MALAYSIA DAN IRAN TEROKA MEMORANDUM PERSEFAHAMAN TINGKATKAN DAGANGAN MINYAK SAWIT MALAYSIA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil maklum mengenai hasrat Iran untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia sehingga 1 juta tan setiap tahun. Sehubungan itu, semasa pertemuan antara Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dengan delegasi Iran yang diketuai oleh Pengerusi dan Pengarah Urusan Perbadanan Perdagangan Kerajaan Iran (GTC), Yazdan Seif di Istanbul, Turki pada 10 Julai 2021, Malaysia dan Iran bersetuju untuk meneroka memorandum persefahaman (MOU) bagi tujuan meningkatkan eksport sawit Malaysia ke negara berkenaan tidak lama lagi.
2. Pada pertemuan berkenaan, Yazdan yang juga Timbalan Menteri Perindustrian, Perlombongan dan Perdagangan Iran menyatakan kepentingan minyak sawit dalam memenuhi penggunaan minyak dan lelemak negara berkenaan yang kini mencapai sejumlah 2.2 juta tan setiap tahun dan memaklumkan hasrat Iran untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia. Malaysia menguasai 78 peratus pasaran minyak dan lelemak di Iran sepanjang tahun 2020.
3. Pada tahun lalu, Iran mengimport minyak sawit Malaysia sebanyak 315,699 tan bernilai RM895 juta. Bagaimanapun, jumlah eksport minyak sawit negara ke Iran meningkat lebih 400 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei tahun 2021 iaitu sebanyak 238,683 tan bernilai RM970 juta berbanding 50,889 tan dengan nilai RM131.5 juta sahaja dalam tempoh sama pada tahun 2020.
4. Kerajaan Iran memaklumkan bahawa kapasiti penapisan minyak sawit negara itu kini meningkat dua kali ganda manakala industri pembungkusan mencatatkan pertumbuhan yang sangat memberansangkan ketika ini. Malaysia perlu menggunakan peluang ini untuk menjadikan Iran sebagai hab pengeksport semula ke negara-negara rantau itu yang dianggarkan mencecah penggunaannya sehingga 5.5 juta tan minyak dan lelemak setahun.
5. Iran yang kini berhadapan dengan sekatan ekonomi, namun dibenarkan untuk meneruskan aktiviti perdagangan dengan negaranegara terpilih. Misi utama GTC ialah untuk membekalkan bahan makanan kepada rakyat negara berkenaan.
6. KPPK berharap MOU berkenaan dapat dimeterai antara kedua-dua negara melalui agensi yang berkaitan dalam usaha meningkatkan jumlah eksport minyak sawit Malaysia di samping dapat memainkan peranan utama membantu rakyat negara itu memperoleh bekalan makanan dalam situasi sukar pandemik COVID-19 dan sekatan ekonomi.
DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 17 Julai 2021
KENYATAAN MEDIA KERAJAAN SEDIA PELBAGAI PROGRAM MAJUKAN SEKTOR GETAH DI PERINGKAT HULUAN
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menyantuni 150 pekebun kecil di Kampung Charok Kelian, Baling, Kedah pada sesi dialog sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Kedah dan Perlis bermula semalam.
2. Kedah adalah antara negeri penanaman getah terbesar di Malaysia berkeluasan 93,000 hektar yang diusahakan oleh 68,370 pekebun kecil. Di Baling sahaja, keluasan tanaman getah adalah lebih 16,716 hektar dengan bilangan pekebun kecil seramai 12,694 orang.
3. Pada majlis itu, mereka turut dimaklumkan mengenai projek terkini Kerajaan dan kemajuan penyelidikan serta teknologi dalam bidang getah yang boleh dimanfaatkan, selain berbincang mengenai isu-isu semasa dalam industri getah dan penyampaian bantuan kepada peserta. Majlis turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Ravi Muthayah; Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, YB Dato’ Dr Zairossani Mohd Nor dan Ahli Parlimen Baling, YB Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
4. Antara projek yang dikongsikan bersama para pekebun kecil adalah Projek Transformasi Perusahaan Industri Getah (TARGET) yang merupakan projek pembangunan Pusat Pemprosesan Getah Krip Berkelompok di seluruh negara dan bakal diperkenalkan kepada industri huluan getah. Projek ini secara keseluruhannya akan dapat menjayakan transformasi sektor pekebun kecil dengan merealisasikan rantaian nilai bersepadu bekalan getah berskala komersial dengan pendekatan pemprosesan berkelompok dan perkongsian keuntungan secara bersama pada peringkat pekebun kecil, koperasi dan juga usahawan.
