Makanan merupakan salah satu faktor paling penting dalam memastikan kesihatan dalam keadaan baik.
Makanan secara harfiah akan menjadikan siapa kita dan mempengaruhi keadaan kesihatan diri bak kata pepatah, ‘kita adalah apa yang kita makan’ (we are what we eat).
Ketersediaan 17 jenis minyak sayuran dan lemak haiwan di pasaran lebih menyulitkan keadaan di mana pemilihan yang tepat, aplikasi dan pengendaliannya telah dianggap remeh oleh sesetengah komuniti.
Justeru, usaha memberi pendedahan kepada komuniti berkenaan industri sawit, telah pun direalisasikan barisan penyelidik Universiti Malaya (UM) iaitu Dr Noordini Mohamad Salleh (Ketua Penyelidik),
Profesor Madya Dr Cheng Sit Foon dan Dr Muhammad Aqmal Othman melalui projek penyelidikan OleoRangers@UM Living Lab.
OleoRangers@UM Living Lab ditubuhkan di bawah peruntukan penyelidikan yang disalurkan Pusat Jalinan Masyarakat UM (UMCares) untuk memberi kesedaran tentang minyak masak daripada pelbagai aspek sekali gus melahirkan komuniti berpengetahuan tinggi tentang apa yang mereka makan.
Melalui soal selidik yang telah dijalankan, secara amnya telah menunjukkan komuniti masih mempunyai ruang memperkasakan ilmu dan pemahaman mengenai minyak masak yang lazimnya digunakan dalam penyediaan makanan harian.
Terdapat kekeliruan jelas dan amalan buruk dalam pemilihan, penggunaan dan pengendalian minyak masak.
Tambahan pula, dengan pengaruh media sosial yang sering merendahkan kebaikan minyak sawit berbanding dengan minyak lain seperti minyak zaitun, minyak kacang soya, minyak canola dan minyak bunga matahari.
Untuk mencapai matlamat tersebut, pameran Navigating Sustainability: The Palm Oil Map to a Greener Future diadakan di Dataran Sains, UM bertujuan memberi kesedaran dalam pemilihan, penggunaan dan pengendalian minyak masak yang betul dalam komuniti.
Pameran julung kali diadakan itu bertemakan Awareness Creation, Knowledge Enhancement and Optimum Utilisation of Cooking Oils telah mendapat sokongan padu Malaysian Oil Scientists’ and Technologists’ Association (MOSTA), Malaysian Palm Oil Council (MPOC) dan Profes Lipid Sdn Bhd.
Program ini menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melibatkan SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab dan SDG3 - Kesihatan Dan Kesejahteraan Yang Baik.
Sementara itu, sepanjang Navigating Sustainability: The Palm Oil Map to a Greener Future berlangsung, pameran dihadiri Presiden MOSTA, Tan Sri Profesor Emeritus Datuk Dr Augustine S H Ong diiringi barisan pengurusan tertinggi Fakulti Sains, UM.
Manakala pengunjung yang terdiri daripada staf akademik, staf bukan akademik, pelajar siswazah dan pasca siswazah meluangkan masa hadir ke pameran tersebut.
Orang ramai berpeluang belajar secara dekat dengan melihat sampel pameran, poster yang menarik serta diberi penerangan terperinci oleh pasukan OleoRangers.
Bagi menjadikan pameran ini lebih menarik, permainan yang bersifat interaktif turut disediakan.
Diharapkan penganjuran pameran sebegini dapat memberi kesedaran dan pengetahuan kepada orang ramai mengenai industri sawit dan minyak masak.
SERDANG: Sebagai komitmen berterusan FGV Holdings Berhad (FGV) terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), perusahaan komoditi itu melancarkan Rangka Kerja Kelestarian baharu bagi menyumbang kepada usaha negara mengubah industri sawit kelmarin.
