KENYATAAN MEDIA KPPK KEKAL KOMITED MELAKSANAKAN DASAR BIOFUEL NASIONAL (NBP) MALAYSIA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memberi jaminan akan memperhalusi cadangan yang diutarakan oleh Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA), mengenai mandat biodiesel yang sedia ada.
2. Kementerian juga mengambil maklum mengenai penjelasan mengapa Malaysia tidak seharusnya mengurang atau menghentikan mandat biodieselnya kerana industri biodiesel menggunakan tidak sampai 1 juta tan minyak sawit setiap tahun berbanding lebih 40 juta tan yang digunakan di seluruh dunia. MBA juga telah menyuarakan pandangan bahawa jika bahan api bio yang diperoleh daripada minyak sayuran diharamkan, ia akan membawa impak besar ke atas pasaran minyak sayuran global.
3. Kebimbangan ini disuarakan ekoran pandangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sehari sebelumnya –25 April– bahawa kedua-dua negara pengeksport dan pengimport minyak sawit harus "mempertimbangkan semula keutamaan makanan berbanding bahan api untuk sementara waktu". Perlu dingatkan bahawa suatu ketika dahulu, jiran Malaysia, dan pengeksport minyak sawit terbesar dunia, Indonesia, hampir melarang eksport olein sawit yang ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD).
4. Ini mendorong komen Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir -seorang pakar minyak sawit- untuk mengetengahkan pandangan beliau yang berlatarbelakangkan masalah bekalan minyak makan global yang tersekat di tengah-tengah keadaan cuaca buruk dan konflik RusiaUkraine.
5. Gangguan daripada ketegangan geopolitik telah memburukkan lagi kenaikan harga dalam komoditi makanan yang telah berlarutan. Indeks Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) mencapai tahap tertinggi dalam sedekad dan ini memberi ancaman bukan sahaja kepada masalah kekurangan zat makanan global tetapi juga melonjakkan inflasi merentasi ekonomi maju, membangun dan kurang maju.
6. Indonesia telah mengisytiharkan larangan eksport minyak masak dan bahan mentahnya pada 28 April (yang berkuatkuasa sehingga 23 Mei) dalam usaha memastikan bekalan minyak masak mencukupi dan pada harga berpatutan, untuk rakyatnya.
7. Namun, keadaan kini telah kembali normal dan kita perlu bersikap rasional. KPPK ingin sekali lagi menegaskan bahawa tidak akan ada perubahan dasar di dalam mandat sediada berkenaan biodiesel negara.
8. KPPK juga ingin mengambil kesempatan untuk mengulangi ketetapan di bawah Dasar Biofuel Nasional (NBP) Malaysia yang telah dilancarkan pada Mac 2006. Kementerian kekal komited untuk:
Mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45% daripada KDNK menjelang 2030. Memperluaskan penggunaan produk minyak sawit hiliran bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil kelapa sawit melalui mekanisme kawalan harga pasaran minyak sawit Membantu mengurangkan pergantungan negara kepada bahan api fosil sebagai salah satu inisiatif keselamatan tenaga.
9. Sekali lagi KPPK mengucapkan terima kasih kepada MBA atas maklum balas mereka mengenai peranan dasar biofuel ke arah pemuliharaan alam semula jadi untuk generasi muda Malaysia
10.Pada dasarnya, KPPK mengalu-alukan semua kritikan atau pandangan membina yang membolehkan kedua-dua belah pihak - pihak kerajaan dan pemain industri - mencapai penyelesaian menang-menang.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 2 JUN 2022
INDUSTRI HARGAI INISIATIF KERAJAAN UNTUK PERTIMBANG PEMBERIAN PERMIT SEMENTARA KEPADA PENDATANG ASING TANPA DOKUMEN SAH BAGI MEMENUHI KEPERLUAN TENAGA KERJA DI SEKTOR PERLADANGAN.
Pihak Industri amat berterima kasih dan menghargai inisiatif kerajaan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini untuk mempertimbangkan pemberian permit sementara kepada pendatang asing yang berada di dalam negara dan tiada memiliki dokumen sah untuk bekerja di sektor perladangan kelapa sawit dan getah bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja.
