ARKIB MEDIA

 Jata

KENYATAAN MEDIA
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

MENGENAI BELANJAWAN 2021 MEMBABITKAN SEKTOR KOMODITI

1. Saya mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang membentangkan Belanjawan 2021 dengan tema ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ di Parlimen hari ini. Belanjawan ini adalah bagi memulihkan semangat rakyat dan negara kembali merancakkan ekonomi negara kita ketika serangan wabak COVID-19.

2. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz khususnya dan kerajaan amnya yang amat prihatin dengan perkembangan rancak sektor komoditi negara apabila Insentif Pengeluaran Getah (IPG) ditingkatkan sekali ganda daripada RM150 juta kepada RM300 juta. Dengan kenaikan ini, pendapatan 150,000 pekebun kecil getah persendirian daripada keseluruhan 450,000 dapat distabilkan dan memberikan kelegaan kepada mereka.

3. Selain itu, bagi pembangunan sektor komoditi, program pemilikan sijil Minyak Sawit Mampan dengan peruntukan RM20 juta akan diteruskan, bertujuan memastikan kualitiminyak sawit Malaysia terus dipertingkatkan serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

4. Dalam usaha memperkenalkan transformasi pengeluaran getah dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah, saya akan memastikan insentif pengeluaran lateks sebanyak RM16 juta secara padanan yang bakal dimulakan di Koridor Lateks Pantai Timur merangkumi Pahang, Tengganu dan Kelantan dimaksimumkan pelaksanaannya.

5. Bagi bidang kayu-kayan pula, saya menyambut baik pembukaan kawasan perindustrian perabot di Pagoh, bagi merancakkan industri perkayuan dan menambah peluang pekerjaan bakal menjadi lembaran baru sektor ini di selatan tanahair. Keprihatinan kerajaan terhadap usaha kementerian saya mengangkat sektor hiliran kayu-kayan ini membuktikan bahawa ia mampu menyumbang kepada ekonomi negara yang lebih mampan.

6. Selain itu, penyediaan dana pusingan berjumlah RM500 juta bagi program Pinjaman Pembangunan Ladang Hutan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) khusus untuk pembangunan ladang hutan yang berkeluasan 4 hektar dan ke atas, akan menggalakkan lagi usaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyediakan bekalan mentah kayu-kayan khususnya bagi industri baharu seperti buluh, eucalyptus dan kayu karas ke tahap yang lebih tinggi dalam usaha merancakkan kelangsungan ekonomi negara.

7. Saya juga amat menghargai keprihatinan empat syarikat sarung tangan utama negara iaitu Top Glove, Hartalega, Supermax dan Kossan yang telah menyatakan komitmen untuk menyumbang sebanyak RM400 juta bagi memerangi wabak COVID-19 selain sudi untuk menampung sebahagian kos vaksin COVID-19 serta kos perbelanjaan peralatan. Syabas diucapkan kepada semua syarikat ini. Saya berharap lebih banyak syarikat tampil melakukan tindakan sama sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

8. Justeru, saya amat berharap Belanjawan 2021 ini disokong oleh semua Ahli Parlimen demi kemakmuran ekonomi rakyat dan negara kita khususnya dalam mendepani pandemik wabak COVID-19 ketika ini. Marilah kita bersama-sama bersatu mengangkat belanjawan ini demi rakyat.

 

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Putrajaya
6 November 2020

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

INDUSTRI AGRIKOMODITI DI PERINGKAT HULUAN
DAN HILIRAN SEKTOR LADA TERUS DIPERKASA

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini melakukan lawatan kerja ke Johor bagi meninjau kemajuan industri lada peringkat huluan serta hiliran di FELDA Inas Utara, Kulai dan di Taman Universiti Skudai, Johor Darul Takzim.

