SIARAN MEDIA KERAJAAN KOMITED TERUS BANTU PEKEBUN KECIL MELALUI KOPERASI PENANAMAN SAWIT MAMPAN (KPSM) DAN PENSIJILAN MINYAK SAWIT MAMPAN MALAYSIA (MSPO)
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin telah merasmikan Pusat Timbang Koperasi Penanam Sawit Mampan Kimanis Berhad, Sabah hari ini.
2. Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) ditubuhkan sebagai langkah strategik Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bagi menjamin keterlibatan pekebun kecil dalam model ekonomi baharu yang memberi tumpuan kepada pengendalian koperasi serta industri kecil dan sederhana. KPSM menjalankan perniagaan yang memberi kesan langsung kepada peningkatan pendapatan ahli seperti jualan buah tandan segar (BTS) berkelompok dan pembelian input secara pukal selain boleh terbabit dalam perniagaan lain untuk memperkukuh status kewangan koperasi yang kemudian diagih sebagai dividen kepada ahli.
3. Kerajaan melalui KPPK telah memperkenalkan geran bagi pembinaan pusat timbang sebanyak RM200,000 bagi sebuah koperasi sebagai modal untuk menampung kos penyediaan tapak, pembinaan platfom dan pembelian jambatan timbang oleh KPSM.
4. Kerajaan juga memperkenalkan Skim Pembiayaan Mudah Tanpa Faedah untuk disalurkan kepada KPSM terpilih dengan kadar RM200,000 bagi setiap koperasi untuk meningkatkan keupayaan KPSM terutama dalam pembelian secara bayaran tunai BTS yang dibekalkan oleh pekebun kecil. Sehingga Februari 2022, sebanyak 16 buah KPSM telah menikmati kemudahan ini. Skim Pembelian Jentera dalam bentuk geran padanan dengan peruntukan berjumlah RM20 juta turut disediakan bagi membolehkan KPSM membeli jentera sendiri bagi kelancaran operasi.
5. Sehingga Julai 2022, sebanyak 69 buah KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu 24 di Semenanjung, 27 di Sabah dan 18 KPSM di Sarawak. Sebanyak 66 buah buah pusat timbang KPSM telah siap dibina sepenuhnya dan telah melaksanakan jualan kelompok BTS terus ke kilang dengan jumlah sebanyak 149,241 tan. Di Sabah, sebanyak 25 buah KPSM telah menjalankan urus niaga BTS berjumlah 222,389.32 tan, sekali gus memberi manfaat kepada 2,415 orang pekebun kecil yang menjadi ahli.
6. KPSM Kimanis Berhad telah ditubuhkan pada 15 Julai 2020 dengan keahlian berjumlah 56 orang setakat Julai 2022. Pusat Timbang KPSM Kimanis yang baru siap telah memulakan jualan BTS pada Jun 2022. Penubuhan KPSM di negara ini telah bermula sejak tahun 2010 mengikut Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di mana pelbagai bantuan oleh Kerajaan telah disalurkan bagi meningkatkan aktiviti dan sumbangan koperasi untuk pembangunan pekebun kecil sawit.
7. Kerajaan komited membantu pekebun kecil mendapat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi pengeluaran minyak sawit secara lestari dan peningkatan produktiviti BTS. Selain itu terdapat bantuan dalam bentuk yuran Pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO dan penyediaan peralatan perlindungan keselamatan diri (PPE). Sehingga Julai 2022, keluasan tanaman sawit pekebun kecil persendirian yang telah dipersijilkan MSPO adalah 637,564.89 hektar dengan penglibatan seramai 180,072 orang pekebun kecil.
8. Di Sabah, 29 Kelompok Minyak Sawit Mampan atau Sustainable Palm Oil Cluster (SPOC) telah dipersijilkan MSPO, melibatkan 26,464 orang pekebun kecil dengan keluasan tanaman sawit berjumlah 167,660 hektar. Bagi SPOC S5 yang merangkumi kawasan Kimanis, Papar dan Penampang, seramai 138 orang pekebun kecil telah memperoleh sijil MSPO dengan keluasan berjumlah 1,330 hektar.
9. KPPK sentiasa berusaha mempergiat pembangunan pekebun kecil tanaman sawit di negara ini, justeru pelaksanaan MSPO merupakan inisiatif tepat bagi mempertingkat mutu pengurusan penanaman kelapa sawit menerusi amalan pertanian terbaik bagi meningkatkan stardard minyak sawit Malaysia di peringkat antarabangsa.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 03 SEPTEMBER 2022
1. Pada hari ini, 30 April 2020, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memaklumkan Jemaah Menteri mengenai Prestasi Eksport Sawit serta usaha berterusan Kementerian dalam memasarkan minyak dan produk sawit Malaysia.
