ARKIB MEDIA

 

jata.png

 KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN, TIMBALAN MENTERI INDUSTRI UTAMA
PROGRAM BICARA KENAF DAN PENYERAHAN KUNCI RUMAH KENAFCRETE, LEMBAGA KENAF DAN TEMBAKAU NEGARA BERSAMA MASYARAKAT
DI KG. SOLOK PUNGGAI,
AYER MOLEK, MELAKA


 

 OKTOBER 2019 (JUMAAT), 3.00 PETANG

  1. Pada hari ini, 4 Oktober 2019, YB Timbalan Menteri Industri Utama telah menyempurnakan Program Bicara Kenaf dan Penyerahan Kunci Rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) menggunakan kenafcrete yang dianjurkan oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di Kampung Solok Punggai, Ayer Molek, Melaka.
  1. Program Promosi Kenaf ini diadakan untuk mempromosikan kepelbagaian produk dan inovasi berasaskan kenaf dengan kerjasama Agensi Kerajaan, Institusi Penyelidikan dan pihak swasta.
  1. Kementerian melalui LKTN akan terus meningkatkan kebolehpasaran produk dan meneroka pasaran baharu bagi industri hiliran, usaha berterusan akan dilaksanakan agar permintaan produk bernilai tambah berasaskan kenaf yang bersifat mesra alam sekitar (environmentally friendly) dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri termasuklah pembinaan.

 

  1. Program Penyerahan Kunci Rumah PPRT pula merupakan salah satu program Corporate Social Responsiblity (CSR) yang dilaksanakan oleh Kementerian melalui LKTN dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk mempromosikan penggunaan IBS Kenaf bagi pembinaan rumah.
  1. Rumah dengan keluasan 600 kaki persegi ini hanya mengambil masa selama 30 hari untuk disiapkan dengan anggaran kos sebanyak RM55,000. Rumah yang dibina adalah rumah batu 3 bilik dengan keluasan 660 kaki persegi, menggunakan pelan yang telah diluluskan oleh KPLB. Ini membuktikan bahawa kenaf boleh digunakan dalam industri pembinaan terutama dalam pembinaan rumah mampu milik bagi golongan B40.
  1. Kementerian bersama-sama dengan LKTN akan terus memastikan pelbagai program dan inisiatif yang berkaitan dengan pembangunan industri kenaf dipertingkat. Ini penting agar industri kenaf dapat dibangunkan sebagai salah satu agri-komoditi bagi menjana pendapatan serta memberi manfaat kepada rakyat khususnya dan negara amnya.

KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
4 OKTOBER 2019

KENYATAAN MEDIA
YB TERESA KOK MENTERI INDUSTRI UTAMA
PAMERAN PRODUK BERASASKAN BULUH OLEH LEMBAGA PERINDUSTRIAN KAYU MALAYSIA (MTIB)
DI BANGUNAN UTAMA PARLIMEN | 8 OKTOBER 2019 (SELASA)


1. Pada hari ini, 8 Oktober 2019, YB Menteri Industri Utama (MPI) telah menyempurnakan Pameran Produk Berasaskan Buluh yang dianjurkan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

2. Buluh sememangnya sinonim dengan masyarakat Malaysia dengan produk kraftangan dan kegunaan harian. Seiring dengan perkembangan semasa, pelbagai inovasi dan produk novelty telah dikembangkan. Diantaranya adalah produk perabot, papan laminasi, lantai dan fabrik.

3. Secara umumnya, sumbangan ekonomi industri buluh Malaysia adalah masih kurang di mana nilai eksport produk buluh pada tahun 2018 bernilai RM9.9juta berbanding dengan saiz pasaran buluh global yang dianggarkan sebanyak USD68.8bilion setahun. Produk di bawah kategori other articles of wood daripada buluh merupakan penyumbang utama eksport Malaysia pada tahun 2018 dengan nilai sebanyak RM3.8juta diikuti oleh wood charcoal bernilai RM2.5juta dan tableware & kitchenware dengan nilai RM1.5juta.

4. Pembangunan industri buluh secara kluster akan dimulakan dengan penubuhan tapak semaian buluh di Taman Industri Perabot Lahat, Ulu Kinta, Perak seluas 1.7hektar (4.2 ekar). Pembangunan ini selari dengan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia untuk tahun 2011-2020 yang menggariskan pembangunan industri buluh secara menyeluruh. Selain itu, pembangunan makmal tisu kultur untuk pengeluaran benih buluh dan penyelidikan untuk penghasilan sumber pokok buluh induk yang berkualiti dengan anggaran pengeluaran sebanyak 100,000 anak benih buluh sebulan juga sedang dirangka dan akan dilaksanakan mulai tahun 2020 dengan peruntukan awal sebanyak RM7juta.

5. Antara produk yang dipamerkan daripada pelbagai spesies buluh dalam pameran ini adalah bamboo strip, bamboo slips, bamboo plank, perabot buluh, basikal buluh, gitar buluh, lantai buluh, dinding buluh, tapak lampu buluh, arang buluh, beg buluh, aksesori buluh, produk fabrik buluh dan sebagainya.

6. Buluh juga turut digunakan sebagai komponen di dalam industri pembinaan dan dikenali sebagai ‘keluli hijau.’ Produk daripada buluh ini telah digunakan untuk pembinaan bangunan ikonik seperti Menara Jam Buluh di Pengkalan Hulu, Perak dan Masjid Buluh di Gua Musang, Kelantan.

7. Pameran produk buluh ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada umum mengenai potensi buluh yang versatil dan mesra alam selain dilihat sebagai pendapatan sumber ekonomi baharu yang boleh diterokai. Program ini juga dilihat bertepatan dengan hasrat Kementerian ini untuk mengetengahkan buluh sebagai sumber bahan mentah alternatif selain kayu.

8. Kementerian bersama-sama dengan MTIB akan terus memastikan pelbagai program dan inisiatif yang berkaitan dengan pembangunan industri buluh akan dipertingkatkan. Inisiatif ini adalah penting agar industri buluh dapat dibangunkan sebagai salah satu agri-komoditi bagi menjana pendapatan serta memberi manfaat kepada rakyat khususnya dan negara amnya.

KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
8 OKTOBER 2019

 

KENYATAAN MEDIA YB TERESA KOK MENTERI INDUSTRI UTAMA
PROGRAM DAN INSENTIF KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
DI BAWAH BAJET 2020 | 11 OKTOBER 2019


1. Kementerian Industri Utama (MPI) merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri di atas pembentangan Belanjawan 2020 bertemakan “Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama” oleh YB Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober 2019.

2. MPI diperuntukkan sebanyak RM670.15 juta iaitu RM259.52 juta untuk perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM410.62 juta melalui Belanjawan 2020 ini.

3. MPI akan memberi komitmen yang tinggi dalam usaha untuk terus memacu pertumbuhan industri agrikomoditi negara ke satu tahap yang lebih tinggi. MPI telah bersedia dengan program dan inisiatif untuk meneruskan usaha-usaha meningkatkan sumbangan sektor agrikomoditi kepada pengukuhan ekonomi negara berpaksikan empat teras Belanjawan 2020 berikut:

Teras 1:
Memacu Pertumbuhan Ekonomi Dalam Ekonomi Baharu dan Era
Digital

Teras 2:
Pelaburan Ke Atas Rakyat: Meningkatkan Keupayaan Modal Insan

Teras 3:
Mewujudkan Masyarakat Yang Bersatu, Inklusif dan Saksama

Teras 4:
Memulihkan Institusi dan Kewangan Awam.

4. Melalui Teras 1, Strategi Ke-4 Belanjawan 2020: Mengukuhkan Kepelbagaian Ekonomi, Kerajaan menumpukan kepada usaha menambah nilai kepada sektor komoditi secara khusus melalui program-program berikut:

(i) Dana pinjaman penanaman semula kelapa sawit berjumlah RM550 juta untuk pekebun kecil tanpa cagaran pada kadar faedah 2% setahun. Tempoh pinjaman adalah selama 12 tahun termasuk tempoh moratorium selama 4 tahun ke atas pembayaran balik. Penanaman semula akan dijalankan menggunakan teknik semaian terkini serta mematuhi piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk memastikan produktiviti dan kebolehpasaran yang lebih baik.

(ii) Peruntukan RM27 juta untuk menyokong usaha Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam meluaskan pasaran minyak sawit di peringkat antarabangsa dan menangani Kempen Anti Minyak Sawit.

(iii) Untuk meningkatkan penggunaan biodiesel, program B20 untuk sektor pengangkutan akan dilaksanakan menjelang akhir tahun 2020. Ini dijangka meningkatkan permintaan minyak sawit sebanyak 500,000 tan setahun.

(iv) Peruntukan RM100 juta untuk Insentif Pengeluaran Getah (IPG) pada tahun 2020 bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang terjejas akibat kejatuhan harga getah.

(v) Peruntukan RM30 juta geran padanan R&D untuk menggalakkan kerjasama di antara industri dan ahli akademik bagi meningkatkan nilai tambah dalam penggunaan minyak sawit di sektor hiliran terutamanya tocotrienol dalam produk farmaseutikal dan bahan api biojet.

