PETALING JAYA: Komitmen Malaysia terhadap pengeluaran minyak sawit yang mampan menjadi antara perkara yang akan ditekankan dalam Forum Minyak Sawit Malaysia Mesir 2024 (MPOF 2024).
Menurut Kementerian Peladangan dan Komoditi, Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesir dan Turkiye bermula esok hingga 1 Jun ini bagi lawatan kerja selain merasmikan forum terbabit.
Kata kenyataan itu, acara tahunan anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) yang diadakan di Kaherah itu bertujuan meneroka potensi pertumbuhan minyak sawit di rantau Afrika Utara.
“Semasa forum tersebut, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan menyampaikan ucaptama dan merasmikan acara tersebut pada 28 Mei. Ucapan beliau akan menyerlahkan peningkatan permintaan global bagi minyak masak dan terbitannya, serta komitmen Malaysia terhadap pengeluaran minyak sawit yang mampan.
“Semasa di Kaherah, Menteri akan bertemu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Mesir dan Menteri Bekalan dan Perdagangan Dalam Negeri Mesir bagi mengukuhkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara serta pemimpin perniagaan dalam industri minyak sawit,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, Malaysia dan Turkiye juga akan mengukuhkan kerjasama dan mengenal pasti peluang perniagaan baharu dalam sektor minyak sawit antara kedua-dua negara.
Jelasnya, perkara itu menerusi lawatan kerja ke Turkiye di mana Johari dijadualkan bertemu Menteri Perdagangan Turkiye pada 31 Mei ini.
“Turkiye destinasi penting untuk eksport minyak sawit Malaysia, menjadikan mesyuarat ini amat penting bagi Malaysia.
“Semasa lawatan itu, beliau juga akan melibatkan diri dengan pihak berkepentingan lain yang berkaitan termasuk wakil perniagaan daripada industri minyak sawit, mempergiatkan lagi hubungan perniagaan antara kedua-dua negara,” katanya. – UTUSAN
Kementerian Perladangan dan Komoditi hari ini mengumumkan pelancaran Pelan Tindakan Strategi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2024 hingga 2026.
Tiga strategi utama itu untuk membina skim pensijilan kemampanan yang teguh dan boleh dipercayai; memastikan pematuhan pemain industri dan menambah nilai kepada skim pensijilan MSP); serta memperluaskan pengiktirafan dan penerimaan MSPO, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi Abdul Hadi Omar.
"Saya harap MSPO dapat terus menerajui industri ini dan pihak kerajaan akan sentiasa memberikan kerjasama agar kita dapat menjulang imej industri sawit negara ke satu tahap yang lebih tinggi di persada antarabangsa," katanya pada majlis ulang tahun ke-10 MSPO di DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur petang tadi.
MSPO dahulunya dikenali sebagai Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC). Ia skim pensijilan kebangsaan untuk ladang kelapa sawit, kebun kecil bebas dan terancang serta kemudahan pemprosesan minyak sawit.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata MSPO mesti menumpukan perhatiannya kepada tiga isu.
Pertama, MSPO mesti dinamik dalam dunia yang berubah keutamaannya. Kerajaan akan memastikan skim pensijilan itu terus ditambah baik untuk kekal relevan, katanya.
Piawaian MSPO 2.0 adalah inisiatif kewibawaan pensijilan dengan mengambil kira nilai pemuliharaan yang tinggi, penilaian impak sosial dan pengiraan pelepasan gas rumah hijau sambil menangani isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak, tambahnya.
Kedua, sesi penglibatan yang berkesan mesti diadakan dengan pihak berkepentingan seperti penggubal dasar, persatuan pengguna, pertubuhan bukan kerajaan dan usahawan untuk meningkatkan kesedaran tentang inisiatif dan komitmen negara.
Akhir sekali, semua produk minyak sawit yang diperakui MSPO mesti memaparkan logo skim itu tidak kira sama ada ia dijual di peringkat tempatan atau antarabangsa.
