UCAPAN TAKZIAH PEMERGIAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF INSTITUT PERLADANGAN DAN KOMODITI MALAYSIA (IMPAC)
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komodti (MPIC) ingin menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada balu dan keluarga Encik Mohd Solah bin Deraman, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) yang kembali ke Rahmatullah pada petang Rabu, 10hb Mac 2020 akibat kemalangan jalan raya.
2. Saya akan pastikan segala bentuk bantuan yang bersesuaian dan sewajarnya diberikan kepada keluarga daripada semasa ke semasa untuk meringankan beban balu dan keluarga Allahyarham.
Al-Fatihah YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi 11 Mac 2020, Putrajaya
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
LAWATAN KERJA KE MPOB
12 MAC 2020
1. Saya melafazkan rasa syukur kerana dapat menyempurnakan lawatan pertama ke agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bermula dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
2. Pada hari ini, saya telah diberi taklimat mengenai MPOB sebagai agensi yang bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan pembangunan, dan menyediakan perkhidmatan kepada pihak terlibat dalam industri sawit negara.
3. Pencapaian bidang penyelidikan dalam industri sawit yang diterajui oleh MPOB turut menyumbang kemajuan pesat industri sawit negara yang merupakan tunggak komoditi pertanian negara. Sehingga 2019, keluasan tanaman sawit sebanyak 5.9 juta hektar menghasilkan pengeluaran minyak sawit mentah sebanyak 19.86 juta tan dan menjana pendapatan eksport berjumlah RM64.45 billion. Kemajuan industri sawit di sepanjang rantaian pengeluaran menyedia peluang ekonomi dan pekerjaan kepada lebih 4 juta penduduk termasuk 500,000 pekebun kecil sawit.
4. Penyelidikan MPOB telah menghasilkan 672 teknologi dan inovasi dalam semua aspek sawit yang ditawarkan untuk pengkomersialan dan digunapakai oleh pihak industri. Penggunaan teknologi baharu penting bagi peningkatan daya saing industri di peringkat global dan menyumbang dari segi peningkatan produktiviti pengeluaran dan kualiti produk sawit, kegunaan minyak sawit dalam makanan dan bukan makanan.
5. Sejajar dengan tumpuan kerajaan terhadap pembangunan industri sawit mampan, MPOB memberi tumpuan penting kepada pembangunan pekebun kecil persendirian termasuk pelaksanaan pensijilan MSPO melibatkan keluasan kawasan tanaman sawit berjumlah 986,331 hektar. Usaha ini dilaksanakan melalui penubuhan 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara. Sehingga kini, sebanyak 107,966.47 hektar atau 11% telah berjaya dipersijilkan. Usaha giat dilaksanakan untuk mencapai matlamat pensijilan pekebun kecil sepenuhnya menjelang tahun 2023.
6. Aspek kemampanan dan jaminan keselamatan produk sawit diberi tumpuan penting bagi bekalan minyak sawit ke luar negara. Maklumat saintifik yang dihasilkan melalui penyelidikan MPOB dan pihak industri dapat menangkis tohmahan negatif dan usaha memburukkan industri sawit yang dikaitkan dengan alam sekitar, biodiversiti dan perlindungan hidupan liar, jaminan keselamatan dan khasiat pemakanan minyak sawit.
7. Penyelidikan MPOB dan institusi penyelidikan luar negara membuktikan minyak sawit mempunyai khasiat pemakanan yang tinggi (vitamin A dan E) yang baik untuk kesihatan manusia, kegunaan yang pelbagai ‘versatile’ bagi sektor makanan dan bukan makanan.
8. Hasil penyelidikan MPOB menghasilkan teknologi dan formulasi bagi pengeluaran produk oleokimia sawit sebagai pengganti sumber petroleum untuk penghasilan produk pencuci, produk kosmetik dan penjagaan diri serta produk industri. Penyelidikan MPOB juga menghasilkan teknologi penggunaan produk biojisim sawit bagi penghasilan papan lapis, produk ketumpatan sederhana (MDF) bagi penghasilan perabot dan komponen kenderaan dan biodiesel sawit yang diadun sebanyak 20 peratus bersama diesel petroleum.
