ARKIB MEDIA

KENYATAAN AKHBAR
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


PENGUMUMAN INSENTIF BARU UNTUK PELAKSANAAN
SKIM PENSIJILAN MALAYSIAN SUSTAINABLE PALM OIL (MSPO)
ISNIN, 2 OKTOBER 2017

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah mengadakan sesi dialog bersama wakil-wakil daripada syarikat-syarikat perladangan pada 27 September 2017 (Rabu). Objektif dialog adalah bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan mengenai Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

2. Sesi ini dihadiri oleh lebih daripada 120 pihak industri yang mewakili estet kecil dan sederhana di Semenanjung Malaysia. Mereka diberi taklimat mengenai ciri-ciri utama skim pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) termasuk piawaian, keperluan serta prosedur pensijilan MSPO.

3. Dalam sesi dialog tersebut para peserta pada dasarnya memberi sokongan penuh terhadap usaha yang diambil oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dengan mengambil kira beberapa perkara yang telah diusulkan.

4. Berikutan sesi dialog tersebut, YB Datuk Seri Mah Siew Keong mengumumkan bahawa Kerajaan akan menyediakan insentif kewangan untuk membantu mengurangkan kos memperolehi pensijilan MSPO. Insentif yang disediakan adalah seperti berikut:

a) untuk estet dengan keluasan tanaman melebihi 40.46ha hingga 1,000ha, 70% daripada kos pengauditan akan diberi;

b) untuk estet dengan keluasan 1,001ha dan ke atas, 30% daripada kos pengauditan akan diberi; dan

c) untuk kilang-kilang pemprosesan termasuk kilang buah sawit, kilang penapis dan kilang isirung sawit, 30% daripada kos pengauditan akan diberi.

Maklumat mengenai insentif boleh didapati di www.mpob.gov.my

5. Sehingga Ogos 2017, jumlah kawasan tanaman yang telah diberi pensijilan di bawah MSPO adalah 245,381 hektar. Kawasan tanaman ini merangkumi 237,509 hektar di bawah syarikat perladangan, manakala sejumlah 3,868 hektar adalah di bawah kategori pekebun kecil tersusun. Sejumlah 4,004 hektar adalah di bawah pekebun kecil persendirian. Setakat ini sebanyak 22 buah kilang telah mendapat pensijilan MSPO.

6. YB Datuk Seri Mah Siew Keong mewakili Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak industri di atas penglibatan dan kerjasama dalam memberi pandangan serta cadangan yang bernas dalam usaha membawa industri sawit ke tahap lebih tinggi dan telus serta mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
2 Oktober 2017

Dari kiri Datuk M.Nagarajan, Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), YB Datuk Datu Nasrun Bin Datu Mansur, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), YB Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Datuk K.Yogeesvaran, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).

KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


 

MAJLIS SUMBANGAN SEJUTA SARUNG TANGAN GETAH KEPADA
JABATAN KESIHATAN PERAK
21 MEI 2017
DATARAN MENARA CONDONG, TELUK INTAN, PERAK

1. Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi hari ini merasmikan program sumbangan ‘1 Juta Sarung Tangan Getah Perubatan” anjuran Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Hospital Teluk Intan.

2. Pada majlis tersebut, Datuk Seri Mah telah menyerahkan replika cek       1 juta sarung tangan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perak, disaksikan oleh lebih 200 tetamu jemputan terdiri daripada warga pejabat kesihatan negeri. Acara ini yang berlangsung di Dataran Menara Condong Teluk Intan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang awam yang telah turut menyertai saringan kesihatan dan program menarik lain yang disediakan oleh MREPC.

3. Sumbangan 1 juta sarung tangan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perak akan disalurkan ke hospital, klinik kesihatan, klinik pergigian dan pusat penjagaan kesihatan di seluruh negeri Perak. MREPC berharap inisiatif ini akan membantu Jabatan Kesihatan Negeri Perak bagi meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan di seluruh negeri Perak. Sumbangan sarung tangan getah ini merupakan siri sumbangan MREPC yang kedua, selepas siri pertama yang berjaya dilaksanakan tahun lepas di Kuching, Sarawak. Sebanyak 1 juta sarung tangan getah telah diedarkan ke hospital dan klinik di Sarawak.

