KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA PERJANJIAN PENANAMAN SATU JUTA POKOK HUTAN DI SABAH ANTARA MAJLIS MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOC) DAN JABATAN PERHUTANAN SABAH (JPS)
1. Pada hari ini, YB Teresa Kok, Menteri Industri Utama dan YB Datuk Christina Liew, Timbalan Ketua Menteri Sabah telah menyaksikan satu perjanjian dimeterai di antara Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) yang diwakili oleh Datuk Dr Kalyana Sundram, Ketua Pegawai Eksekutif dan Datuk Mashor Mohd Jaini, Ketua Konservator Hutan mewakili Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) dan bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah.
2. Perjanjian ini adalah bagi menzahirkan hasrat MPI bekerjasama dengan JPS untuk menanam 1 juta pokok hutan di Lower Kawag iaitu sebahagian dari Kawasan Hutan Simpan Ulu Segama Malua.
3. Inisiatif ini adalah susulan daripada kempen Sayangi Sawitku yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 24 Mac 2019. Inisiatif tersebut telah dilancarkan bagi menangkis serangan kempen anti minyak sawit yang mengancam industri sawit terutamanya kepada golongan pekebun kecil yang melebihi setengah juta orang.
4. Menyedari kepentingan berkaitan peranan industri sawit di Malaysia, kempen ini diharap dapat menanam sikap bangga kepada negara dan lebih menghargai minyak sawit Malaysia dengan tumpuan kepada kepentingan sosio-ekonomi, kesihatan, nutrisi, penggunaan sebagai bahan makanan dan bukan makanan.
5. Penanaman 1 juta pokok telah dikenal pasti sebagai salah satu program di bawah kempen Sayangi Sawitku yang melibatkan aktiviti perhutanan semula. Program ini menyasarkan penanaman sebanyak 1 juta pokok spesis hutan dalam tempoh 10 tahun. MPI dan JPS telah mengenal pasti kawasan seluas 2,500 hektar hutan terosot di Lower Kawag, Hutan Simpan Ulu Segama Malua sebagai permulaan bagi program penanaman semula hutan.
6. MPOC telah diberi peranan untuk menerajui penanaman semula pokok spesies hutan dengan kerjasama JPS. Peruntukan bagi program ini akan disumbangkan oleh industri sawit Malaysia dan lain-lain pembiayaan yang diterima melalui MPOC sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat dan sosial industri.
PAMERAN PRODUK KOKO BANGUNAN UTAMA PARLIMEN 4 JULAI 2019 (KHAMIS)
1. Kementerian Industri Utama mengadakan Pameran Produk Koko di Bangunan Utama Parlimen pada 4 Julai 2019 (Khamis) dalam usaha mempromosikan produk agrikomoditi khususnya produk berasaskan koko dalam kalangan pihak berkepentingan.
2. Pameran sehari ini bertujuan memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia mengenai kebaikan dan khasiat produk berasaskan koko tempatan dan seterusnya meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap produk koko buatan tempatan khususnya yang dibangunkan menggunakan teknologi Lembaga Koko Malaysia.
3. Sektor koko secara khusus telah menyumbang sebanyak RM5.55 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun 2018. Destinasi eksport koko dan produk berasaskan koko Malaysia meliputi 128 buah negara dan Singapura, Indonesia, Jepun, Amerika Syarikat dan China merupakan pasaran utama.
4. Dalam tempoh 2011 sehingga tahun 2018, sumbangan sektor koko kepada KDNK telah menunjukkan peningkatan pada kadar purata tahunan sebanyak 4.6% setahun. Pada tahun 2018, sektor koko menyumbangkan sebanyak RM 1,441 juta kepada KDNK. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 4.6% berbanding RM 1,377 juta pada tahun sebelumnya. Sektor koko menyumbang sebanyak 0.1% kepada KDNK negara.
5. Perkembangan positif ini didorong khususnya oleh pembangunan pesat industri hiliran koko merangkumi produk coklat, makanan, farmaseutikal dan kosmetik. Produk berasaskan koko seperti coklat, lemak koko, serbuk koko dan pes koko di Malaysia mempunyai liputan pasaran yang luas dan diterima baik oleh pengguna peringkat antarabangsa. Nilai eksport coklat khususnya adalah sebanyak RM1.03 bilion pada 2018 iaitu peningkatan sebanyak RM162.42 juta atau 18.7% berbanding tahun 2017 sebanyak RM868.60 juta.
6. Pameran sedemikian ini dapat menjana pertumbuhan pelaburan baharu dalam sektor pembuatan produk koko khususnya coklat dan konfeksi koko dan seterusnya meningkatkan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Justeru itu, hasrat Malaysia menjadi King of Chocolate di rantau Asia dapat direalisasikan.