Rangka Kerja Kelestarian itu adalah berdasarkan komitmen kelestarian FGV sedia ada, namun diperbaharui dengan meliputi lima teras utama iaitu pertumbuhan ekonomi, tadbir urus, sosial, alam sekitar dan inovasi dan teknologi.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Festival FGV bersempena Hari Peneroka Felda, di Taman Agro Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Dato’ Nazrul Mansor berkata, pembaharuan itu termasuk mengenal pasti bidang tumpuan khusus di bawah setiap teras berdasarkan arah aliran ESG semasa.
Jelasnya, ia termasuk kecemerlangan operasi, hak asasi manusia dan piawaian buruh, kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman, pensijilan kelestarian, kebolehkesanan, penyumberan yang bertanggungjawab dan pengurusan rantaian bekalan, penglibatan dan pembangunan komuniti, tindakan iklim, tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan tenaga serta kepelbagaian biologi dan pengurusan tanah.
“Rangka Kerja Kelestarian ini adalah bukti dedikasi kami di FGV terhadap pertumbuhan ekonomi yang inklusif, tanggungjawab sosial dan perlindungan alam sekitar.
“Ini juga jelas membuktikan kepentingan dan komitmen FGV terhadap rangka kerja yang ditambahbaik, malah Yang Berhormat Fadillah sendiri memuji usaha kami kepada agenda kelestarian demi merealisasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Kami percaya, dengan kerjasama daripada pelbagai pihak ia boleh memberi impak positif kepada industri sawit dan sektor berkaitan, sekali gus memacu membina masa hadapan yang lebih baik untuk negara dan masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, kata Nazrul, FGV turut mempertingkatkan amalan buruhnya termasuk memperkukuh dasar dan prosedur syarikat serta langkah usaha wajar untuk proses pengambilan dan menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang lebih baik termasuk pekerja.
“Sejajar dengan komitmen syarikat kepada inisiatif Sasaran Berasaskan Sains (SBTi), kami sedang membangunkan rancangan pengurangan Gas Rumah Hijau (GHG) bagi memenuhi sasaran jangka pertengahan dan jangka panjang syarikat,” katanya.
Katanya, FGV turut menggunakan produk biojisim sisa pemprosesan untuk menjana tenaga boleh diperbaharui sebagai usaha mengurangkan pelepasan karbon.
Menurut beliau, FGV kini mempunyai dua loji jana kuasa biojisim yang mampu menghasilkan kira-kira 20 megawatt (MW) dan 28 loji biogas berkapasiti 15.4 MW untuk program Tarif Masukan (FiT).
Menurutnya, pengumpulan biojisim kelapa sawit yang diperoleh dari ladang-ladang FGV dan pekebun kecil menjadikan FGV pemilik sumber biojisim terbesar dunia, yang mana prospek itu membolehkan FGV menjaga tenaga bio terbesar di Malaysia dan membawa perkhidmatan tenaga bio secara meluas untuk pengguna.
“Kami juga terus memberi tumpuan kepada program pemuliharaan dan sehingga kini, kami sudah menyelamatkan 86 ekor beruang madu dan 75 ekor sudah pulih dan dilepaskan.
“Program ini turut melepaskan 16 ekor ungka kembali ke hutan setelah berjaya menyesuaikan diri dengan habitat liar dan menyaksikan 14 ekor anak tenggiling dalam kurungan,” katanya.
Dalam program sama, Fadillah turut melancarkan program percubaan biodiesel B100 untuk tempoh enam bulan, sekali gus menjadi percubaan pertama di negara ini untuk menguji kebolehgunaan bahan api yang boleh diperbaharui di lori tangki FGV yang bekerjasama dengan MAN Truck & Bus (M) Sdn. Bhd. (MAN Malaysia).
Sementara itu, Fadillah dalam ucapannya berkata, negara memerlukan penyelesaian yang inovatif, amalan bertanggungjawab dan komitmen jangka panjang terhadap kesejahteraan alam sekitar serta sosial dan hal itu dicerminkan dalam rangka kerja kelestarian FGV.
