BERITA SAWIT 2024

Sandakan: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 3.6 tan minyak sawit mentah (CPO) dipercayai cuba diseleweng di Batu 25, Jalan Sandakan, di sini, semalam.

Dalam operasi pada 6.40 petang itu, bahan komoditi berkenaan dibawa seorang lelaki berusia 36 tahun menggunakan sebuah lori.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, pasukan operasi terserempak dengan sebuah lori yang berhenti di bahu jalan dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan terhadap lori berkenaan mendapati ia membawa muatan disyaki minyak sawit mentah tanpa sebarang dokumen yang sah.

"Pemandu lori kemudian ditahan bersama minyak sawit mentah untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan RM58,870 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998.

 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1080515/ppm-rampas-36-tan-minyak-sawit-mentah-cuba-diseleweng

 

Sumber : Harian Metro

SEMUA produk dari luar negara yang mempunyai label ‘Tanpa Minyak Sawit’ akan dihalang daripada dibawa masuk ke negara ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi menghalang kemasukan produk-produk bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit.

Beliau berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah menjalankan kaji selidik bagi mengenal pasti produk berlabel diskriminasi terhadap minyak sawit yang berada di negara ini.

Katanya, hasil kaji selidik tersebut sebanyak 80 daripada 251 premis yang ditinjau di sekitar Lembah Klang didapati memaparkan produk berlabel ‘Tanpa Minyak Sawit’.

“Dalam tinjauan tersebut, ada produk import dari luar negara yang tidak ada kena mengena dengan sawit tetapi meletakkan label ‘Tanpa Minyak Sawit’ di produk mereka sebagai bentuk mempromosi diskriminasi kepada sawit.

“Kita mempunyai undang-undang yang menyatakan mana-mana diskriminasi produk khususnya kepada kelapa sawit, boleh didenda RM250,000.

“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi menjalankan penguatkuasaan dan mengenakan tindakan serta merta di pasar raya yang memasarkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara FGV Holdings Berhad dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa dan Pengerusi MSPO, Datuk Dr. Suzana Idayu Wati Osman, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Group, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif MSPO, Mohd Shahari Idris.

Mengenai MoU yang dimeterai oleh FGV dan MSPO itu, Johari berkata, ia menggambarkan inisiatif yang signifikan dalam mempromosikan MSPO.

Katanya, mengguna pakai logo MSPO di label bungkusan minyak masak SAJI membuktikan komitmen kepada pematuhan piawaian kemampanan serta peningkatan reputasi jenama produk FGV sebagai pengeksport minyak sawit Malaysia ke negara luar.

“Langkah ini juga dapat meluaskan penjenamaan MSPO di peringkat domestik dan antarabangsa, sekaligus memperkukuhkan komitmen negara untuk menjadi negara pengeluar sawit yang mampan di dunia,” katanya. – Edisi 9

 

https://www.edisi9.com.my/2024/03/produk-berlabel-tanpa-minyak-sawit-dihalang-masuk-johari/

 

Sumber : Edisi 9

KUALA LUMPUR – Kerajaan bakal mengambil tindakan tegas terhadap penjualan produk-produk yang menggunakan label ‘tanpa minyak sawit’ yang dijual secara terbuka di pasaran.

Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, penguatkuasaan yang lebih tegas perlu dilaksanakan bagi membendung sebarang diskriminasi yang boleh mero­sakkan nama baik minyak sawit keluaran negara.

“Ada banyak produk dari luar negara yang tidak mempunyai kandungan atau apa-apa kaitan dengan minyak kelapa sawit didapati menggunakan label ‘tanpa minyak sawit’ (palm oil free) pada pek pembungkus mereka.

“Kita ada undang-undang terhadap produk dari luar negara yang merosakkan nama baik minyak sawit dari negara kita. Kalau kita dapati wujudnya di­skriminasi, kita boleh denda sebanyak RM250,000,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Label Minyak Masak Saji Baharu dengan Logo Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di AEON Big Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Kata Johari, perbincangan mengenai perkara tersebut akan dilakukan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dapat dilakukan de­ngan kadar segera.

Di bawah Akta Perihal Daga­ngan 2011, yang berkuat kuasa pada Mac 2022, penggunaan label diskriminasi terhadap minyak sawit adalah dilarang dan penalti sebanyak RM250,000 dan atau penjara lima tahun akan dikenakan kepada mana-mana individu yang melanggar undang-undang tersebut.

Dalam pada itu, Johari juga menekankan kepentingan pensijilan MPSO bagi industri minyak sawit negara bagi membendung sebarang perspektif negatif dari negara luar.

Kata beliau, usaha tersebut penting bagi menangani isu-isu utama berkaitan hak asasi manusia, alam sekitar, perlindungan hidupan liar dan daya maju perniagaan, khususnya dalam konteks memenuhi permintaan global.

“Tidak dinafikan ada banyak tanggapan negatif tentang industri minyak sawit negara ketika ini,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE

 

https://www.kosmo.com.my/2024/03/09/produk-pamer-label-tanpa-minyak-sawit-bakal-disaman/

 

Sumber : Kosmo

KUALA LUMPUR: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bersedia untuk mempamerkan produk minyak sawit tempatan di Worldchefs Village, Olimpik Kulinari 2024, yang akan diadakan menjelang 2 hingga 7 Februari 2024.

