ARKIB MEDIA

JATA LATES

SIARAN MEDIA
KPPK TERUS SOKONG INDUSTRI BAGI MENJAMIN KEMAMPANAN
SEKTOR SAWIT MALAYSIA


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini telah mengadakan lawatan rasmi ke Kilang Delima Oil Products Sdn. Bhd. dan FGV Kernel Products Sdn. Bhd. Berhad di Pasir Gudang, Johor.


2. FGV Holdings Berhad merupakan antara pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar di dunia yang menyumbang kepada 15 peratus daripada jumlah pengeluaran tahunan MSM Malaysia. Bahagian hiliran di FGV menyokong operasi huluan dengan menyediakan jaminan pengambilan MSM yang ditapis menjadi pelbagai produk berasaskan minyak sawit seperti oleokimia, biodiesel, minyak, lemak dan fast moving consumer goods (FMCG).


3. Delima Oil Products Sdn. Bhd. (DOPSB) merupakan anak syarikat FGV Holdings Berhad yang telah memulakan operasi pada tahun 2000 dan terus berkembang serta menguasai tiga (3) operasi utama iaitu melibatkan penapisan minyak sawit, pengilangan produk minyak sawit diproses, pengedaran produk perindustrian dan pengguna. Produk dan jenama DOPSB kini dikenali di pasaran utama seperti ASEAN, Timur Tengah, Asia Barat, Eropah dan Afrika Barat. Antara jenama keluaran DOPSB ialah Saji, Adela, Seri Pelangi dan Tiga Udang. FGV Kernel Products Sdn. Bhd. (FGVKPSB) pula telah diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan perniagaan terasnya melibatkan pemprosesan isirung sawit (PK) untuk menghasilkan Crude Palm Kernel Oil (CPKO) dan Palm Kernel Expeller (PKE).


4. Sumbangan eksport minyak dan produk berasaskan sawit kepada pendapatan eksport negara telah meningkat kepada RM108.52 bilion pada tahun 2021 berbanding RM73.33 bilion pada tahun 2020. Sumbangan subsektor sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021 juga bernilai RM44.98 bilion atau mewakili 53.38 peratus daripada keseluruhan sumbangan KDNK sektor agrikomoditi negara.


5. Kementerian sentiasa menyokong penglibatan industri dalam memperkasa pengeluaran eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit untuk memastikan sektor agrikomoditi terus
mencatat sumbangan KDNK yang memberangsangkan bagi menggalakkan pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
28 September 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
MAJLIS IFTAR KASIH RAMADAN BERSAMA ASNAF DAN WARGA
EMAS

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin menghadiri Majlis Iftar Kasih Ramadan bersama asnaf dan warga emas anjuran oleh Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) bertempat di Hadramawt Kitchen, Ampang hari ini.


2. Majlis ini merupakan inisiatif IMPAC untuk menyantuni golongan sasar iaitu asnaf dan warga emas dalam menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan serta memberikan sumbangan bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.


3. YB Menteri bersama Pengerusi IMPAC, YBhg Datuk Zunaidah Idris menyampaikan sumbangan baju raya kepada 51 anak-anak asnaf dan bantuan duit raya kepada 54 warga emas dan asnaf sebelum berbuka puasa pada majlis ini.


4. Kementerian dan IMPAC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lembaga Koko Malaysia, Mamee Malaysia, Percetakan Zainol Kassim, Al Najwa Production Sdn Bhd serta individu-individu yang memberikan sumbangan untuk diagihkan kepada asnaf, warga emas dan tetamu jemputan.


5. Program seumpama ini bukanlah kali pertama diadakan oleh Kementerian menerusi agensi dan majlis, malah akan diteruskan untuk mendekati masyarakat terutamanya golongan yang memerlukan dari semasa ke semasa.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
29 APRIL 2022

Jata

KENYATAAN MEDIA


NILAI EKSPORT BIJI DAN PRODUK KOKO MALAYSIA CATAT
PENINGKATAN SEHINGGA RM2.6 BILION



1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini melakukan lawatan kerja ke Chocolate Museum@Kota Damansara milik DR Group Holdings.