“Kerangka ini menunjukkan kepimpinan dan komitmen syarikat untuk mengintegrasi amalan dan prinsip kemampanan dalam operasi perniagaan.
“Tidak dinafikan masih ada cabaran kita perlu hadapi dalam mencapai matlamat pembangunan mampan, namun, kita yakin kerjasama kukuh antara kerajaan dan sektor perniagaan kunci mencapai matlamat pembangunan negara.
“Saya yakin, FGV dapat memainkan peranan signifikan dalam memajukan agenda kelestarian negara,” katanya.
Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd. Isa pula berkata, rangka kerja itu bukan sekadar dokumen sahaja, malah ia merupakan panduan FGV dalam membuat keputusan strategik dan operasi.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat atas sokongan dan kerjasama diberi dalam menjayakan program ini. Komitmen berterusan penting untuk menjadikan FGV syarikat kekal mampan, lestari dan mampu bersaing dalam suasana dunia dan industri yang sentiasa berubah,” katanya. – UTUSAN
KUCHING, 14 Mei: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM30 juta kepada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) bagi menghasilkan makanan haiwan ternakan berkualiti tinggi dan murah berasaskan sisa sawit.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, dana berkenaan digunakan untuk pembinaan kilang di Lubok Antu dan Saratok yang mengeluarkan makanan ternakan.
“Usaha ini sebahagian daripada strategi lebih luas untuk menangani kos makanan ternakan yang meningkat dengan menggunakan sisa pertanian.
“Ini selaras dengan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memajukan ekonomi hijau dan kitaran, seterusnya mempromosikan amalan pertanian lestari di seluruh wilayah,” kata beliau semasa sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Sementara itu, Stephen Rundi memaklumkan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) pula akan menghasilkan makanan ternakan lembu dalam bentuk pelet berasaskan sisa sawit.
Kata beliau, sebuah kilang baru di Sibu dijangka akan mula beroperasi tahun ini dan mampu menghasilkan kira-kira 3,200 tan metrik makanan ternakan setiap tahun.
“Bagi pembinaan kilang di Lubok Antu, (prosesnya) berada di landasan yang betul dengan pengeluaran tahunan dijangka sebanyak 13,500 tan metrik bermula pada suku kedua 2025.
“Bagi kilang makanan ternakan ruminan di Saratok, pemasangan mesin dan peralatan dijangka selesai pada suku ketiga tahun ini.
“Kilang ini mempunyai kapasiti untuk menghasilkan 20,000 tan metrik pelet sawit untuk makanan ternakan ruminan setiap tahun,” katanya. – TVS
Kuala Langat: Sime Darby Plantation Berhad (SDP) mensasarkan 100 peratus penggunaan tenaga kerja tempatan di ladang kecuali kerja menuai buah kelapa sawit menjelang 2027.
Ketua Pegawai Sumber Manusia SDP, Zulkifli Zainal Abidin berkata, bagi kerja tuaian (harvesting), tenaga kerja asing masih diperlukan kerana ia kerja yang paling sukar dan kurang mendapat sambutan dari pekerja tempatan.
Beliau berkata, menerusi Projek Lokal yang diperkenalkan pada 2019, ia bertujuan mengubah transisi kerja perladangan daripada 3D (kotor, sukar dan bahaya) kepada pekerja mahir dalam kalangan warga tempatan menerusi penggunaan mesin dan jentera dalam memudahkan operasi perladangan kelapa sawit.
Katanya, langkah itu bagi mewujudkan dimensi baru dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
"Pada 2021 kita dapat lihat bahawa minat pekerja tempatan dalam sektor pekerjaan di ladang adalah lebih baik daripada mula-mula kita perkenalkan (Projek Lokal).
"Buat masa ini, kita ada 600 pekerja tempatan termasuk wanita. Jika dulu, persepsi wanita tidak boleh direkrut untuk kerja di ladang berikutan terpaksa membawa barangan berat namun dengan mekanisasi telah memudahkan pekerjaan.
