LAWATAN KERJA YB MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI KE NEGERI JOHOR BAGI MENINJAU INDUSTRI KOKO
1. YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah mengadakan lawatan kerja ke Johor pada 11 Mei 2020 bagi memantau tahap pematuhan terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Lawatan kerja ini juga bagi meninjau isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri koko dengan lebih dekat terutama semasa tempoh PKPB.
2. Terkini Malaysia adalah merupakan negara pemproses biji koko yang kedua terbesar di Asia dan ketujuh di dunia dengan menguasai 22 peratus pasaran produk berasaskan koko bagi rantau Asia dan Oceania. Nilai eksport coklat khususnya adalah sebanyak RM1.14 bilion pada tahun tersebut berbanding RM1.03 bilion pada tahun 2018 iaitu peningkatan sebanyak 10.7 peratus.
3. Walau bagaimanapun, adalah dijangkakan bahawa sumbangan aktiviti pengisaran dan pendapatan eksport daripada koko dan produk-produk berasaskan koko akan menurun sebanyak 18 peratus berikutan pelaksanaan PKP.
4. Antara syarikat yang dikunjungi adalah Guan Chong Cocoa Manufacturer Sdn. Bhd. iaitu syarikat pengisar koko terbesar di Malaysia. Syarikat ini merupakan pengisar keempat terbesar di dunia dengan kapasiti pengisaran sebanyak 250,000 tan metrik setahun dan merupakan pembekal utama kepada syarikat-syarikat coklat dan industri makanan dan minuman (F&B) seperti Nestlé, Mars, Hershey’s dan Cadbury.
5. Selain itu, lawatan turut diadakan ke syarikat HSRICH Chocolate yang merupakan usahawan bimbingan di bawah Program Pembangunan Usahawan Coklat, Lembaga Koko Malaysia. Pada tahun ini, seramai 224 usahawan coklat termasuk 22 usahawan di Johor dibimbing melalui program ini.
6. Lawatan kerja sehari ini telah memberi peluang kepada YB Menteri mendengar secara terus dari pemain industri tentang permasalahan dan potensi industri koko dan coklat negara. Lawatan tersebut turut berjaya meningkatkan kerjasama yang sedia terjalin ke satu tahap yang lebih baik terutama antara Kementerian dengan pihak industri bagi merancakkan lagi pembangunan industri koko dan pembuatan coklat khususnya di negeri Johor.
7. Kementerian juga komited untuk memperkasakan industri koko di peringkat huluan di samping hiliran menerusi program integrasi tanaman dengan komoditi yang lain sebagai hala tuju baru RMK12.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 11 Mei 2020
KENYATAAN MEDIA PEJABAT SATELIT MTIB, MTC MUAR BAKAL RANCAKKAN INDUSTRI KAYU DAN PERABOT NEGARA
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menyempurnakan pembukaan Pejabat Satelit Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) di Muar, Johor. Pembukaan pejabat ini merupakan antara langkah konstruktif untuk memulihkan dan merancakkan industri perkayuan serta perabot pasca pandemik COVID-19.
2. Antara fungsi utama yang akan diberi tumpuan oleh pejabat satelit tersebut adalah menyelaras isu-isu industri perabot di daerah ini. Ia juga berperanan bagi menggalakkan penggunaan teknologi automasi dan inovasi dalam industri perkayuan selaras dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).
3. Kerjasama antara Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan Kerajaan Negeri Johor akan terus diperkukuh bagi menggalas cabaran keperluan tenaga kerja, pematuhan kepada Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta pembangunan Muar Furniture Park (MFP). Selain itu, kerjasama khidmat teknikal dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui pejabat ini mengenai aspek pembangunan reka bentuk produk, kepakaran teknikal dan ujian perabot akan diberi tumpuan.
4. Potensi besar industri perabot dan kayu-kayan khususnya di Muar merupakan salah satu faktor kepada pembukaan pejabat ini. Muar yang merupakan Bandar Perabot Malaysia, menjadi lokasi kepada 700 syarikat pengusaha perabot dengan 80 peratus daripadanya adalah kilang sederhana kecil. Pada tahun 2020, nilai eksport perabot kayu Malaysia mencatatkan sebanyak RM10.6 bilion dengan sumbangan daripada Johor adalah sebanyak 69 peratus dengan Muar merupakan penyumbang sebanyak 46 peratus kepada negeri ini.
5. Industri perkayuan Muar khususnya sektor perabot mempunyai potensi untuk dibangunkan dengan lebih pesat dengan adanya kemudahan dan infrastruktur yang mampan. KPPK akan terus memperkasa peranan sektor perkayuan dan perabot sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara yang signifikan dengan memberikan tumpuan terhadap peningkatan tahap produktiviti.