2. Di FELDA Inas Utara, beliau menyampaikan bantuan Skim Tanaman Baharu Lada (STBL) kepada 23 penerima yang merupakan pekebun Komuniti Lada FELDA Inas. Terdahulu YB Menteri menyerahkan dua mesin pemprosesan lada di bawah Skim Pembiayaan Pembangunaan Pemasaran Lembaga Lada Malaysia (MPB) kepada syarikat NIS Spice Manufacturing Sdn Bhd dan Herba Bagus Sdn Bhd yang merupakan usahawan hiliran bimbingan MPB.

3. Beliau turut melancarkan produk terbaharu keluaran syarikat NIS Spice Manufacturing Sdn. Bhd iaitu Black Pepper Seasoning Mix di kilang milik syarikat berkenaan di Taman Universiti Skudai, Johor Program Lawatan ke Kebun Lada dan Usahawan Hiliran Lada di Johor itu.

4. Sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM40.7 juta bagi pemberian bantuan STBL di seluruh negara. Daripada jumlah berkenaan, seramai 270 penerima dari Semenanjung telah memperoleh manfaat daripada skim bantuan tersebut dengan jumlah keluasan tanaman 42.5 hektar.

5. MPB juga telah mengagihkan sejumlah 34 unit mesin kepada 15 usahawan di seluruh negara bernilai RM275,100 sepanjang tempoh RMK-11. Selain itu, seramai 160 usahawan telah menyertai dan mendapat manfaat daripada Program Pembangunan Usahawan yang dilaksanakan oleh MPB selari dengan usaha Kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan lada pada masa hadapan.

6. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan MPB berperanan merencana program-program pembangunan industri huluan serta hiliran lada. Ia dilaksanakan melalui penyaluran insentif-insentif bukan sahaja bertujuan membantu para pekebun kecil lada, tetapi juga untuk memperkasakan industri komoditi itu secara keseluruhannya agar setiap golongan sasaran akan menikmati manfaat daripada program tersebut.

7. Justeru, dalam usaha memperkasakan industri lada, semua pekebun kecil lada di seluruh Malaysia diseru untuk merebut peluang yang disediakan oleh Kerajaan melalui MPB. Potensi industri agrikomoditi lada perlu diteroka dengan menceburi sektor hiliran lada sebagai aktiviti perniagaan baru.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Kulai, Johor
7 Februari 2021

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

SKIM LATIHAN AGRIKOMODITI MAHIR (SLAM) SEKTOR PERKAYUAN BANTU SELESAI ISU TENAGA
KERJA INDUSTRI PERABOT

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Perabot Malaysia (MFC) bagi pelaksanaan Program Skim Latihan Agrikomoditi Mahir (SLAM) Sektor Perkayuan yang bertujuan untuk memperkasakan pembangunan modal insan sektor perkayuan negara.

2. Industri agrikomoditi khususnya operasi kilang sektor perabot banyak bergantung kepada pekerja asing. Sektor ini berdepan dengan cabaran yang serius untuk mendapatkan tenaga kerja sejak dunia dilanda pandemik COVID-19. Justeru, Kerajaan telah membuat keputusan untuk memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Usaha ini juga dapat mengurangkan kebergantungan sektor perabot terhadap pekerja asing.

3. SLAM dilaksanakan secara usahasama antara MTIB dan MFC iaitu melalui program latihan kemahiran yang menfokuskan kepada industri di lapangan. Jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua entiti ini dilihat sebagai platform terbaik untuk membantu mengatasi isu kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor ini. Sasaran program ini ialah bagi melahirkan tenaga kerja dalam kalangan belia tempatan yang berkemahiran menerusi modul yang dibangunkan secara rekaan khusus mengikut keperluan pihak industri. Bermula tahun 2021, seramai 500 belia tempatan yang berkemahiran akan dilahirkan menjelang tahun 2023 dan sejumlah RM750,000 akan diperuntukkan bagi keseluruhan program ini.

4. Modul latihan ini dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan yang melibatkan 30 peratus latihan secara teori dan 70 peratus latihan secara On Job Training (OJT) di kilang-kilang. Pelatih disediakan insentif latihan meliputi makan minum, penginapan, pengangkutan dan insuran secara percuma termasuk elaun bernilai RM500 sebulan.

