KUALA LUMPUR: Wild Asia Sdn Bhd menyasarkan untuk mengubah 10,000 hektar ladang sawit milik pekebun kecil di Malaysia menggunakan sistem pertanian berasaskan bio menjelang 2030.
Pengarahnya, Peter Chang, berkata setakat ini pihaknya berjaya menjadikan hampir 500 hektar ladang sawit milik lebih 100 pekebun kecil di Perak dan Sabah untuk beralih kepada sistem pertanian bio yang lebih mesra alam sekitar kaedah berkenaan diperkenalkan pada 2018.
Kataya, sistem pertanian berkenaan bukanlah sesuatu yang baharu kerana semakin ramai petani di negara Barat telah beralih kepada kaedah mesra alam yang tidak menggunakan sebarang bahan kimia dalam penanaman tanaman mereka berbanding sistem konvensional
"Menerusi kaedah ini, pekebun kecil juga boleh menjimatkan kos kerana tidak lagi perlu mengeluarkan belanja untuk membeli bahan seperti baja dan racun seperti sebelum ini.
"Hasil sawit yang diperoleh juga adalah sama dan yang lebih penting ia menjadikan tanah di ladang lebih subur dan bebas daripada sebarang bahan kimia," katanya ketika ditemui pada sesi lawatan media ke Sandakan, Sabah baru-baru ini.
Dalam lawatan selama tiga hari itu, pengamal media dibawa melawat ke ladang milik pekebun kecil warga tempatan yang beralih menggunakan kaedah pertanian bio.
Selain itu, sesi penerangan turut dibuat bagi menerangkan kaedah sistem pertanian bio dilakukan dengan lebih dekat.
Ditubuhkan pada 2003, Wild Asia adalah sebuah perusahaan sosial tidak berasaskan keuntungan dengan misi untuk menangani isu sosial dan alam sekitar.
Chang berkata, pihaknya mula melaksanakan kaedah pertanian bio pada 2018 dan di awalnya agak mencabar untuk meyakinkan pekebun kecil supaya beralih kepada penanaman secara organik itu.
"Ketika itu, hanya satu atau dua pekebun yang mahu mencuba menggunakan sistem ini, namun selepas mereka berjaya menunjukkan hasil, selepas itu semakin ramai yang berminat untuk turut serta.
"Namun, tidak semua yang berminat berupaya untuk menggunapakai kaedah ini kerana tidak dinafikan sistem ini memerlukan pemilik kebun untuk bekerja lebih keras dan mengguna tenaga yang lebih banyak berbanding kaedah konvensional.
"Cabaran utama dihadapi pekebun kecil ini ialah kekurangan tenaga kerja untuk mengusahakan ladang mereka kerana rata-ratanya tidak mampu untuk mengupah pekerja, sebaliknya segalanya dilakukan oleh mereka sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Chang berkata, Wild Asia masih giat membantu pekebun kecil untuk mendapatkan pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) bagi memastikan produk mereka diterima untuk dieksport ke pasaran luar.
"Bagi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), kami sudah tidak melakukannya kerana ia kini dilakukan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
"Setakat ini kami telah membantu lebih 1,200 pekebun kecil di Sabah mendapatkan pensijilan RSPO," katanya.
KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menjadi sebahagian syarat sebelum mendapat pensijilan halal bagi pemasaran minyak sawit di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ini kerana halal adalah satu pensijilan yang sangat berwibawa di negara ini serta diterima di seluruh dunia.
"Menerusi MSPO, ia merangkumi alam sekitar dan dapat mengetahui bagaimana proses minyak kelapa sawit ini sehingga ia dibotolkan.
"Bagaimana keadaan ladang kelapa sawit itu, pentadbiran ladangnya, menggunakan ciri-ciri yang sangat tinggi standardnya dan apa sahaja bahan kimia yang digunakan selamat untuk produk dikeluarkan.
"Sebab itu MSPO boleh buktikan kepada mereka (pembeli), produk mana yang ada (MSPO), produk itu bukan sahaja dijamin kebersihan, tetapi dijamin mutu dan keselamatannya kepada pengguna," katanya
selepas melancarkan label minyak masak Saji baharu dengan logo MSPO, di sini, hari ini.
Johari berkata, sebelum ini minyak kelapa sawit yang dipasarkan di negara ini tidak kira jenama perlu mempunyai pensijilan halal dan disebabkan itu pihaknya mahu MSPO menjadi sebahagian daripada syarat pensijilan berkenaan.
"Sebab itu kalau boleh, kita mahu kenakan syarat kepada pengeluar minyak sawit yang dipasarkan dalam negara, mereka kena ada MSPO sebelum boleh mengedarkan produk dalam negara kita," katanya.
Standard MSPO adalah piawaian pensijilan kebangsaan Malaysia dan dibangunkan dengan input daripada pihak berkepentingan dalam industri minyak sawit.
Skim pensijilan itu yang kali pertama dilancarkan pada November 2013 dilaksanakan secara rasmi atas dasar sukarela pada Januari 2015 dan pelaksanaannya ditambah baik dari semasa ke semasa.
Sebagai contoh, pensijilan itu sudah disemak semula tahun lalu dengan piawaian yang lebih ketat, termasuk tarikh akhir penebangan hutan pada 31 Disember 2019 yang memenuhi tarikh akhir Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EU).