Bercakap mengenai penjenamaan semula MSPO, kata Abdul Hadi ia strategi pemasaran untuk memperkasakan skim berkenaan di peringkat dalam negara dan antarabangsa.
"Semoga MSPO akan meneruskan kecemerlangan dan membantu menabur bakti kepada ekonomi serta kemajuan industri minyak sawit negara," katanya lagi.
KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan pada kecenderungan menurun minggu depan berikutan permintaan lemah mungkin menjejaskan harga, kata peniaga minyak sawit David Ng.
Beliau berkata, pasaran juga dijangka diniagakan rendah, memandangkan penurunan berterusan pasaran minyak soya.
“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran akan diniagakan antara RM3,850 satu tan dan RM4,000 satu tan minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, CGS International Futures Malaysia Sdn Bhd berkata, harga berkemungkinan kekal di bawah tekanan dalam beberapa minggu akan datang, sekurang-kurangnya sehingga permintaan menjelang perayaan daripada pembeli terbesar, India, meningkat pada akhir Ogos atau awal September.
“Sentimen pasaran dilihat suram merentas komoditi disebabkan permintaan yang lemah,” katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran kebanyakannya diniagakan rendah disebabkan tekanan daripada jangkaan pengeluaran yang tinggi pada minggu-minggu akan datang, ditambah dengan kelemahan dalam pasaran minyak soya Chicago dan harga olein sawit Dalian yang rendah.
Pada asas mingguan, kontrak Ogos 2024 pada Jumaat ditutup naik RM31 kepada RM4,044 satu tan, manakala September turun RM6 kepada RM3,975 satu tan, Oktober 2024 susut RM19 kepada RM3,942 satu tan, November 2024 turun RM22 kepada RM3,927 satu tan, Disember 2024 susut RM24 kepada RM3,925 satu tan, dan Januari 2025 turun RM23 kepada RM3,933 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 286,779 lot daripada 257,940 pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 218,561 kontrak daripada 216,920 seminggu sebelum itu.
Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan mengukuh RM10 kepada RM4,060 satu tan pada Jumaat daripada RM4,050 seminggu sebelumnya. – BERNAMA
KUALA LUMPUR: Orang utan didapati berupaya menyesuaikan diri dengan persekitaran mampan di ladang kelapa sawit, termasuk menjadikan pokok kelapa sawit sebagai sarang serta memakan buah sawit yang masak.
Ia berdasarkan hasil kajian dijalankan di ladang kelapa sawit matang di sekitar kawasan muara Sungai Kinabatangan, Sabah, oleh sekumpulan penyelidik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai HUTAN yang terbabit dalam Program Pemuliharaan Orang Utan Kinabatangan mulai 2008 hingga 2012.
"Tinjauan dari udara dan di darat menemukan sarang-sarang orang utan di belukar serta kumpulan pokok terpencil di seluruh kawasan ladang kelapa sawit di muara Sungai Kinabatangan dan kawasan pokok nipah.
"Hasil pemantauan kami di darat mendapati orang utan lebih cenderung bersarang di pokok-pokok jenis lain, haiwan itu turut menggunakan kelapa sawit bagi tujuan ini," menurut jurnal yang ditulis hasil penemuan penyelidikan itu.
HUTAN sedang menjalankan kajian populasi orang utan di Sabah bawah tajaan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) membabitkan peruntukan sebanyak RM1.23 juta.
Pada 8 September 2023, MPOGCF, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan HUTAN memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi kajian populasi orang utan di negeri itu mulai 2023 hingga 2025.
Kajian itu adalah kesinambungan penyelidikan dijalankan kumpulan penyelidik HUTAN-Program Pemuliharaan Orang Utan Kinabatangan.
Jurnal bertajuk 'Of Pongo, Palms and Perceptions: A Multidisciplinary Assessment of Bornean Orangutans Pongo Pygmaeus in an Oil Palm Context' itu diterbitkan secara dalam talian oleh Cambridge University Press pada 30 Mei 2014.
Jurnal itu boleh dicapai secara dalam talian di laman sesawang Cambridge University Press (https://www.cambridge.org/).