4. Barangan getah Malaysia kini dieksport ke lebih 195 negara di seluruh dunia dengan nilai eksport meningkat tiga kali ganda daripada RM5.4 bilion pada tahun 2000 kepada RM18.2 bilion pada tahun 2016. Daripada jumlah eksport pada tahun 2016, sebanyak 73% atau RM13.3 bilion disumbangkan oleh sarung tangan getah perubatan. 

5. Sejak dua dekad yang lalu, Malaysia kekal mendominasi eksport sarung tangan getah dengan menguasai lebih daripada 60% pasaran dunia. Bagi tempoh 2012 hingga 2016, eksport sarung tangan perubatan meningkat dengan kadar purata 6% setiap tahun. Momentum peningkatan ini dijangka akan berterusan pada tahun 2017 dengan jumlah eksport dijangka mencecah RM14.1 bilion.

6. Walau bagaimanapun, penggunaan sarung tangan getah per kapita di negara-negara Asia, masih berada pada tahap yang rendah iaitu sebanyak 5.5 pasang setahun secara purata berbanding 75 pasang di Amerika Syarikat dan 50 pasang di Eropah. Penggunaan sarung tangan getah di negara China kini berada pada tahap 3 pasang per kapita, manakala di Malaysia ia adalah 10 pasang setahun. Potensi pasaran untuk negara-negara Asia, khususnya negara China, adalah sangat besar.

7. Program kesedaran dan pendidikan merupakan antara langkah penting bagi meningkatkan penggunaan sarung tangan getah dalam negara. Ini bertujuan bagi menjaga keselamatan pesakit serta melindungi kakitangan kesihatan daripada jangkitan penyakit. Sehubungan itu, MREPC telah menjalankan pelbagai program menerusi “Glove Awareness Programme” (GAP) bagi meningkatkan kesedaran kakitangan kesihatan dan orang awam mengenai kepentingan penggunaan sarung tangan. Ini sekaligus dapat menambah kadar penggunaan per kapita di Malaysia dan di negara-negara Asia yang lain kepada tahap 50 pasang seperti di Eropah menjelang tahun 2050.

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
21 Mei 2017

 

KENYATAAN MEDIA
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
DATUK SERI MAH SIEW KEONG


WOOD AND BIOFIBER INTERNATIONAL CONFERENCE 2017 (WOBIC2017)
21 NOVEMBER 2017, BANGI

1. Pada pagi ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah merasmikan persidangan antarabangsa, Wood and Biofibre International Conference 2017 (WOBIC 2017).

2. Persidangan ini dianjurkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula 21 sehingga 23 November 2017 di Hotel Bangi-Putrajaya, Bangi, Selangor.

3. Persidangan peringkat antarabangsa ini bertemakan “Lignocellulose for Future Bioeconomy” dan bertujuan untuk mengumpulkan hasil penyelidikan serta inovasi terkini berkaitan produk serta teknologi kayu, biofiber dan biojisim.

4. Persidangan ini telah menarik seramai hampir 200 peserta daripada 10 buah negara termasuk Kanada, Jepun, Belanda, Korea, China, Mesir, India, Indonesia, Tunisia dan Malaysia.

5. Penganjuran WOBIC 2017 ini juga melibatkan kerjasama pelbagai Kementerian termasuk Agensi di bawah MPIC seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).

6. Bagi tempoh Januari sehingga September 2017, sumbangan Industri Perkayuan kepada pendapatan eksport negara telah melebihi RM17 bilion, peningkatan sebanyak 6 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

7. Oleh yang demikian, penganjuran WOBIC 2017 ini adalah bukti komitmen berterusan Kerajaan untuk membangunkan industri perkayuan negara melalui sumber biomas kerana ia merupakan sumber pertumbuhan ekonomi baharu yang mesra alam.

8. Sebagai contoh, antara aspek yang diberi fokus oleh Kerajaan kini adalah pembangunan batang kelapa sawit (OPT).

9. Sepanjang tahun 2016, industri sawit negara telah menghasilkan 6.3 juta tan batang kelapa sawit kering yang berpotensi digunakan sebagai sumber alternatif bahan mentah bagi industri kayu.

