CADANGAN INISIATIF BELANJAWAN 2021 BAGI SEKTOR PERLADANGAN DAN KOMODITI
1. Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan bagi sektor perladangan dan komoditi dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta menyediakan peluang pekerjaan melalui inisiatif yang bakal dilaksanakan. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memberi tumpuan kepada empat fokus utama seperti mana digariskan oleh Kementerian Kewangan iaitu memperkukuh kesejahteraan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, mengupaya kehidupan lestari dan memperkasa penyampaian perkhidmatan.
2. Antara inisiatif utama yang dicadangkan oleh KPPK adalah memperkenalkan semula skim Geran Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS-G). Namun, skim tersebut jika diluluskan akan dihadkan kepada pekebun kecil dalam kalangan B40 dengan saiz pemilikan tanah di bawah 3.5 hektar. Dengan pemberian geran TSPKS-G, pendapatan pekebun kecil persendirian dijangka meningkat dengan hasil pengeluaran lebih tinggi menggunakan anak benih berkualiti untuk menggantikan pokok sawit berumur melebihi 25 tahun yang tidak lagi produktif.
3. Bagi meneruskan kesinambungan jaminan bekalan bahan mentah kepada sektor perkayuan, KPPK turut mencadangkan agar Dana Pusingan (Revolving Fund) bagi Program Pinjaman Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) diperkenalkan. Pendekatan baru ini adalah merupakan penambahbaikan kepada PPLH yang telah dilaksanakan di negara ini sejak 2007. Melalui pemberian dana pusingan, bekalan bahan mentah untuk masa hadapan sektor perkayuan adalah terjamin. Ia penting agar sumbangan kepada pendapatan ekport negara daripada sektor ini iaitu antara RM22 bilion hingga RM23 bilion setiap tahun dapat dikekalkan atau ditingkatkan.
4. KPPK amat prihatin dengan cabaran yang diharungi oleh pekebun kecil getah dalam meneruskan kelangsungan hidup terutama mereka yang memerlukan. Oleh itu, kementerian telah mengemukakan cadangan Inisiatif Pembangunan Koridor Lateks Wilayah Timur di Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi meningkatkan pengeluaran lateks negara. Inisiatif ini akan dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah melalui harga premium yang bakal dinikmati berbanding harga getah cumplump. Selain itu, KPPK turut berharap agar skim penstabilan pendapatan pekebun kecil menerusi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dapat diteruskan. KPPK turut mengesyorkan pembangunan secara agresif bagi industri coklat negara melalui penubuhan Hab Coklat di Langkawi dan Pusat Perdagangan Koko di tiga pelabuhan utama di Malaysia.
5. Kementerian berharap Belanjawan 2021 dapat dizahirkan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran industri agrikomoditi yang merupakan teras kepada pembangunan ekonomi negara.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya
HOSPITAL SELAYANG TERIMA SUMBANGAN MESIN VENTILATOR DAN KIT UJIAN (TEST KIT) COVID-19 BERNILAI RM334,000
1. Sektor perladangan dan industri sawit negara sentiasa prihatin dengan usaha kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membendung penularan wabak pendamik COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia ketika ini.
2. Sebagai tanda sokongan berterusan dan meringankan beban kerajaan, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini menyumbangkan dua unit ICU Ventilator model Elisa bernilai RM240,000 dan Kit Ujian (Test-Kit) COVID-19 sebanyak 2,000 set menjadikan jumlah nilai keseluruhan sumbangan adalah RM334,000.
3. Sumbangan berkenaan disampaikan oleh YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dengan disaksikan oleh Datuk Mohamad Nageeb Ahmad Abdul Wahab, Ketua Eksekutif MPOA kepada Pengarah Hospital Selayang, Dr. Sakinah Alwi.
4. Untuk rekod, MPOA sebelum ini telah menubuhkan Tabung COVID-19 pada peringkat awal penularan wabak berkenaan dalam usaha untuk menyalurkan sumbangan bagi membantu dan menyokong usaha kerajaan serta KKM daripada sektor perladangan dan industri sawit negara.
5. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), MPOA telah menyalurkan beberapa sumbangan berupa peralatan perubatan seperti Ventilator, Kit Ujian COVID-19, sanitasi tangan, pelitup muka, barangan kesihatan dan beg makanan kepada KPPK selain beberapa buah hospital di bawah KKM seperti Hospital Kuala Lumpur (10 April 2020) dan Hospital Serdang (26 Mac 2020) yang kesemuanya bernilai RM5.16 juta.
