MAJIKAN INDUSTRI AGRIKOMODITI PERLU PASTIKAN SOP DIIKUTI DENGAN LEBIH TEGAS BAGI MEMBENDUNG PENULARAN JANGKITAN COVID-19 DI TEMPAT KERJA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil perhatian serius terhadap peningkatan kes baharu jangkitan COVID-19 pada masa ini terutamanya yang berpunca dari kluster di tempat kerja. Berikutan itu, para pemain industri agrikomoditi diingatkan supaya memastikan pelaksanaan semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh KPPK dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan lebih tegas bagi membendung penularan wabak itu di ladang dan kilang.
2. KPPK turut mengambil maklum laporan media semalam berkaitan keputusan Kerajaan Negeri Sabah tidak akan menutup ladang-ladang sawit di negeri itu berikutan penularan wabak COVID-19, sebaliknya mengarahkan syarikat perladangan melakukan ujian saringan ke atas semua pekerja dalam tempoh 30 hari. Prosedur itu membabitkan seramai 153,250 pekerja dari 1,160 estet dan dan 33,034 ladang pekebun kecil bermula semalam. Kementerian mengalu-alukan langkah kerajaan negeri ini.
3. Sehubungan itu, majikan perlu memastikan pekerja sentiasa mengikut SOP yang telah ditetapkan. Antaranya seperti mengehadkan bilangan pekerja ke ladang dan kilang serta memastikan mereka tidak berkumpul di ruang sempit selain mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dipatuhi pada setiap masa. Bukan sekadar itu, majikan juga perlu mengingatkan pekerja masing-masing supaya sentiasa mematuhi semua SOP dan peraturan yang ditetapkan setelah pulang bekerja bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat pula. 4. Selain itu, para majikan diingatkan supaya mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446). Pematuhan kepada Akta 446 adalah selaras dengan Inisiatif Keempat Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Januari 2021 iaitu Memperkukuh Saringan Kesihatan Pekerja. Pematuhan terhadap Akta 446 adalah amat penting bagi memastikan pekerja mempunyai tempat kediaman yang bersih dan kondusif serta mengelakkan kesesakan bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19.
5. Bagi memastikan semua SOP dipatuhi sepenuhnya, majikan sektor agrikomoditi perlulah merujuk kepada SOP Sektor Agrikomoditi yang telah disediakan dan dikemaskini oleh KPPK dari semasa ke semasa. SOP Sektor Agrikomoditi yang telah dikemaskini dan diwartakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan pada 15 Januari 2021 boleh dirujuk di laman web KPPK melalui pautan https://www.mpic.gov.my/mpi/pkp/pkp-2-0. Sebarang pertanyaan berhubung SOP tersebut boleh dikemukakan kepada KPPK melalui talian hotline 03-88803498 pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang atau emel hotlinempic [AT] mpic [DOT] gov [DOT] my.
6. KPPK berharap pematuhan SOP yang lebih ketat dan tegas oleh majikan akan dapat menurunkan bilangan kes COVID-19 sekali gus mampu meredakan kebimbangan rakyat dan memulihkan ekonomi negara dengan segera.
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 26 Januari 2021
LEMBAGA KOKO MALAYSIA PERGIAT USAHA PENGKOMERSIALAN HASIL PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN KOKO
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini merasmikan Bengkel Tahunan Saintis LKM (MASW) 2021. Bengkel tersebut merupakan satu usaha kolaborasi strategik di antara Lembaga Koko Malaysia (LKM) bersama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).
2. MASW 2021 bertemakan Transforming R&D Culture Towards MarketDriven Research bertujuan meningkatkan keupayaan penyelidik LKM di samping menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) LKM. Bengkel yang bermula 26 hingga 28 Julai 2021 itu dihadiri oleh 72 pegawai penyelidik LKM secara maya.
3. Projek R&D LKM bermula sejak Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8) dan sehingga kini sebanyak 105 projek dengan peruntukan berjumlah RM75.3 juta telah dijalankan. Sebanyak 17 projek R&D bernilai RM42.7 juta telah dilaksanakan serta 630 penerbitan berimpak tinggi dan laporan teknikal telah berjaya dihasilkan sepanjang tempoh RMK-11. Manakala, sembilan projek R&D bernilai RM14.1 juta sedang dilaksanakan di bawah RMKe-12.
4. LKM telah menerima 60 pengiktirafan di dalam dan luar negara bagi inovasi serta teknologi yang dihasilkan melalui aktiviti R&D. Selain itu, 38 inovasi dan teknologi yang dihasilkan di bawah RMKe-11 telah memperoleh Hak Harta Intelek (IPR).
