ARKIB MEDIA

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
MENTERI KPPK SAKSI PENYERAHAN BANTUAN TUALA WANITA DAN
TEPUNG GANDUM BAGI GOLONGAN B40 SEKTOR AGRIKOMODITI
___________________________________________________________________

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini menerima sumbangan tuala wanita bernilai sebanyak RM144,100.00 daripada Best Eternity Recycle Technology bagi Program Period Poverty yang diterajui oleh Girl2Leader. Selain itu, KPPK turut menerima sumbangan satu (1) tan tepung daripada Lotus FKM Berhad untuk program di bawah kelolaan Yayasan Komuniti Negara.


2. Sumbangan yang diserahkan oleh wakil syarikat Best Eternity Recycle Technology, Encik Ng Kim Fan Rex dan Lotus FKM, Cik Lee Wai Fun kepada Girl2Leader dan Yayasan Komuniti Negara telah disaksikan oleh Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap Penaung Yayasan Komuniti Negara.


3. YB Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan oleh pihak industri kerana ini dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para penerimanya, terutamanya golongan wanita B40 yang sering YB Menteri temui semasa Program Jelajah Agrikomoditi bersama-sama pekebun kecil.


4. Kemiskinan haid merujuk kepada situasi apabila perempuan atau keluarga mereka tidak mampu memiliki tuala wanita disebabkan kekangan kewangan dan ini bukanlah satu masalah baru yang dihadapi oleh sebilangan wanita di negara ini. Menyedari akan permasalahan itu, Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin bersama Persatuan Girl2Leader mengambil inisiatif memulakan
Program Period Poverty.


5. Sumbangan satu (1) tan tepung gandum akan diagihkan kepada lebih 500 keluarga yang memerlukan bagi meringankan beban terutamanya ketika di bulan Ramadan.


6. Kementerian akan terus mendekati masyarakat pelbagai lapisan, khususnya golongan pekebun kecil dan memberi bantuan sewajarnya bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
14 APRIL 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
STESEN PENYELIDIKAN LAPANGAN LEMBAGA LADA MALAYSIA (MPB) BAKAL MEMPERKUKUH SEKTOR AGRIKOMODITI LADA




1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin hari ini telah meluangkan masa meninjau Projek Stesen Penyelidikan Lapangan, Lembaga Lada Malaysia (MPB) bertempat di Semenggok, Kuching.
2. Penubuhan Stesen Penyelidikan Lapangan MPB adalah bertujuan untuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan perladangan bagi meningkatkan aktiviti ujian lapangan tanaman lada, membangunkan plot – plot ujian ladang untuk menguji keberkesanan hasil R&D serta menyelenggara koleksi germplasma lada di Malaysia.
3. Penubuhan stesen penyelidikan lapangan ini adalah selari dengan hala tuju MPB dan industri lada untuk memperkasakan aktiviti R&D melalui kemudahan penyelidikan yang moden dan canggih. Ia juga akan menjadi pemangkin kepada aktiviti penyelidikan di lapangan yang membolehkan MPB menjalankan pelbagai jenis R&D berkaitan lada secara sistematik dan pengumpulan germplasma serta varieti bagi penghasilan varieti lada baru.

4. Antara kemudahan yang dibina di stesen ini merangkumi empat (4) unit greenhouse berkeluasan 168m2 setiap unit. Greenhouse tersebut akan digunakan untuk kajian penyakit dan perosak, kultur tisu, pembiakbakaan dan agronomi lada; satu (1) unit bangsal tumbuhan berkeluasan 150m2 akan digunakan untuk menyelenggara koleksi germplasma lada. Selain itu, kemudahan asas lain seperti sistem perparitan, sistem saliran air dan kumbahan, jalan serta kelengkapan ICT turut dibina.
5. Dua (2) plot ujian ladang iaitu Plot Koleksi Germplasma Lada sebagai sumber bahan kajian untuk penyelidikan dan penyelenggaraan sumber genetik lada di Malaysia serta Plot Ujian Ladang untuk menguji keberkesanan hasil R&D turut dibangunkan. Plot-plot tersebut akan membantu aktiviti pemantauan dan mengurangkan ralat yang boleh mengganggu kesahihan data saintifik sekaligus meningkatkan pendedahan hasil R&D dan inovasi lada kepada orang awam.
6. Justeru, melalui penubuhan stesen seumpama ini pemerkasaan R&D lada dapat diperkukuh dengan meningkatkan penemuan R&D dan inovasi baru bagi komoditi lada ke arah pembangunan industri lada yang mampan.
7. Pembinaan stesen dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.83 juta ini telah siap sepenuhnya secara fizikal dan dijangka akan diserahkan kepada Lembaga Lada Malaysia pada bulan Mac 2022.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
14 FEBRUARI 2022

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

PEMBUKAAN PEJABAT SERANTAU AGRIKOMODITI MALAYSIA SEBAGAI HUB KOMODITI DI JEDDAH PERTINGKAT PASARAN KE TIMUR TENGAH DAN AFRIKA

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kejayaan rundingan di antara Malaysia dan Arab Saudi dalam pelbagai perkara termasuk mempromosi industri sawit negara terutamanya untuk meningkatkan pasaran minyak sawit Malaysia ke negara berkenaan.

