ARKIB MEDIA

mpi
KENYATAAN MEDIA


YB PUAN TERESA KOK, MENTERI INDUSTRI UTAMA
MAKLUM BALAS TERHADAP “IPG TIDAK BANYAK MANFAAT KEPADA PEKEBUN GETAH”
UTUSAN ONLINE, 3 NOVEMBER 2018

1. Kementerian Industri Utama (MPI) mengambil perhatian mengenai kenyataan YB Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu di dalam Utusan Online pada 3 November 2018.

2. Untuk makluman, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) telah diwujudkan bagi meringan beban pendapatan pekebun kecil dan memberi galakan untuk mereka terus menoreh sewaktu harga getah rendah di pasaran. Seramai 450,568 pemilik kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) yang layak memohon IPG sejak tahun 2015. Semenjak diperkenalkan sehingga 31 Ogos 2018, sebanyak 783,877 bilangan permohonan tuntutan telah diluluskan bagi tujuan pengagihan IPG yang melibatkan peruntukan RM90.94 juta.

3. Insentif ini hampir sama dengan konsep harga lantai kerana IPG akan diaktifkan apabila purata harga bulanan SMR 20 pada bulan sebelumnya kurang dari RM5.50 sekilogram atau harga di ladang untuk getah sekerap adalah di bawah RM2.20 sekilogram. Perbezaan harga akan ditampung oleh Kerajaan bagi pengeluaran yang dihasilkan oleh pekebun kecil. Langkah ini akan membolehkan para pekebun kecil getah dengan pemilikan purata 2 hektar dan produktiviti cuplump sebanyak 3,000 kilogram/hektar/tahun menikmati pendapatan bulanan sebanyak RM1,100.

4. Pada masa ini, Kerajaan tidak bercadang untuk menetapkan harga lantai getah sekerap kerana akan melibatkan peruntukan kewangan yang tinggi. Sebagai contoh, sekiranya harga lantai getah sekerap ditetapkan kepada RM4.00 sekilogram dan berdasarkan kepada pengeluaran 2017, Kerajaan akan memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM2.5 billion setahun.

5. Di samping itu, Kerajaan juga tidak dapat mempertimbangkan cadangan mewujudkan harga lantai berdasarkan kepada faktor-faktor berikut:

(i) Penetapan harga lantai memerlukan sumber kewangan yang tinggi bagi menyokongnya sekiranya harga getah asli dunia mengalami tren penurunan yang mendadak;

(ii) Menyediakan ruang kepada aktiviti spekulasi harga dalam kalangan para penjual getah dengan menekan harga ke paras rendah dan mengharapkan Kerajaan akan menampung perbezaan di antara harga pasaran dan harga lantai; dan

(iii) Menyediakan ruang kepada aktiviti penyeludupan getah dari luar negara memandangkan harga tempatan adalah lebih tinggi berbanding dengan harga antarabangsa.

6. Kerajaan turut amat prihatin kepada kebajikan pekebun kecil getah yang banyak bergantung kepada pengeluaran sekerap. Memandangkan harga getah cair/lateks adalah lebih tinggi berbanding sekerap dan menjadi keperluan utama pihak industri, Kerajaan akan memberi fokus dalam menambahbaik kemudahan pengeluaran lateks di seluruh negara. Kerajaan akan memperkasa Pusat-pusat Pengumpulan Getah (PMG) bagi memudahcara proses pengumpulan lateks secara berpusat. Langkah ini diharap dapat meningkatkan pengeluaran lateks dalam negara dan mengurangkan kebergantungan kepada import lateks, sekaligus membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil melalui peralihan daripada pengeluaran sekerap kepada lateks. Di samping itu, di dalam meningkatkan pembangunan industri getah ini, Lembaga Getah Malaysia akan terus membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D), membina infrastruktur dan melaksana pelbagai program termasuk menyediakan insentif ujian tayar dan SMR kepada industri.

-Tamat-

6 November 2018

KENYATAAN MEDIA
DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


KUNJUNGAN HORMAT OLEH PESURUHJAYA TINGGI BRITISH KE MALAYSIA, H.E. VICKI TREADELL

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah menerima kunjungan hormat dari H.E. Vicki Treadell, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia.