5. Program SLAM Sektor Perkayuan ini diharap mampu menarik minat golongan belia dan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran di seluruh negara untuk bekerja dalam sektor perkayuan. Manfaat kerjasama di antara MTIB dan MFC ialah dari segi pembangunan modal insan tempatan berkemahiran dalam industri perabot. MTIB melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC) juga mempunyai kemudahan yang lengkap bertaraf Pusat Kecemerlangan (CoE) untuk memberi latihan dalam bidang perkayuan dan pembuatan perabot. Pelbagai latihan kemahiran berasaskan kayu dirangka dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk memperkasakan pembangunan modal insan yang sekali gus menyokong pertumbuhan sektor industri perkayuan di Malaysia.

6. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MTIB akan terus giat melaksanakan pelbagai program latihan kemahiran dan pembangunan modal insan bagi membantu menangani isu kekurangan tenaga kerja industri perkayuan, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan baru kepada belia-belia tempatan.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
7 Jun 2021
Putrajaya

 

 

Jata

KENYATAAN MEDIA
BELANJAWAN 2021: KOMITMEN PACU SEKTOR
PERLADANGAN DAN KOMODITI NEGARA


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan, YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Abdul Aziz di atas pembentangan Belanjawan 2021 bertemakan “Teguh Kita, Menang Bersama” di Dewan Rakyat semalam.

2. KPPK turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada kementerian ini dengan peruntukan sewajarnya dalam memacu pertumbuhan industri agrikomoditi negara ke tahap yang lebih tinggi. Komitmen kementerian adalah tidak berbelah bahagi dan bersedia melaksanakan program serta inisiatif ke arah pengukuhan ekonomi negara demi menyokong Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi.

3. Peruntukan sebanyak RM729,392,200 iaitu RM476,665,900 untuk perbelanjaan mengurus kementerian dan RM252,726,300 perbelanjaan pembangunan di bawah Belanjawan 2021. Ini bermakna KPPK menerima peningkatan sebanyak 8.84 peratus berbanding peruntukan tahun 2020.

4. Antara inisiatif utama KPPK yang diberi keutamaan sejajar dengan peranan kementerian dalam membangunkan Sektor Agrikomoditi di bawah Belanjawan 2021 adalah meliputi perkara-perkara seperti berikut:

 (i)  lnsentif Pengeluaran Getah (IPG) sebanyak RM300 juta ringgit iaitu peningkatan sekali ganda daripada RM150              juta pada tahun ini. Dengan kenaikan tersebut, pendapatan 150,000 pekebun kecil getah persendirian dapat              distabilkan dan akan menerima manfaatnya.

(ii)  Persijilan Minyak Sawit Mampan dengan peruntukan RM20 juta bagi merancakkan pertumbuhan dan meningkatkan daya saing industri sawit negara.

(iii) Geran padanan sebanyak RM30 juta ringgit untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi akan    diperkenalkan;

(iv) Insentif pengeluaran lateks sebanyak RM16 juta secara padanan bagi menggalakkan pengeluaran lateks                  berbanding cuplump di Koridor Timur merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan yang bakal dimulakan;

(v) Kawasan perindustrian perabot di Pagoh akan dibuka bagi merancakkan industri perkayuan dan menambah peluang pekerjaan;

(vi) Dana Pusingan berjumlah RM500 juta ringgit dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi program Pinjaman Pembangunan Ladang Hutan khusus untuk pembangunan ladang hutan berkeluasan 4 hektar dan ke atas;

5. Selain daripada itu, pekerja tempatan yang bekerja di sektor perladangan juga akan menerima manfaat daripada kerajaan di bawah insentif khas apabila sebanyak 60 peratus daripada gaji bulanan disediakan dengan 40 peratus disalurkan terus kepada majikan dan 20 peratus kepada mereka yang menggantikan pekerja asing. Insentif berkenaan diberikan untuk tempoh enam bulan bagi mengurangkan kebergantungan yang tinggi kepada pekerja asing.