6. Dengan sumbangan berkenaan, KPPK dan MPOA berharap ia dapat membantu pihak hospital dalam membendung dan merawat pesakit COVID-19 di negara ini.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Selayang, Selangor 4 Ogos 2020
MEMPERKASAKAN INDUSTRI GETAH DAN PENGGALAKAN RAKYAT MALAYSIA BEKERJA DI SEKTOR HILIRAN GETAH
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat prihatin dengan keadaan ekonomi rakyat dan negara akibat penularan wabak COVID-19.
2. Sebagai usaha mengembalikan kerancakan ekonomi negara, KPPK yakin eksport sarung tangan getah berpotensi besar untuk terus berkembang sehingga 25 peratus mengambil kira situasi semasa COVID-19 yang melanda dunia. Malaysia yang menguasai 65 peratus pasaran sarung tangan getah dunia dijangka akan terus kekal sebagai pengeluar utama berikutan lonjakan permintaan terhadap sarung tangan getah perubatan.
3. Dalam pada itu, selaras dengan tanggungjawab mempromosi barangan getah negara di pasaran domestik dan global, Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC), iaitu agensi di bawah KPPK, akan dijenamakan semula sebagai Majlis Getah Malaysia (MRC). Ia mencerminkan peranan agensi yang lebih luas dalam pembangunan industri hiliran berasaskan getah, modal insan dan adaptasi teknologi termaju serta promosi pelaburan industri getah negara.
4. Sejajar dengan dasar baharu Kerajaan yang mengutamakan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, MRC akan menubuhkan dana khas berjumlah RM36 juta bagi menggalakkan industri hiliran terutamanya sektor pengeluaran sarung tangan getah untuk mengambil lebih ramai pekerja tempatan.
5. Dana berkenaan menyasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 10,000 pekerja tempatan dalam lebih daripada 200 buah syarikat di sektor industri getah. Dana khas terbabit, akan dibuka kepada syarikat pembuatan berasaskan getah untuk menggiatkan lagi mengupah pekerja tempatan mulai Ogos 2020 sehingga Disember 2021.
6. Kementerian terus komited dalam memperkasakan industri getah negara dan memastikan industri ini terus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.
YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Kuala Lumpur 4 Ogos 2020
SIARAN MEDIA SESI LIBAT URUS BERSAMA SARAWAK TIMBER ASSOCIATION (STA) BERKAITAN KERUGIAN TERKUMPUL PERNIAGAAN MELEBIHI 10 TAHUN
1. YB Datuk Willie Anak Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi hari ini telah mengadakan sesi libat urus dengan Sarawak Timber Association (STA) bagi membincangkan isu berkaitan kerugian terkumpul perniagaan yang tidak dibenarkan untuk dibawa ke hadapan bagi tempoh melebihi 10 tahun.
2. STA melalui Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) telah mengemukakan rayuan kepada Kerajaan berhubung kegusaran industri akan keputusan Kerajaan hanya membenarkan kerugian perniagaan terkumpul yang dibenarkan untuk digunakan sebagai elemen pengurangan cukai pendapatan korporat sehingga tempoh 10 tahun sahaja. Sehubungan dengan itu, sesi libat urus ini diadakan bagi mendapatkan pandangan daripada pihak industri perkayuan Sarawak yang diwakili oleh STA yang dibincangkan bersama wakil Kementerian Kewangan (MoF), Lembaga Perindustrian Kayu Negara (MTIB) dan Malaysian Timber Council (MTC).
3. MoF telah meneliti semula dasar dan memanjangkan tempoh sekatan tersebut daripada 7 tahun kepada 10 tahun dalam pengumuman Bajet 2022 bagi semua industri. Pada masa yang sama, MoF juga telah mengumumkan bahawa kajian terperinci akan dijalankan bagi sektor/industri yang bersifat menunggu hasil jangka panjang (longgestation period) seperti perladangan hutan, pembalakan, pertanian, komoditi serta projek infrastruktur berskala besar seperti stesen jana kuasa dan lebuh raya.
