ARKIB MEDIA

 

KENYATAAN MEDIA

ISU PENCEMARAN MELIBATKAN INDUSTRI GETAH

 

  1. Kebelakangan ini isu pencemaran daripada kilang-kilang produk berasaskan getah telah mendapat perhatian umum berikutan beberapa aduan telah dilaporkan. Pencemaran yang tidak terkawal ini boleh menjejaskan alam sekitar dan membahayakan kesihatan dan kehidupan  air khususnya yang melibatkan pencemaran sungai. Maka pengurusan efluen perlu diuruskan secara efektif dan efisyen oleh semua kilang melalui peraturan berkaitan yang berkuatkuasa.
  1. Kementerian memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan pengilang yang melanggar peraturan yang ditetapkan terutama syarikat yang telah diberi kelonggaran untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebelum ini, terdapat syarikat berkaitan dengan industri getah di Sungai Meru, Kawasan Perindustrian Jelapang, Perak didapati menyebabkan insiden pencemaran alam sekitar disebabkan pekerjanya telah cuai dan melepaskan lateks ke dalam sungai berhampiran.
  1. Terkini, pada 3 Mei 2020, Kementerian menerusi pasukan Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan (UIP) Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor telah bertindak segera turun ke kilang produk getah di Bukit Beruntung yang dipercayai melepaskan efluen berbuih ke longkang awam melalui aduan yang diterima pada 2 Mei 2020. Secara ringkasnya, pemeriksaan tersebut mendapati efluen berbuih terhasil daripada proses pembuatan produk getah yang menggunakan lateks. Walaupun sistem rawatan pelepasan efluen berfungsi, namun bahan surfaktan yang terkandung di dalamnya dengan isipadu air berkelajuan tinggi semasa proses pelepasan telah menyebabkan buih terhasil. Tindakan penambahbaikan serta merta telah diambil oleh kilang semasa proses pelepasan efluen untuk mengurangkan penghasilan buih. Pihak JAS telah mengambil sampel pelepasan efluen untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia dan laporan siasatan penuh sedang disediakan.
  1. Sekiranya terbukti bahawa syarikat berkenaan melanggar peraturan dan menyalahi undang-undang, Kementerian melalui LGM akan menggantung atau membatalkan lesen syarikat serta premis yang berdaftar dengan agensi berkenaan.
  1. Kementerian amat menitikberatkan isu pencemaran alam sekitar dan komited untuk mengawalselia kilang-kilang yang beroperasi secara berterusan khususnya dalam tempoh PKP. Kementerian juga akan meningkatkan kerjasama dengan Kementerian dan agensi lain yang berkaitan bagi usaha-usaha pemantauan serta siasatan. Sebarang aduan boleh dibuat dengan menghubungi talian hotline LGM di 1-800-888-474 atau hotline Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) di 03-8880-3498 dalam tempoh PKP.

 

YB DATO DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

Menteri  Perusahaan Perladangan dan Komoditi

5 Mei 2020

JATA LATES

SIARAN MEDIA
KERJASAMA BERSAMA MARDEC BAKAL BAWA PEMBANGUNAN LEBIH
SISTEMATIK UNTUK TINGKAT PENDAPATAN PEKEBUN KECIL GETAH


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin pada 5 Oktober 2022 (Rabu) telah merasmikan program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia Bersama Pekebun Kecil Getah 2022 Wilayah Utara bertempat di Dewan Al-Hana, Sik, Kedah Darul Aman.


2. Seramai 300 orang pekebun kecil getah dari Wilayah Utara Semenanjung dilibatkan dalam program ini. Dalam ucapannya, YB Menteri KPPK menjelaskan mengenai usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan dalam membantu industri getah negara khususnya yang melibatkan pekebun kecil getah.


3. Dalam program sama, YB Menteri KPPK juga menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang merupakan agensi di bawah Kementerian dan Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia (MARDEC). Memorandum berkenaan berkaitan penerokaan model baharu pembangunan pekebun kecil yang lebih sistematik, yang dijangka meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.


4. Pada program ini juga, LGM telah membuka pameran dan kaunter penerangan termasuk khidmat bantuan mengenai Projek Transformasi Perusahaan Getah (TARGET), Insentif Pengeluaran Lateks (IPL), Insentif Pengeluaran Getah (IPG), Sistem Permit Autoriti Transaksi- Getah (PATG) dan penggunaan aplikasi RRIMNiaga yang merupakan usaha-usaha dilaksanakan LGM dalam meningkatkan pendapatan dan daya saing pekebun kecil getah.


5. Kementerian yakin kerjasama antara agensi di bawah KPPK bersama pemegang taruh dapat meningkatkan lagi daya saing industri getah negara dalam mendepani keperluan dan persaingan ekonomi. KPPK juga komited untuk terus membela nasib pekebun kecil dengan menerapkan amalan pertanian baik yang sekaligus memberi peluang kepada pekebun kecil meningkatkan nilai tambah produk berkaitan getah.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
5 OKTOBER 2022

 Jata

KENYATAAN MEDIA

INDUSTRI PEMBUATAN COKLAT TARIKAN TERBAHARU SEKTOR PELANCONGAN MELAKA BANDARAYA BERSEJARAH

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini merasmikan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan (KAPUCBT), Melaka anjuran Lembaga Koko Malaysia (LKM). Kursus yang akan diadakan pada 7-8 April 2021, melibatkan penyertaan seramai 24 peserta.