6. Kementerian berharap pihak industri di daerah Muar dapat mengambil manfaat secara maksimum penubuhan pejabat satelit ini dengan menyertai pelbagai program berkaitan penggunaan teknologi, inovasi, automasi, kecekapan dan produktiviti yang akan diatur oleh MTIB dan MTC kelak.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi 11 Oktober 2021
KENYATAAN MEDIA AKADEMI HEVEA MALAYSIA CAWANGAN LANGKAWI BANGUNAN MENARA PERTAMA DI MALAYSIA MENGGUNAKAN GALAS GETAH SEISMIK
1. YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah merasmikan pusat latihan Akademi Hevea Malaysia Cawangan Langkawi (AHML) di Kuah, Langkawi, Kedah.
2. Pembinaan AHML adalah sebagai pusat dan sumber pengetahuan berkaitan pembangunan getah huluan dan hiliran bagi penggiat industri getah, penjawat awam dan penyelidik dan merupakan antara usaha LGM bagi melaksanakan pelbagai kursus yang berkaitan dengan aktivitI huluan, pemprosesan dan hiliran untuk kemajuan getah negara.
3. AHML juga merupakan bangunan menara pertama di Malaysia menggunakan galas getah seismik yang direka khas oleh LGM. Penggunaan galas getah seismik dapat memberi perlindungan maksimum kepada struktur daripada kerosakan akibat gegaran gempa bumi.
4. Kementerian yakin bahawa potensi getah huluan dan hiliran boleh dipertingkatkan lagi dan seterusnya menyumbang kepada rasa pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Langkawi, Kedah 12 April 2022
IBS TASBLOCK BERASASKAN KENAF MAMPU MENJIMATKAN KOS PEMBINAAN BANGUNAN
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali hari ini mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan pejabat Sistem Binaan Berindustri (IBS) Tasblock di Lot 1099, Pusat Pemprosesan dan Pengeluaran Produk Kenaf, Setiu Terengganu. Lawatan berkenaan bagi meninjau perkembangan proses pembinaan pejabat serta ruang pameran menggunakan teknologi IBS Tasblock berasaskan kenaf.
2. Industri kenaf negara telah mencipta sejarah apabila berjaya menghasilkan bahan binaan berasaskan kenaf hasil kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan Tasblock (M) Sdn. Bhd. Kos pembinaan projek adalah dianggarkan sebanyak RM81,000 dengan keluasan 700 kaki persegi menggunakan 600 kilogram gentian kenaf, dilengkapi dengan ruangan pejabat, bilik mesyuarat, stor dan tandas.
3. Penggunaan kenaf dalam sistem Tasblock ini mampu menghasilkan produk berkualiti tinggi sekali gus merancakkan lagi pembangunan industri pembinaan berasaskan kenaf. Teknologi baharu itu juga mampu menjimatkan kos pembinaan, tenaga kerja, logistik dan masa. Tempoh masa untuk menyiapkan pejabat dan ruang pameran itu hanya mengambil masa selama 30 hari berbanding tiga hingga empat bulan dengan menggunakan kaedah secara konvensional.
4. Inovasi yang dihasilkan melalui kerjasama LKTN dan pihak swasta ini adalah selaras dengan tumpuan kementerian untuk meningkatkan kebolehpasaran produk serta meneroka pasaran baharu bagi industri hiliran. Usaha berterusan akan dilaksanakan agar permintaan produk bernilai tambah berasaskan kenaf dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri termasuk pembinaan.
5. Kementerian melalui LKTN akan terus memberi perhatian dan usaha-usaha serta melaksanakan pelbagai inisiatif serta kemudahan demi memastikan pembangunan industri ini diperkasa dari semasa ke semasa. Ia bagi memastikan keseluruhan rantaian nilai industri kenaf dan sosioekonomi dapat memberi manfaat kepada rakyat khususnya penduduk di luar bandar, serta negara amnya.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Setiu, Terengganu 12 Disember 2020
SIARAN MEDIA TIMBALAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI BAHARU, YB DATUK HAJAH SITI AMINAH ACHING MULAKAN TUGAS SECARA RASMI PADA 12 DISEMBER 2022
1. Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang baharu, YB Datuk Hajah Siti Aminah Aching memulakan tugas secara rasmi dengan menyempurnakan sesi mengimbas kad perakam waktu di Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) hari ini.
2. Ketibaan YB Datuk Hajah Siti Aminah Aching di blok utama Bangunan KPK disambut oleh Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Puan Hanim Abdollah dan SUB Bahagian Khidmat Pengurusan dan Pembangunan (BKPP), Encik Sri Ram Letchimanan.
3. YB Datuk Hajah Siti Aminah secara rasminya telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi di Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan pada 10 Disember 2022 di Istana Negara.
4. Beliau berasal dari Sabah dan merupakan Ahli Parlimen bagi kawasan P.177 Beaufort. Sebelum ini YB Datuk Hajah Siti Aminah, 60 tahun, merupakan mantan Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah. Selain itu, YB Datuk Hajah Siti Aminah juga merupakan Ketua Wanita United Sabah Islamic Association dan Timbalan Presiden Persatuan Bersatu Bisaya Sabah.
5. Seluruh warga Kementerian Perladangan dan Komoditi mengalu-alukan kedatangan YB Datuk Hajah Siti Aminah sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 12 DISEMBER 2022