Malaysian Cocoa, Naturaly Nutritious Koko Malaysia, Khasiatnya Sejati
KENYATAAN MEDIA MALAYSIA DAN DELEGASI SYARIKAT CHINA KUKUHKAN KERJASAMA DALAM BIDANG KOMODITI
Menteri Industri Utama YB Teresa Kok telah mengadakan pertemuan dengan delegasi syarikat-syarikat China dalam usaha kerajaan mengembangkan pasaran produk komoditi tempatan ke negara China di Kementerian Industri Utama hari ini. Lima memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara syarikat-syarikat China dan Malaysia, antaranya memasarkan produk lada dan minyak sawit merah.
MoU pertama ditandatangani oleh: 1. Mr. Dong Ge (Pengerusi Lembaga Supply & Marketing International Trade Market Management (Guang Dong) Co., Ltd.) 2. Mr. Stanley Liew Joo Kong (Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia)
MoU kedua ditandatangani oleh: 1. Mr. Dong Ge (Pengerusi Lembaga Supply & Marketing International Trade Market Management (Guang Dong) Co., Ltd.) 2. Mr. Mohd Haris Mohd Arshad (Ketua Pegawai Operasi, Sime Darby Plantation Berhad (SDPB)
MoU ketiga ditandatangani oleh: 1. Mr. Zhao He Zhang (Pengarah Urusan Zhong Nong Hui Min (Shenzhen) Information Technology) 2. Mr. Zahrin bin Haris (Green Tree Concept Sdn Bhd)
MoU keempat ditandatangani oleh: 1. Mr. Zhao He Zhang (Pengarah Urusan Zhong Nong Hui Min (Shenzhen) Information Technology) 2. Ms. Eunice Ong (Pengarah Ecoria Resources Sdn Bhd)
MoU kelima ditandatangani oleh: 1. Mr. Zhao He Zhang (Pengarah Urusan Zhong Nong Hui Min (Shenzhen) Information Technology) 2. Mr. Daniel Yong (Pengarah Kami Food Services Sdn Bhd)
MoU ini akan membuka peluang yang baik kepada sektor komoditi negara untuk meneroka pasaran di Negara China.
Majlis pemeteraian MOU ini memperlihatkan minat dalam kalangan syarikat-syarikat China untuk melabur dan menjalankan usahasama dalam sektor komoditi Malaysia.
Perjanjian yang termeterai hari ini merupakan antara hasil lawatan YB Teresa Kok ke China pada Mei lepas dalam misi mempromosikan produk komoditi utama negara.
KENYATAAN MEDIA PERTEMUAN BILATERAL BERSAMA MENTERI PERDAGANGAN THAILAND, HON. MR. SONTIRAT SONTIJIRAWONG
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah mengadakan pertemuan bilateral bersama Menteri Perdangangan Thailand, Hon. Mr. Sontirat Sontijirawong di Kuala Lumpur.
2. Pertemuan tertutup tersebut turut dihadiri oleh pegawai-pegawai tertinggi kementerian daripada kedua-dua negara dan telah membincangkan isu-isu berkaitan perdagangan industri berasaskan komoditi seperti sawit dan getah.
3. Berkenaan komoditi sawit, Datuk Seri Mah Siew Keong telah mengalu-alukan kesediaan Kerajaan Thailand untuk berkerjasama bersama Malaysia dan Indonesia dalam menentang Kesatuan Eropah (EU), sekiranya badan eksekutif EU berkeras untuk mengadaptasi sekatan perdagangan terhadap minyak sawit sebagai sebahagian daripada perundangan rasmi EU.
4. Kesediaan Thailand untuk berkerjasama juga menggambarkan kesepakatan serta ketegasan negara-negara pengeluar utama minyak sawit untuk menentang ketidakadilan dan penindasan berterusan Parlimen EU terhadap komoditi sawit.
5. Oleh yang demikian, Datuk Seri Mah Siew Keong menegaskan bahawa komitmen Thailand juga membuktikan bahawa Malaysia tidak bersendirian dalam memperjuangkan nasib lebih 3 juta 2 pekebun kecil sawit di rantau ASEAN dan usaha penentangan ini mendapat sokongan padu daripada negara-negara pengeluar minyak sawit yang lain.
6. Selain daripada itu, Datuk Seri Mah Siew Keong juga telah menyifatkan kenyataan bersama selepas pertemuan Menteri-Menteri Luar ASEAN baru-baru ini di Singapura untuk terus menyokong perkembangan industri sawit mapan adalah sebuah pendirian konsisten yang bertepatan dengan semangat kebersamaan negara-negara angota ASEAN.