6. Tahun 2021 merupakan tahun yang penuh dengan cabaran. Namun, KPPK akan terus gigih mendepani cabaran membangunkan industri agrikomoditi negara yang merupakan penyumbang signifikan kepada ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat di luar bandar. Kementerian yakin dan percaya bahawa peranan tersebut mampu digalas demi mencapai hasrat kerajaan dan rakyat.


YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
7 November 2020

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
BAJET 2023: SEKTOR AGRIKOMODITI NEGARA TERUS
DIPERKUKUH DEMI KEMAKMURAN BERSAMA


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, atas
pembentangan Bajet 2023 bertemakan ‘Keluarga Malaysia,Makmur Bersama’ di Dewan Rakyat hari ini.


2. Kementerian turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas peruntukan bagi memacu kelestarian industri Agrikomoditi negara. Komitmen KPPK tidak berbelah bahagi dan bersedia melaksanakan program, inisiatif dan polisi ke arah kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi, dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.


3. Bajet 2023 turut memperlihatkan bahawa Kerajaan mengambil pendekatan responsif, bertanggungjawab dan reformis dalam memenuhi keperluan rakyat dan perniagaan, serta memacu
pertumbuhan sosioekonomi yang mampan. Pembaharuan ekonomi yang ditekankan dalam Bajet 2023 ini menyasarkan semua rakyat Malaysia mendapat manfaat yang lebih besar, melalui peluang pekerjaan dan pendapatan lebih baik, kehidupan lebih sejahtera dan peluang sosioekonomi yang inklusif dan mampan.


4. Pada tahun 2021, sektor Agrikomoditi telah menyumbang sebanyak 6.1% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi nilai eksport sebanyak RM209.5 bilion. Kejayaan ini membuktikan sektor Agrikomoditi mampu untuk terus berdaya saing dalam menjana pendapatan serta meningkatkan ekonomi negara. Menerusi Bajet 2023, sebanyak RM495.9 juta diperuntukkan kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) merangkumi RM241 juta untuk perbelanjaan mengurus Kementerian dan RM254.8 juta perbelanjaan pembangunan.


5. Walaupun terdapat pengurangan sebanyak RM176 juta atau 26% berbanding peruntukan pada tahun lepas, Kementerian selaku peneraju sektor Agrikomoditi, komited untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara sekali gus menjadi penebat kepada ketidaktentuan ekonomi yang dijangka bakal berlaku pada tahun 2023.


6. Bajet 2023 memberi fokus kepada pembangunan sektor Agrikomoditi yang lebih bersasar terutamanya melibatkan perkaraperkara berikut:


(i) Insentif Pengeluaran Lateks diperkenalkan bersama dengan Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) untuk menambah baik rantaian bekalan bahan mentah getah
melalui koperasi;
(ii) RM315 juta untuk Program Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil bagi tujuan menggantikan pokok getah tua yang tidak lagi berhasil untuk manfaat 387,000 pekebun kecil;
(iii) RM40 juta untuk Program Pembangunan Semula Hasil Baharu bagi menggalakan pekebun kecil meneroka pendapatan baharu seperti tanaman makanan jangka pendek;
(iv) RM70 juta untuk Program Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi terus menambah baik tahap kelestarian dan menggalakkan kitaran semula bahan sisa sawit; dan
(v) Penyaluran Semula Hasil Levi Tambahan bagi menyokong majikan membiayai inisiatif automasi dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.


7. Tahun 2023 dijangka akan lebih mencabar berikutan ramalan inflasi yang bakal melanda dunia, namun KPPK bertekad untuk mendepaninya demi membangunkan industri Agrikomoditi;
menjamin kemampanan industri; produktiviti melalui penyelidikan; pembangunan, pengkomersilan dan inovasi; penjanaan nilai; pembangunan pasaran; dan keterangkuman dalam
memperluaskan dan mengimbangi kekayaan secara saksama.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
7 OKTOBER 2022