5. Selain meningkatkan kualiti getah yang dihasilkan, projek ini akan dapat meningkatkan pendapatan golongan itu dan seterusnya menjamin bekalan getah berkualiti kepada industri pembuatan produk getah negara. Para pekebun kecil juga digalakkan memperbaharui kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) yang merupakan kad pendaftaran pekebun kecil selewatnya sebelum 31 Disember 2021. Melalui kad ini, pekebun kecil yang berkelayakan dapat menerima bantuan dan insentif yang diberikan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG).
6. KPPK berharap para pekebun kecil getah di Kedah dapat meningkatkatkan kualiti dan pendapatan mereka dengan terlibat serta menyokong programprogram yang dilaksanakan Kerajaan melalui LGM.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Baling, Kedah 17 Oktober 2021
KENYATAAN MEDIA PELAKSANAAN PENGUATKUASAAN PERATURAN-PERATURAN LEMBAGA KENAF DAN TEMBAKAU NEGARA (PELESENAN TEMBAKAU DAN KELUARAN TEMBAKAU) 2011
1. Pelaksanaan Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2011 oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah mula dilaksanakan sepertimana diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac 2022 lalu.
2. Penguatkuasaan Peraturan Pelesenan ini akan melibatkan lima (5) jenis lesen sebagaimana berikut;
BIL. JENIS LESEN a. Lesen Mengawet Tembakau b. Lesen Membeli Tembakau Diawet c. Lesen Mengilang Tembakau atau Keluaran Tembakau d. Lesen Mengadun Tembakau e. Lesen Mengedar Tembakau atau Keluaran Tembakau
3. Pada tahun 2022 penguatkuasaan pelesenan melibatkan lesen mengawet tembakau, lesen membeli tembakau diawet, lesen mengilang tembakau atau keluaran tembakau dan lesen mengadun tembakau telah dilaksanakan.
4. Sementara Penguatkuasaan pelesenan bagi Lesen Mengedar Tembakau atau Keluaran Tembakau akan dilaksanakan melalui 3 fasa iaitu:
i. Fasa 1 - Pelaksanaan kempen kesedaran dan hebahan mulai 1 Julai 2022; ii. Fasa 2 - Pelesenan pengedaran tembakau atau keluaran tembakau tanpa bayaran fi mulai 1 Januari 2023; iii. Fasa 3 - Penguatkuasaan sepenuhnya dengan bayaran fi mulai 1 Januari 2024. Dalam fasa 3, aktiviti pelesenan serta penguatkuasaan sepenuhnya akan melibatkan pengedaran tembakau dan keluaran tembakau.
5. Peraturan ini dikuatkuasakan bagi mengatasi implikasi negatif terhadap industri tembakau dan pengedaran tembakau serta produk tembakau tidak sah selari dengan komitmen Kerajaan yang telah menandatangani protokol World Health Organization Framework Convention on Tobacco Control (WHO-FCTC) bagi mengawal selia industri tembakau termasuk rokok tidak sah.
6. Ekoran daripada aktiviti-aktiviti yang menyalahi serta bertentangan dengan kawalan industri tembakau yang telah ditetapkan oleh Kerajaan, ketirisan pungutan cukai berikutan aktiviti pengedaran tembakau dan produk tembakau tidak sah dianggarkan sebanyak RM5 billion setahun. Pelaksanaan kempen hebahan ini meliputi taklimat dan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan meliputi wakil industri, wakil pengawet, wakil pengedar dan Kementerian serta Agensi penguatkuasaan yang berkaitan secara berterusan.
7. Pelaksanaan penguatkuasaan Peraturan Pelesenan ini juga akan memperkasakan lagi kawal selia industri tembakau negara melalui kerjasama diantara LKTN dengan Agensi penguatkuasaan lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan lain-lain.