4. Aspirasi Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) adalah untuk memodenkan industri perkayuan negara ke arah peningkatan daya tahan sektor berkenaan. Sasaran nilai pasaran eksport bagi kayu dan produk kayu pada tahun 2030 adalah sebanyak RM32.8 bilion iaitu 70% eksport adalah terdiri daripada produk hiliran. Pada tahun 2021, industri perkayuan merupakan penyumbang ketiga tertinggi bagi sektor agrikomoditi negara dengan nilai eksport kayu dan produk kayu sebanyak RM22.74 bilion. Sarawak telah menyumbangkan sebanyak RM3.53 bilion atau 15% dan eksport utama adalah papan lapis, balak serta papan gentian.
5. Kementerian melalui MTIB, MTC dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) sentiasa komited untuk memberikan khidmat nasihat dalam industri perkayuan negara. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Sarawak telah bekerjasama dengan MTCC untuk mempromosikan dan memperkukuhkan pelaksanaan pensijilan kayu dan produk kayu bagi meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa menerusi Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang diiktiraf oleh Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC).
6. Kementerian positif bahawa kerjasama berterusan bersama pemegang taruh di Sarawak dapat meningkatkan lagi daya saing industri perkayuan negara dalam mendepani keperluan dan permintaan pasaran antarabangsa. Seterusnya, kerjasama ini akan menyumbang kepada kemampanan industri perkayuan negara serta kemakmuran bersama.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 4 OGOS 2022
KENYATAAN MEDIA MALAYSIA SEDIA BANTU INDIA PENUHI KEPERLUAN MINYAK SAWIT ________________________________________________________________________________
1. MALAYSIA bersedia memenuhi permintaan India untuk minyak sawit memandangkan kemungkinan bekalan tidak menentu dari Indonesia. Dalam tempoh kurang daripada setahun, pengeluar minyak sawit terbesar dunia Indonesia, telah memperkenalkan beberapa dasar tentang eksport komoditi tersebut yang mengakibatkan ketidaktentuan pasaran dan kesukaran kepada negara pengimport seperti India.
2. India adalah antara pengguna minyak sawit terbesar dunia selepas Indonesia dengan tahap penggunaan 8.7 juta tan pada 2021 dan 8 juta tan sahaja pada suku pertama 2022. Seperti yang dinyatakan oleh presiden Persatuan Pengeluar Minyak Sayur India (IVPA) Sudhakar Desai pada Ekspo dan Sidang Kemuncak Agricommodity Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 baru-baru ini, Malaysia telah mengekalkan dasar berkaitan perdagangan minyak sawit secara konsisten. Ini sekali gus memenuhi permintaan India semasa tempoh larangan eksport minyak sawit oleh Indonesia.
3. Sudhakar juga dipetik di dalam media menyatakan bahawa rantaian bekalan Malaysia yang stabil memainkan peranan penting dalam keselamatan minyak makan untuk permintaan India dalam dua bulan lepas. Kepercayaan India terhadap Malaysia – pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia – sebagai pembekal yang dipercayai telah diperkukuh lagi dengan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara IVPA dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di MIACES 2022 baru-baru ini.
4. Secara umumnya, MOU itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara India dan Malaysia dalam industri minyak sawit, meningkatkan kerjasama untuk mempromosikan industri minyak sawit India, bertukar maklumat berkaitan usaha kemampanan serta penyelidikan dan pembangunan setakat tanaman emas berkenaan.
5. Bagi tujuan ini, saya setuju dengan Sudhakar bahawa IVPA dan MPOC mampu menangani isu berkaitan dasar secara dinamik untuk manfaat industri di kedua-dua negara. Pada masa ini, IVPA telah menganggarkan import minyak sawit India dari Malaysia kekal stabil pada separuh kedua 2022, iaitu kira-kira 55% daripada jumlah import minyak sawit India, walaupun Indonesia telah giat mempromosikan eksport komoditi tersebut kebelakangan ini.
6. Malah, IVPA telah meramalkan lonjakan permintaan kepada 800,000 tan sebulan bagi untuk enam bulan akan datang, atau peningkatan kira-kira 20% daripada separuh pertama 2022. Optimisme India terhadap minyak sawit Malaysia adalah tanda keyakinan terhadap tanaman emas negara. Kami berharap ini akan menggalakkan lebih banyak pasaran bukan tradisional untuk mula beralih kepada minyak sawit, yang telah terbukti lebih berkhasiat dan lebih mampan berbanding dengan alternatif.
7. Dalam hal ini, KPPK akan meningkatkan usaha untuk mempromosikan minyak sawit Malaysia, bukan sahaja di India tetapi di seluruh dunia, termasuk pasaran bukan tradisional selaras dengan kempen "Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit".
DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 04 OGOS 2022