2. Perbincangan semasa pertemuan tersebut telah tertumpu kepada cadangan Parlimen Kesatuan Eropah (EU ) untuk menghalang penggunaan biofuel dan tenaga dari sumber sawit menjelang tahun 2021 dan impaknya kepada 650,000 pekebun kecil sawit di Malaysia.

3. Malaysia berpendirian teguh menentang keras resolusi yang bersifat diskriminasi tersebut memandangkan penggunaan minyak sayuran lain masih dibenarkan di bawah perundangan Renewable Energy Directive (RED) sehingga tahun 2030.

4. Dalam hal ini, H.E. Vicki Treadell berkongsi pendapat bahawa pengharaman penggunaan minyak sawit lebih awal daripada minyak sayuran yang lain adalah tidak adil dan bertentangan dengan semangat amalan perdagangan bebas.

5. Datuk Seri Mah Siew Keong turut merakamkan ucapan penghargaan kepada ahli-ahli parlimen Kesatuan Eropah dari United Kingdom yang telah menentang resolusi pengharaman minyak sawit pada bulan Januari lalu, terutamanya daripada ahli-ahli parlimen yang mewakili UK Conservative Party.

6. Dalam hal yang berlainan, pertemuan tersebut turut membincangkan potensi kerjasama masa hadapan antara Malaysia dan UK, terutamanya dalam menerokai pembangunan produk-produk hiliran bernilai tambah tinggi berasaskan sawit bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi baru.

7. Bagi tujuan tersebut, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menganjurkan rundingan meja bulat dengan para peneraju utama industri sawit tempatan, bakal pelabur serta pakar teknikal daripada Malaysia dan UK.

8. Pada penghujung pertemuan, Datuk Seri Mah Siew Keong turut memaklumkan Kerajaan British bahawa beliau bakal mengetuai Delegasi Malaysia ke Eropah bagi Misi Rundingan Sawit Malaysia-EU bermula pada 10hb Februari 2018.

9. Selain berjumpa dengan beberapa orang Komisioner EU serta pembuat dasar, misi rundingan ini bakal melibatkan pertemuan bersama wakil-wakil kerajaan daripada 6 buah negara EU yang berbeza, seperti Jerman, United Kingdom, Belgium, Sepanyol, Itali dan Poland.

10. Misi ini adalah bertujuan untuk berunding dengan ahli-ahli mesyuarat rundingan tiga hala (tripartite meeting) dari negara-negara yang berpengaruh bagi mendapatkan sokongan dan menyampaikan pendirian tegas Malaysia berkenaan ketidakadilan terhadap industri sawit.

DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia
7 Februari 2018

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong menyerahkan syiling Peringatan Ulang Tahun Industri Minyak Sawit Malaysia ke-100 Tahun kepada Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, H.E. Vicki Treadell.

mpi
KENYATAAN MEDIA


KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
SESI KONSULTASI BAJET 2019 KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA:
13 TOPIK UTAMA DENGAN DI DOMINASI ASPEK HALA TUJU POLISI PEMAIN INDUSTRI KOMODITI YANG KOMPREHENSIF


1. Sesi Konsultasi Bajet 2019 Kementerian Industri Utama (MPI) berlangsung di Dewan Serbaguna Aras G, dipengerusikan oleh Menteri Industri Utama, YB Puan Teresa Kok.

2. Kementerian menerima 13 topik berkaitan usul dan cadangan daripada pemain industri melibatkan antaranya kos sara hidup dan pendapatan pekebun kecil yang munasabah dan stabil, peningkatan produktiviti komoditi, isu tenaga buruh, mekanisasi dan automasi, Revolusi Industri 4.0.

3. Di samping itu, topik berhubung pembangunan modal insan dalam sektor komoditi, kemampanan dan kelestarian industri komoditi, sumber bahan mentah yang mencukupi, gaji minimum, promosi dan perdagangan, keselamatan makanan (food safety) dan hala tuju polisi turut diutarakan.

4. Kementerian akan mengangkat keperluan hala tuju polisi industri komoditi yang lebih komprehensif melalui konsultasi Bajet 2019 ini kepada Kementerian Kewangan bagi menjamin kepentingan pembangunan industri komoditi dalam formulasi Bajet 2019 kelak.