Keputusan ini amat dialu-alukan dan sewajarnya akan dapat membantu pemain industri dan pekebun-pekebun kecil bagi mengurangkan tekanan ke atas isu yang membelungi sektor ini yang telah meyebabkan kehilangan potensi pengeluaran sebanyak 20% ke 30% pada masa ini. Penyelesaian isu ini akan membolehkan industri meraih pengeluaran seoptima mungkin mengambil kira keadaan harga pasaran semasa yang baik yang seterusnya akan memberikan peningkatan hasil pulangan cukai kepada kerajaan.
Pihak industri telah melaksana langkah-langkah perlu dan komprehensif dalam usaha menarik minat pekerja tempatan untuk bekerja di sektor perladangan tetapi maklum balas yang diterima sehingga kini adalah amat minima. Pemain industri juga secara serius melihat ke arah mengadaptasi penggunaan automasi dan mekanisasi penjenteraan operasi perladangan dalam tempoh masa sederhana bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.
Kami berasa lega dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang berusaha untuk menyelesaikan isu dan permasalahan yang dihadapi oleh industri dan pekebun-pekebun kecil serta mengambil kira kepentingan dan sumbangan industri minyak sawit terhadap ekonomi negara. Kami berharap inisiatif ini akan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
Pihak industri juga berharap agar pekerja asing yang telah pulang bercuti ke negara asal diberikan kebenaran untuk pulang semula bekerja di Malaysia dan membatalkan pembekuan pekerja asing di sektor perladangan dengan kadar segera.
Pihak industri telah melaksana dan akan terus mengamalkan pematuhan prosidur operasi yang ketat dan bersiap siaga mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa serta akan sentiasa menyokong usaha Kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Terima kasih.
Datuk Mohamad Nageeb Wahab Ketua Eksekutif 02 November 2020
PENANGGUHAN PROGRAM BERIKUTAN PENINGKATAN KES COVID-19
1. Merujuk kepada situasi COVID-19 yang semakin meningkat di seluruh negara ketika ini dan mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sehubungan itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menangguhkan semua program yang membabitkan perkumpulan serta himpunan orang ramai.
2. Semua program yang dirancang KPPK hanya akan diteruskan sebaik sahaja situasi pandemik COVID-19 negara pulih seperti sediakala dengan syor daripada KKM kelak. Manakala program yang boleh dilaksanakan secara dalam talian atau maya akan dilaksanakan seperti biasa.
3. KPPK amat prihatin dengan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan semua pemegang taruh serta orang ramai. Kita berdoa semoga Allah melindungi negara kita dan menghapuskan wabak COVID-19 ini.
YB DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 2 Oktober 2020
SIARAN MEDIA PERSIDANGAN KEBANGSAAN INDUSTRI KENAF 2022 (PKIK 2022)
PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), YBhg. Dato’ Mad Zaidi bin Mohd Karli mewakili kementerian telah menyempurnakan Perasmian Persidangan Kebangsaan Industri Kenaf 2022 (PKIK 2022) dengan tema “Kenaf Melestarikan Kehidupan” bertempat di The Everly Hotel, Putrajaya.
Persidangan anjuran Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) ini diadakan setiap dua tahun sekali dan ia merupakan platform perkongsian perkembangan mutakhir industri kenaf di Malaysia di samping menghebahkan maklumat dan memromosikan industri kenaf negara.
Persidangan tersebut melibatkan pelbagai program merangkumi pembentangan kertas kerja, pameran dan jualan pelbagai produk inovasi berasaskan kenaf oleh Agensi Kerajaan, Institusi Penyelidikan dan pihak swasta termasuk aktiviti pemadanan perniagaan yang turut diadakan bagi memberi peluang kepada industri untuk memperkembang perniagaan dan pasaran baharu.
Sebanyak sembilan (9) kertas kerja dibentangkan dalam persidangan ini merangkumi pelbagai segmen industri kenaf termasuklah kegunaan produk kenaf dalam pembinaan, perkayuan, biokomposit, pulpa, panel akustik dan sebagainya.