2. Di samping itu, perbincangan susulan untuk merealisasikan Muzium Coklat Langkawi oleh syarikat yang sama sebagai sebagai salah satu tarikan pelancongan berasaskan coklat yang tersohor di Asia Tenggara turut diadakan. Ia selari dengan hasrat Kementerian untuk membangunkan hab coklat di pulau pelancongan itu seterusnya menjadikan Malaysia sebagai King of Chocolate di rantau Asia. Lawatan itu juga berjaya meningkatkan kerjasama antara pihak kedua-dua pihak bagi merancakkan lagi pembangunan sektor koko.


3. Sektor koko telah mencatat pendapatan eksport sebanyak RM6.6 bilion pada tahun 2019 dengan sumbangan sektor hiliran kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak RM1.6 bilion. Sektor pembuatan coklat khususnya, mencatat pendapatan eksport sebanyak RM1.14 bilion, iaitu 17.3% daripada jumlah pendapatan eksport dan produk-produk koko pada tahun yang sama dengan peningkatan sebanyak 10.6% berbanding tahun sebelumnya.


4. Nilai eksport biji koko dan produk berasaskan koko bagi lima (5) bulan pertama tahun 2020 adalah sebanyak RM2.6 bilion iaitu meningkat sebanyak 0.5% bagi tempoh yang sama pada tahun 2019. Namun dijangkakan sumbangan pendapatan eksport produk-produk coklat akan menurun sebanyak 18% pada tahun ini berikutan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan PKP.


5. Kini terdapat sebanyak 53 syarikat pengilang coklat dan konfeksi koko terdiri daripada empat syarikat multinasional dan 49 syarikat tempatan di seluruh negara. Di samping itu, bagi memperkasa industri pembuatan coklat, KPPK telah memperkenalkan Program Pembangunan Usahawan Coklat Lembaga Koko pada tahun 2013. Sehingga 29 Julai 2020, sebanyak 224 usahawan telah dibimbing di bawah program tersebut.


6. Kementerian bercadang melahirkan lebih ramai usahawan coklat buatan tangan melalui Pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Coklat. Seramai 23 bakal usahawan coklat yang telah mengikuti Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan pada 10 dan 11 Julai 2020 di Kuala Nerus, Terengganu. Kursus ini akan diteruskan pada 14-16 Ogos 2020 di Langkawi, Kedah dengan penyertaan seramai 30 bakal usahawan coklat buatan tangan.


7. Di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), KPPK akan meneruskan usaha mengembangkan industri hiliran koko menerusi program-program game changer seperti mewujudkan hab perdagangan koko dan memperkenalkan kluster industri hiliran koko. Usaha mempergiatkan pelaksanaan program pembangunan usahawan dan meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan akan terus diberi keutamaan.


Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
29 Julai 2020

 

 

KENYATAAN MEDIA
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

USAHA MENCARI JALAN PENYELESAIAN ISU PENUTUPAN KILANG MARDEC PROCESSING SDN BHD, KUALA BERANG, TERENGGANU

 

1. Saya mengambil perhatian kepada berita cadangan penutupan operasi kilang getah MARDEC Processing Sdn Bhd di Kuala Berang, Terengganu. Penutupan operasi kilang tersebut yang mempunyai kapasiti memproses lebih 2,000 tan sebulan akan memberi impak kepada aktivti-aktiviti pengeluaran dan pemprosesan getah yang melibatkan pekebun-pekebun kecil di kawasan sekitar Hulu Terengganu selain menyebabkan lebih 110 orang pekerja kilang hilang pekerjaan.

2. LGM sebagai agensi di bawah Kementerian saya yang bertanggungjawab kepada kawal selia, operasi dan khidmat teknikal kepada sektor pemprosesan getah melihat cadangan penutupan Kilang MARDEC Processing Sdn Bhd, Kuala Berang akan memberi impak kepada aktiviti pengeluaran dan penjualan getah pekebun kecil yang akan menjejaskan pendapatan mereka.

3. Rekod LGM menunjukkan bahawa terdapat lebih daripada 2,700 pekebun kecil di Hulu Terengganu dan juga akan mempunyai kesan secara tidak langsung kepada 19,350 pekebun kecil di seluruh Terengganu.