10. Penggunaan OPT daripada sumber sawit mampu mengurangkan kebergantungan terhadap bahan mentah utama seperti kayu tropika dan kayu getah. Selain itu, ia juga dapat memastikan tanaman sawit digunakan sepenuhnya secara optimum.

11. Kesimpulannya, kerajaan berharap agar melalui penganjuran WOBIC 2017 serta kerjasama penyelidikan yang dijalankan dengan pihak UPM, sebuah pendekatan baharu bagi merancakkan pembangunan bahan mentah alternatif terutama OPT dapat dilaksanakan.

12. Kerajaan juga yakin bahawa produk biofiber dan bahan mentah alternatif seperti OPT dapat dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi baharu dan menyeru semua pihak mengambil peluang ini dalam memacu pembangunan industri biomas negara.

 

EXPORT EARNING FROM COMMODITY SECTOR (JAN. – SEP. 2017)

 

 Jan. – Sep.

2016

(RM billion)

 Jan. – Sep.

2017

(RM billion)

 Different 

(%)
 Total Export

Commodity
 RM88 billion  RM105 billion

 Increase

18%

EXPORT OIL PALM, RUBBER AND TIMBER INDUSTRY

 

 Jan. – Sep.

2016

(RM billion)

 Jan. – Sep.

2017

(RM billion)

 Different

(%)

 Oil Palm  RM49 billion  RM58 billion  19%
 Rubber  RM18 billion  RM24 billion  35%
 Timber  RM16 billion  RM17 billion  6%

KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


CADANGAN PENUBUHAN JAWATANKUASA KHAS EKONOMI DAN TEKNIKAL SAWIT ANTARA MALAYSIA-EU 
23 NOVEMBER 2017

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah turut menyertai delegasi rasmi Kerajaan Malaysia ke Rundingan Tahunan antara Malaysia dan Indonesia ke-12 yang telah berlansung di Kuching, Sarawak pada 22hb November 2017.

2. Semasa mesyuarat tahunan tersebut, delegasi daripada Malaysia yang diketuai oleh YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak telah membangkitkan isu berkenaan sekatan perdagangan yang sedang hangat dibahaskan oleh ahli-ahli parlimen Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit.

3. Datuk Seri Mah Siew Keong menyifatkan kenyataan bersama yang oleh Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Republik Indonesia adalah lambang sebuah pendirian kukuh dan amat bertepatan waktu bagi mempertahankan kepentingan sektor sawit kedua-dua negara.

4. Ketika persidangan tersebut, YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak telah menegaskan bahawa Malaysia dan Indonesia bersedia dan bersetuju untuk menggunakan segala platform yang ada untuk memastikan bahawa tindakan ahli-ahli Parlimen EU tersebut dapat dikekang secara saksama.

5. Oleh yang demikian, Datuk Seri Mah Siew Keong menyeru ahli-ahli Parlimen Kesatuan Eropah untuk menilai semula pendirian mereka terhadap sektor sawit kerana tindakan untuk mendiskriminasikan sawit adalah bertentangan dengan komitmen EU terhadap prinsip perdagangan bebas World Trade Organisation (WTO) dan juga bakal menggugat hubungan baik antara EU dan negara-negara pengeluar minyak sawit dunia, terutamanya Malaysia dan Indonesia.

6. Dalam hal ini, selepas pertemuan khas bersama salah seorang ahli parlimen EU, MEP Daniel Hannan, di Kuala Lumpur pada tanggal 17hb November 2017, Datuk Seri Mah Siew Keong berhasrat untuk mengumumkan bahawa Kerajaan Malaysia bercadang untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi dan Teknikal Sawit antara Malaysia-EU, yang turut bakal dianggotai oleh perwakilan khas daripada kedutaan negara-negara EU di Malaysia, bagi mengimbangi perbahasan berkenaan isu minyak sawit,

7. Penubuhan Jawatankuasa Khas tersebut adalah penting untuk memperkasakan peranan para perwakilan kedutaan negara-negara EU di Malaysia bagi memastikan bahawa maklumat yang disebarkan ke negara-negara EU adalah tepat dan tidak berat sebelah.

