ARKIB MEDIA

 

 

KENYATAAN MEDIA

TEKNOLOGI PEMPROSESEN GETAH KRIP TINGKATKAN
PENDAPATAN PENOREH

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan membangunkan model untuk memajukan rantaian nilai sektor huluan getah bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah di negara ini, melalui pengenalan projek Pusat Pemprosesan Getah Berkelompok melalui pakej teknologi pemprosesen getah krip dan serum getah bersepadu yang telah dibangunkan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

2. Pengenalan Pusat Pemprosesan Getah Berkelompok kepada sektor huluan industri getah dilihat dapat membantu pekebun kecil dalam memasarkan hasil pengeluaran getah mereka dengan harga yang berpatutan. Ini merupakan komitmen YB Menteri dan KPPK untuk memastikan pekebun kecil getah memperoleh harga yang sewajarnya dan meraih pendapatan yang setimpal dengan usaha mereka.

3. Melalui projek ini, rantaian nilai bersepadu bekalan getah berskala komersial dengan elemen pemprosesan berkelompok (kluster) dan perkongsian keuntungan (profit-sharing) akan dilaksanakan pada peringkat pekebun kecil, koperasi dan juga usahawan. Usaha ini akan meningkatkan kualiti getah yang dihasilkan, meningkatkan pendapatan dan seterusnya menjamin bekalan getah berkualiti kepada industri pembuatan produk getah negara. Ini seterusnya akan dapat mengekalkan daya saing industri getah sebagai peneraju pengeluar getah dan produk getah berkualiti di peringkat global.

4. Bagi merealisasikan usaha ini, KPPK akan mempertimbangkan dana awal untuk projek ini sebanyak RM6 juta melalui agensi kementerian iaitu Majlis Getah Malaysia (MRC), yang akan bekerjasama dengan LGM untuk melaksanakan projek tersebut.

5. KPPK menyarankan agar pekebun kecil yang berminat untuk menyertai projek ini menubuhkan koperasi getah di kawasan masing-masing. Ia sebagai persediaan awal seperti mana dirancang untuk pelaksanaan sepenuhnya pada tahun 2021.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
1 November 2020

 

 

 

 

KENYATAAN MEDIA

KPPK LANCAR KEMPEN MENGGALAKKAN PEKERJA TEMPATAN BEKERJA DI SEKTOR PERLADANGAN DAN KOMODITI

1. Kerajaan amat memahami situasi yang dihadapi oleh pihak industri mengenai kekurangan tenaga kerja susulan pandemik COVID-19 yang kini berada pada gelombang ketiga. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) juga menyedari bahawa kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan komoditi agak kritikal, dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi serta kemajuan industri agrikomoditi negara.

2. Pada masa yang sama, keselamatan rakyat Malaysia tidak boleh dikompromi. Oleh itu, KPPK berpandangan bahawa kemasukan pekerja asing yang masih tidak dibenarkan ke negara ini adalah pendekatan terbaik dengan mengambil kira situasi semasa. Tambahan pula, dalam keadaan ramai rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan, adalah wajar penglibatan pekerja asing dihadkan.

3. KPPK akan melipatgandakan usaha untuk mengisi kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan komoditi dengan mengadakan kempen untuk mengajak lebih ramai rakyat tempatan termasuk golongan Orang Asli bekerja di sektor ini. KPPK akan terus bergerak ke arah memberi keutamaan kepada rakyat tempatan bekerja di sektor perladangan dan komoditi selain memperkasa modal insan melalui latihan dan kursus di bawah Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

4. Pada masa yang sama, kerajaan juga sedang mempertimbang untuk memberikan permit sementara kepada pekerja asing tanpa izin di negara ini bagi menangani situasi kritikal di sektor sawit dan juga getah bagi bidang pekerjaan yang masih sukar menarik minat rakyat tempatan.

5. Kementerian dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus berusaha keras membantu sektor agrikomoditi mendapatkan pekerja melalui kempen menggalakkan penyertaan rakyat tempatan. KPPK turut berbesar hati dan mengalu-alukan penglibatan agensi pekerjaan tempatan untuk tampil serta membantu kementerian bagi menggalakkan rakyat tempatan bekerja di sektor tersebut. Ia penting agar usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dapat direalisasikan.

 

YB DATO' DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Putrajaya
1 November 2020

Jata

KENYATAAN MEDIA
R&D LEMBAGA GETAH MALAYSIA BANTU TINGKATKAN
UNJURAN EKSPORT PRODUK PERKAYUAN NEGARA


1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), YB Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng hari ini mengadakan lawatan kerja ke stesen penyelidikan Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Kota Tinggi dan Penawar, Johor Darul Takzim.


2. Pada lawatan kerja ini, beliau melihat sendiri operasi Kompleks Integrasi Pemprosesan Getah (IPC) yang berperanan meningkatkan industri getah melalui pembangunan teknologi pemprosesan produkproduk bahan termaju dan mesra alam berasaskan getah, selain diberikan taklimat berkenaan penyelidikan LGM berkaitan klon getah, pokok transgenik dan teknologi penorehan.


3. Sementara di Penawar, YB Timbalan Menteri melawat ladang bertujuan melihat penyelidikan ladang hutan getah yang dijalankan oleh LGM. Penyelidikan berkenaan khusus untuk klon lateks balak dan klon balak ini mampu membantu meningkatkan produktiviti serta eksport produk kayu-kayan.

