ARKIB MEDIA

 Jata

KENYATAAN MEDIA

PEMBANGUNAN INDUSTRI BULUH SEBAGAI PROGRAM
'GAME CHANGER' DALAM RMK-12


1. Malaysia akan menyambut Hari Buluh Sedunia 2020 (WBD2020) pada 4 Oktober ini yang akan disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali di Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC), Kuala Berang, Terengganu. WBD2020 disambut pada hari ini di peringkat antarabangsa.

2. Sempena sambutan peringkat kebangsaan itu, satu memorandum perjanjian (MoA) di antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan TTITC akan dimeterai untuk Pembangunan Model Ladang Buluh di Terengganu yang akan dijadikan sebagai pusat rujukan model ladang buluh di Malaysia. Selain itu, pelbagai program telah dirancang sempena sambutan berkenaan iaitu:-
                              i.   Kursus Pembuatan Gazebo Buluh (30 September hingga 5 Oktober 2020)
                             ii.   Majlis sambutan WBD 2020 Peringkat Malaysia (4 Oktober 2020)
                             iii.   3 Sesi Bamboo Talk (4 Oktober 2020)
                             iv.  Pameran dan demonstrasi produk berasaskan buluh (4 Oktober 2020)
                             v.   Seminar Potensi Buluh di Kota Bharu, Kelantan (24 Oktober 2020)

3. Buluh memiliki tempoh matang yang singkat iaitu sekitar tiga sehingga lima tahun sahaja berbanding tempoh matang pokok kayu yang memerlukan sekurang-kurangnya 15 tahun. Jika pembangunan ladang buluh dapat diusahakan dan diuruskan secara mampan, ia mampu menjadi salah satu sumber pendapatan baharu kepada pertumbuhan ekonomi negara. Dalam hal ini, MTIB telah menyenaraikan buluh sebagai salah satu spesies di dalam Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH).

4. Malaysia mempunyai hutan hujan tropika yang kaya dengan flora dan fauna termasuk spesies buluh. Dianggarkan terdapat sebanyak 58 juta rumpun buluh meliputi taburan kawasan seluas kira-kira 329,000 hektar dengan komposisi 45 peratus di Sarawak, 31 peratus di Semenanjung dan 24 peratus di Sabah. Negara kita mempunyai lebih kurang 59 spesies dan 10 genera buluh, dengan 45 daripadanya merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan.

5. YB Dato' Dr. Mohd Khairuddin akan terus memberi penekanan ke atas pembangunan industri buluh sebagai program 'game changer' dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) termasuk Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2021-2025 yang sedang dibangunkan dengan mengambil kira pandangan daripada semua pihak.

6. Kementerian melalui MTIB akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan terutama industri dalam pembangunan buluh secara komersial. Konsep perkongsian bijak akan diberi perhatian dan bersedia untuk memberi khidmat nasihat kepada pihak yang berminat dalam industri.

7. Dalam hal ini, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan oleh kementerian bagi merancakkan pembangunan industri di Malaysia seperti berikut:

i. Menyenaraikan spesies buluh di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) dengan menawarkan pinjaman mudah kepada pihak industri yang berminat dan  ianya merangkumi semua spesies buluh yang boleh dibangunkan melalui perladangan.
ii. Membangunkan piawaian antarabangsa berkaitan buluh dan produk buluh.
iii. Menjalankan kerjasama R&D dengan institusi penyelidikan serta beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam pembangunan produk berasaskan buluh seperti venir, papan laminasi dan arang.
iv. Menjalankan promosi seperti penganjuran Hari Buluh Sedunia, seminar dan latihan yang melibatkan peserta tempatan dan luar negara.
v. Membina infrastruktur dan bangunan ikonik berasaskan buluh dengan kerjasama Kerajaan dan swasta seperti Masjid Buluh di Kuala Kangsar, Perak dan Gua Musang, Kelantan, Bamboo Playhouse di Lake Garden, Kuala Lumpur serta Bamboo Village di Hulu Langat, Selangor.
vi. Membangunkan sebuah replika bangunan buluh ikonik di Kuala Nerus, Terengganu yang dijangka siap Jun 2021 termasuk Manual Aplikasi Buluh Dalam Industri Pembinaan untuk pihak industri.
vii. Merancang dan membina Pusat Tapak Semaian Buluh serta makmal tisu kultur buluh di Lahat, Perak.
viii. Merancang dan melaksanakan Projek Model Ladang Buluh serta Plot Kajian & Penyelidikan Buluh di Terengganu, bermula pada 2021 – 2025.
ix. Menjalankan program roadshow di negeri-negeri terpilih untuk mempromosikan perladangan dan industri buluh sebagai salah satu sumber pendapatan baru.
x. Meneruskan program-program pembangunan industri buluh dalam Rancangan Malaysia Kedua belas (RMKe-12).

