SUBSIDI MINYAK MASAK KURANGKAN IMPAK NEGATIF TURUN NAIK HARGA MINYAK SAWIT DI PASARAN DUNIA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat prihatin dengan isu kenaikan harga minyak masak di pasaran tempatan yang berlegar di media sosial kebelakangan ini yang mengaitkannya dengan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM). Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan bahawa sekitar 1 juta tan minyak sawit adalah untuk kegunaan pasaran minyak masak tempatan dengan pecahan 0.72 juta tan untuk yang bersubsidi dalam paket plastik 1 kilogram (kg). Manakala, selebihnya sebanyak 0.28 juta tan adalah tidak bersubsidi yang boleh didapati dengan botol 1 kg hingga 5 kg dan tin 17 kg.
2. Dalam masa yang sama, Malaysia mengeksport sebanyak 24 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit bernilai RM64.8 bilion bagi tempoh dari Januari hingga November 2020.
3. Sepanjang tahun 2019 hingga 2020, harga purata MSM di pasaran tempatan telah mencatatkan paras terendah pada Julai 2019 iaitu RM1,879.00 satu tan dan meningkat ke paras tertinggi iaitu RM3,620.50 satu tan pada Disember 2020. Harga MSM telah meningkat sebanyak 92.7 peratus atau RM1,741.50 satu tan berbanding paras terendah yang direkodkan pada tahun 2019. Harga minyak sawit dan produk berasaskan sawit adalah ditentukan oleh pasaran dunia melibatkan faktor-faktor seperti pemintaan dan penawaran minyak serta lelemak dunia serta pelbagai faktor lain.
4. Peningkatan harga MSM ini juga telah meningkatkan hasil kepada negara selain dapat membantu kira-kira 500,000 pekebun kecil sawit meningkatkan taraf sosioekonomi pada ketika ini. Kementerian berharap agar harga pasaran sawit dunia akan terus kekal tinggi bagi tahun 2021 supaya rakyat dapat menikmati manfaat daripada kenaikan harga tersebut melalui pulangannya oleh Kerajaan.
5. Walaupun harga MSM telah meningkat dengan ketara dalam tempoh antara Julai 2019 hingga Januari 2021, namun peningkatan harga minyak masak di pasaran tempatan adalah pada kadar rendah. Ini menunjukkan strategi subsidi yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mengurangkan impak negatif akibat turun naik harga minyak sawit di pasaran dunia terhadap pengguna tempatan. Selain itu, pengguna mempunyai pilihan untuk membeli minyak masak bersubsidi 1 kg pada harga RM2.50 terutamanya bagi golongan B40.
YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 20 Januari 2021
KPKK YAKIN STRATEGI PEMULIHAN EKONOMI PEMERKASA SINERGI MELONJAKKAN SEKTOR AGRIKOMODITI NEGARA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat menghargai keprihatinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menambah peruntukan sebanyak RM20 juta dalam bentuk geran padanan bagi membantu Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) melalui pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) semalam.
2. Melalui Inisiatif Kesembilan PEMERKASA menerusi Fokus Kedua: Memacu Pemulihan Ekonomi iaitu Mengurangkan Beban Syarikat dan Memperkasa Koperasi ini, peruntukan tersebut akan memberikan manfaat kepada 65 KPSM dengan keahlian seramai 6,000 peserta. Semasa Belanjawan 2021, kerajaan sudah pun meluluskan geran padanan sebanyak RM30 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi bagi merancakkan industri sawit khususnya di peringkat penuaian di ladang.
3. Selain itu Geran Padanan Digitalisasi di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) yang sebelum ini dimanfaatkan oleh syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang turut diperluaskan kepada koperasi akan memberikan manfaat untuk koperasi-koperasi agrikomoditi yang akan diperkasakan lagi selepas ini oleh KPPK bagi mengembangkan aktiviti perniagaan mereka melalui platform digital.
4. KPPK turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada kementerian ini dengan peruntukan sewajarnya dalam memacu pertumbuhan industri agrikomoditi negara ke tahap yang lebih tinggi. Komitmen tidak berbelah bahagi oleh kementerian bagi memastikan sentiasa bersedia melaksanakan program serta inisiatif ke arah pengukuhan ekonomi negara.
