KUALA LUMPUR: Minyak sawit menawarkan banyak faedah dan berfungsi sebagai bahan serba guna dan penting dalam industri makanan Malaysia, walaupun terdapat tanggapan salah mengenai kesannya terhadap kesihatan, kata Pusat Pilihan Pengguna (CCC).
Kumpulan advokasi pengguna bukan berasaskan keuntungan itu menjelaskan manfaat kesihatan minyak sawit dan peranannya dalam meningkatkan kualiti pemakanan produk makanan.
CCC menekankan fakta bahawa minyak sawit kaya dengan tokotrienol, sejenis vitamin E dengan sifat antioksidan yang kuat yang membantu melindungi sel daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas.
Kajian oleh Persatuan Pemakanan Malaysia telah menunjukkan bahawa minyak sawit mengandungi Vitamin E yang dikenali sebagai tokol - terdiri daripada tokoferol dan tokotrienol - serta karotenoid, yang merupakan komponen penting untuk pemakanan sihat yang menyokong kesihatan jantung, mengurangkan keradangan, dan meningkatkan fungsi kognitif, antara faedah lain.
Wakil CCC, Tarmizi Anuwar, berkata: "Kami mahu menghapuskan salah anggap orang ramai mengenai minyak sawit dan mengetengahkan sumbangan positifnya kepada kesihatan dan pemakanan. Bertentangan dengan kepercayaan yang popular kebanyakan individu, minyak sawit sebenarnya tidak berbahaya apabila diambil sebagai sebahagian daripada diet seimbang.
"Malah, nutrisi yang terkandung di dalam minyak sawit menjadikannya tambahan yang berharga kepada produk makanan."
Tambahan pula, minyak sawit bebas kolesterol dan mengandungi nisbah lemak tepu yang seimbang, monotepu dan politaktepu, menjadikannya pilihan yang sesuai untuk individu yang mencari alternatif yang sihat kepada minyak terhidrogenasi dan lemak trans, kata CCC.
"Minyak sawit digunakan secara meluas dalam produk makanan kerana kestabilan dan serba guna, menjadikannya bahan yang ideal untuk memasak, membakar dan pemprosesan makanan. Keupayaannya untuk menahan suhu tinggi tanpa merosakkan atau menjadikannya produk yang berbahaya adalah mengapa ia menjadi pilihan utama bagi pengeluar makanan," kata Tarmizi.
Walaupun maklumat yang salah berterusan disebarkan, terdapat bukti saintifik yang menyokong keselamatan dan faedah pemakanan penggunaan minyak sawit. Dengan merungkai salah anggap ramai dan menyebarkan fakta, CCC mahu mendorong pengguna untuk membuat pilihan termaklum tentang tabiat pemakanan dan pilihan makanan mereka.
Kuala Lumpur: Berdasarkan kemampuan kewangan semasa, kerajaan tiada perancangan untuk menguatkuasakan semula Program Tanam Semula Sawit secara geran buat masa ini, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin.
Bagaimanapun katanya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta secara hibrid iaitu 50 peratus dalam bentuk geran dan 50 peratus pinjaman untuk melaksanakan Program Tanam Semula Sawit (TSPKS 2.0) pada tahun ini.
Katanya, seramai 1,500 pekebun kecil sawit akan menerima manfaat daripada program itu meliputi keluasan tanam semula sebanyak 5,900 hektar.
"Melalui peruntukan yang disediakan oleh kerajaan ini, kita berharap ia akan dapat membantu pekebun kecil persendirian meningkatkan pendapatan dan produktiviti dalam sektor sawit secara keseluruhan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang ingin tahu mengenai perancangan kementerian untuk menguatkuasakan semula Program Penanaman Semula Sawit yang dahulunya pinjaman menjadi geran.
Katanya, sehingga 12 Julai lepas, seramai 413 pekebun kecil dengan keluasan tanaman 1,725 hektar membabitkan nilai pembiayaan sebanyak RM26.93 juta diluluskan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Beliau berkata sehingga Mac 2024, terdapat seramai 441,847 pekebun kecil sawit di Malaysia yang terdiri daripada 233,439 pekebun kecil tersusun dan 208,408 pekebun kecil persendirian.
"Hanya pekebun kecil persendirian sahaja yang layak untuk menikmati bantuan inisiatif Tanam Semula Sawit," katanya.
KUALA LUMPUR - Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengambil tindakan tegas terhadap syarikat pengimport produk yang mendiskriminasi minyak sawit di negara ini, kata Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, setiap produk import yang mempunyai tanda mendiskriminasi produk sawit akan didenda sehingga RM250,000 mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.
"Kita nampak banyak produk import dari luar (negara) yang tidak ada kena-mengena dengan sawit, tetapi pada pembungkusan dinyatakan ‘tanpa minyak sawit’ atau palm oil free.
"Kita ada undang-undang. Mereka mendiskriminasi produk kita, mana boleh? Di Indonesia, anda tidak akan berdepan situasi ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Johari berkata, perbincangan bersama KPDN akan dilakukan pada bulan hadapan.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara FGV dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan pelancaran label baharu minyak masak SAJI dengan logo MSPO.
Beliau berkata, dalam usaha memampankan industri sawit negara, Johari berkata KPK akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk meletakkan logo MSPO pada setiap produk berasaskan minyak sawit yang dipasarkan dalam negara.
Tambah beliau, kewujudan logo MSPO dapat menekankan kepentingan alam sekitar serta kesedaran terhadap usaha kemampanan dalam industri sawit negara.