8. Cadangan penubuhan jawatankuasa khas tersebut juga membuktikan keterbukaan serta komitmen berterusan Kerajaan Malaysia untuk berkerjasama bersama negara-negara EU dalam isu-isu berkenaan pembangunan sektor sawit secara lestari dan mampan.

9. Kesimpulannya, Datuk Seri Mah Siew Keong menegaskan bahawa publisiti negatif berterusan berkenaan minyak sawit bakal merencatkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara yang bergantung kepada eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit.

10. Publisiti negatif ini akan menjejaskan permintaan terhadap minyak sawit global dan bakal memberikan impak negatif secara tidak lansung terhadap kejatuhan harga komoditi sawit dunia.

11. Oleh yang demikian, Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) serta agensi-agensi berkenaan sawit mengambil perhatian serius akan perkembangan semasa di Parlimen EU dan akan terus komited untuk membela kepentingan lebih daripada 650,000 para pekebun sawit dalam negara.


YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG

MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI MALAYSIA
23 NOVEMBER 2017

Datuk Seri Mah Siew Keong bersama Ahli Parlimen Kesatuan Eropah, MEP Daniel Hannan, Pengerusi MPOB, YB Datuk Seri Ahmad Bin Hamzah dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, YB Datuk Liang Teck Meng.

 

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


 

MAJLIS PELANCARAN DAN PERASMIAN SISTEM PRA-PEMBERSIHAN BAHAN MAKANAN TERNAKAN
OLEH YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG, MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
DI KILANG 
SIME DARBY PLANTATION SDN BHD KERNEL CRUSHING 

SELASA, 25 APRIL 2017 

1. YB Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah melancar dan merasmikan sistem pra-pembersihan bahan makanan ternakan dan produk premium PURAFEX yang dihasilkan di Kilang kernel crushing milik Sime Darby Plantation Sdn Bhd yang terletak di Pulau Carey, Selangor.

2. Sistem pra-pembersihan bahan makanan ternakan dibangunkan dengan teknologi dan kerjasama antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Sime Darby Plantation Sdn Bhd serta telah beroperasi pada 14 Oktober 2016.  Teknologi yang dibangunkan membolehkan bahan makanan ternakan bagi industri penternakan ayam dan akua kultur terhasil.   

3. Industri palm kernel oil (PKO) selama ini berperanan sebagai pendokong kepada sektor pengeluaran bahan makanan ternakan.  Melalui PKO juga menghasilkan produk sampingan yang dikenali sebagai palm kernel cake (PKC) yang telah digunakan oleh pihak industri sebagai salah satu komponen dalam menghasilkan bahan makanan ternakan untuk kegunaan dalam sektor penternakan. Terdapat sebanyak 45 kilang seumpama ini beroperasi di Malaysia. Pada tahun 2016, Malaysia telah menghasilkan 2.17 juta tan PKC. Melalui kajian yang dijalankan oleh MPOB, penggunaan palm kernel cake (PKC) dalam sektor penternakan ayam mampu mencapai sehingga 25% manakala 80% bagi sektor penternakan lembu. 

4. Kualiti ternakan ayam terbukti lebih sihat dan kadar kandungan lemak yang lebih rendah dengan pemberian bahan ternakan makanan yang mengandungi (PKC).  Di samping itu, kadar kematian (mortality rate) yang dicatatkan oleh sektor penternakan ayam adalah di bawah 3% di mana lebih rendah daripada paras industri iaitu sekitar 4 hingga 5 %.   

5. Namun begitu, cabaran yang dihadapi oleh industri penternakan di Malaysia adalah kos pengeluaran yang perlu ditanggung.  Secara umum,  bahan makanan ternakan mewakili 25% daripada jumlah kos pengeluaran industri penternakan.  Keadaan ini lebih ketara  terutamanya kepada sektor penternakan ayam.  Pada masa kini, negara terpaksa import bahan makan ternakan yang mengandungi cereal daripada Argentina dan Brazil masing-masing bernilai  415 juta AS Dolar dan 321 juta AS Dolar yang dicatatkan pada tahun 2015.  

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
25 April 2017