5. Dengan adanya dana tambahan ini, KPPK yakin sasaran eksport sawit pada tahun 2021 iaitu sebanyak RM75 bilion mampu dicapai berikutan penambahan pembelian jentera dan perolehan mekanisasi dapat dipertingkatkan. Ia disokong dengan penglibatan koperasi sawit secara aktif bagi menjana pendapatan pekebun kecil sawit di seluruh negara. Jumlah eksport sektor agrikomoditi bagi tahun 2020 meningkat 17.11 peratus kepada RM150.5 bilion berbanding RM128.5 bilion pada 2019.
6. Tahun ini merupakan tahun yang penuh dengan cabaran. Namun, KPPK akan terus gigih mendepani cabaran membangunkan industri agrikomoditi negara yang merupakan penyumbang signifikan kepada ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat di luar bandar. Kementerian yakin dan percaya bahawa peranan tersebut mampu digalas demi mencapai hasrat kerajaan dan rakyat
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 20 Mac 2021
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
BERHUBUNG PELAKSANAAN INSENTIF PENGELUARAN GETAH (IPG) KEPADA PEKEBUN KECIL GETAH SEHINGGA MAC 2020
1. Pada hari ini, 20 Mei 2020, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai pelaksanaan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada pekebun kecil getah sehingga Mac 2020.
2. IPG merupakan salah satu bentuk bantuan khas yang diberikan oleh Kerajaan bagi menangani impak kejatuhan harga getah ke atas pendapatan pekebun kecil getah supaya mereka terus menjalankan aktiviti penorehan bagi menyokong industri getah negara.
3. IPG mula dilaksana sejak September 2015 dengan Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG terkini pada harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 sebanyak RM6.10 sekilogram atau harga getah sekerap (cuplump) sebanyak RM2.50 sekilogram. IPG akan teraktif apabila harga purata bulanan SMR20 atau cuplump di bawah PHP tersebut. Pekebun kecil akan dibayar IPG berdasarkan perbezaan harga PHP dan harga semasa cuplump.
4. Bagi tempoh September 2015 sehingga Mac 2020, Kerajaan telah membuat pembayaran IPG sebanyak RM282.3 juta bagi 462.7 juta kilogram getah merangkumi 2.0 juta tuntutan di seluruh Malaysia. Pekebun kecil yang layak menuntut IPG perlu memiliki kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) yang mana sehingga bulan Mac 2020, sebanyak 456,421 kad PAT-G telah didaftarkan di seluruh Malaysia.
5. Walau bagaimanapun, Kementerian mendapati bahawa pekebun kecil yang menuntut IPG adalah rendah dan dianggarkan secara purata hanya 12.4% sahaja. Sehubungan itu, Kementerian melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan memperkasa dan menambahbaik mekanisme IPG agar hasrat Kerajaan untuk membela nasib pekebun kecil lebih terbela di bawah Kerajaan yang prihatin.
6. Dalam hal ini, LGM sedang giat mempromosikan penggunaan RRIMNIAGA di kalangan pembeli getah berlesen bagi memudahkan pekebun kecil. Mereka tidak perlu lagi menuntut IPG kerana semua transaksi penjualan dan pembelian getah akan direkodkan di dalam pangkalan data LGM. Rekod tersebut akan disemak oleh LGM dan sekiranya layak, IPG akan terus disalurkan ke dalam akaun pekebun kecil.
7. Dengan adanya penggunaan teknologi seperti ini secara meluas, adalah dijangkakan pekebun kecil akan banyak menerima manfaat sejajar dengan hasrat Kementerian untuk memperkasa pekebun kecil dan membangunkan industri getah negara ke tahap yang lebih tinggi.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 20 MEI 2020 PUTRAJAYA
KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN AKAN PANTAU PERKEMBANGAN TERKINI DI INDONESIA; YAKIN PERMINTAAN MSM AKAN KEKAL STABIL
Hakikat bahawa inventori minyak sawit meningkat buat kali pertama sejak Oktober 2021 sebanyak 11.5% bulan ke bulan kepada 1.64 juta tan pada April 2022 didorong oleh pengeluaran yang lebih tinggi (+3.6% kepada 1.46 juta tan) dan eksport yang lebih lemah (- 17.7% hingga 1.06 juta tan) tidak sepatutnya membimbangkan.