Dihoskan oleh Worldchefs Association yang amat disanjung tinggi, penyertaan MPOC turut disertai oleh dua syarikat tempatan iaitu Nonosugar Health Tech Sdn Bhd dan Saha Asia Industries Sdn Bhd.

"MPOC juga akan mengadakan demonstrasi memasak dengan menampilkan produk berasaskan minyak sawit oleh cef selebriti Malaysia selain menyediakan sokongan media yang mantap kepada pasukan kebangsaan yang bersaing dalam pertandingan yang dinanti-nantikan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan 1,500 peserta pameran, INTERGASTRA merupakan perhimpunan terbesar di Jerman bagi industri itu, ia menarik hampir 100,000 pengunjung perdagangan setiap dwitahunan.

Olimpik Kulinari sebelum ini membabitkan kira-kira 1,800 peserta, termasuk 110 pasukan dan lebih kurang 800 peserta pameran individu dari 67 negara, yang mewujudkan suasana Olimpik yang menakjubkan dalam dewan pameran Stuttgart.

Dijadualkan bersama INTERGASTRA, pameran perdagangan utama untuk perniagaan hospitaliti serta gastronomi, Sukan Olimpik Kulinari 2024 akan diadakan di Messe Stuttgart, Jerman yang berprestij.

Pasukan Malaysia merangkumi 16 cef yang berkemahiran, diselia oleh Persatuan Kulinari Profesional Malaysia.

Dengan memanfaatkan capaian global Worldchefs, inisiatif ini bertujuan untuk memupuk persepsi positif terhadap minyak sawit yang mampan.

"Perkongsian dengan Worldchefs memberikan platform yang ideal bagi menonjolkan amalan lestari serta faedah minyak sawit Malaysia, menyumbang kepada pilihan pengguna termaklum di seluruh dunia," kata MPOC.

Sementara itu, Ketua Pejabat Eksekutif MPOC, Belvinder Sron, berkata majlis tersebut mahu menyokong pasukan kebangsaan, mempromosikan jenama minyak sawit Malaysia melalui liputan media dan menampilkan produk jenama itu melalui demo masakan.

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan Worldchef Association untuk menonjolkan kebaikan minyak sawit Malaysia.

"Penyertaan dalam Sukan Olimpik Kulinari 2024 menandakan komitmen kami terhadap kemampanan dan dedikasi dalam memupuk pilihan pengguna termaklum di peringkat global," tambahnya.

-BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/01/1204103/produk-sawit-malaysia-dibawa-ke-sukan-olimpik-kulinari

 

Sumber : Berita Harian

PETALING JAYA: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) mengadakan Program EduPalm sulungnya, yang direka untuk menyediakan pelajar dan pendidik dengan pemahaman mendalam tentang industri minyak sawit Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC,Belvinder Sron berkata,  penting bagi orang ramai untuk mempunyai kesedaran mengenai usaha kemampanan industri minyak sawit. 

“Minyak sawit merupakan penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, namun ia sering menghadapi kritikan kerana kebimbangan alam sekitar dan sosial.

“Program EduPalm merapatkan jurang ini dengan melibatkan pemimpin masa depan iaitu pelajar universiti dan guru sekolah menengah dalam pengalaman pembelajaran dinamik yang memberi tumpuan kepada kelestarian industri minyak sawit,” katanya dalam kenyataan.

Acara tiga hari ini yang berlangsung dari 26 hingga 28 Julai 2024 di SD Guthrie Ecogardens di Banting, Selangor itu menandakan sulung program pendidikan minyak sawit komprehensif pertama di Malaysia.

Sesi julung kali diadakan itu telah menerima 69 peserta dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), termasuk mereka yang hadir di bawah panji-panji Institusi Jurutera Kimia (IChemE) Malaysia.

Tambahnya, Program EduPalm bertujuan untuk menjadi acara dua kali setahun, meluaskan jangkauannya kepada pelajar dan pendidik di seluruh negara.

Menurutnya, sesi akan datang untuk guru sekolah menengah di Lembah Klang dijadualkan pada akhir tahun ini.

“Para peserta mendapat manfaat daripada pengalaman pembelajaran yang pelbagai termasuk pembentangan bermaklumat tentang kemampanan, faedah kesihatan dan kesan sosioekonomi minyak sawit.

“Program ini menampilkan lawatan lapangan Know Your Palm Oil (KYPO), diketuai oleh SD Guthrie, menawarkan melihat secara langsung ekosistem perladangan kelapa sawit,” ujarnya.-UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/ekonomi/2024/08/program-edupalm-tingkat-pemahaman-mengenai-industri-minyak-sawit/?fbclid=PAZXh0bgNhZW0CMTEAAaauF8uLZNJHObiTEz54ThMuKBjdqKNBn1-c2QIwayrZk6AfRR9QFMyWymI_aem_gsPh06QvhK02RY3-pbCSaA%23google_vignette

 

Sumber : Utusan Malaysia