2. Pertemuan YAB Perdana Menteri bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan negara itu di Istana Al-Yamamah telah memberi peluang kepada syarikat-syarikat negara ini untuk mengeksport minyak sawit dengan kuantiti yang lebih besar. Arab Saudi telah menunjukkan komitmen untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia daripada 318,000 tan bernilai RM900 juta pada tahun lalu kepada 500,000 tan bernilai kira-kira RM1.5 bilion bagi tahun 2021.

3. Susulan kepada potensi pasaran yang tinggi, KPPK sedang dalam usaha untuk membuka Pejabat Serantau Agrikomoditi Malaysia merangkumi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) di Jeddah, Arab Saudi. Pejabat serantau ini akan dijadikan Hub Komoditi Malaysia untuk memperluaskan pasaran agrikomoditi negara ke benua Afrika dan Timur Tengah yang masing-masing memiliki populasi penduduk seramai 1.34 bilion orang dan 457 juta orang. Pembukaan pejabat ini merupakan usaha KPPK dalam merealisasikan hasrat menjadikan produk komoditi Malaysia untuk menguasai pasaran di rantau berkenaan termasuk produk oleokimia dan biobahan api pada masa hadapan.

4. Hubungan antarabangsa melalui strategi pembukaan pejabat serantau seperti ini adalah penting bagi meningkatkan lagi penerimaan produk sawit Malaysia di pasaran global. Ia juga selaras dengan kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang dilancarkan pada 10 Februari 2021 yang lalu bertujuan untuk mempromosikan kelebihan dan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada dunia dengan menggunakan elemen pendidikan dan pada masa sama menangkis kempen antiminyak sawit.

 

YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
14 Mac 2021

JATA LATES

SIARAN MEDIA
KPPK SEDIA PELBAGAI INSENTIF BANTUAN DAN PERGIAT AKTIVITI
MSPO SEBAGAI USAHA BANTU PEKEBUN KECIL KELAPA SAWIT


1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng hari ini merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 di Pekan Nanas, Johor anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).


2. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MPOB sedang giat berusaha meneruskan aktiviti Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) di seluruh negara melalui program latihan, taklimat dan promosi bagi sektor pekebun kecil. Bagi meringankan beban pekebun kecil dalam melaksanakan Pensijilan MSPO, kerajaan juga telah menyediakan menyediakan pelbagai insentif merangkumi pembiayaan kos latihan, kos pengauditan, kos peralatan perlindungan diri, papan tanda kebun dan rak penyimpanan bahan kimia.


3. Sehingga 31 Mac 2022, jumlah keluasan kebun yang diusahakan oleh pekebun kecil persendirian di negeri Johor adalah 159,487 hektar. Daripada jumlah tersebut, 44,824 orang pekebun kecil dengan keluasan 118,092 hektar telah memperoleh MSPO iaitu bersamaan dengan 74% daripada keluasan kawasan tanaman sawit yang diusahakan.


4. Kerajaan telah menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) untuk membantu mengurangkan kos pengangkutan, mendapatkan harga pasaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi dan menggalakkan penjanaan pendapatan dan pengagihan dividen kepada ahli-ahlinya. Penyertaan pekebun kecil dalam KPSM bertujuan untuk meningkatkan produktiviti tanaman sawit dan pendapatan melalui pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan aktiviti ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan.


5. KPSM menjalankan aktiviti utama jualan berkelompok buah tandan segar (BTS) melalui penubuhan Pusat Timbang. Sehingga Mac 2022, sebanyak 65 buah pusat timbang telah siap dibina sepenuhnya di seluruh negara dengan jumlah jualan buah tandan segar (BTS) mencecah 82,612.37 tan. Purata jualan bagi satu pusat timbang adalah 400 tan sebulan.


6. Sehingga Mac 2022 sebanyak 69 KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu 24 di Semenanjung Malaysia, 27 di Sabah dan 18 di Sarawak. Di negeri Johor  sebanyak lima (5) KPSM telah ditubuhkan iaitu KPSM Kluang Utara Berhad, KPSM Daerah Kulaijaya Berhad, KPSM Daerah Pontian Berhad, KPSM Yong Peng Utara Berhad, dan KPSM Daerah Segamat Berhad. Keahlian bagi lima KPSM ini keseluruhannya berjumlah 318 orang pekebun kecil.