Sementara itu, pemeteraian MoU berkenaan adalah sebagai jalinan kerjasama antara MSPO dan FGV dalam mempromosi silang, menukar maklumat sekali gus meneroka peluang baharu dan inisiatif berkaitan kemampanan dalam industri minyak sawit dan halal. – Bernama
KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan penubuhan Pasukan Petugas Bersama (Ad Hoc JTF) berkaitan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dengan kerjasama bersama Indonesia, Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dan Suruhanjaya Eropah dalam usaha memastikan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MYSPO) dapat memenuhi perundangan.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha tersebut dilakukan bagi memastikan minyak sawit Malaysia tidak didiskriminasi di pasaran Eropah dan juga dunia.
“Melalui platform ini, pihak Kesatuan Eropah bersetuju untuk membantu menangani kekangan dihadapi Malaysia dan Indonesia dalam memenuhi keperluan EUDR.
“Mesyuarat pertama Ad Hoc JTF pada Ogos 2023 mengenal pasti lima kekangan utama yang dihadapi.
“Ia merangkumi isu penglibatan pekebun kecil dalam rantaian bekalan, skim pensijilan nasional yang berkaitan, kebolehjejakan daripada pengeluar kepada pengguna akhir, data saintifik mengenai penyahhutanan serta degradasi hutan dan perlindungan data peribadi,” katanya melalui jawapan bertulis di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai sejauh mana usaha kementerian dalam kempen meyakinkan EU bahawa MYSPO adalah pensijilan yang memenuhi piawaian EUDR supaya minyak sawit Malaysia tidak didiskriminasi di pasaran Eropah dan dunia.
Tambah Johari, melalui platform itu juga MSPO bekerjasama dengan European Forest Institute (EFI) bagi menjalankan kajian analisis jurang perbezaan di antara skim pensijilan MSPO dengan perundangan EUDR.
“Hasil kajian awal menunjukkan MYSPO berpotensi besar untuk memenuhi keperluan peraturan EUDR.
“Ini kerana Malaysia telah menyemak semula piawaian MSPO 2.0 agar selari dengan norma antarabangsa supaya dapat meningkatkan kredibiliti dan mengembangkan skop lebih luas untuk pengiktirafan daripada pasaran global,” katanya.
Menurutnya, MYSPO 2.0 juga ditambah baik dengan kemasukan beberapa elemen membabitkan isu sosial dan amalan pertanian baik. – KOSMO! ONLINE
KUALA LUMPUR - Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengorak langkah dalam bidang inovasi apabila berjaya menghasilkan peledak atau bahan bakar alternatif dalam peluru daripada ekstrak bahan buangan kelapa sawit.
Felo Penyelidik Pusat Pentropikalan UPNM, Prof Madya Dr Siti Aminah Mohd Noor berkata, hasil inovasi diusahakan sepasukan penyelidik itu bermula dua tahun lepas dan kini telah melalui fasa ujian.
"Oleh sebab Malaysia merupakan pengeluar utama kelapa sawit di rantau Asia dan bertepatan usaha memperkasakan bahan buangan kelapa sawit, kajian diteruskan dengan menggunakan hampas serat kelapa sawit (mesocarp fiber) sebagai sumber selulosa.
"Hal ini dapat memberi nilai tambah kepada selulosa itu kerana ia dihasilkan daripada bahan buangan dan sudah semestinya jauh lebih murah berbanding selulosa komersial.
"Hampas kelapa sawit ini ialah sisa buangan kerana selepas buah kelapa sawit diperah untuk mengeluarkan minyak, kandungan selulosa yang terdapat di dalam hampas itu boleh diekstrak untuk dijadikan bahan utama dalam penghasilan bahan bakar peluru,” katanya kepada Bernama.
Beliau ditemui di reruai UPNM pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini, yang turut mempamerkan serbuk bahan bakar alternatif itu dan replika peluru.
Menurut Siti Aminah, selulosa ialah sejenis polimer polisakarida dengan sifat yang kuat, fleksibel dan boleh diuraikan secara semula jadi bagi membolehkan ia digunakan dalam pelbagai industri seperti industri kertas, tekstil, makanan dan juga tenaga.
Beliau berkata, dalam konteks penghasilan bahan bakar peluru, proses nitrasi perlu dijalankan terhadap selulosa terbabit bagi menghasilkan nitroselulosa yang bertanggungjawab terhadap prestasi dan kelajuan peluru itu.
Beliau berkata, peluru yang menggunakan bahan daripada buangan kelapa sawit terbabit sudah diuji dengan ujian tembakan dan mendapati ia mempunyai ciri sama dari sudut kelajuan dengan peluru yang dibeli dari luar negara.
Katanya, kelebihan bahan bakar itu juga lebih baik untuk persekitaran kerana tidak mengeluarkan asap yang banyak serta kuantiti bahan bakar digunakan tidak banyak seperti peluru sedia ada serta menggunakan bahan semula jadi.
"Sekarang ini untuk penghasilan bahan bakar itu sudah berjaya dan kini, kami sedang mengkaji kesan penstabil kerana propelan ini memerlukan bahan penstabil supaya ia boleh disimpan lebih lama dan selamat,” katanya.
Menurut beliau, bahan bakar alternatif bagi menggantikan black powder yang kebiasaannya digunakan sebagai peledak, boleh digunakan untuk peluru tidak mengira kaliber dan juga bom.
Siti Aminah berkata, produk pertama UPNM yang melibatkan penghasilkan bahan bakar dalam peluru itu pernah dipaparkan pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023 dan berjaya menarik minat ramai pelabur.
Beliau berkata, sudah tiba masa Malaysia mempunyai produk pertahanan sendiri dan menggunakan kemahiran anak tempatan serta tidak bergantung pada produk luar negara. - Bernama