4. Kementerian menerusi LGM bersedia memberi khidmat teknikal dan membantu pihak Pengurusan MARDEC Berhad untuk membuat kajian menyeluruh dengan maklumat berkaitan bagi mengenalpasti masalah operasi kilang dan punca-punca yang menyebabkan Kilang MARDEC Kuala Berang mengalami kerugian dan seterusnya tidak dapat meneruskan operasi. Ini adalah bertujuan memastikan kilang tersebut dapat meningkatkan daya saing dan terus beroperasi untuk memproses getah yang dihasilkan di Hulu Terengganu dan juga di seluruh Negeri Terengganu.

YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Bin Aman Razali
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
29 Jun 2020

 

Jata

KENYATAAN MEDIA


INDUSTRI BULUH NEGARA MASUKI FASA BAHARU,
TRANSFORMASI KOMODITI MAMPU TINGKATKAN
UNJURAN EKONOMI


 


1. Industri buluh negara memasuki fasa baharu dengan termeterainya Memorandum Perjanjian (MoA) antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan Bamboo Jungle Adventures Sdn Bhd (BJA) dan Golden Pharos Berhad bagi pembangunan Manual Aplikasi Buluh dalam industri pembinaan di Kuala Terengganu, Terengganu, hari ini. Pemeteraian MoA berkenaan disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.


2. Pada majlis menandatangani MoA itu, Ketua Pengarah MTIB, Mohd Kheiruddin Mohd Rani mewakili agensi itu manakala BJA diwakili Pengarah Urusannya, Anum Nazahah Ahmad Mazlan dan Golden Pharos diwakili Ketua Pegawai
Eksekutifnya, Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak. Manual itu akan menjadi rujukan kepada mana-mana pihak yang ingin mendirikan bangunan menggunakan buluh sebagai komponen struktur.


3. Kedua-dua pemimpin berkenaan turut menyempurnakan program Seminar Aplikasi Buluh dalam Industri Pembinaan anjuran MTIB itu. Rakyat kini semakin cakna dengan perkembangan komoditi negara dan seiring bersama YB Menteri khususnya dalam usaha untuk membantu meneruskan agenda memperkasakan ekonomi golongan B40.


4. Sehubungan itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MTIB akan terus memastikan pelbagai program dan inisiatif untuk pembangunan industri buluh terus dipertingkatkan serta menjadi salah satu bidang agrikomoditi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat dan seterusnya menjana ekonomi negara yang lebih mampan.


5. Penggunaan buluh dalam industri tradisonal perlu ditransformasikan ke arah penggunaan untuk penghasilan produk bernilai tambah seperti papan komposit, papan lantai, perabot, bahan binaan bangunan dan produk biomass seperti pembuatan arang yang bukan sahaja berpotensi untuk kegunaan pasaran domestik malahan juga untuk pengeksportan secara komersial.


6. Malaysia mengeksport sebanyak RM9.6 bilion produk berasaskan kayu sehingga suku kedua tahun ini. Amerika Syarikat adalah pengimport terbesar produk kayu negara dengan nilai sebanyak RM2.87 bilion atau 30 peratus daripada keseluruhan eksport negara. Kesan pandemik wabak COVID-19 mengakibatkan penurunan eksport negara sebanyak 9.7 peratus. Daripada jumlah tersebut, eksport buluh dan produk berasaskan buluh adalah sebanyak RM3 juta.


7. Seramai 150 orang peserta yang terdiri daripada wakil Kerajaan Negeri Terengganu dan KPPK serta pemain industri buluh di sekitar negeri ini hadir. Sebanyak empat kertas kerja mengenai industri buluh dibentangkan iaitu Status Industri Buluh Malaysia, Penggunaan Buluh Untuk Bangunan Resort, Penggunaan Buluh Global Dalam Industri Pembinaan dan Rekabentuk Konsep Buluh Kuala Nerus.


8. Bersempena dengan majlis berkenaan, sebuah buku bertajuk ‘Kaedah Rawatan & Teknik Pengawetan Buluh’ terbitan MTIB dengan kolaborasi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) turut dilancarkan. Mengetahui kaedah rawatan dan teknik pengawetan buluh amat penting supaya buluh terselamat daripada serangan agen perosak apabila diaplikasikan untuk kegunaan struktur dan bukan struktur. Buku itu boleh dijadikan rujukan kepada pemain industri yang ingin menceburi industri yang masih baru di negara ini.


YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
29 Ogos 2020