 

YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI 
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Putrajaya
18 September 2020

 

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA 

BULUH SEBAGAI PEMBAWA PERUBAHAN SIGNIFIKAN KEPADA  INDUSTRI PERKAYUAN NEGARA


 

  1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Penubuhan Bamboo One-Stop Centre di antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) serta pihak swasta iaitu Tadom Hill Resort Sdn. Bhd. Bamboo One-Stop Centre ini akan dibangunkan di Tadom Hill Resort Sdn. Bhd. terletak di Banting, Selangor yang akan berperanan sebagai pusat rujukan setempat industri buluh bagi menggalakkan pembangunan industri buluh negara. 

  1. Tadom Hill Resort merupakan sebuah pusat penginapan ekopelancongan berkeluasan 45 ekar bertemakan taman buluh yang unik serta dikelilingi kampung Orang Asal dari Suku Temuan. Lokasinya yang strategik merupakan satu kelebihan dan kemudahan bagi menyambut kedatangan pengunjung dalam dan luar negara. Selain ekopelancongan, Tadom Hill juga telah mengambil langkah proaktif menghasilkan produk buluh komersial seperti cuka dan bio-arang buluh (bamboo bio-char). Usaha ini adalah selari dengan hasrat Kerajaan dalam usaha mentransformasi industri buluh bagi peralihan struktur industri kecil-kecilan kepada industri hiliran yang mengeluarkan produk buluh yang bernilai tambah tinggi dan lestari, sebagai antara fokus dalam RMK-12.

  1. Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 70 spesies buluh dimana 45 daripada spesies ini merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semulajadi di kawasan hutan. Sehingga kini, terdapat seramai 577 pengusaha yang terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan, arang buluh serta kraftangan.

  1. Bamboo One-Stop Centre yang akan dibina ini bakal menjadi pusat maklumat dan rujukan kepada lebih ramai usahawan buluh Malaysia di sepanjang rantaian nilai industri buluh. Di samping itu, pusat rujukan ini akan berperanan sebagai pusat informasi setempat termasuk promosi, penyelidikan dan pembangunan berkaitan industri buluh di Malaysia.

  1. Kementerian melalui MTIB dan MTC akan meneruskan usaha memperkasa pembangunan industri buluh Negara dengan pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif. Kementerian yakin dengan inisiatif seperti program penyelidikan, pembangunan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya mengoptimakan penggunaan sumber bahan mentah ini sebagai sumber alternatif yang bernilai tambah dalam industri perkayuan dan seterusnya menjadi salah satu bidang agrikomoditi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat dan seterusnya menjana ekonomi negara.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

19 Februari 2022

 

KENYATAAN MEDIA

MALAYSIA DAN INDIA PERKUKUHKAN KERJASAMA PEMINDAHAN TEKNOLOGI INDUSTRI MINYAK SAWIT

 

1. Industri sawit Malaysia terus mendapat perhatian antarabangsa apabila negeri Telangana di India menyatakan hasrat untuk memohon bantuan kepakaran negara ini dalam bentuk pemindahan teknologi berkaitan industri sawit yang merangkumi aktiviti pengurusan tanaman sawit, pemprosesan minyak sawit, dan ekosistem industri tersebut.