5. Kementerian juga telah menerima beberapa cadangan bagi pengecualian cukai berganda dan SST dalam beberapa perkara melibatkan pembungkusan produk komoditi, promosi penggunaan biodesel dan produk industri kenaf.

6. Sebagai contoh, antara yang diusulkan oleh pemain industri adalah beberapa insentif bagi menggalakkan aktiviti nilai tambah kepada produk berasaskan getah.

7. Sesi konsultasi yang melibatkan 180 wakil industri mengumpulkan lebih 30 usul dan cadangan, selain 119 usul serta cadangan dalam bentuk bertulis untuk diangkat sebagai pertimbangan di dalam Bajet 2019 dalam usaha mengekalkan kemampanan dan daya saing industri komoditi negara seperti yang dihasratkan oleh pemain industri komoditi, pemegang taruh, pekebun kecil serta rakyat Malaysia keseluruhannya.

Kementerian Industri Utama
7 Ogos 2018
Putrajaya

mpi
KENYATAAN MEDIA


 

YB TERESA KOK, MENTERI INDUSTRI UTAMA
TERHADAP KENYATAAN HISBAH MENGENAI PELANTIKAN TAN SRI MOHD BAKKE SALLEH SEBAGAI
PENGERUSI LEMBAGA MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOB)

Pengerusi MPOB baharu Tan Sri Mohd Bakke Salleh seorang berintegriti yang mampu membawa industri minyak sawit ke tahap lebih tinggi.

1. Saya terkilan dengan kenyataan oleh mantan Senator Datuk Ezam Mohd Nor sebagai Pengerusi HISBAH yang mengkritik pelantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh sebagai “keputusan yang salah”.

2. Meskipun Tan Sri Mohd Bakke merupakan pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB pada satu ketika dahulu, beliau telah meletakkan jawatan kerana kecewa dengan salah laku dalam 1MDB, apabila pemindahan wang secara kontroversi dilakukan tanpa pengetahuan atau kelulusan lembaga pengarah.

3. Seperti dilaporkan media, beliau telah menunjukkan kemarahan dan ketidakpuashatian terhadap apa yang telah berlaku dalam 1MDB ketika memberi keterangan pada sesi pendengaran kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada tahun 2016.

4. Tan Sri Mohd Bakke adalah seorang yang berintegriti tinggi. Beliau merupakan tokoh korporat yang dihormati dengan pengalaman meluas dalam industri minyak sawit. Negara akan mendapat manfaat daripada kepemimpinan dan pengalaman beliau dalam mencapai matlamat Kerajaan membawa industri ke tahap yang lebih tinggi. Sumbangan beliau juga diakui oleh pemain industri yang memberi reaksi positif terhadap pelantikannya.

5. Saya berkeyakinan penuh terhadap kemampuan Tan Sri Mohd Bakke untuk memimpin MPOB di samping membantu Kerajaan meningkatkan usaha menangkis kempen anti-minyak sawit terhadap komoditi negara, dan dalam usaha meningkatkan prestasi industri minyak sawit.

6. Saya amat yakin beliau akan melaksanakan peranan baharunya di MPOB dengan penuh komitmen dan dedikasi.

TERESA KOK
MENTERI INDUSTRI UTAMA
7 Ogos 2018
Putrajaya

mpi
KENYATAAN MEDIA

MALAYSIA AKAN MENCALONKAN PAKARNYA UNTUK SERTAI PANEL ILUC SURUHANJAYA EROPAH

BRUSSELS, Belgium (Okt. 7, 2018): Malaysia akan mencalonkan pakar tempatan untuk menyertai panel Perubahan Kegunaan Tanah Secara Tidak Langsung (Indirect Land Use Change, ILUC) Suruhanjaya Eropah yang boleh memberi impak kepada penggunaan minyak sawit dalam campuran bio bahanapi di bawah Perintah Tenaga Boleh Baharu (Renewable Energy Directive, RED II) Eropah.

Menteri Industri Utama Teresa Kok menyambut baik inisiatif Suruhanjaya Eropah ini yang akan membenarkan perundingan diadakan antara pengeluar minyak sawit, termasuk pakar minyak sawit Malaysia mengenai prinsip-prinsip saintifik utama di bawah ILUC.

