ARKIB MEDIA

Jata

KENYATAAN MEDIA
PEMATUHAN SOP SEKTOR AGRIKOMODITI YANG LEBIH TEGAS
MELIBATKAN MAJIKAN DAN PEKERJA SEPANJANG PKP 3.0


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil perhatian serius terhadap peningkatan mendadak kes baharu jangkitan COVID19 pada masa ini. Justeru, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) yang lebih ketat berkuatkuasa hari ini adalah langkah paling wajar dalam usaha memutuskan rantaian wabak dan melandaikan keluk pandemik yang semakin membimbangkan.


2. Berikutan itu, para pemain industri agrikomoditi membabitkan ladang, kilang dan premis operasi termasuk pekebun kecil diingatkan supaya semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh KPPK dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi tanpa sebarang kompromi.


3. Semua sektor di bawah industri agrikomoditi seperti sawit, getah, kayu danperabot, koko, lada, kenaf serta biodiesel dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 60 peratus sahaja. Sehubungan itu, semua pemain industri dan majikan perlu memastikan pekerja sentiasa mengikut SOP baharu yang telah ditetapkan. Pemantauan yang lebih kerap oleh majikan kepada pematuhan oleh pekerja hendaklah dilaksanakan. Antaranya penggunaan aplikasi MySejahtera dan penyediaan kemudahan sanitasi tangan di tempat yang bersesuaian.


4. Adalah menjadi tanggungjawab majikan dan pemilik premis dalam memastikan hanya pekerja serta pelanggan yang tidak berisiko memasuki kawasan premis iaitu dengan suhu badan tidak melebihi 37.5 darjah selsius dan tidak mempunyai gejala batuk, selesema, sakit tekak atau sesak nafas. Sekiranya gagal, pemilik premis akan dikenakan tindakan undang-undang.


5. Selain daripada itu, pemilik premis yang tersenarai di bawah Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) hendaklah mengambil tindakan intervensi dengan melaksanakan sanitasi premis dan meningkatkan kawalan dan pemantauan pelanggan serta melaksanakan penutupan premis jika diarahkan oleh Pegawai Kesihatan Daerah selepas penilaian risiko dijalankan.


6. Majikan sektor agrikomoditi perlu merujuk kepada SOP Sektor Agrikomoditi yang dikemaskini oleh KPPK pada 25 Mei 2021. Sebarang pertanyaan berhubung SOP tersebut boleh dikemukakan kepada KPPK di talian hotline 03-88803498, Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5 petang atau melalui emel: hotlinempic [AT] mpic [DOT] gov [DOT] my.


7. KPPK berharap pematuhan SOP yang lebih ketat dan tegas oleh semua akan dapat menurunkan bilangan kes COVID-19 sekali gus mampu meredakan kebimbangan rakyat dan memulihkan ekonomi negara dengan segera.


DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
26 Mei 2021

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
KEMAMPANAN HASIL AGRIKOMODITI NEGARA TERJAMIN
DENGAN DASAR AGRIKOMODITI NEGARA 2021-2030 (DAKN 2030)


1. Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 sepanjang tahun 2020-2021 menyaksikan situasi di luar jangkaan apabila pertumbuhan pesat
keluaran agrikomoditi negara menunjukkan peningkatan keseluruhan sebanyak 64 peratus berbanding tempoh prapandemik 2018-2019.


2. Walaupun negara berhadapan pelbagai cabaran berikutan pandemik COVID-19, nilai eksport produk agrikomoditi Malaysia kekal kukuh, malah mencatatkan pertumbuhan pesat sepanjang
tempoh empat tahun daripada RM127.9 bilion pada 2018 kepada RM128.5 bilion (2019) dan meningkat kepada RM151.3 bilion (2020) serta RM209.6 bilion (2021).


3. Untuk mengekalkan potensi dan pertumbuhan industri agrikomoditi Malaysia, Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) telah dilancarkan pada bulan Mac 2020 untuk terus
memacu perkembangan sektor agrikomoditi negara di landasan yang lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran. Hal ini selaras dengan norma baharu dan peningkatan penggunaan teknologi digital dalam era pasca COVID-19.


