MENTERI LANCAR SYARIKAT PEMASARAN INTEGRASI KOMODITI DI JEDDAH, ARAB SAUDI BAGI MEMANTAPKAN KEDUDUKAN PASARAN
JEDDAH: Arab Saudi komited untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia daripada 318,000 tan, bernilai RM900 juta pada tahun 2021 kepada 500,000 tan dengan anggaran nilai RM1.5 bilion tahun 2022
. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin berkata, pada 2020 eksport komoditi pertanian Malaysia ke Timur Tengah dan Afrika Utara mencatatkan jumlah USD2.37 bilion manakala getah dan produk berkaitan mencatatkan nilai eksport sebanyak USD535 juta.
Begitu juga, kayu dan produk kayu mencatatkan nilai eksport sebanyak USD324.5 juta manakala minyak sawit dan produk minyak sawit mencatatkan USD1.51 bilion. Bercakap selepas melancarkan secara rasmi Pejabat Wilayah Agrikomoditi di Jeddah, beliau berkata pejabat itu penting untuk memudahkan pembangunan dan kerjasama dalam kalangan komoditi Malaysia dan industri tempatan di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), khususnya Arab Saudi
. "Ini juga akan membawa kepada peluang yang lebih besar dalam meningkatkan perdagangan bagi kedua-dua negara," katanya. Pejabat Wilayah Agrikomoditi atau lebih dikenali Syarikat Pemasaran Integrasi Komoditi (CIMC) itu adalah yang pertama seumpamanya di Timur Tengah, menempatkan tiga organisasi berkaitan kerajaan di bawah satu bumbung, iaitu Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Majlis Kayu Malaysia (MTC).
Pada masa sama, Zuraida turut menghadiri perbincangan dengan wakil daripada industri minyak sawit, getah dan kayu dari Arab Saudi untuk mengukuhkan kedudukan pasaran Malaysia di rantau ini.
“Produk pertanian Malaysia sudah mantap di pasaran dunia dan kebanyakannya adalah keperluan kehidupan harian seperti minyak masak, kosmetik, sabun, sarung tangan dan perabot rumah serta produk yang biasa digunakan dalam sektor perindustrian seperti biofuel, galas struktur, alat ganti automotif dan panel bangunan.”
"Malaysia bukan sahaja diiktiraf sebagai pengeksport terbesar sarung tangan getah dan pengeksport kedua terbesar minyak sawit mentah, produk pertaniannya juga terkenal dengan kualiti tinggi dan boleh didapati di kebanyakan bahagian dunia," katanya.
CIMC akan bertindak sebagai hab komoditi Malaysia untuk memupuk hubungan antarabangsa melalui pelbagai inisiatif yang penting untuk penambahbaikan dan penerimaan produk pertanian Malaysia di pasaran global.
"Kementerian percaya, pejabat di Jeddah adalah testimoni kedua-dua negara untuk menyampaikan produk pertanian Malaysia berkualiti tinggi ke Timur Tengah dan Afrika dengan cara yang bertanggungjawab dan mampan," tambahnya.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 28 JANUARI 2022
PROJEK PEMANTAUAN DAN PELAPORAN TRANSAKSI BUAH TANDAN SEGAR JEJAK PENJUALAN SAWIT CURI
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng hari ini melancarkan Projek Rintis Pemantauan dan Pelaporan Transaksi Buah Tandan Segar (BTS) di Tanjung Piai, Johor. Projek berkenaan adalah yang pertama seumpamanya dalam industri sawit bagi pekebun kecil persendirian dan peniaga buah sawit untuk perkembangan industri sawit negara.
2. Sistem itu dibangunkan bagi menggalakkan pekebun kecil persendirian mengamalkan penyimpanan rekod penyelenggaraan kebun dan rekod hasil secara konsisten serta tepat. Bagi meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan selaras dengan kemajuan teknologi masa kini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang membangunkan sistem secara dalam talian untuk projek berkenaan.
3. Buat masa ini, tiada sebarang sistem yang spesifik untuk merekod hasil dan harga BTS yang diterima oleh pekebun kecil persendirian. Justeru, sukar untuk MPOB memberikan perkhidmatan pengembangan yang efektif tanpa makkumat data hasil, kos pengeluaran serta keuntungan yang diperoleh. Sistem baru ini ditambah baik untuk meningkatkan ketelusan dalam urus niaga transaksi buah tandan segar dan pada masa yang sama mampu mengumpulkan rekod pendapatan pekebun kecil persendirian termasuk fungsi untuk memantau penjualan buah sawit curi, penjualan tanpa lesen, penggunaan lesen individu lain tanpa kebenaran, peniaga buah yang kurang jujur dan isu-isu lain.
