoc JTF pada Ogos 2023 mengenal pasti lima kekangan utama yang dihadapi.
“Ia merangkumi isu penglibatan pekebun kecil dalam rantaian bekalan, skim pensijilan nasional yang berkaitan, kebolehjejakan daripada pengeluar kepada pengguna akhir, data saintifik mengenai penyahhutanan serta degradasi hutan dan perlindungan data peribadi,” katanya melalui jawapan bertulis di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai sejauh mana usaha kementerian dalam kempen meyakinkan EU bahawa MYSPO adalah pensijilan yang memenuhi piawaian EUDR supaya minyak sawit Malaysia tidak didiskriminasi di pasaran Eropah dan dunia.
Tambah Johari, melalui platform itu juga MSPO bekerjasama dengan European Forest Institute (EFI) bagi menjalankan kajian analisis jurang perbezaan di antara skim pensijilan MSPO dengan perundangan EUDR.
“Hasil kajian awal menunjukkan MYSPO berpotensi besar untuk memenuhi keperluan peraturan EUDR.
“Ini kerana Malaysia telah menyemak semula piawaian MSPO 2.0 agar selari dengan norma antarabangsa supaya dapat meningkatkan kredibiliti dan mengembangkan skop lebih luas untuk pengiktirafan daripada pasaran global,” katanya.
Menurutnya, MYSPO 2.0 juga ditambah baik dengan kemasukan beberapa elemen membabitkan isu sosial dan amalan pertanian baik. – KOSMO! ONLINE
KUALA LUMPUR - Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengorak langkah dalam bidang inovasi apabila berjaya menghasilkan peledak atau bahan bakar alternatif dalam peluru daripada ekstrak bahan buangan kelapa sawit.
Felo Penyelidik Pusat Pentropikalan UPNM, Prof Madya Dr Siti Aminah Mohd Noor berkata, hasil inovasi diusahakan sepasukan penyelidik itu bermula dua tahun lepas dan kini telah melalui fasa ujian.
"Oleh sebab Malaysia merupakan pengeluar utama kelapa sawit di rantau Asia dan bertepatan usaha memperkasakan bahan buangan kelapa sawit, kajian diteruskan dengan menggunakan hampas serat kelapa sawit (mesocarp fiber) sebagai sumber selulosa.
"Hal ini dapat memberi nilai tambah kepada selulosa itu kerana ia dihasilkan daripada bahan buangan dan sudah semestinya jauh lebih murah berbanding selulosa komersial.
"Hampas kelapa sawit ini ialah sisa buangan kerana selepas buah kelapa sawit diperah untuk mengeluarkan minyak, kandungan selulosa yang terdapat di dalam hampas itu boleh diekstrak untuk dijadikan bahan utama dalam penghasilan bahan bakar peluru,” katanya kepada Bernama.
Beliau ditemui di reruai UPNM pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini, yang turut mempamerkan serbuk bahan bakar alternatif itu dan replika peluru.
Menurut Siti Aminah, selulosa ialah sejenis polimer polisakarida dengan sifat yang kuat, fleksibel dan boleh diuraikan secara semula jadi bagi membolehkan ia digunakan dalam pelbagai industri seperti industri kertas, tekstil, makanan dan juga tenaga.
Beliau berkata, dalam konteks penghasilan bahan bakar peluru, proses nitrasi perlu dijalankan terhadap selulosa terbabit bagi menghasilkan nitroselulosa yang bertanggungjawab terhadap prestasi dan kelajuan peluru itu.
Beliau berkata, peluru yang menggunakan bahan daripada buangan kelapa sawit terbabit sudah diuji dengan ujian tembakan dan mendapati ia mempunyai ciri sama dari sudut kelajuan dengan peluru yang dibeli dari luar negara.
Katanya, kelebihan bahan bakar itu juga lebih baik untuk persekitaran kerana tidak mengeluarkan asap yang banyak serta kuantiti bahan bakar digunakan tidak banyak seperti peluru sedia ada serta menggunakan bahan semula jadi.
"Sekarang ini untuk penghasilan bahan bakar itu sudah berjaya dan kini, kami sedang mengkaji kesan penstabil kerana propelan ini memerlukan bahan penstabil supaya ia boleh disimpan lebih lama dan selamat,” katanya.
Menurut beliau, bahan bakar alternatif bagi menggantikan black powder yang kebiasaannya digunakan sebagai peledak, boleh digunakan untuk peluru tidak mengira kaliber dan juga bom.
Siti Aminah berkata, produk pertama UPNM yang melibatkan penghasilkan bahan bakar dalam peluru itu pernah dipaparkan pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023 dan berjaya menarik minat ramai pelabur.
Beliau berkata, sudah tiba masa Malaysia mempunyai produk pertahanan sendiri dan menggunakan kemahiran anak tempatan serta tidak bergantung pada produk luar negara. - Bernama
KUALA LUMPUR: Wild Asia Sdn Bhd menyasarkan untuk mengubah 10,000 hektar ladang sawit milik pekebun kecil di Malaysia menggunakan sistem pertanian berasaskan bio menjelang 2030.