2. Prestasi keseluruhan eksport produk sawit sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020, telah mencatatkan penurunan signifikan sebanyak 34.8 peratus atau 793,257 tan kepada 1,486,521 tan berbanding 2,279,778 tan bagi tempoh yang sama tahun 2019. Eksport minyak sawit (minyak sawit mentah dan minyak sawit proses) telah menurun sebanyak 41.7 peratus atau 636,847 tan kepada 890,331 tan berbanding 1,527,178 juta tan bagi tempoh yang sama.
3. Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar sawit dunia selepas Indonesia dengan pasaran minyak sawit di lebih 160 buah negara. KPPK melalui agensinya, terutama MPOB dan MPOC akan meneruskan usaha menempatkan minyak sawit Malaysia sebagai ‘solution provider’ bagi industri makanan dan bukan makanan.
4. Selain pasaran sedia ada yang akan terus diperkukuhkan terutamanya di India, China dan Kesatuan Eropah, KPPK telah mengenalpasti pasaran baharu yang berpotensi dibangunkan melalui pelaburan langsung atau pelaburan secara usaha sama. Di antara negara yang berpotensi adalah dari rantau Asia Pasifik (Filipina, Vietnam dan Myanmar), Timur Tengah (Mesir, Arab Saudi dan Jordan), negara rantau Afrika (Djibouti, Ethiopia, Somalia dan Mozambique) serta dari Asia Tengah (Afghanistan, Uzbekistan dan Kazakhstan). Anggaran pasaran bagi rantau ini adalah sebanyak 2 juta tan setahun.
5. Sebilangan besar negara yang dinyatakan di atas telah menunjukkan minat berkaitan aspek pembekalan atau terlibat dalam pengembangan serta pembuatan industri minyak dan lelemak menggunakan minyak sawit Malaysia. Perkembangan ini menunjukkan keyakinan negara-negara tersebut terhadap kualiti minyak sawit Malaysia. Ia juga membuktikan kelebihan Malaysia sebagai pembekal minyak sawit dan boleh dipercayai sebagai rakan kerjasama dalam membangunkan industri minyak sawit dan lelemak berasaskan sawit di negara mereka.
6. KPPK akan meningkatkan usaha penerokaan pasaran baharu melalui pelbagai strategi yang bersesuaian dengan negara berkenaan. Malaysia juga bersedia untuk melaksanakan urusan berkongsi kepakaran dan kemahiran melalui misi perdagangan, penganjuran seminar berkaitan isu teknikal dan ekonomi, pelaksanaan program pengenalan industri sawit Malaysia serta berkongsi tadbir urus industri sawit.
YB DATO DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi 30 April 2020
KEBENARAN PENGOPERASIAN SEKTOR PERHUTANAN DAN PERKAYUAN KEKALKAN BEKALAN BAHAN MENTAH
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil maklum dan amat menghargai keputusan Kerajaan membenarkan sektor perhutanan dan perkayuan serta rantaian melibatkan pembalakan bersama lain-lain beroperasi seperti biasa berkuat kuasa hari ini yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media kelmarin.
2. Kebenaran ini akan memberi kelegaan kepada industri perkayuan terutamanya sektor perabot di seluruh negara. Ia turut memberi manfaat kepada mangsa-mangsa banjir bagi memperoleh bekalan perabot mereka yang musnah akibat bencana berkenaan baru-baru ini. Sebagai makluman, sektor perabot dianggarkan menggunakan 85 peratus bahan mentah tempatan untuk menghasilkan perabot. Selain itu, kebenaran ini juga membolehkan sektor perkayuan untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
3. Memandangkan sektor perhutanan dan pembalakan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, KPPK ingin merakamkan ucapan penghargaan di atas kerjasama untuk memproses kebenaran beroperasi sektor tersebut. Ini akan memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi kepada sektor perkayuan di peringkat pemprosesan serta penghasilan produk primer dan hiliran.
4. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa semua pihak terbabit mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat sebagaimana yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelakkan kebenaran ini ditarik balik. Selain itu, pihak industri perlu memastikan segala peraturan dan undang-undang Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) dipenuhi. Ia melibatkan penyediaan kemudahan kediaman bagi pekerja supaya dapat menyokong usaha Kerajaan mengurangkan penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja.
5. Harapan KPPK ialah sektor perkayuan dapat terus menyumbang kepada ekonomi negara walaupun dalam situasi yang sukar ketika ini demi kemakmuran pembangunan negara. Perdagangan sektor perkayuan bagi tempoh Januari hingga November 2020 masih menunjukkan prestasi yang baik dengan nilai eksport berjumlah RM19.8 bilion meskipun berhadapan dengan pandemik COVID-19.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 30 Januari 2021
KENYATAAN MEDIA PENGHASILAN FIBER BULUH PEMANGKIN PROGRAM PERTANIAN KOMUNITI BULUH 2021-2025
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, YB Dato’ Dr. Mohd Khairudin Aman Razali hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Industri Buluh Kebangsaan anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Majlis Pecah Tanah Ladang Buluh
2. Buluh merupakan tumbuhan yang sinonim dengan masyarakat Malaysia dengan produk kraftangan dan kegunaan harian. Inisiatif para penyelidik Pusat Penyelidikan Buluh (BambooRC) di bawah FTK telah menghasilkan inovasi baharu produk buluh berasaskan serat (fiber). Kepelbagaian aplikasi produk daripada serat mampu membuka peluang baharu kepada sumber alternatif komoditi di Malaysia.
