SESI KONSULTASI MALAYSIA-KESATUAN EROPAH (EU): KERAJAAN KOMITED TERHADAP PROSES PERUNDANGAN KE ATAS EU DEMI PERTAHANKAN INDUSTRI SAWIT NEGARA
1. Malaysia pada 17 Mac 2021, telah mengadakan sesi konsultasi secara maya bersama Kesatuan Eropah (EU) berhubung tindakan undang-undang ke atas kesatuan berkenaan berkaitan isu yang dikaitkan dengan diskriminasi kepada industri sawit negara. Pelaksanaan sesi ini adalah susulan daripada permohonan Kerajaan Malaysia untuk menjalani sesi konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian atau Dispute Settlement Mechanism (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang telah dibuat pada 15 Januari 2021.
2. Delegasi Malaysia diwakili oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Jabatan Peguam Negara (AG), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan agensi lain berkaitan. Sesi konsultasi ini diketuai oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali. Sesi tersebut turut dihadiri oleh wakil dari Indonesia dan Colombia sebagai negara pemerhati.
3. Sesi konsultasi ini antara lain adalah platform bagi mendapatkan penjelasan dan pemahaman lanjut berhubung tindakan EU terhadap pelaksanaan Delegated Regulation di bawah EU RED II. Selain itu, ia juga merupakan salah satu usaha ke arah penyelesaian kepada isu-isu yang dilihat sebagai diskriminasi ke atas minyak sawit negara yang dibangkitkan oleh Malaysia.
4. Malaysia akan meneliti keseluruhan maklum balas dan penjelasan yang diberikan oleh pihak EU sepanjang sesi konsultasi diadakan. Sebarang tindakan susulan akan diambil sewajarnya selaras dengan peraturan dan prosedur yang telah digariskan di bawah WTO.
5. Komitmen terhadap proses perundangan terhadap EU berhubung isu antiminyak sawit akan terus menjadi keutamaan KPPK dalam memastikan kepentingan industri sawit negara merangkumi pekebun kecil sawit sentiasa dijaga dan diutamakan.
YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 19 Mac 2021
KENYATAAN MEDIA PEKEBUN KECIL GETAH SERTAI PROGRAM INSENTIF PENGELUARAN LATEKS (IPL) TERIMA BANTUAN ‘ONE-OFF’ DALAM BENTUK INPUT PERTANIAN DAN INSENTIF TUNAI RM1/KG BAGI KANDUNGAN GETAH KERING (KGK)
1. YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia: Majlis Pelancaran Insentif Pengeluaran Lateks di premis MHJ Enterprise, Lot 3500, Kg Renab, Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan hari ini.
2. Pada program ini YB Datuk Hajah Zuraida telah menyerahkan alat mengukur kandungan getah kering bagi lateks kepada pelesen-pelesen getah dan input pertanian kepada pekebun kecil getah yang merupakan peserta dalam program insentif ini. Sebelum itu, sesi taklimat berkenaan Program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) dan aktiviti-aktiviti khidmat LGM telah disampaikan kepada semua peserta.
3. Setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program IPL ini akan menerima bantuan dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850.00 bagi setiap hektar secara sekali beri (one-off). Para peserta juga akan menerima insentif tunai sebanyak RM1.00/kg bagi 100% kandungan getah kering (KGK).
4. Koperasi / Pelesen runcit getah yang menyertai program ini akan memperoleh manfaat bantuan pembinaan baru atau tambah baik pusat pengumpulan lateks (PMG) dan alat mengukur Kandungan Getah Kering (KGK) RRIMETER tertakluk kepada syarat yang dipersetujui.
5. Penggunaan RRIMETER dapat membantu pekebun kecil dan industri bagi mendapatkan ketepatan dalam menentukan KGK yang akan menentukan harga bagi aktiviti urus jual beli getah di peringkat lapangan. Secara tidak langsung, RRIMETER dapat mengawal dan membendung sebarang aktiviti manipulasi dan ketirisan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
6. Pendekatan Program IPL merupakan usaha LGM untuk meningkatkan pendapatan dan daya saing pekebun kecil getah dengan memberi galakan untuk beralih kepada penghasilan susu getah (lateks) berbanding getah sekerap(cuplump).
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 19 Mac 2022
KENYATAAN MEDIA KPPK MENERUSKAN USAHA MEMPERKASAKAN USAHAWAN COKLAT DAN PENGUSAHA KOKO DI SARAWAK
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin pada hari ini telah menjayakan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 Padawan di Dewan Teng Bukap, Sarawak. Sempena program ini, beliau telah menyempurnakan Majlis Perasmian Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan anjuran Lembaga Koko Malaysia(LKM).
2. Program kali ini memberi fokus kepada komuniti wanita bagi menggalakkan lebih ramai golongan berkenaan di Padawan dan di Teng Bukap khususnya untuk terlibat dalam bidang keusahawanan serta pengeluaran produk koko dan coklat.
3. Seramai 150 orang peserta menghadiri kursus ini dan telah diberi pendedahan awal mengenai potensi industri hiliran koko. Menerusi kursus tersebut juga, para peserta didedahkan mengenai teknik-teknik pembuatan coklat Single Origin. Peluang turut dibuka kepada para penanam koko di Sarawak yang berminat untuk menjadi pembekal biji koko Single Origin.