7. Negara-negara pengeluar utama sawit di rantau ASEAN seperti Indonesia, Malaysia dan Thailand akan menggunakan semua ruang yang ada bagi menentang sekatan yang diusulkan parlimen EU, termasuklah melalui kerangka ASEAN.
8. Pada sidang ASEAN tahun lalu (2017) di Manila, ketua-ketua negara ASEAN juga telah mengeluarkan kenyataan bersama untuk menyokong perkembangan industri sawit mampan dan perkara ini turut dibawa kepada perhatian President EU, Donald Tusk oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato‘ Seri Muhammad Najib Tun Razak bersama Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo.
9. Bagi komoditi getah pula, perbincangan kedua-dua belah pihak telah tertumpu berkenaan langkah-langkah untuk menstabilkan harga pasaran getah dunia.
10. Dalam hal ini, Datuk Seri Mah Siew Keong telah memberikan jaminan bahawa Malaysia akan patuh terhadap kouta eksport getah asli seperti yang telah dipersetujui melalui skim AETS (Agreed Export Tonnage Scheme) pada Mesyuarat Khas ITRC (International Rubber Tripartite Countries) pada 22hb Disember 2017.
11. Pada mesyuarat tersebut, ketiga-tiga negara ITRC telah bersetuju untuk mengehadkan eksport getah asli kepada 350,000 tan untuk tempoh 3 bulan pertama tahun 2018 dan kesediaan negara-negara ITRC untuk mematuhi kouta yang diperuntukkan adalah 3 penting bagi memastikan mekanisme ini dapat memberikan impak positif terhadap harga pasaran getah asli global.
12. Selain merupakan negara pengeluar serta pengeksport getah asli terbesar dunia, Thailand juga merupakan negara ke-tiga terbesar pengeluar minyak sawit dunia dengan anggaran pengeluaran hampir 2.5 juta tan minyak sawit pada tahun 2017.
DATUK SERI MAH SIEW KEONG MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI MALAYSIA 10hb Februari 2018
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong menyerahkan Syiling Peringatan Ulang Tahun Industri Minyak Sawit Malaysia ke-100 Tahun kepada Menteri Perdagangan Thailand, Hon. Mr. Sontirat Sontijirawong.
Sempena 100 hari pertama sejak saya dilantik selaku Menteri Industri Utama (MPI), saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberi kepercayaan kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan memimpin negara Malaysia yang kita cintai.
Saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga MPI, pemegang taruh (stakeholders) serta agensi dan majlis di bawahnya yang telah bersama-sama saya menerajui dan mengemudi Kementerian Industri Utama.
Pada hari pertama saya mengadakan sidang media setelah dilantik menjadi Menteri MPI, saya telah mengumumkan empat (4) fokus utama dalam memperkasakan sektor komoditi negara, iaitu:
i) Meningkatkan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan dengan memberi perhatian khusus kepada pendekatan mesra pelabur dan mesra perniagaan; ii) Memelihara kebajikan rakyat yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti sektor komoditi seperti pekebun kecil, pengusaha ladang, pengilang dan pekerja industri komoditi; iii) Meningkatkan usaha untuk mengukuhkan pasaran sedia ada produk-produk komoditi serta meneroka pasaran-pasaran baharu; dan iv) Memantapkan industri hiliran sektor komoditi dengan memperbanyakkan produk-produk nilai tambah tinggi yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak pasaran antarabangsa.
Kita semua sedia maklum bahawa sektor komoditi terutamanya sawit dan getah telah menerima pelbagai cabaran domestik dan global seperti isu kemampanan, harga pasaran yang tidak konsisten, tekanan pasaran Eropah terhadap produk sawit, dan lain-lain. Cabaran-cabaran ini memerlukan satu pendekatan strategik yang komprehensif dan holistik bagi mengimbangi kelangsungan sektor ini.
