KENYATAAN MEDIA BAJET 2022: INISIATIF SEKTOR AGRIKOMODITI TERUS DIPERKUKUH DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Dato ’Sri Zafrul Abdul Aziz, di atas pembentangan Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera ’di Dewan Rakyat hari ini.
2. KPPK turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kepercayaan dengan peruntukan yang telah diberikan bagi memacu pertumbuhan industri agrikomoditi negara ke tahap yang lebih tinggi. Komitmen Kementerian tidak berbelah bahagi dan bersedia melaksanakan program serta inisiatif ke arah pengukuhan ekonomi negara untuk memulihkan kehidupan, membina semula daya tahan dan memangkin pembaharuan terutamanya membina semula kehidupan pasca Covid19.
3. Secara keseluruhan, sebanyak RM671 juta iaitu RM417.5 juta untuk perbelanjaan mengurus kementerian dan RM254 juta perbelanjaan pembangunan diperuntukkan kepada KPPK di bawah Bajet 2022. Walaupun jumlah ini menurun sebanyak 7.95 peratus berbanding peruntukan tahun 2021, namun Kementerian percaya bahawa ia menunjukkan keyakinan Kerajaan ke atas harga komoditi yang lebih stabil sepanjang tahun 2022.
4. Bajet 2022 memberi fokus kepada pembangunan sektor agrikomoditi yang lebih bersasar terutamanya melibatkan perkara-perkara berikut:
(i) melaksanakan Program Transformasi Perusahaan Getah Negara untuk menyatukan pekebun kecil, usahawan getah dan koperasi kecil bagi memproses getah sekerap ke getah krip;
(ii) meningkatkan taraf sosioekonomi pekebun kecil B40 dengan memperluas penggunaan teknologi RRIM Hydrobest kepada pekebun kecil melalui geran padanan;
(iii) memperuntukkan RM35 juta bagi Skim Rangsangan Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil;
(iv) RM20 juta untuk usaha menangani kempen antiminyak sawit di peringkat antarabangsa; dan
(v) menaikkan nilai ambang kenaan levi keuntungan luar biasa kelapa sawit daripada RM2,500 kepada RM3,000 (Semenanjung) dan RM3,000 kepada RM3,500 (Sabah dan Sarawak). Kadar levi Sabah dan Sarawak diselaraskan kepada tiga (3) peratus seperti kadar di Semenanjung.
5. Tahun 2022 bakal penuh dengan cabaran, namun KPPK akan terus gigih mendepaninya demi membangunkan industri agrikomoditi yang merupakan penyumbang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat di luar bandar.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 30 Oktober 2021
KENYATAAN MEDIA PEROLEHAN EKSPORT COKLAT NEGARA MENINGKAT KEPADA RM650 JUTA JANUARI-OGOS 2022
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini melakukan lawatan kerja ke Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, Lembaga Koko Malaysia (LKM), Nilai, Negeri Sembilan, bertujuan meninjau pembangunan aktiviti penyelidikan hiliran koko yang dijalankan di pusat itu. Terdahulu, beliau turut melawat kilang pembuatan coklat dan konfeksi, Beryl’s Chocolate and Confectioneries Sdn Bhd di Sri Kembangan, Selangor.
2. Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, Nilai adalah pusat bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) hiliran serta bioteknologi, perkhidmatan analisis biji dan produk koko, pembangunan usahawan coklat buatan tangan. Selain itu, pusat inovasi tersebut turut mengeluarkan blok coklat dan produk coklat berjenama Chocolate Royale selain menempatkan unit pelesenan dan kawalan kualiti koko.
3. Antara penyelidikan hiliran koko yang sedang dilaksanakan oleh LKM adalah penghasilan produk ais krim lemak, kajian perisa, bahan wangian, tablet minuman, kajian mengenai keselamatan produk dan produk penjagaan diri. Pada tahun ini, produk kosmetik berasaskan koko (compact powder, BB Cushion dan Liquid Foundation) telah berjaya ke tahap prakomersial. Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC). Makmal Khidmat Analisis LKM juga telah diakreditasi berdasarkan standard ISO/IEC 17025:2017.
