ARKIB MEDIA

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
KPPK TERUS PANTAU TREND PENURUNAN HARGA GETAH DEMI MEMASTIKAN
NASIB PEKEBUN KECIL TERBELA
________________________________________________________________________

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melihat situasi kejatuhan harga getah pada masa ini sebagai satu keadaan yang secara langsung memberi kesan kepada pekebun kecil getah di seluruh negara serta rantaian yang terlibat. Harga getah pada ketika ini telah mengalami kejatuhan sebanyak 11.7% bagi tempoh Julai hingga Ogos, yang mana harga peringkat ladang telah merosot kepada RM2.50 – RM2.80 sekilogram berbanding RM3.00 sekilogram semasa tempoh enam bulan pertama tahun ini.


2. Kementerian telah meneliti perkara ini dan mendapati terdapat beberapa faktor yang menyebabkan harga getah yang rendah ini. Antaranya disebabkan oleh prospek ekonomi global yang lembab berikutan aktiviti kilang global yang lebih perlahan, peningkatan kos bahan mentah dan tenaga global, peningkatan lebihan stok getah asli dunia serta kemerosotan prospek harga minyak mentah akibat kebimbangan pengurangan permintaan minyak disebabkan oleh kelembapan ekonomi dunia.


3. Pada masa sama, kebimbangan mengenai hubungan perdagangan Amerika Syarikat-China serta ketidaktentuan daripada konflik Rusia-Ukraine juga dilihat antara faktor geopolitik yang turut menyebabkan penurunan harga getah. Bahkan, faktor pasaran serantau dan faktor ekonomi global diyakini memberi pengaruh besar ke atas pergerakan harga getah dalam negara, memandangkan Malaysia hanya mengeluarkan 4% daripada keseluruhan pengeluaran getah dunia.


4. Menyedari perkara berkenaan, Kementerian bersama-sama agensi di bawahnya iaitu Lembaga Getah Malaysia (LGM) serta Majlis Getah Malaysia (MRC) komited untuk memastikan nasib pekebun kecil terus dilindungi, menerusi inisiatif yang berterusan dilaksanakan termasuk:
i. Insentif Pengeluaran Getah (IPG)
Kerajaan telah melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sejak tahun 2015 bertujuan untuk mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil ketika harga getah rendah di samping menggalakkan aktiviti penorehan. Melalui pelaksanaan IPG,pekebun kecil akan menerima harga getah peringkat ladang (50% kandungan getah kering) sekurang-kurangnya pada harga RM2.50 sekilogram. Usaha ini dilakukan demi memastikan kebajikan para pekebun kecil dan industri getah secara keseluruhannya terjamin.
ii. Insentif Pengeluaran Lateks (IPL)
Bagi setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program ini, mereka akan menerima insentif tunai sebanyak RM1.00 sekilogram bagi 100% kandungan getah kering (KGK). Para peserta juga menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850.00 bagi setiap hektar secara sekali beri (one-off). Manakala bagi koperasi atau pelesen runcit getah yang menyertai program IPL ini pula, mereka akan memperoleh manfaat bantuan pembinaan baru atau tambah baik pusat pengumpulan lateks (PMG) berjumlah RM50,000 atau kemudahan alat mengumpul lateks serta perkakasan yang berkaitan dengannya.
iii. Tender secara atas talian (MyRol)
MyROL merupakan salah satu kaedah pemasaran getah melalui kaedah tender secara atas talian. Melalui MyRol, kecekapan rantaian nilai getah peringkat ladang dapat ditingkatkan yang mana pekebun akan menikmati harga yang lebih kompetitif kerana getah yang dijual berkualiti tinggi di samping kuantiti yang banyak hasil dari jualan secara berkelompok.
iv. Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET)
Pelaksanaan Projek TARGET melalui Konsep Koperasi Pekebun Dan Pengusaha Ladang Getah Tempatan bertujuan untuk menyatukan pekebun kecil, usahawan getah dan koperasi kecil dalam satu konsortium yang besar agar mampu memproses getah sekerap (cuplump) kepada bentuk getah krip. Getah krip yang mempunyai Kandungan Getah Kering (KGK) yang lebih tinggi dapat memberikan harga jualan yang lebih baik berbanding getah sekerap.
v. Taklimat dan hebahan berkenaan kualiti getah
LGM turut mengadakan taklimat beserta hebahan berkenaan Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), IPG, RRIMniaga dan isu-isu berkaitan getah kepada pekebun kecil. Taklimat berkenaan kualiti getah diadakan untuk mendidik dan membanteras kegiatan mencemar getah secara sengaja di kalangan pekebun kecil supaya mereka mendapat harga getah yang lebih baik. Ini kerana kualiti getah turut mempengaruhi harga yang diterima oleh pekebun kecil.
vi. Permit Autoriti Transaksi-Getah atau PAT-G
Permit ini diberi secara percuma kepada pekebun kecil dan wajib digunakan semasa melakukan transaksi penjualan getah milik pekebun kecil kepada pembeli getah yang berlesen dengan LGM. Dengan adanya pengenalan ini, ianya bukan sahaja dapat mengekang kes kecurian getah, namun bertindak sebagai pemudah cara kepada setiap pelaksanaan program dan inisiatif yang dijalankan Kerajaan melibatkan pekebun kecil getah seperti perlaksanaan IPG dan IPL. Di samping itu, ia membantu mewujudkan rantaian yang boleh dikesan (traceability)
dalam memastikan kelestarian industri getah.
vii. RRIMniaga
RRIMniaga adalah inovasi LGM yang merupakan satu aplikasi telefon pintar bagi tujuan merekodkan urus niaga getah oleh pelesen (peniaga getah). Aplikasi ini diinovasikan bagi memudahkan urusniaga getah. Melalui penggunaan RRIMniaga, proses jual beli getah adalah lebih mudah dan proses penyaluran bantuan seperti tuntutan IPG dan IPL bagi pemohon yang layak akan dilakukan secara automatik dalam talian. Justeru, penggunaan sistem RRIMniaga secara tidak langsung membantu menjaga kebajikan pekebun kecil getah.
viii. Bantuan tanaman semula getah
Kerajaan melalui RISDA telah menaikkan kadar bantuan tanam semula getah. Kadar bantuan tanam semula ini telah dinaikkan bermula tahun 2021 kepada RM13,710 per hektar di Semenanjung Malaysia, RM14,805 per hektar di Sarawak dan RM14,955 per hektar di Sabah. Bagi tahun sebelumnya iaitu dari 2010-2020, kadar bantuan tanam semula getah adalah RM9,230 sehektar di Semenanjung, RM13,500 (Sarawak) dan RM14,000 (Sabah). Kementerian komited untuk membela nasib pekebun kecil dan melindungi sektor getah yang
merupakan komoditi kedua terbesar negara. Trend kejatuhan harga getah akan terus dipantau dan saya sendiri akan memastikan segala inisiatif terlaksana bagi memastikan sektor getah negara terus mampan.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
07 SEPTEMBER 2022