Pengarahnya, Peter Chang, berkata setakat ini pihaknya berjaya menjadikan hampir 500 hektar ladang sawit milik lebih 100 pekebun kecil di Perak dan Sabah untuk beralih kepada sistem pertanian bio yang lebih mesra alam sekitar kaedah berkenaan diperkenalkan pada 2018.
Kataya, sistem pertanian berkenaan bukanlah sesuatu yang baharu kerana semakin ramai petani di negara Barat telah beralih kepada kaedah mesra alam yang tidak menggunakan sebarang bahan kimia dalam penanaman tanaman mereka berbanding sistem konvensional
"Menerusi kaedah ini, pekebun kecil juga boleh menjimatkan kos kerana tidak lagi perlu mengeluarkan belanja untuk membeli bahan seperti baja dan racun seperti sebelum ini.
"Hasil sawit yang diperoleh juga adalah sama dan yang lebih penting ia menjadikan tanah di ladang lebih subur dan bebas daripada sebarang bahan kimia," katanya ketika ditemui pada sesi lawatan media ke Sandakan, Sabah baru-baru ini.
Dalam lawatan selama tiga hari itu, pengamal media dibawa melawat ke ladang milik pekebun kecil warga tempatan yang beralih menggunakan kaedah pertanian bio.
Selain itu, sesi penerangan turut dibuat bagi menerangkan kaedah sistem pertanian bio dilakukan dengan lebih dekat.
Ditubuhkan pada 2003, Wild Asia adalah sebuah perusahaan sosial tidak berasaskan keuntungan dengan misi untuk menangani isu sosial dan alam sekitar.
Chang berkata, pihaknya mula melaksanakan kaedah pertanian bio pada 2018 dan di awalnya agak mencabar untuk meyakinkan pekebun kecil supaya beralih kepada penanaman secara organik itu.
"Ketika itu, hanya satu atau dua pekebun yang mahu mencuba menggunakan sistem ini, namun selepas mereka berjaya menunjukkan hasil, selepas itu semakin ramai yang berminat untuk turut serta.
"Namun, tidak semua yang berminat berupaya untuk menggunapakai kaedah ini kerana tidak dinafikan sistem ini memerlukan pemilik kebun untuk bekerja lebih keras dan mengguna tenaga yang lebih banyak berbanding kaedah konvensional.
"Cabaran utama dihadapi pekebun kecil ini ialah kekurangan tenaga kerja untuk mengusahakan ladang mereka kerana rata-ratanya tidak mampu untuk mengupah pekerja, sebaliknya segalanya dilakukan oleh mereka sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Chang berkata, Wild Asia masih giat membantu pekebun kecil untuk mendapatkan pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) bagi memastikan produk mereka diterima untuk dieksport ke pasaran luar.
"Bagi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), kami sudah tidak melakukannya kerana ia kini dilakukan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
"Setakat ini kami telah membantu lebih 1,200 pekebun kecil di Sabah mendapatkan pensijilan RSPO," katanya.
KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menjadi sebahagian syarat sebelum mendapat pensijilan halal bagi pemasaran minyak sawit di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ini kerana halal adalah satu pensijilan yang sangat berwibawa di negara ini serta diterima di seluruh dunia.
"Menerusi MSPO, ia merangkumi alam sekitar dan dapat mengetahui bagaimana proses minyak kelapa sawit ini sehingga ia dibotolkan.
"Bagaimana keadaan ladang kelapa sawit itu, pentadbiran ladangnya, menggunakan ciri-ciri yang sangat tinggi standardnya dan apa sahaja bahan kimia yang digunakan selamat untuk produk dikeluarkan.
"Sebab itu MSPO boleh buktikan kepada mereka (pembeli), produk mana yang ada (MSPO), produk itu bukan sahaja dijamin kebersihan, tetapi dijamin mutu dan keselamatannya kepada pengguna," katanya
selepas melancarkan label minyak masak Saji baharu dengan logo MSPO, di sini, hari ini.
Johari berkata, sebelum ini minyak kelapa sawit yang dipasarkan di negara ini tidak kira jenama perlu mempunyai pensijilan halal dan disebabkan itu pihaknya mahu MSPO menjadi sebahagian daripada syarat pensijilan berkenaan.
"Sebab itu kalau boleh, kita mahu kenakan syarat kepada pengeluar minyak sawit yang dipasarkan dalam negara, mereka kena ada MSPO sebelum boleh mengedarkan produk dalam negara kita," katanya.
Standard MSPO adalah piawaian pensijilan kebangsaan Malaysia dan dibangunkan dengan input daripada pihak berkepentingan dalam industri minyak sawit.
Skim pensijilan itu yang kali pertama dilancarkan pada November 2013 dilaksanakan secara rasmi atas dasar sukarela pada Januari 2015 dan pelaksanaannya ditambah baik dari semasa ke semasa.
Sebagai contoh, pensijilan itu sudah disemak semula tahun lalu dengan piawaian yang lebih ketat, termasuk tarikh akhir penebangan hutan pada 31 Disember 2019 yang memenuhi tarikh akhir Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EU).
Lebih banyak semakan dibuat terhadap pengenalpastian pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan rancangan pemantauan pengurangannya, pengenalan panduan baharu mengenai persetujuan bebas, terdahulu dan termaklum (FPIC) dan perlindungan pembela hak asasi manusia serta pemberi maklumat.