9. Seperti saya maklumkan dalam sidang akhbar pertama, kementerian dan agensi melalui pemuafakatan bersama pihak industri akan mengembleng tenaga dan kepakaran bagi memaju sektor komoditi termasuk industri sawit dan menangani cabaran bagi kesejahteraan ekonomi negara dan kebajikan rakyat.
10. Saya akan berusaha menyediakan pasukan kerja yang mantap menggabungkan pelbagai kepakaran sama ada tenaga fikir kementerian, pengkaji dan penyelidik universiti ataupun pengalaman pemain industri bagi menghadapi pelbagai cabaran dalam sektor perladangan dan komoditi seperti isu kemampanan, diskriminasi produk dan kempen anti minyak sawit di peringkat antarabangsa.
11. Kementerian akan terus meneroka pasaran-pasaran baharu yang masih belum kita kuasai sepenuhnya disamping mengekal dan mengukuh pasaran sedia ada.
12. Saya akan memastikan matlamat yang dicapai oleh Kementerian adalah menerusi amalan tadbir yang baik, berintegriti dan kualiti yang tinggi.
PPVIN SEKTOR PERLADANGAN DAN AGRIKOMODITI MULA VAKSIN LEBIH 50,000 PEKERJA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memperoleh kelulusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) pada 1 Julai 2021 untuk melaksanakan program Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) bagi sektor ekonomi keempat iaitu perladangan dan agrikomoditi dikenali sebagai Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (VACOMS).
2. Program VACOMS amat penting dalam menyokong usaha Kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada kumpulan barisan hadapan ekonomi khususnya kepada sektor agrikomoditi yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seterusnya Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.
3. Sebanyak tiga PPVIN sektor agrikomoditi sudah beroperasi dengan dua di bawah Program VACOMS iaitu di Ladang Tennamaram, Bestari Jaya yang dikendalikan oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) bersama Sime Darby Plantation Berhad (SDPB) menumpukan kepada sektor perladangan sawit dan getah manakala PPVIN MTC@Olak Lempit di Banting adalah melibatkan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) disediakan untuk industri perkayuan dan perabot.
4. PPVIN Ladang Tennamaram yang dibuka pada 26 Julai 2021 menyasarkan vaksinasi untuk 6,500 pekerja manakala PPVIN MTC@Olak Lempit yang mula beroperasi pada 28 Julai 2021 akan melibatkan seramai 10,000 pekerja. PPVIN Persatuan Perabot Muar (MFA) di Muar, Johor di bawah Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang mula beroperasi pada 2 Ogos 2021 pula, adalah program vaksinasi melibatkan 30,000 pekerja. Sementara untuk subsektor getah, KPPK sudah mengemukakan permohonan Majlis Getah Malaysia (MRC) kepada CITF untuk membuka PPVIN membabitkan 30,000 pekerja industri berkenaan sebagai permulaan.
5. Sehingga 11 Ogos 2021 jumlah pekerja yang sudah menerima vaksin dos pertama ialah seramai 11,048 orang di PPVIN PIKAS Muar, PPVIN Ladang Tennamaram (3,749 orang) dan PPVIN MTC@Olak Lempit (6,906 orang). KPPK menyasarkan semua pekerja akan melengkapkan proses vaksinasi mengikut tempoh yang ditetapkan. Sebagai sokongan kepada usaha pemberian vaksin ini oleh industri, MTC sedang mempertimbangkan subsidi sebanyak RM30 daripada kos keseluruhan iaitu RM85 untuk dua dos bagi setiap pekerja.
