SIARAN MEDIA WORLD BAMBOO DAY (WBD) MALAYSIA 2022: BULUH SUMBER BAHAN MENTAH ALTERNATIF INDUSTRI PERKAYUAN NEGARA
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini telah menyempurnakan Sambutan Hari Buluh Sedunia (World Bamboo Day) peringkat Malaysia 2022, kali ke-11 sejak tahun 2012. Sambutan ini dianjurkan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama Insititut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bertempat di Auditorium FRIM, Kepong.
2. Objektif sambutan WBD ini adalah seperti berikut:- i) Meningkatkan kesedaran penggunaan buluh di peringkat global; ii) Untuk melindungi sumber semulajadi dan alam sekitar; iii) Untuk memastikan penggunaan buluh secara mampan; dan iv) Untuk menggalakkan perladangan buluh sebagai satu industri baru
3. Pada tahun 2021, industri perkayuan di Malaysia telah menyumbang sebanyak RM22.7 bilion kepada pendapatan eksport negara. Ini merupakan peningkatan sebanyak 3 peratus berbanding nilai eksport yang dicatat pada tahun 2020. Peningkatan ini membuktikan permintaan dunia terhadap industri perkayuan negara terus meningkat walaupun sewaktu negara terpaksa berdepan dengan pandemik Covid-19. Di antara produk berasaskan kayu utama yang telah dieksport ke lebih 173 negara adalah seperti papan lapis, kayu gergaji dan perabot.
4. Nilai eksport produk buluh pada tahun 2021, adalah berjumlah RM8.41 juta yang mana telah meningkat sebanyak 1.6 peratus berbanding dengan tahun 2020 yang berjumlah RM8.28 juta. Nilai eksport ini dilihat masih lagi rendah berbanding dengan negara-negara lain dan Malaysia masih lagi bergantung kepada pengimportan produk buluh dari negara lain seperti China, Indonesia dan Vietnam. Nilai import produk buluh bagi tahun 2021 adalah berjumlah RM89.23 juta.
5. Bagi membangunkan industri Buluh, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi MTIB telah dan sedang melaksanakan beberapa inisiatif projek berkaitan buluh bagi meningkatkan potensi industri buluh, iaitu:- i) Penubuhan 15 hektar Ladang Buluh contoh yang dibangunkan secara bersama antara MTIB dan Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) di Hulu Terengganu yang melibatkan penanaman spesis Buluh Betung, Beting, Beti, Brang, Madu, Beema dan Semantan. ii) Program Community Farming Buluh di bawah Projek Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) yang memberikan insentif anak benih buluh dan baja bagi penanaman dalam julat keluasan 1 sehingga 9.9 ekar. Sehingga 2022, sebanyak 53 hektar telah diluluskan yang mana melibatkan agihan anak benih buluh sebanyak 21,000 pokok. iii) Penubuhan Bamboo One Stop Centre di Tadom Hill Resort, Banting, Selangor yang merupakan salah satu kolaborasi di antara MTIB, Malaysian Timber Council (MTC) dan Tadom Hill Resort Sdn. Bhd. iv) Kerjasama MTIB dengan Pusat Kraftangan Sabah (PKS) yang telah menubuhkan model Ladang Buluh contoh dengan keluasan 120 ekaryang melibatkan 60 peserta daripada usahawan PKS.
6. Kementerian bersama MTIB akan terus bekerjasama dengan Insititut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) memastikan pelbagai program dan inisiatif yang berkaitan dengan pembangunan industri buluh dipertingkat. Ia penting agar industri Buluh dapat dibangunkan sebagai salah satu agrikomoditi bagi menjana pendapatan serta memberi manfaat kepada rakyat khususnya dan negara amnya.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 20 SEPTEMBER 2022
KPPK PERUNTUKAN RM23.85 JUTA UNTUK MENINGKATKAN SISTEM PENYAMPAIAN KEPADA RAKYAT
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) komited memastikan usaha meningkatkan produktiviti dan prestasi penjawat awam. Dalam hubungan ini, sebanyak RM200,000 diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi Program Pembangunan Kepakaran Sumber Manusia di bawah ibu pejabat untuk meningkatkan kepakaran pegawai-pegawai di Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB). Latihan pembangunan pegawai yang berkemahiran tinggi perlu diberi keutamaan bagi selaras dengan Teras RMK-12: Menginstitusi Reformasi Sektor Awam untuk Memastikan Penyampaian Perkhidmatan Awam Yang Berkesan.