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

SEKTOR AGRIKOMODITI CATAT PENDAPATAN EKSPORT RM68 BILION PADA JANUARI-APRIL 2021

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini merasmikan Webinar Kenaf Siri 1/2021 bertajuk Hala Tuju Industri Kenaf. Program ini turut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

2. Webinar ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kumpulan sasar yang terlibat berkaitan perkembangan semasa industri kenaf, hala tuju industri selaras dengan dasar-dasar sedia ada seperti Pelan Induk Pembangunan Kenaf (PIPK), Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020 dan lain-lain lagi.

3. Selain itu, program-program pembangunan kenaf yang telah dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia di samping inisiatif berterusan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bagi memperkasa sektor ini melalui Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 juga turut dikongsikan dalam webinar ini.

4. Sektor agrikomoditi mencatatkan pendapatan eksport sebanyak RM68.1 bilion atau 17.6 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara bagi tempoh Januari sehingga April 2021. Nilai eksport komoditi turut mencatatkan pertumbuhan yang memberansangkan dengan peningkatan sebanyak 66.5 peratus berbanding 40.9 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.

5. Dalam usaha menyokong pembangunan industri kenaf, Kerajaan menyediakan pelbagai insentif dan inisiatif kepada kumpulan sasar yang terlibat. Antaranya ialah insentif tanaman, bantuan sokongan bahan mentah, fasiliti dan teknologi pemprosesan, khidmat nasihat dan sebagainya.

6. Dianggarkan seramai 500 peserta menyertai webinar ini dari pelbagai sektor seperti agensi awam dan swasta, institusi pendidikan dan penyelidikan, persatuan, pemain industri serta usahawan kenaf. LKTN juga merancang untuk mengadakan dua sesi webinar dalam masa terdekat dengan memberi tumpuan kepada penemuan hasil penyelidikan dan inovasi oleh institusi pengajian tinggi dan agensi penyelidikan serta usahawan kenaf yang terlibat dalam pembangunan produk kenaf.

7. Selaras dengan matlamat Kementerian ini untuk meningkatkan kebolehpasaran produk serta meneroka pasaran baharu, usaha konsisten akan terus dilaksanakan agar permintaan produk berasaskan kenaf yang mempunyai nilai tambah tinggi dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor industri termasuklah pembinaan, biokomposit, dan lain-lain lagi.