7. Kementerian melalui MPOB menyediakan bantuan seperti Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe), Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS). Selain itu, kerajaan juga telah mengumumkan dana bantuan baharu iaitu Program Tanaman Kontan B40 Pekebun Kecil Sawit (TKB40).


8. Dengan adanya pelbagai insentif yang disediakan oleh Kementerian yang memberi tumpuan kepada pembangunan pekebun kecil tanaman sawit, ia dijangka menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kualiti pengeluaran hasil sawit serta pendapatan pekebun kecil.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
14 Mei 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
MINYAK SAWIT MALAYSIA TEMBUSI PASARAN BAHARU DENGAN
PENERIMAAN GLOBAL YANG LEBIH BESAR


1. Minyak sawit Malaysia telah dapat menembusi pasaran global baharu dan ini membuktikan komoditi utama negara mendapat pengiktirafan dan penerimaan antarabangsa yang lebih tinggi, seiring dengan matlamat kempen “Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit”.


2. Sekurang-kurangnya tiga buah negara yang sebelum ini tidak pernah mengimport minyak sawit Malaysia - Estonia, Republik Czech dan Hungary - telah mula membeli sejak beberapa bulan kebelakangan ini.


3. Melihat kepada perkembangan semasa, saya menyambut baik situasi ini. Bagi saya, ia bukanlah perkara mustahil, setelah melihat usaha agresif dilakukan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) untuk memasarkan minyak sawit negara di peringkat global, serta menangkis mitos yang dimainkan pihak tertentu dan propaganda Barat.


4. Sejak Januari hingga Julai tahun ini, Estonia telah mengimport 2,501 tan minyak sawit Malaysia bernilai RM20.22 juta, Republik Czech bernilai 95 tan bernilai RM0.88 juta, dan Hungary bernilai 853 tan bernilai RM6.73 juta.


5. Walaupun jumlah dan nilai import minyak sawit Malaysia dari negara-negara ini tidak setinggi seperti di India dan Turkiye, ia masih merupakan perkembangan yang menggalakkan kerana ia merupakan pasaran baru. Dengan selangkah kaki masuk ke pintu negara-negara ini, ia membolehkan kita mengembangkan lagi pasaran minyak sawit Malaysia di sana untuk tempoh jangka masa panjang.


6. Kementerian sedar pasaran baharu ini wujud sebahagiannya disebabkan oleh konflik yang berlaku di Ukraine, yang mengakibatkan gangguan kepada bekalan minyak bunga matahari dan minyak rapeseed. Bagaimanapun, saya percaya ini adalah permulaan yang baik dan minyak sawit Malaysia akan terus mendapat permintaan walaupun setelah konflik ini tamat.


7. KPPK juga pada masa sama telah menetapkan sasaran untuk mengeksport minyak sawit Malaysia ke lebih banyak negara bukan tradisional khususnya di Kesatuan Eropah (EU) serta akan berusaha mengembangkan pasaran dalam kalangan negara-negara pengimport.


8. Ini akan dilakukan melalui:
i. Memperkukuh pasaran eksport utama sedia ada, khususnya di India, China, Pakistan dan EU, serta mempromosikan produk minyak sawit secara lebih agresif untuk menembusi pasaran baharu seperti di Afrika dan rantau Asia Tengah;
ii. Meningkatkan aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam pengeluaran produk baharu serta menambah nilai produk komoditi dalam industri hiliran dan;
iii. Meningkatkan akses kepada pasaran yang lebih luas melalui perundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala serta perundingan serantau atau pelbagai hala.


9. Maklum balas yang diterima daripada pasaran-pasaran baharu juga menunjukkan bahawa negara-negara berkenaan yakin dengan kualiti minyak sawit Malaysia kerana produktiviti yang tinggi dan ketersediaannya sepanjang tahun, serta kepelbagaian kegunaan dalam sektor makanan dan bukan makanan.


10. KPPK akan terus memanfaatkan kekuatan ini, sekaligus menunjukkan kejayaan kempen “Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit”. Sebelum ini, ramai khususnya di EU, tidak tahu tentang kelebihan dan manfaat minyak sawit Malaysia berikutan kempen fitnah yang berterusan selama beberapa dekad.


11. Penerimaan minyak sawit di pasaran Malaysia kini semakin meningkat berikutan kesedaran yang tinggi, hasil usaha promosi warga Kementerian termasuk melalui misi perdagangan antarabangsa yang telah kami adakan. Usaha ini tidak akan terhenti di sini, KPPK komited untuk terus memacu sektor sawit kukuh dan kekal berdaya saing.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
14 SEPTEMBER 2022