Ini kerana simpanan minyak sawit berkemungkinan dijangka merosot pada Mei 2022 berikutan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah (berpunca daripada bulan Ramadhan) dan eksport yang lebih kukuh (berikutan langkah Kerajaan Indonesia baru-baru ini untuk meluaskan larangan eksport ke atas bahan mentah untuk minyak masak).
Ini juga berikutan eksport yang lebih rendah ke China (-50.8%), Kesatuan Eropah (EU) (-23.2%) dan Pakistan (-90.3%) disebabkan beberapa faktor termasuk (i) sekatan ketat COVID-19 yang menghalang penghantaran minyak sawit ke China, dan (ii) penyusutan permintaan akibat harga yang tinggi.
Namun begitu, data awal daripada AmSpec Agriculture Malaysia menunjukkan bahawa permintaan minyak sawit telah melonjak sebanyak 40.32% dalam tempoh 10 hari pertama bulan Mei sahaja disebabkan larangan eksport Indonesia, ringgit yang lemah dan harga minyak kacang yang secara relatifnya, lebih tinggi.
KENAIKAN HARGA MINYAK SAWIT MENTAH (MSM)
Harga MSM melonjak melepasi paras RM7,000/tan sehingga mencecah paras tertinggi iaitu RM7,516/tan berikutan tindakan Indonesia untuk mengharamkan eksport minyak sawit mulai 28 April. Larangan itu hanya akan ditarik balik jika harga minyak masak pukal turun kepada 14,000 rupiah/liter di seluruh Indonesia (sehingga 6 Mei, purata harga minyak masak tempatan telah turun kepada 17,200 rupiah/liter daripada sekitar 26,000 rupiah/liter).
Memandangkan Indonesia bergantung kepada eksport minyak sawit dan keputusan ini boleh memberi kesan kepada ekonomi Indonesia, larangan eksport Indonesia seperti yang dijangka telah pun ditarik balik sebagaimana yang telah diumumkan oleh Presiden Joko Widodo semalam.
Namun memandangkan situasi penarikan semula larangan ini adalah masih terlalu awal untuk dilihat kesannya ke atas penawaran dan permintaan ke atas industri minyak sawit Malaysia, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPKK) akan tetap meneruskan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk kemungkinan mengurangkan cukai eksport minyak sawit Malaysia kepada 4%-6% daripada 8%, dan pada masa yang sama, melambatkan pelaksanaan mandat biodiesel Malaysia untuk membantu memenuhi permintaan global di tengah-tengah kekurangan minyak makan.
Cadangan pemotongan sementara ini sedang masih di dalam peringkat awal perbincangan dan keputusan adalah tertakluk kepada keputusan Kementerian Kewangan. Namun begitu, KPKK menggesa pemain industri untuk menumpukan perhatian kepada pembolehubah pasaran yang mampu mencetuskan ketidaktentuan harga.
Antara pembolehubah ini adalah
(i) dasar eksport Indonesia; (ii) pemulihan pengeluaran minyak sawit di Malaysia; (iii) pelarasan dasar biodiesel di pelbagai negara; (iv) perkembangan konflik Rusia-Ukraine; dan (v) cuaca di AS dan Amerika Selatan.
PROSPEK CERAH (BUAT MASA INI)
Statistik eksport pada bulan April mungkin agak mengelirukan memandangkanpermintaan antarabangsa untuk minyak makan, termasuk minyak sawit, adalah jauh lebih lemah. Harga April juga mungkin lebih rendah berbanding Mac namun kekal pada paras yang belum pernah dicapai sebelum ini.
Setakat ini, harga MSM adalah pada purata RM6,300/tan, satu kadar yang jauh lebih tinggi daripada purata RM4,300/tan seperti yang diunjurkan oleh penganalisis pasaran untuk 2022. Harga MSM berkemungkinan akan turun disebabkan aliran naik yang belum selesai dalam pengeluaran tandan buah segar (FFB). Namun begitu, harga MSM sepatutnya kekal tinggi disebabkan faktor-faktor berikut:
• Isu Bekalan: Bekalan minyak masak yang bersaing dengan minyak sawit. Harga minyak sayuran seperti minyak kacang soya, biji sesawi dan bunga matahari juga kukuh. Bersama-sama dengan pengeluaran minyak sawit yang lebih kuat pada separuh kedua tahun 2022, bekalan minyak dan lemak yang boleh dimakan akan berkurangan menjelang suku keempat 2022, tetapi tidak banyak. Prospek pemulihan dijangka lebih tinggi pada tahun 2023; oleh itu, harga minyak sawit mungkin kekal tinggi sehingga pertengahan 2023.