2. Berkaitan perbelanjaan tahun 2021, KPPK menolak dakwaan tidak berasas serta kurang cermat oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad baru-baru ini bahawa kementerian tidak meletakkan keutamaan apabila memperuntukkan sebanyak RM23.85 juta untuk tujuan menaik taraf pejabat berbanding hanya RM200,000 untuk Program Pembangunan Kepakaran Sumber Manusia. Pada hakikatnya, peruntukan berkenaan adalah untuk pelaksanaan khidmat sokongan ibu pejabat termasuk sewaan bangunan kementerian di Putrajaya yang wajib dibayar berdasarkan kontrak berjumlah RM13.75 juta bermula pada tahun 2005.
3. Selain itu, sebanyak RM1.1 juta pula adalah untuk pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk Pembangunan Sistem Aplikasi Pengurusan Perlesenan Biobahan Api dan Platform Perkongsian Data Komoditi. Kedua-dua sistem terbabit bertujuan untuk meningkatkan sistem penyampaian kementerian serta agensi-agensi di bawah KPPK.
4. Peruntukan tersebut juga adalah untuk keperluan pelaksanaan projek sambung RMK-11 iaitu Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil Persendirian (JLPK) berjumlah RM9 juta. Projek itu dilaksanakan di seluruh Malaysia bagi kemudahan dan sokongan infrastruktur kepada pekebun-pekebun kecil di bawah kementerian ini membabitkan sektor sawit, getah, lada, koko dan kenaf.
5. Sehubungan itu, keseluruhan sumber kewangan tersebut bukanlah untuk kerja-kerja menaik taraf pejabat kementerian, sebaliknya bertujuan membiayai bayaran sewaan, pembangunan ICT dan penyediaan infrastruktur pekebun kecil yang diperlukan untuk meningkatkan sistem penyampaian kementerian kepada rakyat.
6. KPPK menegaskan segala perancangan untuk kebaikan dan keuntungan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kementerian dan berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama yang berkesan dalam menjayakan pelaksanaannya demi merancakkan perancangan pembangunan ekonomi negara pada masa hadapan.
YB DATO' DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahana Perladangan dan Komoditi Putrajaya 21 Disember 2020
LKM KOMITED BANTU TINGKATKAN PENDAPATAN PEKEBUN DENGAN PENGHASILAN BIJI KOKO BERKUALITI TINGGI
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Tuan Willie Mongin hari ini merasmikan Kursus Peningkatan Kualiti Koko Sarawak dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Lembaga Koko Malaysia (LKM), Kota Samarahan, Sarawak.
2. Pada majlis yang sama, beliau turut menyaksikan penyerahan sijil projek siap Fasa 1 Pusat Pengumpulan Biji Koko bagi Pusat Pemprosesan Biji Koko dan Coklat (PPBKC) kepada LKM.
3. PPBKC merupakan sebahagian komponen di bawah SARA Cocoa Cluster di Sarawak. Program berupa game changer peringkat huluan koko ini dilaksanakan mengikut konsep farm to table dengan peruntukan sebanyak RM14 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11.
4. Program SARA Cocoa Cluster ini melibatkan pembangunan tanaman koko di Sebuyau, Padawan, Asajaya, Kota Samarahan, Tebedu dan Serian dengan keluasan sebanyak 525 hektar melibatkan 526 petani, serta pembangunan kompleks pemprosesan dan pembuatan coklat di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, LKM, Kota Samarahan.