4. Di samping itu, data hasil merupakan satu kriteria penting yang dinilai di bawah Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Dengan pembangunan sistem seperti ini, aspek kebolehjejakan (traceability) dalam skim pensijilan MSPO juga dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan telus. Data hasil BTS yang menyeluruh dan tepat membolehkan ejen pengembangan membandingkan hasil sawit dan mengenal pasti sebarang perbezaan yang ketara yang diperoleh daripada pekebun kecil persendirian. Melalui pembangunan sistem ini, MPOB akan dapat memantau hasil dan harga BTS yang diterima oleh pekebun kecil persendirian dengan lebih cepat dan tepat. Selain itu, penjualan BTS tanpa lesen juga dapat dikenal pasti yang berupaya mengurangkan masalah penjualan BTS secara tidak sah.
5. Projek rintis ini akan melibatkan seramai 6,045 orang pekebun kecil persendirian yang mengusahakan tanaman sawit seluas 11,954.21 hektar, 33 peniaga buah sawit (DF) dan sebuah kilang sawit di dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai. MPOB telah mewujudkan tiga Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di kawasan ini dalam usaha untuk mempersijilkan pekebun kecil persendirian dengan Pensijilan MSPO. Sehingga kini, sebanyak 43 SPOC telah dipersijilkan MSPO membabitkan seramai 27,263 pekebun kecil dengan keluasan 69,969.46 hektar di Johor. Di kawasan Tanjung Piai, sebanyak 1,770 pekebun kecil dengan keluasan mencecah 4,100 hektar telah dipersijilkan MSPO.
6. Pekebun kecil persendirian perlu mematuhi peraturan pelesenan MPOB dengan memohon atau memperbaharui lesen untuk menjual buah sawit kepada peniaga dan pengilang. MPOB akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak termasuk pekebun kecil persendirian yang menjalankan aktiviti jual beli BTS tanpa lesen termasuk tindakan mahkamah bagi membendung aktiviti tidak sihat dalam industri ini.
7. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap dengan usaha MPOB ini akan meningkatkan lagi ketelusan dan kecekapan transaksi BTS di seluruh negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Tanjung Piai, Johor Darul Takzim 28 Mac 2021
MPB PERKENAL APLIKASI LADAGO BANTU PEKEBUN KECIL PANTAU PENYAKIT, TINGKAT PENGELUARAN LADA ¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Anak Mongin hari ini melancarkan aplikasi LadaGO dan Permohonan Bantuan Secara Dalam Talian (PBSO) oleh Lembaga Lada Malaysia (MPB) sempena Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2021 di Betong, Sarawak. 2. Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2021 melibatkan penyertaan semua Agensi serta Majlis di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) merangkumi subsektor sawit, getah, koko dan lada yang dijadualkan diadakan di seluruh negara. 3. Aplikasi LadaGO merupakan satu inisiatif untuk membantu pegawai pengembangan MPB serta pengusaha tanaman lada dalam pengurusan masalah penyakit dan nutrien pokok lada. Ia akan menjadi saluran pengesanan awal masalah berkenaan bagi memastikan pengeluaran agrikomoditi itu yang mampan di samping mampu menjimatkan kos dan masa dalam perihal berkaitan pengurusan penyakit. 4. Aplikasi LadaGO ini dibangunkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Swinburne University of Technology Sarawak. Aplikasi ini juga telah merangkul anugerah Outstanding Innovation Award dan Gold Award sempena Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2021 pada 25 hingga 29 Oktober lalu. 5. Sistem PBSO yang dibangunkan oleh MPB akan diintegrasikan bersama sistem pangkalan data e-Pekebun MPB bertujuan untuk meningkatkan capaian perkhidmatan kepada individu yang ingin membuat permohonan bantuan Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) dan Skim Tanaman Lada Matang (STLM) secara dalam talian serta menyemak status permohonan pada bila-bila masa. 6. Pada program jelajah kali ini, seramai 10 pekebun lada mewakili 10 rumah panjang menerima bantuan STLB dan STLM. Kesemua penerima ini merupakan pekebun dari Dewan Undangan Negeri Layar, Betong. 7. KPPK akan terus memastikan pelbagai program dan inisiatif berkaitan pembangunan agrikomoditi dipertingkatkan. Ini penting agar ia terus berdaya saing dan mapan disamping menjana pendapatan serta memberi manfaat kepada rakyat dan negara selaras aspirasi Keluarga Malaysia.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Betong, Sarawak 28 November 2021
1. Majlis JOM MSPO pada hari ini bertujuan untuk memberi penerangan kepada pekebun kecil persendirian (PKP) yang mengusahakan tanaman sawit mengenai pensijilan MSPO.
2. Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) komited memastikan penanam sawit seperti pengusaha ladang dan pekebun kecil dapat memenuhi kriteria pensijilan mampan MSPO.
3. Sawit adalah Anugerah Tuhan. Penanaman sawit yang mampan dapat memastikan peningkatan pendapatan untuk para pengusaha sawit, terutamanya PKP.
4. Oleh itu, usaha sedang giat dilaksanakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) bagi meningkatkan penyertaan pekebun kecil persendirian melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC).
5. Pelaksanaan MSPO oleh pekebun kecil akan membantu meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil sawit yang akan memberi pulangan yang baik. Selain itu, Kerajaan akan membantu pekebun kecil persendirian menanggung kos pensijilan MSPO yang disediakan merangkumi kos yuran pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).
6. Seperti yang umum ketahui, pengeluaran minyak sawit Malaysia secara mampan penting bagi menangani cabaran perdagangan minyak sawit global.
7. Bagi Negeri Perak, sebanyak 23 SPOC telah disijilkan MSPO yang melibatkan sebanyak 9,904 orang pekebun kecil persendirian dengan keluasan 22,831.74 hektar. Namun, masih ramai pekebun kecil persendirian (PKP) yang belum berdaftar untuk dipersijilkan MSPO.
8. Melalui penempatan pegawai TUNAS MPOB di Hilir Perak, Tapah, Seri Iskandar dan Taiping, Kerajaan dan MPOB menyediakan khidmat nasihat penanaman sawit dan pemindahan teknologi kepada pekebun kecil.
9. Penglibatan pihak terutama pekebun kecil dan pengusaha sawit dengan memanfaatkan bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan kesediaan melaksanakan penanaman sawit secara kemampanan memberi pulangan hasil dan pendapatan yang lumayan kepada pengusaha sawit.
Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi 28 Ogos 2020
KERJASAMA STRATEGIK PEMEGANG TARUH LONJAKKAN PASARAN LADA MALAYSIA DI PERINGKAT ANTARABANGSA
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini bertemu dan menyampaikan amanat kepada warga kerja MPB sempena lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Lembaga Lada Malaysia (MPB) Kuching, Sarawak.
2. Sebagai sebuah agensi di bawah kementerian, MPB bertanggungjawab untuk melaksanakan program dan aktiviti bersama pemegang taruh industri lada. Pelaksanaan aktiviti seperti promosi, seminar bengkel dan sebagainya adalah penting agar golongan sasar dapat diberi pendedahan mengenai potensi pasaran komoditi lada.
3. Pembangunan industri lada sama ada di peringkat huluan mahupun hiliran akan digandakan bagi membolehkan industri ini terus bersaing dan Malaysia sebagai pasaran penting. Peluang untuk meneroka pasaran antarabangsa akan dipergiat dengan menjalin kerjasama strategik dengan agensi-agensi yang berkaitan.
4. Malaysia adalah negara pengeluar lada kelima terbesar dunia dengan pengeluaran sebanyak 35,539 tan metrik. Berdasarkan rekod melalui Sistem E-Pekebun MPB sehingga 5 September 2020, jumlah pekebun lada di negara ini sudah mencecah seramai 36,682 orang dengan keluasan tanaman seluas 7,659 hektar. Sebagai makluman, 98 peratus komoditi ini adalah ditanam di Bumi Kenyalang.
5. Bersempena dengan lawatan, YB Menteri turut menyampaikan baucar kepada enam penerima Bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) PRIHATIN serta surat kelulusan kepada enam penerima bantuan Skim Tanaman Baru Lada di Kuching.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Kuching, Sarawak 28 September 2020