4. Pada masa ini, permintaan kepada produk coklat Single Origin semakin meningkat dan menunjukkan trend yang positif. Mengambil kira perkembangan ini, LKM melalui Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad telah mula mengeluarkan dan memasarkan produk tersebut. Sebanyak lima (5) produk coklat Single Origin Sarawak telah diperkenalkan antaranya produk coklat Single Origin Puncak Borneo, yang dihasilkan pekebun koko dari Padawan. Manakala (4) lagi produk adalah dari kawasan tanaman koko Julau, Asajaya, Serian dan Sarikei.
5. Kementerian melalui LKM giat melaksanakan Program Pembangunan Usahawan Coklat untuk membangunkan usahawan coklat tempatan melalui latihan kemahiran pembuatan coklat, pemberian insentif peralatan dan mesin, khidmat nasihat pembangunan perniagaan serta pemasaran yang lebih efektif. Program ini dirangka bagi menghasilkan produk koko dan coklat yang berdaya saing di pasaran tempatan dan luar negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 19 MAC 2022
MESYUARAT BERSAMA SYARIKAT PETROLEUM BAGI MEMBINCANGKAN ISU SEMASA DAN PELAN PELAKSANAAN BAGI PROGRAM BIODIESEL B20 SEKTOR PENGANGKUTAN
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah melaksanakan Program Biodiesel B20 (adunan 20% metil ester sawit (PME) dan 80% diesel petroleum) di sektor pengangkutan secara berfasa pada Januari 2020 bermula dengan Langkawi pada 1 Jan 2020 dan Labuan 15 Jan 2020.
Pelaksanaan Program Biodisesel B20 adalah merupakan inisiatif Kerajaan di bawah KPPK bagi menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik. Adalah dianggarkan sebanyak 534,000 tan setahun penggunaan minyak sawit dapat ditingkatkan.
Dengan mengambil kira pelaksanaan Program Biodiesel B20 sektor pengangkutan dan Program Biodiesel B7 untuk sektor industri sedia ada, dijangkakan kira-kira 1.3 juta tan minyak sawit setahun akan digunakan dalam negara dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 3.8 juta tan CO2 setara setahun. Ini juga menunjukkan komitmen Kerajaan terhadap pengurangan pelepasan GHG dan penjagaan alam sekitar.
Berikutan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara, telah menyebabkan Kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Langkah ini telah memberi pelbagai kekangan dan cabaran, khususnya dalam melaksanakan projek naik taraf 35 depoh adunan yang diperlukan bagi pembekalan adunan diesel B20.
Oleh itu pada hari ini, KPPK telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat petroleum untuk membincangkan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan terutama berkaitan cadangan tarikh baharu pelaksanaan bagi Sarawak, Sabah dan Semenanjung.
Mesyuarat telah bersetuju akan perubahan tarikh yang telah dirancang bagi pelaksanaan untuk diperluaskan secara berfasa iaitu ke Sarawak pada 1 September 2020, Sabah pada 1 Januari 2021 dan mengekalkan tarikh asal pelaksanaannya iaitu 15 Jun 2021 bagi Semenanjung Malaysia.
Adalah diharapkan dengan tarikh baru yang dipersetujui oleh semua pihak bagi meluaskan penggunaan B20 dengan mengambil isu semasa yang dihadapi dapat melonjakkan industri sawit negara ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang.
KUNJUNGAN HORMAT OLEH SEKRETARIAT COUNCIL OF PALM OIL PRODUCING COUNTRIES (CPOPC) KE ATAS
YB MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Pada 19 Mei 2020, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Bin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah menerima kunjungan hormat oleh YBhg. Tan Sri Datuk Dr. Yusof Basiron, Pengarah Eksekutif, Council Of Palm Oil Producing Countries(CPOPC).
CPOPC yang merupakan organisasi pengeluar sawit telah ditubuhkan bersama oleh Malaysia dan Indonesia pada tahun 2015 bagi memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan industri sawit. Sebagai negara pengeluar terbesar dan kedua terbesar di dunia, Indonesia dan Malaysia berusaha untuk mencari kesepakatan dalam membangunkan industri sawit dan menjaga kepentingan industri berkenaan kepada kedua-dua negara. Dalam tempoh terdekat, Columbia dan Ghana dijangka akan menyertai CPOPC secara rasmi. Beberapa negara lagi telah menunjukkan minat untuk menganggotai CPOPC yang kini dipengerusikan oleh Malaysia sehingga 31 Disember 2020.
Semasa sesi kunjungan hormat, pelbagai isu berkaitan dengan industri sawit telah dibincangkan yang antara lain seperti:
usaha mempertingkatkan kerjasama Malaysia dengan CPOPC;
komitmen dan tindakan Malaysia dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan kempen anti-minyak sawit bagi menjaga kepentingan industri sawit; dan
cadangan mengatasi isu berkaitan harga minyak sawit mentah rendah yang memberi kesan kepada pihak berkepentingan terutama pekebun-pekebun kecil dan pihak industri.
KPPK turut menzahirkan penghargaan kepada Sekretariat CPOPC dan berharap ia akan menjadi jambatan kepada hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia.