KOPERASI KLUSTER KOKO TINGKATKAN PENDAPATAN PEKEBUN KECIL DAN USAHAWAN
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali hari ini menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Lanjutan Teknologi Koko Pasca Tuai anjuran Lembaga Koko Malaysia (LKM) pada 21 - 22 Ogos 2020 di Hotel Perkasa Mount Kinabalu, Ranau, Sabah yang dihadiri 100 orang pekebun kecil koko dari seluruh negeri ini.
2. Kursus ini bertujuan meningkatkan pengeluaran dan kualiti biji koko selaras dengan matlamat untuk melahirkan lebih ramai pengeluar biji koko kering hasil keluaran setempat (single origin) dan berperisa unik (fine flavour) yang menawarkan nilai pasaran sehingga dua kali ganda lebih tinggi daripada harga semasa. Penekanan ke atas kedua-dua jenis pengeluaran ini akan memastikan keunikan aroma biji koko kering mengikut kawasan terpelihara, di samping meningkatkan pendapatan pekebun kecil terbabit.
3. Sepanjang tahun ini, LKM memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keluasan tanaman koko, pengeluaran biji koko kering dan pendapatan pekebun kecil melalui Program Tanaman Baharu Koko Kluster, Program Peningkatan Hasil Koko Kluster dan Program Peningkatan Produktiviti, melibatkan kawasan tanaman koko di Sabah seluas 2,051 hektar.
4. Program Pembangunan Rantaian Kluster Koko merupakan salah satu projek pembangunan LKM yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dengan peruntukan sebanyak RM52 juta. Program kluster koko ini berkonsepkan pembangunan rantaian nilai koko dari kebun ke hidangan (Farm to Table) iaitu coklat dengan penglibatan komuniti atau kluster terpilih secara terbimbing. Melalui usaha ini, LKM akan membangunkan rantaian nilai di sepanjang peringkat pengeluaran koko merangkumi huluan, pertengahan dan hiliran.
5. Kluster koko juga berpotensi menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara kerana ia mengeluarkan hasil keluaran setempat sehingga ke produk terakhir sebelum dipasarkan. Program ini akan meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil serta usahawan koko. Tiga kluster akan dibangunkan di bawah program ini iaitu Ranau Highland Cocoa Cluster (RHCC) di Sabah, SARA Cocoa Cluster di Sarawak dan Peninsular Cocoa Belt.
6. RHCC melibatkan 1,015 orang pekebun kecil koko sekitar Ranau yang membekalkan biji koko ke kompleks kluster koko yang akan dibina di Kg. Napong, Ranau. Kompleks ini akan memproses biji koko sehingga terhasilnya produk coklat dan dijenamakan sebagai Highland Single Origin Cocoa. Aktiviti penjualan hasil koko dan coklat akan dipertanggungjawabkan kepada Koperasi Kluster Koko Sabah Berhad yang dianggotai oleh 148 orang pekebun kecil koko, usahawan koko dan pegawai LKM.
7. YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin turut menyerahkan Bantuan Prihatin Koko 2020 berbentuk insentif input pertanian kepada 2,725 orang pekebun kecil koko di negeri itu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE) PRIHATIN 2020 sebanyak RM1.6 juta.
8. Pemberian bantuan input pertanian ini bertujuan untuk membantu pekebun kecil koko yang terkesan daripada penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam hal ini, Kerajaan telah memperuntukkan RM2.69 juta di bawah PRE PRIHATIN 2020 bagi 3,134 hektar dalam bentuk bantuan input pertanian kepada 4,566 orang pekebun kecil koko di seluruh negara.
Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi 22 Ogos 2020
SIARAN MEDIA KEMENTERIAN KOMITED PERTINGKAT KESEDARAN DAN SOKONGAN AWAM TERHADAP INDUSTRI KOKO NEGARA
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin pada hari ini telah menyempurnakan program Lawatan Kerja ke Muzium Coklat (Choclate Museum) milik DR Group Holdings Sdn. Bhd. (DR Group) yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.
2. Muzium tersebut dilengkapi dengan kemudahan yang terkini. Chocolate Labs, menyediakan peluang kepada pengunjung dan orang awam merasai pengalaman untuk membuat coklat. Projek ini turut memanfaatkan kerjasama DR Group dengan Lembaga Koko Malaysia (LKM) dalam menjalankan kursus satelit asas pembangunan usahawan coklat buatan tangan terutamanya untuk warga negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Perak.
3. DR Group bersama LKM akan melaksanakan tiga (3) projek strategik usahasama dalam masa terdekat untuk memacu pembangunan industri koko dan coklat di Malaysia. Melalui perjanjian persefahaman antara kedua-dua belah pihak yang telah dimeterai pada 22 Jun 2022, DR Group dan LKM telah bersetuju untuk bekerjasama dalam beberapa perkara termasuk pembuatan blok coklat dengan mengoptimakan penggunaan mesin milik LKM untuk menyokong Koperasi Kluster Koko di Semenanjung Malaysia. Selain itu, kerjasama ini dapat menyediakan bekalan blok coklat yang berdaya maju untuk menyokong usahawan-usahawan coklat bimbingan LKM di masa hadapan.
4. Muzium coklat yang berkonsepkan 3E iaitu ‘Pendidikan’ (Education), Pengalaman’ (Experience) dan ‘Keseronokan Membeli Belah’ (Enjoyable Shopping) menyediakan paparan menarik yang bersifat interaktif dan menyeronokkan untuk memberi pengalaman pembelajaran terbaik untuk semua peringkat umur tentang koko dan coklat. Kini, Muzium Coklat menerima lebih dari 2 juta pengunjung atau pelawat sejak pembukaan muzium semenjak tahun 2013.
5. Kementerian menyokong inisiatif yang dilaksanakan oleh LKM bersama DR Group dalam melaksanakan projek strategik bagi pembangunan industri koko. Industri koko mempunyai potensi untuk berkembang dan menjana pendapatan ekonomi negara. Kementerian juga sentiasa komited untuk membantu dan melahirkan usahawan-usahawan industri koko melalui kerjasama seumpama ini, menerusi Program Pembangunan Usahawan Coklat dan Program Promosi Koko dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 23 September 2022
PRESTASI EKSPORT KAYU DAN PRODUK PERKAYUAN YANG BAIK DIUNJURKAN SEHINGGA AKHIR 2020
1. Industri perkayuan merupakan salah satu penyumbang utama pendapatan eksport negara yang juga subsektor ketiga terpenting selepas sawit dan getah. Justeru untuk makluman, pasaran eksport perkayuan Malaysia bagi tempoh Januari-September 2020 masih menunjukkan prestasi yang baik walaupun di dalam suasana pandemik COVID-19 dengan mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 4 peratus. Prestasi eksport bagi tempoh ini telah mencatatkan nilai RM15.7 bilion berbanding RM16.4 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019. Peratus penurunan ini adalah rendah dan pasaran kini berada pada fasa pemulihan.
2. Dari segi negara pasaran eksport, pasaran utama kayu dan produk kayu Malaysia yang menunjukan peningkatan positif ialah Amerika Syarikat (AS) dan China dengan kedua-dua negara ini mewakili 43 peratus pasaran eksport Malaysia. Bagi tempoh Januari-September 2020, pasaran AS telah meningkatkan pembelian sebanyak 53 peratus kepada RM5.1 bilion.
3. Perang perdagangan antara AS dan China memberi kesan dengan peningkatan permintaan daripada AS terhadap produk perabot negara. Manakala China mencatatkan kenaikan nilai eksport sebanyak 31 peratus kepada RM1.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019 disebabkan republik berkenaan telah memasuki fasa pemulihan berikutan penularan pandemik COVID-19.
4. Walau bagaimanapun, pasaran kedua terbesar negara iaitu Jepun telah mengalami penurunan sebanyak 22 peratus kepada RM2 bilion. Situasi ini didorong oleh penurunan eksport papan lapis ke negara berkenaan. Manakala pasaran keempat dan kelima terbesar iaitu Australia dan Singapura, masing-masing mencatatkan jumlah eksport sebanyak RM633 juta dan RM574 juta iaitu penurunan sebanyak 17 peratus dan 29 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
5. Dalam pada itu, prestasi eksport bagi produk utama bernilai tambah tinggi seperti perabot kayu, tanggam dan kayu kumai secara keseluruhannya merekodkan peningkatan 8 peratus dengan jumlah eksport sebanyak RM8.4 bilion berbanding RM7.8 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun lalu. Manakala prestasi eksport produk primer utama seperti papan lapis dan kayu gergaji secara keseluruhannya merekodkan penurunan 24 peratus dengan jumlah eksport sebanyak RM3.92 bilion berbanding RM5.18 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.
6. Secara keseluruhannya, walaupun negara dan pasaran global sedang berdepan dengan situasi yang sukar dan mencabar akibat pandemik COVID-19, prestasi eksport semasa ini menunjukkan industri kayu negara berada pada fasa pemulihan dan masih berdaya saing. Kementerian berkeyakinan prestasi perdagangan ini akan kembali positif pada hujung tahun ini. Aktiviti perdagangan juga diharapkan dapat dijalankan dengan lebih rancak pada tahun hadapan sebaik pandemik ini berakhir bagi meningkatkan semula prestasi eksport produk perkayuan negara.
YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Putrajaya 24 November 2020
KIT DIAGNOSTIK KOKOCORRECTTM DAN KOKOSELECTTM BANTU HASILKAN BAKA, AGRONOMI KOKO BERKUALITI TINGGI
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali hari ini menyempurnakan prapelancaran dua hasil penyelidikan bioteknologi Lembaga Koko Malaysia (LKM) iaitu Kit Diagnostik KokoCorrectTM dan KokoSelectTM di Pusat Penyelidikan Bioteknologi Koko, Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Sabah.
2. Kedua-dua kit diagnostik ini dibangunkan untuk membantu pembiak baka koko mengenal pasti baka dan ciri agronomi pokok seperti hasil dan lemak koko yang tinggi selain tahan serangan perosak serta penyakit pada peringkat anak pokok. Ini akan mempercepatkan dan meningkatkan kecekapan pemilihan bahan tanaman koko.
3. YB Menteri juga melawat Pusat Penyelidikan Bioteknologi Koko, LKM KKIP yang turut dikenali sebagai Pusat Kecemerlangan (CoE) Genom Koko bagi memantau pencapaian projek-projek penyelidikan LKM khususnya dalam bidang bioteknologi.
4. Penyelidikan bioteknologi koko oleh LKM meliputi tiga program utama iaitu agro, makanan serta farmaseutikal dan industri. Kajian bioteknologi koko ini merangkumi beberapa projek seperti Cocoa Genome, Genotyping of Cocoa Clones, kultur tisu, serta kawalan penyakit dan perosak koko secara biologi.
5. Antara produk akhir hasil penyelidikan adalah coklat probiotik, coklat antioksidan serta ekstrak antibakteria dan agen antikanser dari daun koko.
6. Melalui semua kajian serta dapatan hasil pembangunan dan penyelidikan bioteknologi ini, kementerian berharap akan dapat membantu pembiak baka koko seterusnya para pekebun untuk meningkatkan hasil tanaman dalam usaha merancakkan ekonomi selain meningkatkan pendapatan mereka.
YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Kota Kinabalu, Sabah 24 September 2020