4. Intipati DAKN 2030 adalah bertunjangkan lima teras utama, iaitu
(i) kemampanan;

(ii) produktiviti;

(iii) ciptaan bernilai tambah;

(iv)pembangunan pasaran; dan

(v) keterangkuman.


5. Berikut adalah enam produk agrikomoditi yang memperoleh manfaat secara langsung daripada pelaksanaan DAKN 2030;
(i) Minyak sawit: Usaha akan dilaksanakan untuk meningkatkan eksport dan mengurangkan stok simpanan melalui pengecualian duti eksport untuk minyak isirung sawit mentah (CPKO) dan minyak isirung sawit proses (RBDPKO) kepada syarikat-syarikat yang memenuhi kriteria permohonan. Hasilnya, harga minyak sawit mentah (CPO) kembali stabil dan pada masa
yang sama harganya menunjukkan trend peningkatan dari tempoh Jun 2020 sehingga kini. Selaras dengan usaha ini, Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) dilaksanakan untuk memperkukuh kemampanan dan kualiti minyak sawit negara serta menerusi usaha mempererat kerjasama strategik dengan Indonesia melalui Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).


(ii) Getah: Terdapat perancangan untuk memperluaskan penggunaan getah di Malaysia sebagai bahan bagi pembinaan jalan raya, selain pengeluaran produk-produk baharu berasaskan
getah yang ada nilai tambah seperti alat penahan getaran/gempa seismic bearing, sarung tangan dan pelbagai lagi. Pada masa yang sama, Malaysia akan bekerjasama dengan negara-negara pengeluar getah utama dunia seperti Thailand dan Indonesia di bawah rangka kerja Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) untuk memperkukuh dan memperkuatkan harga pasaran getah dunia.


(iii) Kayu-kayan: Malaysia akan terus memperluaskan penyertaan dalam pameran-pameran pembinaan, perabot dan kayu-kayan antarabangsa bagi mempromosi dan mendorong permintaan untuk produk kayu-kayan negara dan meningkatkan rantaian hubungan serta peluang perniagaan di negara-negara berkaitan. Pada masa yang sama, negara juga merancang meningkatkan kerjasama di antara agensi-agensi terlibat seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) bagi menggalakkan industri perkayuan memperluas akses dalam pasaran digital melalui penyertaan dalam pameran secara maya, selain menggalakkan usaha pemasaran
melalui platform-platform digital, antaranya seperti AliBaba dan MineBizs.


(iv) Koko: DAKN 2030 melaksanakan Program Khidmat Sokongan Pemasaran Domestik (KSPD) bagi membantu pekebunpekebun koko memasarkan hasil kebun mereka dengan tawaran
harga pembelian yang munasabah, seterusnya mengurangkan peranan orang tengah yang biasanya menawarkan harga tidak berdaya saing. Sebagai tambahan, usaha-usaha akan
dilaksanakan bagi aktiviti-aktiviti promosi secara virtual, malah pihak industri juga sudah menyertai beberapa program pameran secara maya ini melalui sesi webminar, pembentangan secara
zoom, sesi chat secara langsung (live chat) dan platform pemadanan bisnes secara dalam talian.


(v) Lada: Antara usaha yang dilihat berpotensi adalah menjual secara terus hasil lada negara dan produk berkaitan dengannya ke pasaran khusus atau ‘niche market‘ bagi meningkatkan daya saing industri lada negara. Ini melibatkan pengeluaran produk-produk lada dengan nilai tambah seperti lada yang disteril (steriled pepper) atau Mikrokleen dan serbuk lada
untuk pasaran yang mengambil berat aspek keselamatan dan kualiti makanan, selain produk-produk khusus peringkat ladang (‘farmlevel specialty’) seperti lada putih berkrim (LPK). Sehingga kini, Lembaga Lada Malaysia (MPB) telah berjaya menembusi pasaran produk lada bernilai tambah dan pasaran khusus lada, antaranya di Jepun, Sweden, Korea Selatan, China, Taiwan, Hong Kong, Sepanyol dan Polinesia.