8. Kementerian melalui LKTN akan terus memastikan program-program yang berkaitan dengan pembangunan industri dan modal insan seperti webinar ini terus diadakan secara berterusan. Ia penting agar aspirasi Kerajaan dalam memastikan industri kenaf terus berkembang pesat walaupun dalam situasi mencabar penularan pandemik COVID-19 dapat diteruskan.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
8 Julai 2021

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
INDUSTRI KOMODITI PERLU PEKA DENGAN PERATURAN BURUH PAKSA
CBP BAGI MENGELAK SEKATAN KEMASUKAN KE US
___________________________________________________________________

1. Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat telah menjelaskan kepada media Malaysia pada Khamis lalu (2 Jun), bagaimana mereka memperoleh bukti dakwaan buruh paksa serta prosedur siasatan yang telah dilakukan. Hasil siasatan CBP itu telah menyebabkan produk daripada enam firma Malaysia masih dilarang daripada memasuki pasaran negara itu akibat Perintah Penahanan Pelepasan (WRO).


2. Walaupun Malaysia tidak sepenuhnya bersetuju dengan tindakan CBP, namun agensi penguatkuasaan berkenaan mempunyai hak prerogatif untuk mengambil tindakan berdasarkan apa yang pada ketika itu dianggap sebagai maklumat yang mereka perolehi.


3. KPPK tidak berniat untuk mempertikai hak prerogatif ini, tetapi dakwaan ini adalah tidak adil dan berat sebelah. Sekatan kemasukan minyak sawit dan produk minyak sawit Malaysia (dan selepas itu, sarung tangan getah) hanya berdasarkan tuduhan buruh paksa yang dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan-kumpulan lain. Namun begitu, CBP dalam
memperincikan laluan yang diambil dan tindakan seterusnya terhadap beberapa syarikat, telah menyatakan bahawa siasatannya dilakukan berdasarkan maklumat, analisis dan andaian yang munasabah.


4. Dalam hal ini, minyak sawit Malaysia dan produk berkaitan minyak sawit mungkin terpaksa bersaing secara langsung dengan minyak kacang soya, di mana AS merupakan pengeluar utama di dunia dan pengeksport kedua tertinggi.


5. Berdasarkan keadaan ini dan selepas CBP menjelaskan bagaimana keputusan larangan ini diambil, pemain industri Malaysia terutama dalam sektor perladangan dan sarung getah yang berintensif buruh perlu mengambil kira sensitiviti CBP dan mencari pelan tindakan supaya tidak dikenakan WRO sekali lagi, dengan tuduhan buruh paksa.


6. Sehubungan ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menghargai usaha Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) untuk bekerjasama dengan CBP dalam isu tadbir urus isu buruh asing dan tempatan.


7. Difahamkan bahawa MARGMA telah menerajui usaha sedemikian sejak 2018 apabila ia mendukung dasar hutang sifar dan turut memulakan tindakan pemulihan yang perlu diambil oleh setiap ahli untuk memisahkan mereka daripada stigma buruh paksa, menggunakan 11 petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).


8. MARGMA juga telah membentuk Unit ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) dan satu pasukan petugas untuk mendidik dan menyedarkan ahli-ahli persatuan itu dan pekerja mereka mengenai 11 petunjuk ILO mengenai buruh paksa. Usaha giat ini dilakukan melalui kerjasama dengan ILO dan kedutaan/suruhanjaya tinggi AS, UK dan Kesatuan Eropah (EU) di Malaysia.

YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
8 JUN 2022

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA
SEKTOR AGRIKOMODITI LADA TERUS KUKUH MENYUMBANG KEPADA PENINGKATAN EKONOMI LUAR BANDAR

1. Sektor agrikomoditi lada adalah subsektor agrikomoditi yang berpotensi besar dan mesti terus dibangunkan bagi memberi manfaat khususnya kepada pekebun kecil meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran.


2. Lawatan kerja sehari oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin ke Ibu Pejabat Lembaga Lada Malaysia (MPB) hari ini adalah bertujuan untuk memastikan dasar dan hala tuju subsektor ini terus berada pada landasannya iaitu sebagai penyumbang terpenting kepada pembangunan ekonomi luar bandar membabitkan seramai 36,689 pekebun kecil dengan 7,718 hektar keluasan tanaman di seluruh negara terutamanya di Sarawak.


3. Kerjasama serantau harus diteroka berikutan senario industri lada di peringkat global memperlihatkan trend positif berdasarkan harga lada di pasaran semasa serta permintaan dan penawaran yang berpotensi besar untuk berkembang maju.


4. Pada masa yang sama, MPB juga mengorak langkah dengan mewujudkan aktiviti kawal selia pasaran yang bertujuan untuk memastikan perniagaan lada dijalankan mengikut undang-undang serta memastikan jaminan terhadap kualiti produknya yang dieksport mematuhi gred yang dipersetujui untuk memelihara prestij dan reputasi lada Malaysia agar lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa.