5. Selaras dengan hala tuju LKM sebagai agensi unggul dalam R&D berkaitan koko, penyelidikan berasaskan permintaan pasaran telah diberi tumpuan mulai tahun 2014. Dalam hal ini, 63 teknologi dan produk dibangunkan bagi menghasilkan klon koko baharu, teknologi pengurusan kebun, kawalan penyakit dan pemprosesan komdofiti itu serta penghasilan produk makanan dan bukan makanan berasaskan koko. Selain itu, sebanyak 17 produk dan teknologi seperti produk kecantikan dan penjagaan diri telah dikomersialkan dengan kadar pengkomersialan 27 peratus.
6. Kolaborasi di antara LKM dan rakan strategik MTDC yang terjalin sejak tahun 2019 di bawah program Innovation to Market (I2M) akan diteruskan agar usaha pengkomersialan produk R&D LKM dapat direalisasikan. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap usaha pengkomersialan ini juga dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada usahawan dalam mengeluarkan produk berasaskan koko yang lebih berkualiti dan mempunyai potensi pasaran yang besar.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Putrajaya 26 Julai 2021
SIARAN MEDIA EKSPO DAN SIDANG KEMUNCAK AGRIKOMODITI ANTARABANGSA MALAYSIA 2022 (MIACES) HAB GLOBAL PEMAIN INDUSTRI AGRIKOMODITI
1. YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri hari ini merasmikan Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia 2022 (MIACES) yang akan bermula 26 hingga 28 Julai 2022 di MITEC, Kuala Lumpur dan melibatkan penyertaan daripada 39 buah negara dan lebih 350 syarikat antarabangsa.
2. MIACES dianjurkan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dengan sokongan agensi dan majlis di bawah Kementerian. MIACES 2022 menjadi medium memperkukuhkan rangkaian kerjasama antara pemain agrikomoditi bagi membina rangkaian urus niaga serta meneroka potensi pelaburan dalam sektor agrikomoditi. Ia juga membuka ruang dan potensi bagi pemain industri menembusi pasaran antarabangsa dalam persekitaran perniagaan yang kondusif.
3. Ekspo dan sidang kemuncak yang berlangsung selama tiga (3) hari ini, menampilkan produk-produk komoditi, perkhidmatan dan teknologi perladangan terkini di bawah satu bumbung. Pelbagai acara lain turut dianjurkan antaranya persidangan, perbincangan meja bulat, mesyuarat business to business (B2B) dan malam anugerah berprestij bagi menghargai sumbangan pemain industri agrikomoditi.
4. MIACES 2022 membantu merapatkan jurang antara pemain industri, mempercepatkan pendigitalan bagi membina ekosistem yang mampan untuk meningkatkan kualiti. Ekspo dan sidang kemuncak ini juga menyaksikan pemainpemain industri di setiap rangkaian agrikomoditi dapat berurus niaga dan bekerjsama dalam satu hab yang sama.
5. Bukan itu sahaja, MIACES 2022 menampilkan Program ‘Hosted Buyer’ yang membantu para usahawan memperluas model perniagaan dan membuka peluang untuk berhubung dengan peneraju dalam sektor agrikomoditi. Platform B2B Virtual MIACES menawarkan sesi 1 on 1 bersama pengeksport, pengedar, pengimport, pelabur, pengilang, peruncit, peniaga, pemborong dan badan serta agensi kerajaan.
6. Seramai 20 penceramah akan terlibat dalam sesi mentor dan bimbingan untuk syarikat pemula dalam industri perladangan dan komoditi, di samping sesi pengambilan/ perekrutan, latihan dan peningkatan kemahiran kepada semua. Penganjuran Special Farmers Day semasa ekspo dan sidang kemuncak ini juga membuka peluang kepada para pekebun mendapatkan maklumat tentang insentif, sokongan dan teknologi terkini dalam industri.
7. Semua pihak dijemput untuk hadir ke MIACES untuk menyokong industri agrikomoditi negara. Bagi maklumat lanjut dan pra-pendaftaran untuk aktiviti, layari myagricommodity.com. Kemasukan adalah percuma untuk semua pengunjung.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 26 JULAI 2022
KPPK KOMITED MEMPERKASAKAN AGENDA USAHAWAN BUMIPUTERA INDUSTRI PERKAYUAN DAN PERABOT
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng hari ini melawat kilang Nza Wood Trading Sdn. Bhd. di Merlimau, Melaka bagi meninjau potensi syarikat perkayuan berkenaan. Syarikat milik Bumiputera ini sudah beroperasi hampir 10 tahun dengan memasarkan dan mengeksport kayu-kayan bermutu tinggi ke pasaran antarabangsa.
2. Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sentiasa menyokong kepada usaha untuk meningkatkan bilangan usahawan Bumiputera termasuk dalam industri perkayuan dan perabot. Melalui Rancangan Malaysia Ke-12, seramai 700 usahawan baharu disasarkan untuk dibangunkan yang merangkumi 600 usahawan Bumiputera menjelang tahun 2025.
3. Sektor perkayuan merupakan industri yang penting dan amat signifikan kepada pembangunan ekonomi negara. Pada tahun 2020, industri ini mencatatkan prestasi yang baik dengan nilai industri secara keseluruhan berjumlah RM41.02 bilion. Daripada jumlah ini, nilai eksport industri perkayuan adalah sebanyak RM22.02 bilion. Sementara nilai pasaran domestik pula berjumlah RM19 bilion. Lebih daripada 50 peratus atau RM12.28 bilion dari eksport kayu-kayan dan produk berasaskan kayu disumbangkan oleh tiga produk hiliran utama iaitu perabot (RM10.63 bilion), builder’s joinery and carpentry (RM971.75 juta) serta mouldings (RM687.89 juta).
4. Agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera akan terus diangkat sebagai misi Nasional dan Kerajaan melalui KPPK sentiasa proaktif dalam mengukuhkan kedudukan usahawan Bumiputera agar mampu bersaing secara kompetitif di pasaran domestik dan global. Pelbagai program telah dirangka dan dilaksanakan antaranya Program Peningkatan Kapasiti Pengeluaran di Kilang Kerja Kayu Industri Kecil dan Sederhana (SME) Bumiputera, Program Sokongan Bahan Mentah, Program Credible Entrepreneur, Marketing and Promotion (CEMP) dan Pameran Wood and Lifestyle Fair.
5. KPPK berharap lebih ramai lagi usahawan Bumiputera menceburi bidang perkayuan dan perabot di negara ini. Justeru, kerajaan akan terus menyediakan peluang dan ruang bagi membantu usahawan-usahawan baharu khususnya usahawan Bumiputera yang berpotensi di seluruh negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Merlimau, Melaka 26 Mac 2021
KIRA-KIRA 4,000 PENCARI KERJA WARGA TEMPATAN ‘SERBU’ KARNIVAL KERJAYA AGRIKOMODITI 2021, TEMPOH TEMUDUGA DILANJUTKAN SEBULAN
1. Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) secara maya baru-baru ini berjaya menarik hampir 4,000 pencari kerja warga tempatan bagi di sektor perladangan dan industri komoditi. Sebanyak 8,694 kekosongan jawatan daripada lebih 26 majikan di sektor berkenaan ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berminat.
2. Karnival kerjaya yang julung-julung kali dianjurkan membabitkan sektor perladangan dan komoditi itu diadakan selama dua hari mulai 9 Mac lalu dengan pelbagai pengisian bagi menarik lebih ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan ekoran pandemik COVID-19 memperoleh pekerjaan. Ia dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali. Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Seri M. Saravanan.
3. Antara pengisian lain karnival berkenaan ialah sesi taklimat berhubung PenjanaKerjaya 2.0 dan Portal MYFutureJobs serta Webinar ‘Peluang Kerjaya di Sektor Agrikomoditi’. Acara kemuncaknya adalah sesi temuduga secara dalam talian yang diadakan pada hari kedua karnival.
4. Hasil daripada sesi temuduga secara dalam talian tersebut, sehingga kini seramai 76 peserta berjaya ditawarkan pekerjaan di syarikat perladangan terkenal di negara ini. Seramai 44 calon bakal bekerja di Sime Darby Plantation, Felcra Berhad (19 orang), TH Plantation Berhad (9) dan masing-masing dua dengan BOH Plantation Berhad dan United Malacca Berhad.
5. KPPK mengucapkan tahniah kepada peserta yang berjaya memperoleh pekerjaan menerusi karnival kerjaya ini. Bagi yang tidak berjaya diharapkan akan terus memohon melalui portal MyFutureJobs yang terus menawarkan banyak peluang pekerjaan di pelbagai sektor termasuklah di sektor agrikomoditi. Penganjuran karnival seumpama ini akan diteruskan lagi di masa hadapan bagi memastikan lebih ramai rakyat tempatan terlibat dalam pekerjaan dalam sektor agrikomoditi.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Putrajaya 26 Mac 2021