(vi) Kenaf: Perancangan awal adalah untuk memperkenalkan ladang-ladang kluster dengan keluasan antara 20 hingga 50 hektar bagi menggantikan ladang-ladang berskala kecil
kurang ekonomik yang diusahakan oleh pekebun kenaf sedia ada. Sebagai tambahan, tumpuan juga diberikan untuk membangunkan Pusat Penyelidikan, Teknologi Inovasi dan Inkubasi Perusahaan Kecil atau ‘Center for Research, Innovation Technology and Incubation Of Small Enterprises ’ (RINTIS) bagi melahirkan usahawan aktiviti pemprosesan serat premium selain meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) kenaf di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.


6. Kementerian komited untuk terus membawa sektor agrikomoditi negara ke satu tahap yang lebih baik agar pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 akan terus mencatatkan prestasi
cemerlang meskipun berdepan cabaran inflasi yang diramal berlaku pada tahun 2023. DAKN 2030 menjadi garis panduan yang jelas bagi memaksimumkan potensi ekonomi kitaran menerusi biojisim agrikomoditi yang diyakini menjadi benteng memperkasa kedudukan sektor agrikomoditi sebagai nadi pemulihan ekonomi Malaysia.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
26 SEPTEMBER 2022

JATA LATES

SIARAN MEDIA
HAB PERDAGANGAN KOKO DI JOHOR BAKAL TINGKAT
KDNK NEGARA
________________________________________________________________

1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng pada hari ini telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pengisytiharan Hab Perdagangan Koko Malaysia di Forest City Hotel, Gelang Patah, Johor.


2. Kajian Kemungkinan (Feasibility Study) mewujudkan Hab Perdagangan Koko di Malaysia telah bermula pada tahun 2019 dan 2021. Kajian ini merupakan salah satu usaha dan komitmen Lembaga Koko Malaysia (LKM) dalam menilai lanskap semasa sektor hiliran industri koko di Malaysia yang sedang giat beroperasi khususnya di negeri Johor. Kajian telah dilaksanakan secara libat urus dengan kementerian dan agensiagensi terlibat seperti Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ).


3. Hab Perdagangan Koko ini diwujudkan untuk memudahkan proses pengimportan biji koko dan membantu dalam menyelesaikan isu-isu kualiti yang boleh menyebabkan penahanan konsainan. Penubuhan hab diasaskan daripada model hab perdagangan koko yang telah beroperasi di luar negara seperti Pelabuhan Amsterdam di Netherlands dan Pelabuhan Singapura.


4. Terdapat dua (2) lokasi yang diisytiharkan sebagai Hab Perdagangan Koko iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) di Johor. Kedua-duanya mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap, tenaga kerja yang mahir dan mencukupi serta jaringan domestik yang sangat baik.


5. Bersempena dengan majlis ini juga, sebuah Buku Garisan Panduan Pengimportan Biji Koko Kering ke Malaysia yang diterbitkan oleh LKM turut dilancarkan. Buku ini bakal menjadi panduan utama kepada pihak berkuasa dan pihak industri khususnya dalam pengurusan pengimportan biji koko kering.


6. Selain itu, satu kerjasama melalui ‘Memorandum of Understanding’ (MoU) telah dimeterai di antara LKM dan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ). Kerjasama ini juga diyakini mampu membangunkan ekonomi negara. Bagi tempoh bulan Januari hingga Jun tahun 2022 sahaja, kadar nilai eksport bagi koko dan produk berasaskan koko telah mencecah RM4.4 billion, iaitu meningkat lebih 11 peratus berbanding nilai eksport pada tempoh yang sama tahun 2021.


7. Kerajaan menerusi Kementerian dan LKM akan memastikan sektor hiliran koko terus berdaya saing serta lebih produktif untuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejajar dengan sasaran yang ditetapkan dalam Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030)


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
26 SEPTEMBER 2022


KENYATAAN MEDIA

LAWATAN KERJA YB TUAN WILLIE MONGIN, TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI, PADAWAN, SARAWAK

1. Pada hari ini, 27 Jun 2020, YB Tuan Willie Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah menghadiri sesi taklimat oleh Lembaga Koko Malaysia mengenai potensi industri koko dan aktiviti promosi penyertaan Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad kepada penduduk di sekitar Padawan di Dewan Gunasama Kampung Bratan Asah, Padawan, Sarawak.

2. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memperkenalkan Program Pembangunan Rantaian Kluster Koko, yang berupaya meningkatkan pengeluaran biji koko dan pendapatan pengusaha-pengusaha koko merangkumi komuniti setempat.

3. Melalui program ini, pekebun kecil koko akan diberi bantuan subsidi bagi tanaman baharu koko dan bagi aktiviti peluasan kebun atau penggantian kebun yang tidak ekonomik untuk diselenggarakan.

4. Di samping itu, Program Kluster Koko akan membolehkan aktiviti pemprosesan biji koko kering tempatan Sarawak dilaksanakan dengan kapasiti 50 tan setahun. Pekebun kecil koko pula diberi bantuan subsidi dalam bentuk input pertanian untuk aktiviti penyelenggaraan kebun terutamanya penuaian hasil biji koko kering melalui program Program Peningkatan Hasil Koko Kluster dan Program Peningkatan Produktiviti. Manakala, pengurusan Kluster Koko akan dilaksanakan melalui Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad di mana keahlian koperasi adalah terbuka kepada pemain industri koko seperti penanam koko dan usahawan koko.

5. Dalam usaha membantu pekebun kecil koko yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.69 juta kepada 4,566 pekebun kecil koko yang layak di seluruh Malaysia di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) PRIHATIN 2020. Dalam hal ini, seramai 1,140 orang pekebun kecil koko layak mendapat bantuan ini di negeri Sarawak dengan anggaran kos sebanyak RM667,000 di bawah pakej ini, dengan nilai bantuan bagi pekebun di Padawan dijangka sebanyak RM85,000.

6. Kementerian melalui Lembaga Koko Malaysia akan terus membantu pekebun kecil koko dan melaksanakan program yang bersesuaian untuk meningkatkan kemajuan industri koko. Adalah diharapkan agar usaha ini dapat menarik minat orang ramai amnya dan Padawan khususnya untuk melibatkan diri secara aktif dalam industri koko sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun kecil koko.

 

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
27 JUN 2020

 

 

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

JELAJAH AGRIKOMODITI #KELUARGA MALAYSIA BERI MANFAAT MENANG-MENANG UNTUK KPPK DAN PEKEBUN KECIL GETAH

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menghadiri program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia di Dewan Budiman, Kg Kepah, Hulu Terengganu, Terengganu. Program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia merupakan program anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sebagai medium untuk berkongsi maklumat dan aktiviti Kementerian dengan masyarakat setempat.

2. Pada program ini, para pekebun kecil diberikan taklimat oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) mengenai Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), sistem RRIMniaga, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) serta pendedahan berkaitan penyakit Pestalotiopsis. Selain itu, YB Meteri turut berdialog dengan pekebun kecil selain berkongsi maklumat projek terkini Kerajaan dan kemajuan penyelidikan serta teknologi dalam bidang agrikomoditi yang boleh dimanfaatkan oleh mereka.

3. Pada majlis berkenaan, pekebun kecil terbabit menerima sumbangan Majlis Getah Malaysia (MRC) di bawah program Penyerahan Bantuan Prihatin MRC. Sumbangan itu termasuk alat peranti tablet bersama pelan data Internet kepada keluarga terpilih.

4. YB Menteri berpeluang melawat Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) Kg Kepah Hulu Terengganu. Projek JLPK ini memberi impak menyeluruh ke atas pembangunan sosio ekonomi kawasan luar bandar dengan penyediaan kemudahan asas jalan ladang. Pembinaan ini dapat merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar.

5. KPPK berharap program dialog seperti ini akan diteruskan dan menjadi medan kepada pekebun kecil getah menyampaikan maklumat secara langsung kepada Kerajaan seterusnya Kementerian dapat bertindak serta merancang dengan lebih baik untuk masa hadapan yang lebih terjamin kepada golongan berkenaan.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Hulu Terengganu, Terengganu
27 November 2021