KUALA LUMPUR, 23 Feb – Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengadakan pertemuan bersama Pengurus-pengurus Dana dari pelbagai pelabur institusi pada Khamis di Menara CIMB, KL Sentral di sini.
Dalam sesi bersama Pengurus-pengurus Dana itu, Johari yang juga Naib Presiden UMNO telah berkongsi kepada mereka mengenai potensi minyak sawit yang sentiasa menjadi keperluan dunia dalam pelbagai produk.
“Minyak sawit sangat cekap dan produktif berbanding minyak sayuran lain bagi setiap ekar sehingga menjadikannya sangat bermanfaat di setiap rantaian aktiviti huluan (upstream), pertengahan (midstream) serta hiliran (downstream).
“Saya turut membuka peluang kepada Pengurus-pengurus Dana ini untuk bertanya secara terus kepada saya bagi mereka mendapatkan pelbagai maklumat dalam sektor perladangan dan komoditi,” katanya dalam satu perkongsian di laman sosialnya.
Tambah Ahli Parlimen Titiwangsa itu, sektor agrikomoditi mempunyai nilai eksport mencecah lebih RM160 bilion dan menyumbang sebanyak 5.2% kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) Malaysia.
“Oleh itu, ‘engagement’ bersama pengurus dan pelabur institusi adalah penting untuk memberikan maklumat sektor kepada mereka, bertukar pandangan untuk manfaat sektor agrikomoditi Malaysia secara keseluruhan,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE
KUALA LUMPUR: Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesir serta Turkiye untuk lawatan kerja bermula esok hingga 1 Jun ini.
Beliau juga dijadual merasmikan Forum Minyak Sawit Malaysia Mesir 2024 di Kaherah pada 28 Mei ini.
Menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam satu kenyataan, hari ini, forum diadakan oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) itu bertujuan menerokai potensi pertumbuhan minyak sawit di rantau Afrika Utara.
Pada forum itu, beliau dijangka menekankan peningkatan permintaan global terhadap minyak masak dan derivatifnya, serta komitmen Malaysia untuk pengeluaran minyak sawit yang mampan.
Selain itu, Johari dijadualkan bertemu Menteri Perdagangan dan Perindustrian serta Menteri Bekalan dan Perdagangan Domestik Mesir untuk memperkukuh kerjasama dua hala serta dalam kalangan ketua perniagaan industri minyak sawit.
Dalam lawatan ke Turkiye pula, Johari akan bertemu Menteri Perdagangan negara itu pada 31 Mei ini bagi mengenal pasti peluang perniagaan baharu dalam sektor minyak sawit antara Malaysia dengan Turkiye.
"Turkiye ialah destinasi penting untuk eksport minyak sawit Malaysia, menjadikan pertemuan itu amat penting bagi Malaysia," menurut KPK. – BERNAMA
PETALING JAYA: Johor Port Berhad (Johor Port) melancarkan eksport tempurung biji sawit (PKS) bersijil FGV Palm Industries Sdn. Bhd. (FGVPI) ke Jepun buat pertama kalinya.
Menurut kenyataan, pengiktirafan itu menekankan komitmen teguh FGVPI terhadap amalan lestari dan mesra alam serta menetapkan standard tinggi untuk kualiti dan kelestarian produk mereka.
“Penghantaran sulung ini turut menekankan keupayaan Johor Port sebagai Pelabuhan Pelbagai Guna Gerbang Selatan dan kepakaran GBK International Sdn. Bhd. dalam perkhidmatan pergudangan dan pembersihan,” katanya.
FGVPI menyasarkan dua penghantaran sebanyak 20,000 tan metrik (MT) PKS bersijil setiap bulan ke Jepun dan memperkukuhkan komitmen mereka untuk memenuhi permintaan antarabangsa dengan produk lestari.
“Sasaran itu selaras strategi FGVPI mengembangkan kehadiran pasaran mereka dan menyumbang penyelesaian tenaga boleh diperbaharui global serta memimpin inisiatif “Waste to Worth; Harmonising Palm Biomass Value for a Sustainable Future” untuk meningkatkan pasaran Biomass global,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Berhad, Md. Derick Basir berkata, kejayaan itu menunjukkan keupayaan mereka dalam mengendalikan kargo yang pelbagai dan khusus.
“Tempurung biji sawit sebahagian daripada kargo pukal kering kami dan tahun 2024 menjanjikan kargo pukal kering meningkat sebanyak lapan peratus sehingga kini (YTD) sehingga Mac 2024 berbanding tahun sebelumnya tahun ke tahun,” katanya.