“Proses rundingan ini amat penting kerana kita tidak mahu minyak sawit kita didiskriminasi,” kata beliau yang mengetuai misi minyak sawit ke Switzerland, Sepanyol dan Belgium.

Kok disertai oleh pegawai atasan Kementerian Industri Utama, Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Majlis Minyak Sawit Malaysia, Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.

Rombongan ini telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa pegawai tinggi Kesatuan Eropah di sini termasuk Encik Karmenu Vella, Pesuruhjaya Eropah untuk Alam Sekitar, Hal Ehwal Maritim dan Perikanan; Ketua Pengarah Alam Sekitar, Pendidikan, Pengangkutan dan Tenaga Majlis Kesatuan Eropah, Dr. Jaroslaw Pietras dan Pengarah Urusan (Asia Pasifik) European External Action Services, Encik Gunnar Wiegand.

ILUC secara amnya tidak disokong oleh pihak industri dan pakar akademik disebabkan ianya berdasarkan prinsip-prinsip yang belum dibuktikan. Sememangnya, asas bagi definisi konsep ILUC belum disahkan secara universal, termasuk di kalangan negara Kesatuan Eropah. Malaysia bimbang bahawa ini mungkin akan

menentukan penggunaan minyak sawit masa depan sebagai sebahagian daripada mandat RED II Kesatuan Eropah.

“Panel pakar Suruhanjaya Eropah akan melawat Malaysia pada akhir bulan ini untuk mengadakan perbincangan dengan pakar kita mengenai isu-isu ini. Pakar-pakar kita akan menyertai panel ini," kata Kok.

Menteri turut menegaskan bahawa amat penting bagi panel pakar Suruhanjaya Eropah berkenaan ILUC ini untuk melihat secara dekat amalan penanaman dan pemprosesan minyak sawit Malaysia supaya mereka menghargai kerumitan yang kita lalui dalam menghasilkan minyak sawit mampan.

Langkah ini dianggap positif memandangkan terdapat kebimbangan bahawa Suruhanjaya Eropah akan menggunakan kriteria ILUC untuk menyekat secara berperingkat minyak sawit dalam mandat Perintah RED II Suruhanjaya Eropah.

“Malaysia bersedia untuk mendengar dan berunding secara aktif dalam sebarang perbahasan mengenai ILUC. Walau bagaimanapun, kita menegaskan bahawa ILUC tidak sepatutnya menindas minyak sawit atau minyak sayuran lain.

"Sekiranya kriteria yang mentakrifkan ILUC tidak berlandaskan prinsip-prinsip saintifik yang diterima pakai, Malaysia akan menggunakan pelbagai forum rundingan dan perdagangan antarabangsa untuk mendapatkan hasil yang saksama bagi eksport minyak sawit kita," katanya.

Di Madrid, Sepanyol, Kok juga telah bertemu dengan Menteri Perdagangan Indonesia Bapak Enggartiasto Lukita untuk membincangkan cabaran bersama yang dihadapi minyak sawit di Eropah.

Kedua-dua pihak berpendapat bahawa tindakan-tindakan termasuk label "Tiada Minyak Sawit" pada produk, adalah satu diskriminasi.

Oleh itu, Malaysia dan Indonesia, sebagai negara pengeluar yang bergantung kepada eksport minyak sawit untuk KDNK yang sihat, bersetuju secara prinsip untuk bekerjasama dalam mempertahankan kepentingan minyak sawit dan mengatasi tanggapan negatif terhadap komoditi eksport ini.

"Sebagai pengasas Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (Council of Palm Oil Producing Countries, - CPOPC), kami berhasrat untuk mengukuhkan keanggotaan CPOPC dengan mendaftar negara-negara pengeluar minyak sawit lain sebagai ahli, dan menggunakan Majlis antarabangsa ini untuk menangani cabaran yang dihadapi di Eropah," katanya.

Kok turut menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia akan terus berdialog dengan pelbagai institusi di Eropah untuk menangani isu penindasan minyak sawit.

Kementerian Industri Utama
7 Oktober 2018

YB Puan Teresa Kok, Menteri Industri Utama menyampaikan cenderahati kepada Encik Karmenu Vella, Pesuruhjaya Eropah Alam Sekitar, Hal Ehwal Maritim dan Perikanan sejurus selepas perjumpaan pada 5 Oktober 2018.