6. KPPK berharap lebih banyak PPVIN di bawah Program VACOMS dapat dibuka oleh industri bagi mencapai imuniti kelompok dalam tempoh terdekat termasuk PPVIN bergerak. Ia pasti dapat menyumbang kepada proses peralihan fasa PPN dengan lebih pantas selaras dengan perubahan penetapan indikator dan nilai ambang yang baharu bagi menambah baik penilaian risiko dalam mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi serta sosial. Walau bagaimanapun, proses pembukaan PPVIN adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan CITF.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Muar, Johor Darul Takzim 12 Ogos 2021
KENYATAAN MEDIA MALAYSIA SOKONG PEMODENAN SEKTOR PERLADANGAN KEMBOJA
1. Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Kemboja pada tahun ini menjangkau usia 65 tahun dan negara jiran serantau tersebut menawarkan peluang bagi penggiat sektor hiliran produk minyak sawit yang mahu meneroka pasaran di luar negara.
2. Dengan populasi 17 juta penduduk, Kemboja adalah negara pengimport pelbagai produk agritani Malaysia yang utama, khususnya minyak sawit, malahan nilai dagangan antara kedua-dua negara sentiasa meningkat saban tahun. Pada tahun 2021, Kemboja mengimport lebih tujuh (7) juta tan minyak sawit kita berbanding hanya lebih satu (1) juta tan pada tahun sebelumnya.
3. Dalam hal ini, selain menjadikan Kemboja sebagai destinasi import pelbagai produk berkaitan minyak sawit keluaran negara kita, penggiat-penggiat industri di Malaysia memiliki ruang untuk merintis usaha bagi menjayakan pemindahan teknologi, bakat dan kemahiran yang dapat membantu sektor pertanian serta perladangan Kemboja mencapai potensi sepenuhnya.
4. Dalam aspek produk-produk getah Kemboja, Malaysia sudah menjadi pusat rujukan yang diiktiraf. Hal yang sama dapat dijangkakan kepada produk-produk hiliran minyak sawit dengan penyertaan lebih banyak syarikat Malaysia untuk melabur dalam pembangunan sektor minyak sawit Kemboja.
5. Ketika ini, Malaysia adalah negara ketiga terbesar yang membawa masuk pelaburan ke Kemboja, selepas China dan Korea Selatan dengan nilai pelaburan langsung asing (FDI) mencecah AS$3.53 bilion dalam tempoh 1994 hingga 2020. Sehingga kini, pelaburan dari negara kita di Kemboja, kebanyakannya bertumpu kepada sektor perbankan, telekomunikasi, penjanaan kuasa dan hiburan. Pada tahun 2021, nilai dagangan dua hala di antara Kemboja dan Malaysia adalah sebanyak AS$503.004 juta, iaitu peningkatan sebanyak 13.03 peratus daripada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Kastam dan Eksais Kemboja (GDCE).
6. Nilai eksport Kemboja ke Malaysia pula sebanyak AS$101.32 juta, meningkat sebanyak 2.2 peratus, manakala nilai import adalah berjumlah AS401.7 juta, iaitu peningkatan sebanyak 16.1 peratus. Secara keseluruhannya, defisit dagangan di antara kedua-dua negara pada tahun lalu meningkat sebanyak 21.7 peratus kepada AS$300.37 juta. Eksport utama Kemboja ke Malaysia adalah beras, buah tandan sawit (FFB), lada, getah, fabrik, komponen-komponen elektrik dan produk-produk industri serta pertanian, manakala import utama pula termasuk barangan kenderaan, makanan dan minuman (F&B) serta produk-produk elektronik.
7. Melalui pemulihan ekonomi menggalakkan daripada kedua-dua negara yang pasca pandemik COVID-19, usaha membawa minyak sawit Malaysia menembusi pasaran-pasaran baharu melalui kempen-kempen jelajah antarabangsa bagi memperkukuh pasarannya semakin terserlah. Pengalaman Malaysia selama lebih 70 tahun dalam sektor pengeluaran minyak sawit boleh menjadi rujukan dan membantu Kemboja mencapai kejayaan sama dalam tempoh lima tahun melalui pemindahan teknologi, ilmu, bakat dan kemahiran.