4. Ladang hutan getah disasarkan akan menjadi alternatif bekalan bahan mentah dalam bentuk kayu getah bermutu dalam usaha mengembangkan lagi potensi industri perabot negara.


5. Kementerian berharap dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh LGM ini, berupaya meningkatkan pengeluaran serta hasil getah negara di samping dapat menokok pendapatan negara melalui eksport perkayuan negara khususnya perabot.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Penawar, Johor Darul Takzim
1 November 2021

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

SEKTOR AGRIKOMODITI TERUS DIPERKASA SEBAGAI PENYUMBANG UTAMA EKONOMI DI BAWAH
KEPIMPINAN BAHARU

1. Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengalu-alukan kedatangan YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri baharu yang memulakan tugas beliau hari ini. KPPK juga mengucapkan selamat kembali kepada kedua Timbalan Menteri iaitu Dato' Sri Dr Wee Jeck Seng dan Datuk Willie Anak Mongin yang dilantik semula bagi membantu YB Menteri.

2. Kementerian juga amat berbesar hati menerima seorang lagi Menteri wanita sebagai peneraju yang berketrampilan dan gaya kepimpinan tersendiri dengan pengalaman termasuk di sektor koporat serta gandingan kedua-dua Timbalan Menteri diperkuatkan dengan semangat kerjasama keseluruhan warga MPIC.

3. KPPK akan dipacu bagi mengemudi pembangunan industri agrikomoditi negara malah ke paras yang lebih tinggi sebagai antara sektor yang menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pertumbuhan ekonomi negara.

4. Penghargaan dan terima kasih daripada Pengurusan Tertinggi dan warga KPPK kepada mantan menteri, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali atas segala panduan dan nasihat sepanjang kejayaan menerajui Kementerian sebelum ini.

5. Warga KPPK akan terus melaksanakan tugasan dengan komitmen yang tinggi, beramanah serta berintegriti pada setiap masa sebagai penjawat awam. YB Menteri sudah pastinya akan membawa idea dan pendekatan baharu yang segar demi manfaat pemegang taruh khususnya kepada lebih 500,000 pekebun kecil dan memulihkan industri agrikomoditi yang terjejas kesan pandemik COVID-19.

6. Sebagai penyumbang kedua tertinggi selepas sektor elektronik dan elektrikal kepada pendapatan eksport negara, sektor agrikomoditi akan dapat mengekalkan kepentingannya malah dapat dimajukan ke tahap yang lebih tinggi dibawah kepimpinan YB Menteri baharu.

7. KPPK berharap dengan kerjasama yang erat di antara Anggota Pentabiran, Pengurusan Tertinggi, Ketua Pengarah dan Ketua Eksekutif Agensi dan Majlis serta warga Kementerian, ia akan menjadi tunjang kejayaan dan kemakmuran bersama.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Putrajaya
1 September 2021

Jata

KENYATAAN MEDIA

KPPK SERU LEBIH RAMAI PEKEBUN KECIL PERSENDIRIAN SERTAI KOPERASI PENANAM SAWIT MAMPAN

1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin hari ini merasmikan program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia di Serian, Sarawak anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Pada majlis ini, Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Daerah Serian Berhad menerima cek sumbangan sebanyak RM73,950 untuk Skim Bantuan Pembelian Jentera selain seramai 30 wakil pekebun kecil persendirian (PKP) memperoleh sumbangan insentif berupa kelengkapan perlindungan diri (PPE).

2. Sehingga 31 Oktober 2021, terdapat seramai 40,429 PKP berlesen di bawah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan tanaman sawit seluas 232,765.18 hektar di Sarawak. Sebanyak 27,633 daripada PKP ini dengan keluasan tanaman 158,522.34 hektar atau 68 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit PKP berlesen, telah memiliki Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di bawah 32 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) negeri ini.

3. Jumlah itu termasuk sebanyak 559 PKP yang merupakan ahli SPOC Q6 (Tebedu) dan yang berdaftar di bawah SPOC Q5 (Serian) seramai 861 orang. Bagi meringankan beban pekebun kecil untuk memperoleh MSPO, insentif sebanyak RM25 juta disediakan oleh Kerajaan pada tahun ini. Insentif ini merangkumi pembiayaan kos latihan, pengauditan, PPE, papan tanda kebun dan rak penyimpanan bahan kimia.

4. Sebanyak 69 KPSM ditubuhkan termasuk di Sabah (27) dan Sarawak (18). Data MPOB merekodkan, daripada 40,429 PKP berlesen di Sarawak, hanyak 3,476 pekebun kecil sahaja yang menjadi ahli KPSM. YB Timbalan Menteri menyeru supaya lebih ramai pekebun kecil menyertai KPSM Daerah Serian Berhad berikutan hanya 543 pekebun kecil yang menjadi ahli daripada seramai 2,086 PKP yang ada.

5. KPPK berharap lebih ramai PKP menyertai KPSM yang dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka dengan lebih tersusun. Para pekebun kecil diminta berhubung dengan Pegawai TUNAS MPOB untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan KPSM.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Serian, Sarawak
10 Disember 2022