4. Sementara lawatan YB Menteri ke Beryl’s Chocolate and Confectioneries Sdn Bhd adalah untuk melihat proses pembuatan produk akhir koko dan coklat. Syarikat ini adalah antara pengilang coklat dan konfeksi terbesar negara. Pembuatan coklat menyumbang kepada sektor hiliran industri koko bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, perolehan eksport coklat juga telah meningkat sebanyak 11 peratus iaitu RM649.9 juta berbanding RM585.6 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan terus berusaha bagi memastikan subsektor koko dan industri coklat negara terus berkembang dengan pesat selain perancangan menjadikan negara ini hab coklat bakal menjadi kenyataan.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Nilai, Negeri Sembilan 30 Oktober 2021
KERAJAAN MALAYSIA KESAL TINDAKAN AS SEKAT KEMASUKAN MINYAK SAWIT SIME DARBY
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil maklum tentang langkah drastik diambil oleh pentadbiran Donald Trump semalam yang sekali lagi menyekat kemasukan minyak sawit negara ke pasaran Amerika Syarikat (AS) tanpa merujuk kepada Kerajaan Malaysia kesahihan dakwaan penggunaan buruh paksa dalam industri terbabit.
2. Insiden ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan Kerajaan kerana tindakan serupa pernah dilakukan ke atas FGV Holdings Bhd (FGV) atas dakwaan yang sama dan telah disangkal oleh syarikat berkenaan. Ia tidak memberi kesan besar ke atas prestasi kewangan dan operasi syarikat itu malah, Kerajaan AS telah mempertimbangkan petisyen untuk pembatalan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) ke atas FGV.
3. Dalam isu terbaru yang melibatkan satu lagi syarikat iaitu Sime Darby Plantation Berhad (SDP), kementerian yakin mereka juga akan membantah dan menolak dakwaan tidak berasas tersebut.
4. KPPK berpandangan bahawa pihak Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) sememangnya berhak untuk mengeluarkan WRO ke atas eksport minyak sawit oleh mana-mana pihak ke negara berkenaan.
5. Walau bagaimanapun, KPPK tidak bersetuju dengan tindakan drastik yang dibuat oleh AS tanpa memberi peluang terlebih dahulu kepada syarikat untuk membuktikan bahawa dakwaan yang dilemparkan mungkin tidak berasas sama sekali.
6. KPPK mengakui bahawa pernah berlaku isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak di sektor perladangan sawit negara bagaimanapun kes terbabit amat terpencil berdasarkan kajian yang pernah dilaksanakan pada tahun 2018.
7. Hasil kajian ini juga telah dipanjangkan kepada Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada awal bulan lalu. Berdasarkan kajian tersebut juga, Kerajaan sentiasa memberi peringatan kepada pihak industri supaya lebih bertanggungjawab dan tidak terlibat dalam isu yang boleh menjejaskan ekonomi negara ini.
8. Bagaimanapun Kerajaan Malaysia melalui KPPK komited sekiranya tuduhan yang dibuat oleh pihak AS ini adalah benar, tindakan sewajarnya dan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat yang terlibat dalam isu buruh paksa ini.
YB DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Putrajaya 31 Disember 2020
WTO TUBUH PANEL TINDAKAN UNDANG-UNDANG KE ATAS KESATUAN EROPAH BERIKUTAN KEMPEN ANTIMINYAK SAWIT
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik keputusan Mesyuarat Badan Penyelesaian Pertikaian atau Dispute Settlement Body (DSB) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang bersidang pada 28 Mei 2021.
2. DSB dalam mesyuaratnya telah bersetuju dengan permohonan kali kedua Malaysia untuk menubuhkan panel bagi meneliti langkah yang diambil oleh Kesatuan Eropah (EU) dalam pelaksanaan Delegated Regulation di bawah European Union Renewable Energy Directive 2018/2001 (EU RED II).