• Permintaan stabil: Walaupun terdapat kejatuhan permintaan disebabkan harga yang sangat tinggi, secara keseluruhan, pasaran minyak sawit dijangka kekal teguh. Cabaran Indonesia untuk memenuhi keperluan domestik menunjukkan kekuatan pasaran antarabangsa minyak sawit.
• Permintaan dari China: Pasaran utama minyak sawit, China, bersedia untuk meningkatkan permintaan minyak sawitnya pada akhir tahun kerana ekonominya hanya dibuka semula secara beransur-ansur daripada wabak COVID-19. Begitu juga, permintaan daripada EU berkemungkinan meningkat berikutan gangguan bekalan tradisional minyak bunga matahari dan minyak biji sesawi dari Ukraine dan Rusia.
• Kenaikan harga minyak: Konflik Rusia-Ukraine juga telah mengakibatkan kenaikan harga bahan api hidrokarbon, mewujudkan permintaan terpendam untuk bio bahan api jika harga minyak sayuran turun. Kementerian akan terus memantau situasi terkini yang melibatkan perubahan polisi Indonesia dan seterusnya memastikan industri sawit yang merupakan komoditi utama negara terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, sekaligus memberi manfaat kepada semua terutamanya pekebun kecil dan pemain industri.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 20 MEI 2022
KERAJAAN GIAT KEMPEN TINGKATKAN EKSPORT PRODUK BULUH KE MERATA DUNIA
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menyempurnakan perasmian sambutan Hari Buluh Dunia 2021 (WBD 2021), yang ke-10 di Malaysia. Pelbagai program dan aktiviti telah dirangka sepanjang September dan sambutan pada kali ini diadakan secara maya mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19.
2. Sempena sambutan tersebut, Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Negara 2021-2030, kesinambungan pelan 2011-2020 turut dilancarkan. Pelan tindakan ini berperanan untuk memperkasakan hala tuju Malaysia sebagai negara pengeluar buluh dan produk berasaskan buluh untuk dieksport ke China, Indonesia, Thailand dan serata dunia.
3. Selain itu, turut diadakan program sepanjang bulan ini sejak 1 September iaitu Pertandingan Mewarna bagi pelajar sekolah rendah dan Program Larian Maya sejauh 5 kilometer. Sempena Hari Malaysia pada 16 September pula, program penanaman 100 buluh secara serentak diadakan di seluruh negara. Ia disiarkan secara langsung menerusi media sosial WBD2021. Forum Pelestarian Industri Buluh Malaysia 2021 dan dua siri webinar berkaitan Penggunaan Buluh dalam Industri Binaan dan Perladangan Buluh juga akan diadakan untuk menarik minat lebih ramai orang awam mengenai potensi tanaman buluh di Malaysia.
4. Buluh merupakan sumber bukan kayu penting yang turut menyumbang kepada pendapatan eksport negara. Di Malaysia, terdapat lebih kurang 70 spesies buluh dan 45 daripadanya yang tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan asli atau hutan selepas pembalakan. Dari segi taburan penanaman, sebanyak 31 peratus tanaman buluh terdapat di Semenanjung dengan keluasan 229,123 hektar, Sarawak (45 peratus) dan Sabah (24 peratus). Nilai eksport produk buluh pada tahun 2020 adalah RM8.28 juta. Walaubagaimanapun, jumlah yang direkodkan ini terlalu kecil berbanding saiz pasaran buluh dunia.
5. Pada masa kini, terdapat 577 pengusaha dalam industri berasaskan buluh merangkumi papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan dan arang serta kraftangan. Kebanyakannya merupakan industri kecil dan sederhana yang terletak berhampiran dengan kawasan yang mempunyai banyak sumber buluh.
6. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan meneruskan kemudahan pinjaman mudah bagi penanaman buluh di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi memastikan bekalan sumber buluh berterusan. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), program Bamboo Community Farming juga telah bermula sejak awal tahun ini sehingga 2025.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 20 September 2021