SITUASI ISU BURUH DALAM SEKTOR PERLADANGAN SAWIT MALAYSIA
1. Susulan beberapa insiden yang melibatkan penahanan eksport produk agrikomoditi Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) oleh United States Customs and Border Protection (US CBP) kebelakangan ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ingin memberi penjelasan mengenai situasi buruh paksa di sektor perladangan sawit yang dilihat mempunyai hubungan dengan sekatan tersebut.
2. Tidak dinafikan, AS merupakan pasaran penting serta antara penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport agrikomoditi seperti produk sawit negara. Bagi tempoh Januari-Julai 2020, jumlah eksport agrikomoditi ke negara berkenaan bernilai RM11.8 bilion. Pada tahun 2009, sektor sawit Malaysia telah dimasukkan di dalam senarai The Department of Labor’s List of Goods Produced by Child Labor or Forced Labor oleh Jabatan Buruh AS (DOL) atas dakwaan menggunakan buruh paksa selaras dengan peruntukan undang-undang negara tersebut iaitu Trafficking Victims Protection Reauthorization Act (TVPRA). Ini diikuti dengan dakwaan penggunaan buruh kanak-kanak pada tahun 2014.
3. Isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak khususnya yangmelibatkan warga asing adalah kompleks kerana melibatkan faktor penentu yang unik dan berbeza bagi setiap negara serta berkait rapat dengan latar belakang ekonomi, perbezaan struktur sosiobudaya, peraturan dan undang-undang tempatan. Justeru, KPPK telah mengambil langkah permulaan menangani isu ini melalui pelaksanaan kajian awal situasi buruh dalam sektor perladangan sawit pada tahun 2014.
4. Pada tahun 2018, KPPK dengan kerjasama Pertubuhan BuruhAntarabangsa (ILO) selaku perunding teknikal kajian telah melaksanakan kajian menyeluruh situasi buruh di sektor perladangan sawit Malaysia. Ia dijalankan bagi memastikan hasil kajian yang lebih komprehensif.
5. Sebagai makluman, KPPK telah membentangkan kajian situasi buruh sektor perladangan sawit Malaysia dan telah diterima oleh Kabinet pada 24 Julai 2020. Dalam hal ini, laporan akhir kajian menyeluruh itu akan dikemukakan kepada DOL dan ILO sebagai salah satu inisiatif untuk mengeluarkan sektor perladangan sawit Malaysia daripada Senarai TVPRA. Langkah ini diharap dapat mengelakkan sekatan ke atas produk agrikomoditi negara pada masa hadapan.
6. KPPK akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pemegangpemegang taruh bagi mencari penyelesaian efektif untuk menangani isu tersebut. Selain itu road show turut dijalankan bagi memberi pemahaman dan penjelasan mengenai keperluan pematuhan syarat-syarat perburuhan untuk memastikan tiada amalan sedia ada boleh dikaitkan dengan buruh paksa. Namun, ia adalah proses berterusan dan akan memakan masa.
7. Malaysia komited mengenai isu perburuhan dalam sektor perladangan komoditi ini di mana elemen kawalan perburuhan telah dimasukkan sebagai salah satu syarat pelesenan ladang sawit di bawah pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang berkuat kuasa secara mandatori mulai 1 Januari 2020.
8. Pemahaman mengenai kewujudan buruh paksa dan buruh kanakkanak dalam konteks ekonomi dan budaya Malaysia serta usaha kolektif pelbagai pihak dalam isu ini amat penting untuk meyakinkan komuniti antarabangsa tentang komitmen utuh dan kesediaan kerajaan dalam usaha untuk menangani isu-isu terbabit dalam berkenaan khususnya dan sektor agrikomoditi amnya.
YB DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 1 Oktober 2020
IBS KENAF PEMANGKIN PENJANAAN PENDAPATAN BAHARU KONTRAKTOR TEMPATAN
1. YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali hari ini menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Pengenalan Keusahawanan Sistem Binaan Berindustri (IBS) Kenaf Peringkat Terengganu yang bertujuan memberi pendedahan kepada kumpulan sasar khususnya dalam sektor pembinaan berkaitan penggunaan dan pemasangan IBS kenaf di negeri ini.