5. SARA Cocoa Cluster juga telah mewujudkan koperasi yang akan menjalankan sebahagian aktiviti kluster dengan keahlian dibuka kepada pengusaha tanaman, usahawan coklat dan individu-individu yang terlibat dengan industri koko di Sarawak. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap dengan kewujudan koperasi, ia akan mencapai matlamatnya iaitu untuk memastikan ahli- ahlinya menerima ganjaran hasil keuntungan khususnya daripada penjualan biji koko dan coklat.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Kota Samarahan, Sarawak 21 Disember 2020
EKSPORT KAYU DAN PRODUK PERKAYUAN TAHUN 2021 DISASARKAN BERNILAI RM23 BILION
1. Prestasi eksport sektor perkayuan bagi tahun 2020 telah menunjukkan pencapaian yang baik meskipun pandemik COVID-19 masih belum berakhir. Nilai eksport yang direkodkan adalah RM22.02 bilion dengan mencatatkan penurunan sebanyak 2 peratus berbanding RM22.5 bilion pada tempoh yang sama tahun 2019.
2. Prestasi berkenaan menunjukkan fasa pemulihan positif jika dibandingkan dengan industri lain yang mencatatkan penurunan sangat ketara akibat cabaran bekalan bahan mentah dan permintaan pasaran kesan pandemik COVID-19. Nilai eksport perkayuan mulai meningkat secara bulanan mulai Mei hingga Disember 2020 iaitu semasa fasa pemulihan. Syarikat-syarikat pengeluar produk kayu terutamanya perabot kayu, tanggam, papan lapis dan kayu kumai kembali rancak beroperasi untuk memenuhi tempahan pasaran eksport.
3. Prestasi eksport produk bernilai tambah tinggi seperti perabot, tanggam dan kayu kumai mencatatkan peningkatan 11 peratus dengan jumlah eksport RM12.3 bilion berbanding RM11.1 bilion pada tahun 2019. Daripada jumlah eksport ini, perabot kayu masih kekal sebagai produk utama dengan peningkatan eksport yang ketara sebanyak 16 peratus kepada RM10.6 bilion berbanding RM9 bilion pada tahun 2019. Walau bagaimanapun, kayu tanggam dan kayu kumai mencatatkan sedikit penurunan masing-masing sebanyak 6 peratus dan 21 peratus kepada RM972 juta dan RM688 juta berbanding RM1 bilion dan RM872.1 juta tahun 2019. Manakala, bagi produk utama seperti kayu gergaji mencatat penurunan eksport sebanyak 29 peratus kepada RM2.4 bilion berbanding RM3.4 bilion pada tahun sebelumnya.
4. Selain itu, eksport papan lapis bagi tahun 2020 mencatat penurunan sebanyak 17 peratus kepada RM2.8 bilion berbanding RM3.8 bilion pada tahun 2019. Ia disebabkan oleh penurunan eksport ke Jepun yang merupakan pembeli utama papan lapis negara kerana penguncupan industri pembinaan serta persaingan daripada negara pengeluar yang lain seperti Indonesia dan China.
5. Pasaran utama bagi sektor perkayuan yang menunjukkan peningkatan ialah Amerika Syarikat (AS) dan China. Kedua-dua pasaran ini menyumbang sebanyak 44 peratus dari eksport keseluruhan Malaysia. AS mencatatkan peningkatan sebanyak 50 peratus kepada RM7.4 bilion berbanding RM5 bilion bagi tahun 2019. Peningkatan ini dipengaruhi oleh rangsangan Kerajaan AS kepada ekonominya untuk industri pembinaan semasa pandemik COVID-19 dan peningkatan dalam e-dagang yang membawa kepada pertambahan permintaan negara itu terhadap produk kayu Malaysia. Manakala, China mencatatkan peningkatan sebanyak 23 peratus kepada RM2.3 bilion berbanding RM1.8 bilion tempoh yang sama pada tahun 2019.