Menurut jurnal itu lagi, orang utan menggunakan kelapa sawit sebagai sumber makanan dengan memakan pucuk muda dan buah masak daripada tandan yang gugur atau masih di atas pokok.
Selain itu, penyelidik turut menemukan sisa buah sawit yang tidak hadam dalam sampel najis orang utan.
"Hasil penyelidikan kami juga menunjukkan bahawa kerosakan daun kelapa sawit yang dilakukan oleh orang utan terhadap pokok-pokok matang, tidak memberi kesan kepada penghasilan buah," tambah jurnal itu.
Satu lagi penemuan menarik ialah kira-kira 90 peratus tanda kehadiran orang utan yang dikenal pasti dalam ladang kelapa sawit, dikesan kira-kira 50 meter dari kawasan belukar.
Jurnal itu juga menyatakan berhubung taburan populasi orang utan dalam kawasan ladang kelapa sawit yang kebanyakannya bergantung pada kewujudan hutan semula jadi dan pokok-pokok lain.
Hasil penyelidikan turut mendapati kebarangkalian pekerja ladang sawit terjumpa orang utan dalam landskap agroindustri berkenaan di Sabah, adalah agak tinggi.
"Peratusan responden boleh dipercayai (90 peratus) yang melaporkan mereka terjumpa orang utan di ladang kelapa sawit di sini adalah agak tinggi berbanding jumlah yang pernah terserempak dengan haiwan sama di hutan Kalimantan (42 peratus)," menurut jurnal itu.
Pada masa sama, jurnal itu turut menyatakan orang utan kelihatan lebih berdaya tahan dalam berdepan situasi perubahan habitat.
BINTULU: Pekebun kecil kelapa sawit di negara ini khususnya di Sarawak akan mendapat manfaat menerusi program pensijian Minyak Kelapa Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit (RSPO), kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menurutnya, pensijilan itu akan memastikan pekebun mengeluarkan buah dan produk sawit berkualiti tinggi, selain mempraktikkan corak penanaman kelapa sawit yang mampan dan mengambil berat akan kebersihan alam sekitar sebagaimana ditetapkan piawaian antarabangsa.
"Siri jelajah MSPO dan RSPO ini secara tidak langsung akan membolehkan semua pekebun kecil mendapatkan maklumat berguna mengenai pensijilan MSPO terutama kaedah penanaman kelapa sawit yang mampan serta memenuhi syarat ditetapkan bagi menghasilkan buah sawit yang berkualiti tinggi," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Bengkel Pengenalan Standard MSPO (MS2530:2022) dan Aspek Sosial Dalam Perniagaan yang diadakan di Hotel Margherita Plaza di sini, hari ini.
Program berkenaan dihadiri lebih 400 peserta yang terdiri daripada pekebun kecil kelapa sawit di bahagian ini.
Pekebun kecil di Bintulu jelasnya, merupakan sebahagian daripada 440,000 pengusaha tanaman komoditi sawit secara individu atau kecil-kecilan yang terdapat di seluruh negara.
Justeru katanya, pemain industri kelapa sawit memainkan peranan yang cukup signifikan dalam menyumbang kepada ekonomi negara, khususnya menaikkan taraf sosioekonomi setiap pengusahanya.
"Amalan penanaman kelapa sawit yang betul dan mampan pada masa sama akan membolehkan mereka memperolehi hasil sawit yang berkualiti dan mudah untuk dipasarkan tanpa sebarang isu atau masalah pada masa hadapan," tegas Johari.
Sementara itu, beliau menggesa Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) tampil dengan penjelasan yang lebih jelas mengenai tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bagi membolehkan ia didokumenkan dengan jelas, khususnya bagi kawasan yang dimajukan dengan kelapa sawit.
Melalui dokumen yang lengkap dan jelas katanya, akan membantu memudahkan kementerian menerangkan kepada pihak berkaitan bagaimana tanah adat berkenaan dimajukan dengan penanaman kelapa sawit dan diurus dengan baik oleh setiap pengusahanya.