3. Terdahulu, permohonan pertama bagi penubuhan panel ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat DSB pada 28 April 2021. Namun begitu, permohonan tersebut tidak dipersetujui oleh EU yang tetap dengan pendirian bahawa tindakan mereka adalah berasas dan selaras dengan perundangan WTO.
4. Permohonan penubuhan panel oleh Malaysia adalah selaras dengan peraturan dan prosedur yang telah digariskan di bawah WTO. Permohonan ini diambil berikutan tiadanya penyelesaian dicapai dalam konsultasi yang telah diadakan bersama EU pada 17 Mac 2021 lalu.
5. Malaysia akan terus komited dalam meneruskan tindakan undang-undang terhadap EU selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Julai 2020 dan pemfailan kes yang dibuat pada 15 Januari 2021. Sebagai negara pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia, Malaysia kesal dengan langkah EU dalam memberi layanan kepada minyak sawit berbanding minyak sayuran lain.
6. Tindakan ini adalah perlu dalam melindungi kepentingan industri sawit negara yang telah memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara khususnya kepada pekebun kecil sawit. Malaysia melalui KPPK dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan melaksanakan persediaan yang sewajarnya dalam proses ini demi mempertahankan industri sawit negara.
YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 31 Mei 2021
KENYATAAN MEDIA SISA ISIRUNG SAWIT SEBAGAI MAKANAN HAIWAN MEMBANTU MENGAWAL HARGA DAN MENSTABILKAN BEKALAN AYAM DALAM NEGARA _____________________________________________________________
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan meningkatkan usaha mempromosikan penggunaan sisa isirung sawit sebagai makanan haiwan bagi memastikan Malaysia mempunyai bekalan ayam yang mampan dalam jangka panjang. Antara punca harga ayam naik adalah disebabkan harga makanan ayam yang tinggi. Telah dilaporkan bahawa harga makanan ayam telah meningkat daripada RM500 setan kepada RM1,900 setan dalam beberapa kes.
2. Disebabkan ini, ayam kurang diberi makan, menyebabkan ternakan membesar dengan lebih perlahan daripada biasa, dan seterusnya memberi kesan terhadap bekalan ayam. Buat masa ini Malaysia mengimport sebahagian besar makanan ayam, dan kebanyakannya diperbuat daripada bijirin seperti jagung dan kacang soya. Sumber ini menghadapi kekurangan di seluruh dunia akibat perang di Ukraine dan keadaan cuaca yang tidak menentu.
3. Ladang kelapa sawit Malaysia menghasilkan bekalan sisa isirung sawit yang banyak. Kajian menunjukkan bahawa memberi makan kek isirong sawit (PKC) yang ditapai dan lemak pemakanan yang tinggi kepada ayam pedaging, boleh menggantikan makanan import yang digunakan oleh hampir semua ladang ayam komersial hari ini. KPPK juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan lain untuk mengkaji semula dasar eksport PKC yang akan lebih memihak kepada ayam pedaging tempatan. Pada masa ini, PKC dieksport untuk industri lembu Eropah.
4. Kementerian juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Kerajaan Negeri untuk melihat dengan segera bagaimana ketersediaan sisa isirong sawit sebagai makanan haiwan untuk industri ayam Malaysia dapat dilakukan dengan segera.
5. Selain itu, KPPK juga akan bekerjasama rapat dengan institut penyelidikan seperti universiti awam untuk melihat cara meningkatkan kualiti PKC bagi menjadikannya pilihan utama penternak ayam. Ini termasuk kajian untuk mengurangkan kandungan serat dalam PKC.
6. Dengan semangat Keluarga Malaysia, KPPK akan terus komited untuk memainkan peranan dalam membantu mengurangkan pergantungan Malaysia kepada makanan ternakan yang diimport. Kementerian akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan memastikan sektor komoditi terus menyumbang secara konsisten kepada pembangunan ekonomi negara.