6. Secara keseluruhan, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) akan terus berusaha bagi memastikan industri perkayuan kekal kompetitif di pasaran global dan domestik. Pada masa yang sama, KPPK akan sentiasa memantau pihak industri untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Kementerian berkeyakinan prestasi eksport mampu mencapai RM23 bilion pada 2021 terutamanya dengan adanya vaksin yang dijangkakan dapat meredakan pandemik COVID-19. Dengan pemulihan ekonomi di negara pengimport utama kayu dan produk kayu seperti di AS dan China serta kadar permintaan dari negara-negara lain yang semakin meningkat akan memacu industri kayu kekal positif sepanjang tahun 2021.
YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 21 Februari 2021
PAKEJ BANTUAN PERMAI: SEKTOR AGRIKOMODITI KOMITED BANTU KUKUHKAN EKONOMI NEGARA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. Sebagai kementerian yang terlibat secara langsung dengan pertumbuhan ekonomi negara dan eksport sebagai aktiviti utamanya, KPPK akan terus berperanan dalam usaha memastikan sektor agrikomoditi terus menjadi sumber aset yang menyumbang kepada kemajuan negara.
2. Seperti yang diketahui bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP 2.0 ini tidak sama dengan PKP 1.0 memandangkan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan untuk beroperasi, dengan kata lain, melalui inisiatif PERMAI, kerajaan sedar bahawa kesan ke atas ekonomi akan lebih dapat dikawal.
3. Sektor agrikomoditi telah menyumbang melalui pendapatan eksportnya sebanyak RM133.2 bilion atau 15.1 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara sehingga November 2020. Nilai ini meningkat sebanyak 13.6 peratus berbanding RM117.2 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya. Produk berasaskan sawit adalah penyumbang terbesar iaitu sebanyak 48.6 peratus daripada jumlah eksport barangan agrikomoditi, mencatatkan peningkatan sebanyak 4.8 peratus kepada RM64.8 bilion.
4. Dengan pemulihan perdagangan dunia, pertumbuhan eksport diramalkan akan terus memberangsangkan, justeru, sektor perladangan dan komoditi akan memanfaatkan kebenaran beroperasi bagi sektor perladangan dan komoditi oleh Kerajaan sepanjang PKP dan tempoh darurat. Sehubungan dengan itu KPPK mengunjurkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada tahun 2021 sebanyak 19.70 juta tan berbanding 19.14 juta tan pada tahun 2020. Ini berikutan jangkaan pengembangan kawasan tanaman sawit matang serta kesan cuaca kering yang mempengaruhi pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) dan seterusnya pengeluaran MSM.
5. KPPK juga menyokong sepenuhnya Inisiatif 4 PERMAI iaitu Memperkukuh Saringan Kesihatan Pekerja. Kementerian akan memastikan para pemain industri agrikomoditi memperketatkan amalan prosedur operasi standard (SOP), menambah baik penginapan dan kawalan pergerakan pekerja asing serta meningkatkan saringan bagi menyokong usaha membendung penularan COVID19. Kementerian juga akan memastikan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) dipatuhi kerana kegagalan mematuhinya boleh menyumbang kepada penyebaran wabak COVID-19.
6. Sebagai usaha kerajaan membantu rakyat khususnya golongan B40 dan M40, KPPK amat menghargai keprihatinan Perdana Menteri melalui Inisiatif 5 PERMAI iaitu Mempercepatkan Bayaran Bantuan Prihatin Rakyat dengan bayaran fasa terakhir Bantuan Prihatin Nasional, atau BPN 2.0 akan dipercepatkan iaitu mulai 21 Januari membabitkan seramai 11.1 juta penerima dengan bayaran sebanyak RM2.38 bilion. Bagi Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR pula, bayaran fasa pertama akan melibatkan lebih daripada 8 juta penerima.
7. KPPK berharap dengan pengumuman pakej bantuan khas PERMAI mampu menjadi stimulus kepada usaha merancakkan ekonomi negara walaupun dalam keadaan yang sukar ketika ini kesan wabak COVID-19.
DATO' DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 21 Januari 2021