Justeru, saya ingin berkongsi beberapa pelaksanaan dan perkembangan positif berkaitan industri komoditi sehingga Oktober 2018 iaitu seperti berikut:
i) Sempena lawatan kerja yang diketuai oleh YAB Perdana Menteri pada 17 hingga 24 Ogos 2018, Kementerian telah mengadakan misi untuk mengukuhkan pasaran komoditi kita di peringkat global. Saya telah menyertai lawatan rasmi ini dalam konteks melebar luas pasaran komoditi di negara China. Hasilnya beberapa perjanjian persefahaman (MoU) telah dimeterai seperti:
a. kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan Universiti Tsinghua, Beijing berhubung penggalakan dan promosi bio bahan api Malaysia di negara China. b. MoU antara Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan Hainan State Farm Investment Holdings Group Co. Ltd berkaitan penggunaan teknologi penurapan jalan menggunakan getah (Rubberised Bitumen Road) dan penorehan getah mengggunakan teknologi automasi dan mekanisasi. c. MOU antara Sime Darby Plantation Berhad dengan China National Cereals, Oils and Foodstuffs Corporation (COFCO) Group dalam pembangunan teknikal aplikasi untuk sektor hiliran minyak sawit dan produk-produk berasaskan sawit.
ii) Sebagai lanjutan daripada lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke negara China, saya telah mengetuai misi ekonomi, promosi dan pelaburan di Beijing dan Guangzhou, China. Delegasi yang terdiri daripada agensi-agensi di bawah MPI telah bertemu dengan pemain-pemain industri komoditi sektor swasta di negara China.
iii) Saya juga telah mengetuai misi ke Switzerland dan negara Kesatuan Eropah iaitu Sepanyol dan Belgium dari 28 September hingga 6 Oktober 2018. Misi ini bertujuan meningkatkan usaha promosi minyak sawit dan produk berasaskan sawit di Eropah.
Kami telah bertemu dengan Menteri-Menteri, Ahli-Ahli Parlimen, pegawai-pegawai atasan, industri serta NGO untuk menyampaikan hasrat negara dan memberi penjelasan berhubung pengurusan industri komoditi sawit serta pendirian Malaysia terhadap kempen anti sawit yang dimainkan di Eropah.
Saya telah memberi ucaptama di Malaysian Palm Oil Roundtable Dialogue di Bern, Switzerland dan di European Palm Oil Conference di Madrid, Sepanyol. Saya berharap satu momentum positif akan tercapai antara Malaysia dan Eropah dalam beberapa perkara penting berkaitan industri komoditi sawit.
iv) Berkenaan dengan pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO), usaha telah dipertingkatkan lagi untuk mencapai pensijilan mandatori MSPO menjelang tahun 2020 di seluruh negara, termasuk negeri Sabah yang telah memberi komitmen penuh untuk melaksanakan MSPO.
v) Penggunaan bio bahan api berasaskan sawit perlu diperluaskan bukan sahaja untuk meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam negara tetapi sebagai usaha mengurangkan pelepasan karbon. Sehubungan dengan itu, Kementerian merancang untuk meningkatkan adunan program biodiesel ke B10 (campuran 10% ester metil sawit (PME) dengan 90% petroleum diesel) bagi sektor pengangkutan, dan memperkenalkan program B7 (campuran 7% PME dengan 93% petroleum diesel) bagi sektor industri.
Jumlah eksport bagi sektor agri komoditi telah mencatat sebanyak RM84.9 bilion dalam tempoh Januari – Ogos 2018, dengan sumbangan sektor sawit sebanyak RM45.4 bilion atau RM53.5% daripada keseluruhan nilai eksport.
Ini diikuti dengan sektor getah (nilai eksport RM20.8 bilion) dan sektor perkayuan (RM14.6 bilion). Gabungan sektor komoditi yang lain seperti koko dan lada mencatat RM3.6 bilion. Negara menyaksikan penurunan kadar nilai eksport sebanyak 9.2% kepada RM84.9 bilion disebabkan harga pasaran komoditi dunia yang tidak menentu.
Dari aspek imbangan dagangan sektor agri komoditi bagi tahun ini sehingga 31 Ogos 2018, sektor komoditi telah mencatat imbangan dagangan berjumlah RM58.5 bilion. Daripada ini, sektor sawit dan produk berasaskan sawit telah menyumbang sebanyak RM39.1 bilion atau 66.8% daripada jumlah keseluruhan.
Manakala sektor perkayuan telah mengatasi sektor getah iaitu menyumbang sebanyak RM11.2 bilion berbanding dengan sektor getah (RM8 bilion). Gabungan sektor komoditi yang lain seperti koko dan lada mencatat angka imbangan dagangan sebanyak RM493.9 juta.
Maka, sektor komoditi berada di tangga kedua selepas sektor elektronik dan elektrik yang mencatat nilai imbangan dagangan sebanyak RM72.8 bilion. Saya yakin dengan usaha-usaha yang telah dan sedang dijalankan ini, sektor komoditi akan terus maju ke hadapan dan kekal sebagai penyumbang eksport utama negara. Pada masa yang sama, ia mampu terus membela dan menjadi sumber pendapatan kepada lebih satu juta rakyat Malaysia yang berkecimpung dalam sektor ini.