5. Selain itu, penubuhan anak syarikat Saraspice Sdn. Bhd. yang bakal beroperasi sepenuhnya Oktober 2021 dapat memperkukuhkan lagi kedudukan sektor industri lada di pelbagai peringkat dengan menjadi pembekal unggul lada Sarawak yang berkualiti tinggi dan lestari kepada pelanggan di seluruh dunia serta lebih berdaya saing dalam memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa.


6. Justeru dengan pelbagai perkembangan positif ini termasuk trend kenaikan harga lada dunia sejak tahun lalu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berharap ia akan terus berkembang kukuh di Malaysia.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Kuching
8 September2021

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
IPOSC 2022 SEBAGAI PLATFORM MENENTANG KEMPEN FITNAH
ANTI-SAWIT BLOK BARAT


1. Persidangan Kelestarian Minyak Sawit Antarabangsa Ke-7 2022 (IPOSC 2022), yang bakal diadakan pada 13 September 2022 akan menjadi platform yang penting untuk Malaysia menyangkal kempen fitnah blok Barat terhadap komoditi emas negara.


2. Persidangan yang diadakan setiap dua tahun sekali bertemakan "Mengalih Pematuhan Kemampanan kepada Pengawasan Kemampanan” pada tahun ini akan menyaksikan para pakar terkemuka berkongsi pandangan tentang perkembangan terkini dan cadangan penyelesaian untuk cabaran kemampanan semasa.


3. IPOSC telah bermula sejak tahun 2008 dan persidangan ke-7 ini akan diadakan di Kuala Lumpur, selepas persidangan terakhir yang diadakan secara dalam talian pada 2020 akibat pandemik COVID19. Persidangan yang merupakan sebahagian daripada usaha agresif Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui kempen "Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit" ini akan menentang maklumat salah dan palsu mengenai minyak emas Malaysia.


4. IPOSC 2022 bertujuan untuk menjadi platform mengemas kini perkembangan yang relevan dan baru dalam isu kemampanan dalam industri sawit kepada pihak berkepentingan mengenai. Ia merupakan inisiatif dalam mengemas kini maklumat semasa industri minyak sawit Malaysia kepada pihak berkepentingan global sebagai maklum balas terhadap kebimbangan mereka dalam isu kemampanan. Ia termasuk isu-isu karbon sifar bersih dan usaha penyahkarbonan, pembiayaan hijau dan peluang ‘Environmental, Social, and Governance’ (ESG), serta perundangan antarabangsa berkaitan penebangan hutan yang akan memberi kesan kepada komoditi seperti minyak sawit.


5. Industri minyak sawit Malaysia kini berada di barisan hadapan inisiatif kemampanan, yang merangkumi pensijilan kemampanan, pelaporan kemampanan dan tadbir urus ESG. Malaysia ingin terus meletakkan industri minyak sawitnya sebagai peneraju dalam kemampanan dan penglibatan ESG.


6. Antara topik yang bakal dibincangkan dalam IPOSC 2022 adalah peluang dan kekangan dalam isu sifar bersih dan penyahkarbonan dalam industri minyak sawit, selaras dengan komitmen global untuk mencapai neutraliti karbon seawal 2050.


7. Inisiatif-inisiatif untuk menangani halangan dalam perdagangan global dan pemecut kemampanan dalam sektor kewangan, pengguna dan biofuel juga akan dibincangkan merangkumi
peranan pembiayaan hijau, pelaburan ESG dan pensijilan biofuel berisiko rendah ‘Indirect Land Use Change’ (ILUC).


8. Satu lagi topik perbincangan adalah impak perundangan berkaitan penebangan hutan terhadap potensi industri minyak sawit yang meneliti implikasi peraturan baharu di negara maju, bertujuan untuk membendung penggunaan dan import komoditi yang dikaitkan dengan penebangan hutan, serta peranan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) yang baru dalam menangani isu ini.


9. Secara konsisten, kajian telah menunjukkan bahawa minyak sawit lebih mesra alam berbanding dengan tanaman minyak lain. Sebagai contoh, minyak sawit adalah sinki karbon yang lebih cekap dan penggunaan baja juga kurang selian menghasilkan lebih banyak minyak untuk sehektar berbanding dengan ‘rapeseed’, kacang soya dan bunga matahari.


10. KPPK yakin persidangan ini akan melonjakkan status Malaysia sebagai pemimpin global dalam pengurusan mampan industri minyak sawit dan seterusnya membantu menyangkal dakwaan tidak berasas dari Barat. Industri minyak sawit Malaysia bukan  penyebab kerosakan ekologi, dan ini adalah fakta.

YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
8 SEPTEMBER 2022