2. Kursus ini adalah salah satu aktiviti di bawah Program Pembangunan Usahawan Coklat yang telah diperkenalkan oleh LKM. Tujuan program berkenaan adalah untuk melahirkan usahawan coklat tempatan melalui latihan kemahiran pembuatan coklat, pemberian insentif peralatan dan mesin, khidmat nasihat pembangunan perniagaan serta sokongan promosi produk usahawan.

3. Pembangunan Usahawan Coklat dan Program Promosi Koko akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dengan peruntukan sebanyak RM10 juta. Ia merangkumi komponen pengukuhan pasaran, promosi dalam dan luar negara, pembangunan usahawan baru, menaik taraf usahawan sedia ada, khidmat nasihat teknikal, pemantauan prestasi usahawan-usahawan dan pelbagai komponen lain.

4. Pada tahun 2020, usahawan baru coklat dan konfeksi koko di bawah bimbingan LKM telah berjaya menjana pendapatan pengusaha sebanyak RM5.81 juta. Walaupun jumlah ini tidak begitu besar tetapi ia sudah cukup memberi inspirasi dan semangat kepada usahawan baharu yang pastinya akan terus memajukan industri coklat tempatan. Bagi negeri Melaka, seramai enam usahawan coklat buatan tangan telah berjaya dibangunkan.

5. Melaka mempunyai potensi untuk tanaman koko bagi menghasilkan ‘Malacca Single Origin Beans’ iaitu bagi penghasilan coklat dengan perisa yang unik. Industri penanaman koko di Melaka pada masa ini meliputi kawasan seluas 11 hektar yang diusahakan oleh petani di daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin. Antara pengusaha yang berjaya mengeluarkan biji koko ‘Single Origin of Malacca’ dengan harga premium adalah Ting Agro Enterprise. Pada tahun 2020, pengeluaran biji koko kering dari pengusaha ini mencecah 1,300 kg setiap hektar.

6. Sempena majlis perasmian, turut dilancarkan Kiosk Coklat Havlava di Hotel LaCrista yang akan beroperasi sebagai pusat sehenti produk koko bagi mempromosikan produk-produk berasaskan koko seperti coklat, konfeksi koko, minuman koko dan aiskrim koko. Inisiatif ini akan menjadi salah satu destinasi dan tumpuan pelancong ke Melaka.

7. Selain itu, Kempen Minum Koko juga diperkenalkan oleh YB Menteri. Ini kerana minuman koko mempunyai khasiat tersendiri dengan antioksida atau antipenuaan yang tinggi selain berkualiti dengan kandungan flavanoids yang baik untuk peredaran darah.

8. Menjadi hasrat Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk melahirkan lebih ramai usahawan industri hiliran koko ini khususnya dalam pembuatan penghasilan coklat yang sekali gus dapat merancakkan lagi industri pelancongan tempatan seperti di Melaka ini yang merupakan penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negeri.

YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Melaka
6 April 2021

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
JELAJAH MARI KENALI SAWIT BAGI PELAJAR-PELAJAR SEKOLAH
LANGKAH BERTERUSAN KPPK MEMPERTAHANKAN INDUSTRI SAWIT
MALAYSIA


1. YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada hari ini telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Perdana Jelajah Mari Kenali Sawit. Program ini merupakan lanjutan daripada penerbitan buku Mari Kenali Sawit yang telah dilancarkan pada 5 Januari 2022 di Putrajaya dan di peringkat Ampang pada 15 Januari 2022 lalu.


2. Penerbitan buku Mari Kenali Sawit adalah untuk memberi pendedahan kepada murid-murid sekolah rendah dan menengah mengenai fakta sawit yang betul dan kepentingan serta sumbangan industri sawit kepada pembangunan sosioekonomi dan pendapatan negara. Pengedaran buku ini dibuat secara berperingkat dan diberi secara percuma ke sekolah-sekolah seluruh Malaysia.


3. Program Jelajah Mari Kenali Sawit mempunyai beberapa komponen melalui pelbagai aktiviti yang akan dilaksanakan sebagai pengisian Program berkenaan. Antaranya adalah seperti penganjuran ceramah, bengkel dan taklimat mengenai maklumat yang tepat berkaitan khasiat serta kebaikan sawit Malaysia. Selain itu, program pertandingan pidato untuk pelajar-pelajar sekolah akan turut diadakan untuk melahirkan duta-duta kecil bagi mempromosikan minyak sawit keluaran Malaysia.


4. Fasa pertama bagi program jelajah Mari Kenali Sawit melibatkan 100 buah sekolah menengah kebangsaan dan swasta terpilih di Semenanjung manakala fasa seterusnya pula akan melibatkan sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak. Sumbangan kewangan berjumlah RM500,000 telah disampaikan oleh YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi kepada wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang ditaja oleh syarikat-syarikat perladangan dan industri sawit di Malaysia. Selain itu, Majlis Getah Malaysia (MRC) yang merupakan agensi bawah KPPK turut menyumbang peranti seperti laptop dan tablet kepada sekolah dan pelajar terpilih yang memerlukan.


5. KPPK terus komited untuk mempertahankan industri minyak sawit Malaysia bukan sahaja pada peringkat global malah pada peringkat domestik melalui program promosi dan kesedaran kepada generasi muda khususnya pelajarpelajar sekolah. KPPK percaya bahawa usaha ini adalah satu bentuk pelaburan kepada generasi muda yang akan mempertahankan industri sawit
Malaysia pada masa hadapan.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
6 APRIL 2022

06062021 01

06062021 02