Selain itu, lapan (8) reruai pameran produk kenaf yang disertai oleh Agensi Kerajaan, Institusi Penyelidikan dan pihak swasta turut disediakan. Seramai 300 orang peserta telah menyertai persidangan ini secara fizikal dan 200 orang peserta lagi mengikuti persidangan secara maya terdiri daripada pegawai dan penggiat industri dari Agensi Kerajaan dan Swasta, Institusi Penyelidikan, Institusi Kewangan, Persatuan, Koperasi, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pekebun kecil dan individu yang berminat dalam industri ini.
Usaha berterusan digiatkan oleh kementerian melalui LKTN agar pelbagai inovasi dapat dihasilkan dan seterusnya meningkatkan keboleh pasaran produk serta meneroka pasaran baharu bagi industri hiliran berasaskan kenaf. Selain itu, KPK juga komited dalam memastikan permintaan produk bernilai tambah berasaskan kenaf yang bersifat mesra alam (environmentally friendly) dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri.
Bersempena dengan PKIK 2022, tiga (3) pertukaran dokumen perjanjian dan persefahaman juga telah dimeterai iaitu:
i. Perjanjian Kerjasama antara LKTN dengan Agensi Nuklear Malaysia (ANM) dalam Pembangunan Benih Mutasi Kenaf; ii. Perjanjian Kerjasama di antara LKTN dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam Pembangunan Bahan Binaan Pengangkutan; dan iii. Perjanjian Kerjasama di antara LKTN dengan MERC Resources Sdn Bhd (MRSB) dalam Pengeluaran Pulpa Kenaf.
Penganjuran PKIK 2022 merupakan inisiatif KPK bersama LKTN untuk memastikan industri kenaf terus diberi perhatian sewajarnya bagi memacu potensi pembangunan sektor komoditi kenaf secara progresif.
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 20 DISEMBER 2022
MAJLIS PELANCARAN PROGRAM BIODIESEL B20 DI SEKTOR PENGANGKUTAN
20 FEBRUARI 2020 DATARAN MERDEKA, KUALA LUMPUR
1. Kerajaan telah melaksanakan Program Biodiesel B20 (adunan 20% metil ester sawit (PME) dan 80% diesel petroleum) di sektor pengangkutan secara berfasa pada Januari 2020 bermula di Langkawi serta Labuan dan akan diperluaskan ke Sarawak (April 2020), Sabah (Ogos 2020) dan seterusnya seluruh Semenanjung Malaysia pada Jun 2021.
2. Sebelum ini, Kerajaan telah melaksanakan secara mandatori Program Biodiesel B10 (adunan 10% PME dan 90% diesel petroleum) di sektor pengangkutan pada 1 Februari 2019 dan Program Biodiesel B7 (adunan 7% PME dan 93% diesel petroleum) di sektor industri pada 1 Julai 2019.
3. Dengan usahasama syarikat-syarikat petroleum seperti Petronas, Shell, Petron, Chevron dan BHP, biodiesel B20 akan dibekalkan secara berfasa ke lebih 3,400 buah stesen minyak di seluruh Malaysia mengikut pelan pelaksanaan Program Biodiesel B20. Pelaksanaan Program B20 dijangkakan dapat dilaksanakan sepenuhnya pada pertengahan tahun 2021.
4. Sebagai pilihan kepada pengguna, Euro5 B7 masih dijual di stesen-stesen minyak tertentu manakala stesen-stesen minyak di tanah tinggi seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands di Pahang, dan Kundasang di Sabah akan terus membekalkan B7.
5. Pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan adalah satu langkah proaktif Kerajaan bagi menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik dengan anggaran pertambahan penggunaan minyak sawit sebanyak 534,000 tan setahun. Menerusi pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan and pengekalan Program Biodiesel B7 di sektor industri pada masa ini, kira-kira 1,300,000 tan minyak sawit setahun akan digunakan dalam negara dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 3.8 juta tan CO2 setara setahun.
6. Pelaksanaan program biodiesel menunjukkan komitmen Kerajaan terhadap pengurangan pelepasan GHG dan kebergantungan tenaga bahan api fosil serta menggerakkan Malaysia ke arah pembangunan tenaga mapan untuk generasi akan datang.