8. Bagi memastikan penguatkuasaan peraturan ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan lancar, LKTN telah menyediakan kemudahan kaunter pelesenan di semua pejabat utama dan wilayah. Selain itu, kios dan kaunter bergerak juga disediakan di lokasi strategik dan tumpuan orang ramai. Pelbagai kemudahan logistik, stor dan penyimpanan turut dipertingkatkan untuk memudahkan aktiviti pelaksanaan penguatkuasaan.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi 18 Julai 2022
KPPK RINTIS PROGRAM VAKSINASI SEKTOR PERLADANGAN DAN KOMODITI JAYAKAN PPN
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mendokong usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan dalam mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi termasuk kepada kumpulan barisan hadapan ekonomi di pelbagai sektor. Ini bagi memastikan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai sebelum akhir tahun ini seperti yang dirancang melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri selari dengan hasrat yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
2. Dalam usaha ini, KPPK akan melaksanakan projek rintis bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang akan memberi fokus kepada sektor perladangan sawit sebagai permulaan. Cadangan pelaksanaan projek rintis ini akan diadakan di Selangor, dengan anggaran pekerja seramai 5,000 orang dan telah pun mendapat sokongan penuh Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF). Tindakan selanjutnya sedang diperincikan bersama CITF untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
3. Melalui program vaksinasi di bawah projek rintis ini, bekalan serta penghantaran vaksin akan diberikan secara percuma oleh Kerajaan. Namun, pihak syarikat masih perlu membiayai sendiri kos lain yang terlibat seperti penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut spesifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), peralatan perubatan (mengikut standard KKM), kos pemvaksin, doktor/jururawat serta bayaran elaun kepada petugas sukarelawan dan anggota keselamatan.
4. Penyertaan pihak industri dalam program ini adalah secara sukarela bagi mendapatkan vaksin untuk para pekerja di sektor perladangan dan Agrikomoditi secara berkumpulan. Dalam hal ini, KPPK mengalu-alukan penglibatan dan kerjasama pihak industri serta persatuan dalam membantu Kerajaan melalui Kementerian bagi menjayakan program vaksinasi yang bakal dilaksanakan kelak.
5. KPPK akan memaklumkan dari semasa ke semasa berhubung pelaksanaan program ini melalui siaran media dan juga laman web kementerian di www.mpic.gov.my. Kementerian berharap melalui program dengan kerjasama pihak swasta ini, sasaran imuniti kelompok PPN dapat dicapai dengan lebih cepat.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 18 Jun 2021
ALATAN AUTOMASI DALAM SEKTOR PERLADANGAN SEBAGAI PENYELESAIAN JANGKA PANJANG KURANGKAN KEBERGANTUNGAN TERHADAP PEKERJA ASING
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus berusaha mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh dalam sektor perladangan khususnya sawit. Kementerian sedar kekurangan pekerja ini akan menyebabkan industri sawit mengalami penurunan pendapatan sebanyak 5% hingga 10%, seperti diramalkan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA).
2. Semua pihak perlu menyedari bahawa antara sebab-sebab utama masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan ini berlaku adalah berpunca daripada langkah penutupan pintu sempadan antarabangsa, bagi membendung penularan wabak COVID-19 di dalam negara, sekaligus melindungi imuniti kelompok rakyat daripada penyakit berjangkit.
3. Ketika ini, Kementerian terus berganding bahu bersama-sama dengan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi dengan kadar segera.
4. Kerajaan Persekutuan menerusi keputusan pada September 2021 bersetuju untuk meluluskan rancangan membawa masuk sejumlah 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit di seluruh negara. KPPK yakin bahawa sasaran ini akan dicapai dan isu berkaitan permit telah dibawa ke perhatian Kementerian.
5. Di masa hadapan, pemilik-pemilik ladang kelapa sawit di seluruh negara perlu melihat prospek pekerja dengan lebih meluas seperti di India dan Pakistan, serta tidak hanya tertumpu kepada pekerja-pekerja dari negara Indonesia dan Bangladesh. KPPK juga berharap pemilik ladang akan mencari penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
6. Menerusi kajian dan penyelidikan teknologi dilakukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pemilik-pemilik ladang disaran meningkatkan penggunaan automasi seperti menggunakan dron untuk tujuan pengawasan dan kawalan serangga perosak. KPPK yakin, penggunaan automasi di peringkat ladang akan menarik minat pekerja tempatan untuk mula bekerja di sektor ladang.
7. Penggunaan teknologi automasi juga diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing dan menjadikan industri sawit negara lebih berdaya tahan untuk tempoh jangka masa panjang.
8. KPPK menggalakkan pemilik kebun untuk mula membuat pelaburan bagi mendapatkan alat teknologi. KPPK juga percaya bahawa pembabitan lebih besar dalam automasi boleh membantu meletakkan minyak sawit sebagai minyak masak pilihan utama di peringkat global, sejajar dengan Kempen "Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan" yang sedang dijalankan.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 18 JUN 2022