(vi) Peruntukan RM150 juta sebagai galakan program integrasi tanaman seperti cili, nenas, kelapa, tembikai dan buluh dalam usaha membantu petani dan pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan.

5. Dengan unjuran pertumbuhan ekonomi global yang menurun kepada 3.2% pada Julai 2019 berbanding 3.9% pada Julai 2018, tahun 2020 dilihat sebagai tahun yang mencabar kepada sektor agri-komoditi. Namun demikian, MPI akan terus memberi tumpuan kepada sektor industri utama yang merupakan penyumbang yang signifikan kepada pembangunan ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat luar bandar.

Kementerian Industri Utama
11 Oktober 2019

jata4
KENYATAAN MEDIA

KENYATAAN MENTERI INDUSTRI UTAMA YB TERESA KOK PADA 13 SEPTEMBER 2019 DI HO CHI MINH, VIETNAM


Saya melahirkan kebimbangan berhubung kenyataan dari pihak berkuasa Indonesia yang telah menyita ladang anak syarikat milik empat syarikat ladang kelapa sawit utama Malaysia. Ini berikutan kebakaran yang dikatakan berpunca dari ladang terbabit. Ini satu tuduhan yang sangat serius.

Daripada rekod kami, empat syarikat Malaysia yang dinamakan adalah antara syarikat penanaman kelapa sawit yang paling dihormati. Mereka mengamalkan amalan penanaman lestari yang disahkan melalui MSPO, RSPO, ISCC atau gabungan sistem pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Mereka yang akrab dengan industri akan menjamin bahawa tindakan pembakaran terbuka seperti tuduhan terkini akan mengakibatkan pemberhentian status pensijilan mereka bukan sahaja di Indonesia tetapi sepanjang operasi mereka termasuk di Malaysia. Tindakan sedemikian akan menjadi tidak produktif terhadap status perniagaan mereka.

Saya tidak dapat memberi ulasan terhadap siasatan dan laporan dari Indonesia sehingga saya mendapat akses kepada laporan siasatan.

Bagaimanapun, empat syarikat berkenaan telah dihubungi dan memaklumkan bahawa mereka komited bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk memperbetulkan dakwaan tersebut dengan segera.

Tindakan sedemikian juga sangat tidak masuk akal kerana saya tetap bimbang bahawa tuduhan-tuduhan itu akan digunakan oleh aktivis anti-kelapa sawit yang boleh menyebabkan menjejaskan Indonesia dan Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit utama.

Saya juga akan berbincang dengan rakan sejawat saya dari Indonesia dan berharap dapat menyelesaikan masalah ini dengan cepat dan mesra.

TERESA KOK
MENTERI INDUSTRI UTAMA
13 SEPTEMBER 2019

mpi
KENYATAAN MEDIA


MISI EKONOMI DAN PROMOSI KE ARAB SAUDI
PADA 22 – 26 APRIL 2019

1. Kementerian Industri Utama (MPI) akan mengadakan misi ekonomi dan promosi ke Arab Saudi mulai 22 – 26 April 2019 yang diketuai oleh YB Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Timbalan Menteri Industri Utama. Delegasi yang akan disertai oleh pegawai kanan Kementerian dan agensi di bawah Kementerian akan mengadakan beberapa pertemuan dengan pemain industri sawit dan di Arab Saudi.

2. Pertemuan dengan pihak berkepentingan ini diadakan bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan perdagangan minyak sawit, meneroka peluang pasaran dan rakan dagangan baru serta memperkukuhkan jaringan rangkaian perdagangan untuk meningkatkan import minyak sawit dan produk kayu negara. Selain itu, pertemuan ini juga dapat memberi ruang bagi Malaysia menerangkan usaha-usaha yang telah dilaksanakan dalam memastikan pengeluaran minyak sawit mampan serta kebaikan minyak sawit kepada kesihatan.

3. Arab Saudi merupakan antara pasaran terbesar bagi eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit serta kayu dan produk kayu Malaysia dalam kalangan negara-negara Timur Tengah. Pada tahun 2018, nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit serta kayu dan produk kayu ke Arab Saudi adalah sebanyak RM1.49 billion. Rantau Timur Tengah dilihat sebagai antara destinasi eksport produk komoditi yang berpotensi untuk dikembangkan dan seterusnya meningkatkan lagi syer pasaran produk komoditi di pasaran antarabangsa.

4. Misi ini merupakan salah satu langkah berterusan Kementerian untuk mempromosikan eksport produk komoditi. Aktiviti-aktiviti yang telah dirancang sepanjang misi ini termasuk persidangan, perbincangan dengan pihak industri dan lawatan kerja diharapkan dapat mempromosikan eksport industri komoditi negara dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara.

Kementerian Industri Utama
23 April 2019