BERITA SAWIT 2024

KUALA LUMPUR: Halal Development Corporation Bhd (HDC) menyokong cadangan untuk menggabungkan pematuhan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bersama keperluan pensijilan halal bagi pemasaran minyak sawit negara.

Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun, berkata dengan memasukkan pensijilan MSPO dalam proses pensijilan halal, Malaysia boleh menunjukkan komitmennya terhadap prinsip-prinsip Islam dan penggunaan yang beretika.

Langkah itu juga akan mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju global dalam pengeluaran minyak sawit yang mampan sambil memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk halal merentas pelbagai pasaran.

Khairul Azwan menambah, negara-negara seperti India, China, Jepun, Korea Selatan dan pelbagai negara Eropah seperti Belanda semakin mencari minyak sawit yang diperakui halal untuk pelbagai jenis produk, termasuk makanan, kosmetik dan farmaseutikal.

"Sinergi antara pensijilan halal dan MSPO mewakili peluang penting untuk industri minyak sawit. Kami percaya bahawa dengan menggalakkan amalan mampan dalam pengeluaran minyak sawit, Malaysia boleh meningkatkan lagi kedudukannya sebagai pembekal utama produk halal di seluruh dunia.

"Dalam usaha mempromosikan perdagangan kami di luar negara, kami telah menyaksikan permintaan yang besar untuk produk-produk sampingan minyak sawit yang diperakui halal, jadi kami menjangkakan perdagangan produk sampingan dan derivatif minyak sawit halal akan berkembang dengan ketara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata kementeriannya akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memasukkan pensijilan MSPO bersama pensijilan halal sebagai keperluan untuk pemasaran minyak sawit.

-BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/03/1222185/hdc-setuju-gabungkan-mspo-sijil-halal-bagi-promosi-minyak-sawit

 

Sumber : Berita Harian

New Delhi: India mengimport 285,829 tan minyak sawit dari Malaysia pada April, menyumbang 21.6 peratus daripada jumlah import minyak sayuran negara pada bulan tersebut.

Import dari Malaysia terdiri daripada 50,181 tan olein sawit yang ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) dan 227,649 tan minyak sawit mentah (MSM).

Import minyak makan India pada April sebanyak 1.3 juta tan, meningkat hampir 13.5 peratus daripada jumlah pada bulan sebelumnya, menurut data yang dikeluarkan oleh kumpulan industri Solvent Extractors' Association of India (SEA) pada Selasa.

Bahagian minyak sawit untuk import pada bulan lepas sebanyak 52 peratus.

 

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2024/05/1090669/india-import-285829-tan-minyak-sawit-malaysia#google_vignette

 

Sumber : Harian Metro

KUALA LUMPUR: Industri minyak sawit perlu mengkaji penggunaan semula sisa sebagai stok suapan penting untuk bahan api penerbangan mampan (SAF), di luar penggunaan tradisional minyak sawit, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau menekankan keperluan untuk industri minyak sawit serta sektor bukan penerbangan lain menyumbang kepada kedudukan Malaysia di barisan hadapan dalam landskap bahan api mampan.

"Ini juga peluang untuk kita menghubungkan industri Malaysia dengan seiring, supaya kita bukan sahaja membekalkan untuk rantaian bekalan global, malah menghasilkan lebih banyak inovasi dan produk tempatan yang pada akhirnya relevan di peringkat global," katanya dalam ucapan perasmian Simposium Penerbangan Mampan MyAero 2024 di sini pada Selasa.

Liew turut menekankan kepentingan pengintegrasian dalam industri Malaysia dan perhubungan antara sektor untuk membentuk masa depan industri penerbangan.

Beliau turut menyentuh mengenai Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030, yang memperincikan 41 inisiatif yang dijangka menjana RM55.2 bilion pada setiap tahun dan mewujudkan 32,000 pekerjaan berteknologi tinggi menjelang 2030.

"Kami berharap dapat menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa di rantau ini dan komuniti global, dan untuk membina sinergi bersama-sama negara jiran dengan menggalakkan pembangunan rantaian bekalan dan penggunaan alternatif mampan seperti bahan api tenaga mampan, elektrik dan tenaga berasaskan hidrogen," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Industri Aeroangkasa Nasional Malaysia (NAICO) Prof Shamsul Kamar Abu Samah menekankan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus industri (iESG) Malaysia sebagai penting untuk peralihan firma aeroangkasa kepada amalan mampan.

"Ini termasuk inisiatif seperti membangunkan teknologi lebih bersih, meningkatkan kecekapan bahan api dan melabur dalam proses pembuatan mampan.

"Perkongsian kerjasama antara kerajaan, syarikat aeroangkasa dan institusi penyelidikan adalah penting untuk memacu inovasi ini ke hadapan dan mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus di samping mengekalkan daya maju ekonomi dan daya saing dalam pasaran global," katanya.

-- BERNAMA

 

https://www.astroawani.com/berita-bisnes/industri-minyak-sawit-disaran-guna-semula-sisa-untuk-bahan-api-penerbangan-mampan-liew-479307?

 

Sumber : Astro Awani

Kuala Lumpur: Industri sawit terjejas dan menghadapi masalah untuk mengupah pekerja asing selepas kerajaan membekukan kuota pengambilan pekerja asing disebabkan lebihan pekerja asing ketika ini adalah bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata industri sawit masih bergantung kepada pekerja asing dengan kira-kira 75 peratsus terdiri daripada pekerja asing.