8. Yakinlah bahawa kempen anti minyak sawit yang digerakkan oleh Kesatuan Eropah (EU) tidak menjejaskan pengeluaran atau eksport hasil ladang Malaysia. Tuduhan kononnya perladangan sawit Malaysia menggunakan buruh paksa dan menjejaskan alam sekitar juga adalah tidak berasas sama sekali. Sebaliknya, 35 peratus daripada minyak sawit keluaran negara kita memperoleh pensijilan diiktiraf antarabangsa, iaitu Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Tiada negara lain di dunia yang mempunyai pensijilan seumpamanya untuk minyak sawit mereka.
9. Bagi membantu penggiat-penggiat industri hiliran minyak sawit Malaysia yang berhasrat memperkukuh keberadaan mereka di pasaran luar negara, saya suka untuk memaklumkan bahawa Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah menggerakkan kempen Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit bagi meningkatkan kesedaran mengenai kualiti tinggi minyak sawit kita dalam memerangi maklumatmaklumat salah yang dilemparkan terhadap minyak ‘emas’ negara.
10. Kementerian sentiasa komited dalam memperkasa agenda sektor Agrikomoditi dari masa ke semasa, terutamanya sektor sawit supaya lebih kukuh, berdaya saing dan berorientasikan pasaran bagi memenuhi agenda pembangunan sosioekonomi negara.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN CARETAKER KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 12 OKTOBER 2022
KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI MELALUI AGENSI PERKASA BANTUAN PASCA PANDEMIK COVID-19 KEPADA GOLONGAN ASNAF
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi agensi di bawahnya Majlis Getah Malaysia (MRC) meraikan seramai 300 orang daripada golongan asnaf yang kurang berkemampuan, ibu-ibu tunggal , warga emas dan ahli kariah masjid dalam satu majlis berbuka puasa di Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak (TAR), Ampang, hari ini.
2. Hadir sama adalah Pengerusi Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Yang Berbahagia Dato’ Mohd Sallehuddin Othman; Tuan Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Yang Berusaha Tuan Mohd Fauzi; Pengerusi MRC, YB Dr. Daroyah Alwi dan Ketua Pegawai Eksekutif MRC, En. Nor Hizwan Ahmad.
3. Majlis ini disempurnakan Yang Berhormat Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui penyerahan sumbangan berjumlah RM20,000.00 daripada MRC kepada Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang, dan dua buah lagi surau di bawah pentadbiran masjid tersebut iaitu Surau Ihsaniah, Ampang Jaya dan Surau Ubudiah, Jalan 4M, Ampang Jaya.
4. Menerusi sumbangan ini, Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang akan menerima pembahagian sumbangan sebanyak RM10,000.00 manakala Surau Insaniah dan Surau Ubudiah masing masing akan menerima sumbangan sebanyak RM5,000.00. Program yang julung kali diadakan oleh Kementerian akan diteruskan di beberapa lokasi lain selepas ini, sebagai antara langkah membantu golongan terkesan.
5. Menurut YB Datuk Hajah Zuraida, Ramadan kali ini lebih meriah apabila negara kini memasuk fasa peralihan endemik selepas lebih dua tahun menjalani fasa pandemik. Bahkan, tentunya pelbagai persiapan menyambut Syawal sedang dilakukan, namun disebalik kemeriahan itu masih terdapat segelintir pihak yang kurang bernasib baik, terjejas akibat Covid-19 dan wajar diberi perhatian.
6. Agensi dan majlis di bawah KPPK serta pemain industri dialu-alukan untuk turut mengambil peluang bersempena di bulan mulia ini bagi bersama menjalankan tanggungjawab sosial korporat memastikan kemakmuran bersama.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 13 APRIL 2022