Lebih banyak semakan dibuat terhadap pengenalpastian pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan rancangan pemantauan pengurangannya, pengenalan panduan baharu mengenai persetujuan bebas, terdahulu dan termaklum (FPIC) dan perlindungan pembela hak asasi manusia serta pemberi maklumat.
KUALA LUMPUR : Kementerian Perladangan dan Komoditi akan mengemukakan cadangan supaya proses pinjaman daripada pihak bank kepada pekebun kecil kelapa sawit dipermudah dalam Belanjawan 2025.
Menterinya, Johari Ghani, berkata kerajaan melalui Belanjawan 2024 telah memperuntuk RM100 juta secara hibrid dalam bentuk 50% geran dan 50% pinjaman untuk melaksanakan Program Tanam Semula Sawit (TSPKS) 2.0.
Katanya, kementerian melihat terdapat kesukaran bagi pekebun kecil kelapa sawit untuk membuat permohonan pinjaman daripada pihak bank bagi tujuan tanaman semula pokok, berikutan terdapat banyak syarat dikenakan pihak bank.
“Walaupun pinjaman 50% dan 50% lagi geran, kita lihat agak sukar untuk sebahagian pekebun kecil membuat pinjaman kerana mereka tidak boleh memenuhi banyak kriteria.
Kementerian sedang melihat dan kemungkinan besar akan mencadangkan dalam belanjawan akan datang bagaimana untuk memudahkan pinjaman 50% itu supaya dapat memberi kemudahan kepada pekebun kecil yang mempunyai pokok berumur lebih 25 tahun, katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Lim Pay Hen berhubung insentif tanam semula kelapa sawit dan sambutan terhadap program TSPKS 2.0.
KUALA LUMPUR: Industri sawit negara menanggung kerugian nilai eksport sebanyak RM7.9 bilion setahun susulan kekurangan hampir 40,000 tenaga kerja dalam sektor perladangan komoditi berkenaan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata anggaran kerugian itu mengambil kira nilai ekonomi diterjemahkan melalui tuaian satu tan kelapa sawit bagi setiap seorang tenaga kerja bagi tempoh 265 hari.
Beliau berkata, industri sawit negara juga berdepan masalah apabila lambakan buruh asing di beberapa sektor lain, tidak boleh dipindahkan untuk berkhidmat dalam sektor perladangan komoditi itu.
Ini kerana, katanya, kebanyakan buruh asing terbabit dibawa masuk ke Malaysia untuk berkhidmat di sektor pengilangan serta perkhidmatan, masing-masing mencatatkan lebihan seramai 160,000 dan 27,000 orang.
"Mereka (lebihan buruh asing di sektor pengilangan dan perkhidmatan) ini sepatutnya kalau boleh 'mobilize' masuk dalam ladang (sawit), ia sangat bagus untuk membantu kekurangan pekerja ladang.
"Namun, masalahnya ialah buruh asing ini dibawa masuk atas tiket pengilangan dan perkhidmatan, menyebabkan mereka enggan bekerja di ladang (kelapa sawit).
"Malah, saya difahamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) sudah menghentikan kuota kemasukan buruh asing dan kita cuba meyakinkan sebahagian mereka (lebihan pekerja asing) untuk masuk ke sektor perladangan," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai kekurangan tenaga kerja yang merencatkan nilai eksport kelapa sawit negara, pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Johari mengakui industri sawit negara berdepan masalah kritikal untuk menuai komoditi berkenaan memandangkan tiada teknologi yang boleh digunakan bagi proses terbabit.
Ini kerana, katanya, proses menuai buah sawit memerlukan tenaga mahir dibantu penggunaan mekanisasi tertentu, antaranya beberapa jenis pisau automatik.
"Sebab ini kita banyak bergantung kepada buruh asing. Kalau ikut nisbah, separuh daripada 300 pekerja dalam satu ladang diperuntukkan bagi proses menuai buah sawit," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai).
Beliau berkata, kementerian ketika ini melaksanakan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi melahirkan penuai sawit profesional bagi mengoptimumkan hasil tuaian.
Katanya, peringkat awal pelaksanaan program itu membabitkan 60 belia tempatan yang kurang berminat melanjutkan pengajian untuk menjalani latihan menuai buah sawit, bermula April hingga September ini.
"Ini kerana, mereka boleh meraih pendapatan melebihi RM3,500 sebulan, selain kita berharap pelatih berkenaan boleh memberi tumpuan untuk proses mengutip buah (sawit).
"Kita boleh menggalakkan lebih ramai (tenaga kerja tempatan) untuk menuai sawit apabila kepakaran (untuk menuai buah sawit) dapat diraih," katanya.
Terdahulu, Johari ketika menjawab soalan asal berkata, Malaysia mengeluarkan 19.07 tan minyak sawit mentah (CPO) dan 2.2 juta tan minyak isirung sawit mentah (CPKO), antara 2013 hingga 2023.
Beliau berkata, nilai eksport CPO dan minyak sawit diproses ialah RM184.27 juta tan bagi tempoh sama.
"Eksport secara pukal pula sebanyak 155 juta tan, iaitu purata hampir 14 juta tan setahun, manakala eksport secara bukan pukal adalah 29.24 juta tan, atau purata 2.66 juta tan setahun.
"Dari segi peratusan, eksport secara pukal adalah 84.1 peratus, manakala bukan pukal (15.9 peratus)," katanya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa itu.