Beliau berkata, Johor Port yakin dapat mengendalikan 15 peratus lebih banyak jumlah kargo pukal kering berbanding tahun 2023.
Dalam pada itu, Pengarah GBK International Sdn. Bhd., Louis Low berkata, pengalaman luas GBKI dalam pengendalian PKS dan rangkaian kukuhnya di pasaran Jepun akan dapat menyokong FGVPI dalam mengurus dan memasarkan PKS di Johor Port.
“Johor Port menunjukkan komitmen mereka mengekalkan standard tinggi dalam kualiti produk dan pengurusan logistik, sekali gus meningkatkan kualiti dan kebolehpercayaan penghantaran bersejarah ini,” katanya. – UTUSAN
KUALA LUMPUR – Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) mencadangkan kaedah In-situ bagi melaksanakan diplomasi orang utan sebagai langkah memulihara spesies hidupan liar tersebut.
Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud berkata, inisiatif baharu itu boleh dilaksanakan di kawasan nilai pemuliharaan tinggi (HCV) di dalam ladang kelapa sawit (MG1) di Sabah dan Sarawak.
“Terdapat ladang sawit yang mempunyai kawasan HCV seluas 2,500 hektar dan mempunyai populasi orang utan liar yang dianggarkan lebih 50 ekor. Perbincangan lanjut bersama syarikat berkenaan untuk mengusulkan cadangan pelaksanaan Diplomasi
Orang utan ini akan dilaksanakan,” katanya menerusi kenyataan.
Kaedah In-situ adalah proses memulihara spesis yang terancam untuk pupus di habitat asalnya.
Tambah Hairulazim, yayasan itu merancang melakukannya dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) dan Jabatan Perhutanan Sabah (SFD).
Terdahulu, konsep diplomasi orang utan dicetuskan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada majlis perasmian Biodiversity Forum 2024 anjuran MPOGCF di Resorts World Awana, Genting Highlands, Pahang baru-baru ini.
Orang Utan yang hanya ditemukan di kawasan hutan hujan Sabah dan Sarawak selain Indonesia.
Haiwan itu diklasifikasikan sebagai spesies yang amat terancam di bawah Senarai Merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Antarabangsa (IUCN).- MalaysiaGazette
SEORANG menteri baru-baru ini cadangkan Malaysia perkenal ‘diplomasi orang utan’ kepada negara-negara pembeli sawit. Sasarannya ialah Kesatuan Eropah, India dan China.
Kata menteri tadi, orang utan boleh dijadikan hadiah kepada rakan dagang selain mengukuhkan hubungan luar.
Merak Jalanan lihat langkah ini sebenarnya ingin meniru China dan Australia yang menjadikan haiwan unik mereka iaitu panda dan beruang koala sebagai duta diplomasi.
Namun, Merak Jalanan berpendapat orang utan tak patut jadi barang dagangan. Bagi Barat, orang utan adalah simbol kezaliman.
Kononnya pembukaan ladang kelapa sawit khususnya di Borneo adalah dosa besar terhadap habitat makhluk mirip manusia tersebut.
Menurut WWF Malaysia, populasi orang utan di Borneo adalah 104,000 ekor dengan sekitar 13,000 ekor tinggal di hutan Sabah dan Sarawak.
Jumlah tersebut adalah besar berbanding 2,400 ekor panda dimiliki China. Pun begitu, China tetap meminjamkan panda mereka kepada beberapa negara lain seperti Britain, Amerika Syarikat, Jepun dan Jerman.
Di Malaysia, dua panda bernama Xing Xing dan Liang Liang sudah berada di sini sejak 2014. Ia sepatutnya dipulangkan kepada China pada 20 Mei ini, namun Malaysia bercadang untuk melanjutkan program tersebut.
Diplomasi panda China lebih sebagai tanda persahabatan. Tetapi cadangan menteri tadi kedengaran bersifat transaksi. Ia sama seperti ungkapan, kamu beli sawit dan dapat orang utan.
Merak Jalanan percaya niat menteri itu baik. Dia mahu jualan sawit melonjak sekali gus melawan kempen No Palm Oil pihak Barat. Sungguhpun begitu, biarlah orang utan kekal di sini.
Merak Jalanan anggap orang utan lebih istimewa daripada panda dan koala kerana DNAnya hampir 97 peratus DNA manusia.
Jadi jangan terkejut kalau Zoo Atlanta di AS menyediakan komputer skrin sentuh yang digunakan oleh dua ekor orang utan Sumatera di situ untuk bermain.