PETALING JAYA: Orang utan mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran di ladang kelapa sawit.
Dapatan itu diperoleh hasil kajian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), HUTAN.
Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dalam satu kenyataan memaklumkan, tinjauan udara dan di darat mendapati penemuan sarang-sarang di belukar dan kumpulan pokok terpencil di seluruh ladang kelapa sawit di muara Sungai Kinabatangan serta di kawasan pokok nipah.
“Orang utan menggunakan kelapa sawit sebagai sumber makanan dengan memakan pucuk muda dan buah masak daripada tandan yang gugur atau masih di atas pokok.
“Hasil kajian para penyelidik menemukan sisa buah sawit yang tidak hadam dalam sampel najis orang utan serta kerosakan daun kelapa sawit yang dilakukan oleh orang utan terhadap pokok-pokok matang tidak memberi kesan terhadap penghasilan buah.
“Dalam pada itu, kajian tersebut mendapati taburan populasi orang utan di kawasan ladang kelapa sawit bergantung kepada kewujudan hutan semula jadi dan pokok-pokok lain,” jelas kenyataan itu.
Menurutnya, kajian tersebut adalah kesinambungan penyelidikan yang dijalankan oleh HUTAN dalam Program Pemuliharaan Orang Utan Kinabatangan dari 2008 hingga 2012.
“Kajian penyelidikan ini mendapati pentingnya orang utan berupaya menyesuaikan diri dengan persekitaran mampan di ladang-ladang kelapa sawit,” katanya.
Jelas kenyataan tersebut, penemuan penyelidikan tersebut dinyatakan dalam jurnal serta diterbitkan secara dalam talian oleh Cambridge University Press dengan tajuk Of Pongo, palms and perceptions: a multidisciplinary assessment of Bornean orangutans Pongo pygmaeus in an oil palm context pada 30 Mei 2014. – UTUSAN
PETALING JAYA – Kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) sedang berbincang mengenai kaedah untuk memperjelas serta memperluas maklumat industri sawit Malaysia dan Indonesia kepada global.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani melalui satu hantaran di X hari ini berkata, beliau telah menerima kunjungan hormat daripada CPOPC untuk mengukuhkan kerjasama dan mengadakan perbincangan bagi manfaat industri sawit Malaysia dan Indonesia.
Jelas beliau, Malaysia dan Indonesia mempunyai standard begitu tinggi dalam pengeluaran minyak sawit, katanya.
“Usaha bersama CPOPC itu merupakan antara strategi untuk mempromosikan industri sawit Malaysia bagi menjadikan minyak sawit sebagai pilihan utama masyarakat dunia seterusnya mengetahui mengenai kebaikan serta manfaat minyak sawit.
“Seperti yang kita maklum, Malaysia merupakan pengeluar sawit nombor dua terbesar di dunia selepas Indonesia, pengeluaran minyak sawit amat penting bagi ekonomi Malaysia,” tulisnya.
Terdahulu pada Isnin lalu, Johari turut menerima kunjungan Duta Mesir di Malaysia, Ragai Tawfik Nasir, di pejabatnya selain membincangkan kerjasama ekonomi dalam sektor sawit antara Malaysia dan Mesir semasa pertemuan itu.
Beliau berkata, kedua-dua pihak juga sedang mengkaji perkongsian bagi strategi pemasaran produk sawit dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan kerjasama peserta swasta di kedua-dua negara.
Jelas beliau, KPK merancang untuk menjadikan Mesir sebagai bahagian penting dalam mengembangkan eksport minyak sawit Malaysia ke benua Afrika menerusi Zon Ekonomi Terusan Suez. – KOSMO! ONLINE.
Bintulu: Kerajaan serius dalam usaha meleraikan isu membabitkan industri minyak sawit negara yang boleh memberi impak sekiranya tidak ditangani, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Ketika memberi jaminan itu, beliau berkata, isu berkaitan alam sekitar dan sosial misalnya boleh menjejaskan potensi eksport, terutamanya dalam kedudukan negara yang menghasilkan 18.5-18.6 tan metrik minyak sawit mentah (MSM).
Malah, jelas beliau, ini akan turut menjejaskan kerajaan Persekutuan dan Negeri yang menerima manfaat daripada industri berkenaan dari segi kutipan cukai selain turut memberi kesan ke atas hampir sejuta pekerja dan 450,000 pekebun kecil di seluruh negara.
"Untuk makluman bersama, kita sedang menghadapi isu besar dunia pada masa ini. Anda tidak melihatnya sebelum ini, namun dalam tempoh 15 tahun lepas, ke mana pun anda pergi, orang akan bercakap mengenai alam sekitar.