"Penggunaan mesin juga dapat mengurangkan tenaga kerja (pekerja asing) seterusnya dapat menambah baik kadar gaji selain kemudahan lain seperti rumah bagi menarik pekerja tempatan berusia lingkungan 25 tahun," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Fong Hin melakukan lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan dan Pembangunan SDP di Pulau Carey selain menyaksikan memorandum Perjanjian Kerjasama (MoA) membabitkan Universiti Malaya dan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia bersama SDP.
Zulkifli berkata, pihaknya turut menyasarkan seorang pekerja akan menjaga seluas 7.18 hektar pada tahun 2027 menerusi projek ini berbanding seorang pekerja untuk 3.23 hektar ladang kelapa sawit ketika ini.
Menurutnya, pihaknya turut menyasarkan lebih 700 pekerja tempatan mahir di semua ladang milik SDP seluruh negara pada tempoh sama.
"Kita turut memfokuskan kepada penciptaan prototaip terutama mesin menuai kelapa sawit. Ini berikutan kerja mengait buah terutama pokok yang tinggi adalah sukar dalam peladangan kelapa sawit.
"Tidak ramai pekerja tempatan mahu kerja bahagian ini dan masih bergantung kepada tenaga asing," katanya.
KOTA KINABALU: Sawit Kinabalu melalui anak syarikatnya Kunak Lipids Sdn Bhd dijangka akan mengeluarkan produk sampingan penapisan minyak sawit bagi memenuhi permintaan pasaran China.
Sawit Kinabalu telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat dagangan yang berpangkalan di Shanghai China iaitu Boce Trade Service Company Ltd untuk merealisasikan usaha itu.
Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin di Shangri-la Pudong Shanghai pada 13 Jun baru-baru ini.
Sawit Kinabalu melalui Kunak Lipids Sdn Bhd bersedia untuk merevolusikan pengeluaran tokotrienol, dengan menggunakan sisa penapisan minyak sawit.
Pengeluaran berskala besar dijangka bermula pada suku pertama 2025 dan sejajar dengan visi kerajaan untuk memupuk kelestarian ekonomi dan alam sekitar di Sabah.
Kunak Lipids Sdn Bhd adalah satu-satunya syarikat Malaysia yang berdedikasi untuk menghasilkan tokotrienol dengan mengekstraknya daripada sisa minyak sawit secara besar-besaran.
Kunak Lipids menggunakan teknologi proprietari dan peralatan berteknologi tinggi untuk menghasilkan tokotrienol daripada produk sampingan yang ditapis dan mengurangkan sisa alam sekitar sekali gus menyumbang kepada matlamat ekonomi serta alam sekitar negeri.
Menyedari permintaan tinggi untuk tokotrienol di China, Kunak Lipid, dengan sokongan daripada MPOB PORTSIM, mengenal pasti potensi pasaran yang ketara semasa penerokaan pemasaran awal.
Permintaan tinggi yang tidak dijangka untuk pengedaran muncul dari tiga bandar utama, dengan potensi besar adalah di Shanghai.
Semasa lawatan ke Shanghai, rombongan pengurusan kanan dan ahli lembaga Sawit Kinabalu menunjukkan minat terhadap tokotrienol dan fitonutrien lain yang boleh diekstrak daripada minyak sawit.
Pengeluar kosmetik, misalnya, juga berminat untuk mendapatkan tokotrienol untuk produk mereka.
Selain itu, rombongan itu mengenal pasti permintaan tinggi untuk biodiesel yang diperoleh daripada minyak sawit.
Kunak Lipids Sdn Bhd berada pada kedudukan yang baik untuk mengembangkan pengeluarannya ke kawasan ini, memanfaatkan sumber sisa yang besar daripada kilang kelapa sawit syarikat Sawit Kinabalu untuk memenuhi permintaan pasaran China.