Sebagai contoh, setiap lapan hektar diuruskan oleh satu pekerja, justeru sekiranya keluasan 1,000 hektar, kira-kira 125 pekerja diperlukan dan daripada jumlah itu 75 peratus adalah pekerja asing, industri sawit kekurangan hampir 40,000 orang pekerja dan ia lebih tertumpu kepada kerja-kerja penuaian dan juga penuai.

"Sebenarnya, baru-baru ini kerajaan telah membekukan kuota pekerja asing, pembekuan ini berikutan terdapat lebihan pekerja asing dalam negara tetapi jumlahnya (lebihan pekerja asing) adalah dalam bidang berbeza dengan perladangan.

"Sebagai contoh, buat masa ini dalam sektor perkilangan Malaysia mempunyai lebihan 165,497 pekerja asing sementara bagi sektor perkhidmatan pula, kita ada lebihan 27,158 pekerja asing. Pekerja asing berlebihan ini susulan pembukaan semula perniagaan dan ekonomi selepas pandemik Covid-19 berakhir.

"Justeru, mana-mana syarikat yang membuat permohonan pengambilan pekerja asing...kementerian akan meluluskannya. Apabila sudah diluluskan, tiada penyelarasan, perniagaan mengambil masa untuk berkembang selepas ditutup dua tahun akibat pandemik, itu sebabnya terdapat lebihan pekerja asing di Malaysia," katanya pasa sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Johari menjawab soalan Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang meminta penjelasan berkaitan usaha yang dilakukan bagi menyelesaikan keperluan kira-kira 40,000 tenaga kerja asing dalam sektor perladangan kelapa sawit.

Beliau berkata syarikat-syarikat terlibat dalam sektor perladangan menghadapi kekurangan pekerja asing, justeru penentukuran semula dilakukan terhadap golongan lebihan pekerja asing yang tidak bekerja, seterusnya mereka ditawarkan kerja dalam sektor perladangan.

"Bagaimanapun, industri peladangan bimbang untuk mengambil lebihan pekerja asing ini sebab sebahagian daripada mereka jika diambil bekerja tanpa kerelaan akan menyebabkan dia (pekerja asing) dianggap sebagai buruh paksa.

"Sekiranya pekerja asing ini adalah buruh paksa, akibatnya hasil daripada ladang-ladang akan turut terjejas," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian akan cuba untuk mengupah lebihan pekerja asing tersebut selain daripada melaksanakan 'pilot test' (projek rintis) dengan mengupah 60 pekerja muda tempatan bagi menukar persepsi bekerja di ladang.

"Apa yang penting, kita nak mereka (pekerja muda tempatan) ini mahir dalam penuaian. Penuai memainkan peranan penting sebab jika mempunyai 100 pekerja di ladang, 50 peratus adalah penuai.

"Justeru, kita beri latihan kepada golongan muda untuk menyertai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kita latih dia bagaimana nak tuai pokok kepala sawit. Kita panggil mereka sebagai penuai mahir (specialist harvester) dengan harapan dia akan memperoleh gaji sehingga RM3,000.

"Ia dapat menarik minat golongan muda. Malaysia sahaja yang ada masalah pekerja. Di Indonesia, 100 peratus adalah penuai tempatan dan penuai mereka adalah mahir, sebab itu sebahagian daripada mereka datang ke Malaysia dan mereka menjadi penuai," katanya.

Johari berkata industri sawit negara menanggung kerugian pendapatan mencecah RM20 bilion hingga RM30 bilion susulan isu kekurangan tenaga kerja.

 

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2024/03/1071802/industri-sawit-terjejas-selepas-pembekuan-kuota-pekerja-asing#google_vignette

 

Sumber : Harian Metro

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Bagi menambah baik pensijilan ‘Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO)’ yang diiktiraf di negara ini dan peringkat global, Malaysia amat mengalu-alukan kolaborasi bersama Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau telah menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif RSPO, Joseph D’Cruz yang berkongsi pandangan mengenai industri kelapa sawit negara, semalam.

“Semalam saya telah dikunjungi oleh Ketua Pegawai Eksekutif RSPO, En. Joseph D’Cruz yang datang ke pejabat saya untuk berkongsi pandangan bagaimana RSPO boleh membantu syarikat-syarikat kita di dalam industri kelapa sawit ini untuk mencapai tahap ‘Sustainable Palm Oil’.

“Sebagai sebuah negara pengeluar sawit di dunia, Malaysia juga telah membangunkan skim pensijilan nasional bertaraf global iaitu pensijilan ‘Malaysian Sustainable Palm Oil – MSPO’ bagi memenuhi keperluan masa kini dalam usaha negara ke arah ‘Sustainable Palm Oil’,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, sebanyak 92.3 peratus syarikat pengeluar sawit Malaysia telah mematuhi standard MSPO yang ditetapkan.

“Bagi pensijilan MSPO, sebanyak 92.3 peratus syarikat-syarikat pengeluar sawit Malaysia telah mematuhi standard yang ditetapkan.

“Jadi, Malaysia sangat mengalu-alukan kolaborasi di antara RSPO dan MSPO untuk menerima pakai dan menambah baik pensijilan MSPO yang diiktiraf di negara ini serta di peringkat global,” katanya lagi. – UMNO Online

 

https://umno-online.my/2024/01/16/industri-sawit-tambah-baik-mspo-malaysia-alu-alu-kolaborasi-daripada-rspo-johari/

 

Sumber : Umno Online