"Jika isu ini tidak ditangani, kita juga yang akan terjejas. Oleh itu, kerajaan perlu mengaudit (di bawah skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kilang Penapisan Sarawak Oil Palms 2 di Fasa 2 Kawasan Perindustrian Kidurong di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Johari berkata Malaysia juga tidak boleh dikenakan tindakan penalti jika didapati tidak mematuhi prinsip dan kriteria Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO).
"Dalam setiap kesempatan menemui wakil Kesatuan Eropah (EU), saya sentiasa tekankan jika mereka tidak berpuas hati dengan isu di Malaysia, maka mereka sepatutnya bekerjasama erat dengan kita bagi membolehkan negara seperti kita menjadi penanda aras dunia dari segi minyak makan.
"Ini memandangkan bagi setiap hektar tanah yang digunakan, kita boleh menghasilkan 3.3 juta tan minyak makan berbanding minyak soya, minyak biji sesawi atau minyak bunga matahari yang hanya menghasilkan kurang daripada satu tan sehektar minyak berkenaan," katanya.
Malah, Johari berkata Malaysia juga bersedia untuk berbincang dengan wakil terbabit mengenai usaha penambahbaikan dan menjadi contoh kepada dunia dalam usaha pengeluaran minyak makan.
Pengeluaran minyak sawit, katanya, adalah sebuah industri penting di Malaysia yang dapat melonjakkan ekonomi negara menerusi aktiviti huluan dan hiliran berkaitan.
KUALA LUMPUR: Kos menanam semula sawit yang semakin meningkat menjadi antara punca kadar penanaman semula komoditi itu dalam kalangan pekebun ketika yang masih rendah.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan, berkata sepatutnya kadar tanaman semula sawit adalah empat peratus setahun berdasarkan piawaian industri, namun disebabkan pelbagai kekangan kadar mampu dicapai hanyalah sekitar 1.8 peratus sehingga dua peratus sahaja.
"Kekangan utama penanam semula sudah pasti kerana kos yang meningkat ditambah langkah penyasaran subsidi diesel ketika ini.
"Lebih memeritkan, penanam semula tidak termasuk dalam penyasaran subsidi diesel sedangkan untuk menanam semula sawit perlu menggunakan traktor dan jentolak yang menggunakan diesel.
"Jika sebelum ini sewa traktor untuk memotong pokok hanya RM800, namun kini kos meningkat sehingga RM1,600," katanya kepada BH.
Semalam, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kadar penanaman semula lebih baik bagi kawasan sawit peringkat tua boleh meningkatkan pengeluaran minyak sawit tahunan Malaysia sebanyak 2.5 juta tan.
Beliau menyuarakan kebimbangan mengenai kadar penanaman semula yang rendah oleh pekebun kecil bebas, yang berjumlah kira-kira 450,000 dan mempunyai kawasan penanaman seluas 1.5 juta hektar.
Mengulas lanjut Adzmi berkata, pekebun kecil sawit turut terkesan dengan harga sawit tidak menentu, apatah lagi perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga tahun untuk mendapatkan pulangan selepas mengeluarkan kos tinggi untuk penanaman semula.
"Dengan kadar tidak menentu, ramai pekebun kecil semakin tidak berani mengambil risiko selain faktor ramai sudah berusia," katanya.
Beliau berkata, masalah status tanah turut menjadi kekangan kerana ada yang sebelum ini statusnya untuk getah, tetapi digunakan untuk sawit yang kini sudah berusia puluhan tahun.
"Apabila pekebun kecil ingin menukar status tanah kepada sawit untuk penanaman semula, ada kerajaan negeri tidak benarkan selain akan dikenakan denda tinggi," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan ada menyediakan bantuan RM100 juta secara hibrid membabitkan masing-masing 50 peratus dalam bentuk geran dan pinjaman melalui Program Tanam Semula Sawit (TSPKS).
Bagaimanapun katanya, ia tidak mencukupi untuk menampung jumlah keluasan tanah yang perlu ditanam semula.
"Kita syorkan ia ditambah kepada sekurang-kurangnya RM200 juta untuk peruntukan tahun hadapan dengan menggunakan subsidi yang dikurangkan dari program penyasaran subsidi diesel sejumlah RM4 bilion seperti diumumkan.
"Cara itu dapat memastikan semua pekebun kecil berpeluang membuat permohonan geran itu untuk tahun ini dan 2025," katanya.