2. Kursus sehari anjuran Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di Hotel Paya Bunga, Kuala Terengganu, Terengganu ini akan dijadikan sebagai platform kepada penggiat industri untuk mempromosi dan seterusnya menarik lebih ramai golongan berkenaan mengadaptasi penggunaan teknologi IBS berasaskan kenaf bukan sahaja di negeri ini malah diperluas ke negeri-negeri lain.
3. Pelaksanaan kursus ini juga selaras dengan tumpuan kementerian untuk meningkatkan kebolehpasaran produk berasaskan kenaf yang bersifat mesra alam sekitar, dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri pembuatan termasuk pembinaan.
4. Program khusus ini dirangka oleh LKTN turut mendapat kerjasama daripada pihak swasta. Seramai 50 peserta yang terdiri daripada kontraktor pembinaan tempatan telah terpilih menghadiri kursus ini.
5. Kursus ini bukan sahaja diharap dapat meningkatkan pengetahuan para peserta malah turut membuka peluang dalam menjana pendapatan dan mewujudkan jaringan perniagaan melalui aktiviti pemadanan perniagaan.
6. Selain itu, ia juga bakal mewujudkan usahawan-usahawan baharu dalam industri pembinaan berasaskan IBS kenaf bukan sahaja di Terengganu malah ke negeri-negeri yang lain.
7. Kementerian akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program-program berkaitan pembangunan modal insan dan pemindahan teknologi kepada pihak-pihak yang berkepentingan demi memastikan pembangunan industri ini diperkasa bagi menjamin sosioekonomi serta memberi manfaat kepada rakyat khususnya dan negara amnya.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Kuala Terengganu 12 September 2020
MSPO MAMPU TINGKATKAN KUALITI KEMAMPANAN INDUSTRI SAWIT CHINA
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini merasmikan Forum Minyak Sawit Mampan Malaysia-China secara maya yang diadakan di Chongqing, China. Forum bertemakan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) - “Sinergi ke Arah Persekitaran, Sosial dan Ekonomi yang Lebih Baik” adalah bertujuan untuk menggalakkan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan dan kerjasama dalam penerimaan MSPO di Negara Tembok Besar. Ia adalah medan untuk membincangkan kerjasama pemimpin dan penggiat industri China dalam pembangunan mampan industri sawit yang dihadiri oleh lebih 150 penggiat industri minyak dan lemak negara tersebut.
2. Sokongan dan penerimaan MSPO, membolehkan industri minyak sawit China meningkatkan imej korporat di samping memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dan merealisasikan Dasar Hijau Negara China. MSPO akan membantu memaparkan imej positif para pengeluar negara berkenaan menyokong usaha Malaysia meningkatkan taraf hidup pekebun kecil sawit serta melengkapkan matlamat Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China bagi mencapai pembangunan sosioekonomi di kedua-dua buah negara.
3. Industri agrikomoditi terutamanya minyak sawit, adalah salah satu tonggak utama ekonomi Malaysia. Sektor sawit telah banyak menyumbang kepada pendapatan eksport yang berterusan melalui agrikomoditi mentah dan produk bernilai tambah ke pasaran global. Pada tahun 2020, minyak sawit telah menyumbang sebanyak AS$18.3 bilion (RM73.3 bilion) manakala sehingga Ogos 2021, subsektor ini mencatatkan sebanyak RM63.7 bilion.
4. Kerajaan Malaysia telah memberi mandat kepada MSPO pada tahun 2020 dengan matlamat untuk meningkatkan pembangunan mampan industri sawit negara. Melalui skim pensijilan ini, Malaysia berhasrat untuk membasmi kemiskinan dengan meningkatkan taraf hidup pekebun kecil sawit dan Orang Asli, menggalakkan perlindungan alam sekitar serta meningkatkan ekonomi. Dengan Dasar Hijau Negara China dan ‘Dual Carbon Goals’ yang diperkenalkan pada awal tahun ini, China menjangkakan permintaan yang lebih besar untuk MSPO dan produk mesra alam pada tahun-tahun akan datang.
5. Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) telah menggiatkan pelbagai usaha sama dengan China seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara MPOB dan Universiti Tsinghua bagi pelaksanaan biodiesel di China serta kerjasama dengan Pusat Pembangunan Makanan Hijau China untuk mempromosi MSPO.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Putrajaya 18 Oktober 2021