3. Melalui kerjasama UTHM dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), sebanyak 13 spesies buluh komersial telah dikaji dalam penentuan keboleh pemprosesan serat daripadanya. Dianggarkan kira-kira lima tan serat pelbagai fungsi mampu diekstrak keluar daripada ladang buluh seluas satu hektar.
4. Memandangkan kepada potensi tanaman komoditi ini yang tinggi, buluh telah diluluskan sebagai salah satu spesies di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi kawasan 4 hektar dan ke atas. Sehubungan itu juga, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MTIB memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk pelaksanaan Program Komuniti Agrikomoditi Buluh. Program ini akan dilaksanakan untuk tempoh lima tahun iaitu bermula pada tahun ini sehingga 2025.
5. Penekanan kepada aspek penyelidikan dan pembangunan produk hiliran serat adalah amat penting bagi menjamin kelestarian keluaran ladang kerana hasil produk akhir ini, mampu memberi pulangan ekonomi yang lebih tinggi berbanding serat mentah (crude fiber). Hasil usaha UTHM ini memungkinkan institusi ini mampu menjadi salah satu pusat pemprosesan serat terbaik di negara ini.
6. Selain MTIB, sebuah lagi agensi di bawah KPPK iaitu Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) turut menawarkan perkongsian pengalaman dan khidmat nasihat bagi merancakkan lagi perkembangan pusat ini selain jaringan kerjasama strategik bersama institusi penyelidikan dan pemain industri buluh tempatan. Penganjuran Persidangan Industri Buluh Kebangsaan yang bertemakan ‘Memperkasa Teknologi dan Inovasi Buluh Negara’ membuktikan bahawa hubungan kepakaran telah terbentuk antara UTHM dengan pemegang taruh industribuluh negara khususnya Kementerian.
7. Selaras dengan objektif persidangan, rancangan lima tahun pelan strategik pembangunan ekosistem pengeluaran serat buluh bagi universiti berkenaan bermula dari sektor perladangan buluh seluas hampir 1 hektar, sehingga penghasilan produk hiliran daripada aplikasi serat buluh seperti penebat bunyi dan haba, penapisan, produk lanskap, bahan binaan bangunan,geotextile dan produk tekstil.
8. Kementerian bersama agensi-agensi seperti MTIB dan LKTN akan terus memberi galakan dan insentif kepada industri dan universiti terutama UTHM untuk terus maju kehadapan sehingga sasaran menjadikan serat buluh sebagai sumber alternatif komoditi di Malaysia tercapai.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Pagoh, Johor 30 Mac 2021
KPPK SUMBANG 200,000 HELAI SARUNG TANGAN GETAH UNTUK PETUGAS BARISAN HADAPAN
1. Gelombang pandemik wabak COVID-19 terus melanda negara dengan Sabah menjadi negeri tertinggi mencatatkan kes positif iaitu mencecah seramai 14,053 orang daripada kumulatif kes seramai 30,090 orang di seluruh negara sehingga semalam.
2. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat memahami kesulitan dan kepayahan yang dialami oleh seluruh rakyat Malaysia ketika ini khususnya petugas barisan hadapan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
3. KPPK sentiasa peka dan prihatin dengan situasi yang mendesak dalam kalangan para petugas barisan hadapan. Sehubungan itu Majlis Getah Malaysia (MRC) iaitu agensi di bawah KPPK telah menyelaraskan sumbangan sebanyak 200,000 helai sarung tangan getah perubatan. Sebanyak 150,000 helai sarung tangan getah telah disumbangkan oleh syarikat YTY dan Top Glove akan diagihkan kepada hospital di Sabah, manakala 50,000 helai lagi daripada MRC adalah untuk hospital di Lembah Klang. Bekalan untuk hospital di Sabah akan diterbangkan dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
4. Sejak wabak COVID-19 melanda negara, KPPK sudah menyumbang sebanyak 21 juta helai sarung tangan getah perubatan yang diselaraskan oleh MRC dan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) bagi memenuhi keperluan semua petugas barisan hadapan.
5. KPPK amat menghargai sumbangan dan berterima kasih kepada MRC serta ahli-ahli MARGMA atas sumbangan berkenaan. Diharapkan usaha seperti ini diteruskan malah dapat disertai oleh lebih banyak syarikat-syarikat korporat sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) semasa negara dilanda musibah.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Putrajaya 30 Oktober 2020