2. Perkara ini telah disampaikan melalui telesidang antara Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali dengan Menteri Hal Ehwal Pertanian, Pengguna dan Sivil Telengana, Singireddy Niranjan Reddy yang diadakan semalam.

3. India merupakan pengguna minyak sawit terbesar dunia yang memerlukan 25 juta tan minyak sayuran dan lelemak untuk kegunaan domestik setahun, berhasrat untuk mengimport minyak sawit serta hasil komoditi dari negara ini. Peluang ini akan digunakan oleh Malaysia untuk meningkatkan pasaran minyak sawit Malaysia ke India dengan lebih meluas melalui promosi dan kerjasama yang boleh dilaksanakan bersama kerajaan negeri Telengana.

4. Selain daripada industri sawit, pihak kerajaan negeri Telengana juga berminat untuk memulakan penanaman buluh memandangkan Malaysia mempunyai pelbagai jenis buluh terbaik di dunia. KPPK amat mengalu-alukan hasrat tersebut dan bersedia untuk bekerjasama dalam berkongsi kepakaran selain teknologi untuk kepentingan bersama.

5. Sebagai cadangan balas, KPPK telah menyampaikan hasrat dan harapan supaya India melalui Telangana dapat mempromosikan minyak sawit negara ini secara lebih meluas sebagai salah satu minyak sayuran yang digunakan dalam makanan di India. Selain itu, pihak kementerian juga memaklumkan keinginan untuk mendapatkan bekalan kayu cendana yang merupakan kayu bermutu tinggi di India bagi pembuatan minyak wangi.

6. Bagi menzahirkan komitmen, kedua-dua pihak bersedia untuk bekerjasama khususnya bagi tujuan pemindahan teknologi dalam bidang berkaitan yang akan dikenal pasti dan diperhalusi pada peringkat pegawai. Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengadakan lawatan teknikal bagi mengukuhkan kerjasama seperti mana yang dihasratkan selepas wabak COVID-19 berakhir.

7. KPPK sentiasa beriltizam untuk memperluaskan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha memperkasa dan menjaga kepentingan industri komoditi negara.

 

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
19 Jun 2020

 

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

KERAJAAN MALAYSIA KOMITED PASTIKAN TOP GLOVE SENTIASA MEMATUHI PERATURAN ILO BERKAITAN BURUH PAKSA

1. Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil perhatian tindakan terkini Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) yang dilaporkan mengeluarkan arahan larangan import terhadap semua sarung tangan pakai buang dari kilang Top Glove di Malaysia.

2. Dakwaan yang dibangkitkan oleh CBP itu adalah rentetan dakwaan sebelumnya yang telah dan sedang diambil tindakan penyelesaian oleh Top Glove. KPPK dimaklumkan pelbagai langkah dan tindakan telah diambil oleh pengurusan Top Glove untuk memastikan syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu mematuhi segala peraturan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan penyalahgunaan tenaga kerja.

3. Antara langkah yang diambil oleh syarikat berkenaan ialah mengemukakan laporan yang disediakan oleh perunding antarabangsa dari United Kingdom iaitu Impactt Limited (Impactt) kepada CBP pada 16 Mac 2021 untuk dinilai. Di samping itu, syarikat telah mengambil semua langkah yang diperlukan oleh pihak berkuasa AS untuk memastikan semua masalah dapat ditangani dengan segera. Sebelum itu, Impactt menerusi kenyataan pada 9 Mac 2021 mengesahkan, bahawa tidak ada buruh paksa secara bersistem dalam operasi syarikat Top Glove berdasarkan hasil penilaian yang dijalankan.

4. KPPK turut dimaklumkan pada tahun lalu, syarikat berkenaan telah membelanjakan RM136 juta bagi mengurangkan bebanan hutang pekerja migran yang dikenakan oleh agensi pekerjaan. Langkah ini merupakan sebahagian daripada dasar zero cost recruitment dan social compliance audit yang dilaksanakan oleh syarikat sejak 2019.

5. Amalan buruh yang baik sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Malaysia Prihatin termasuk oleh KPPK di semua sektor agrikomoditi kerana Malaysia sememangnya mendukung amalan berkenaan demi kebajikan semua pihak menerusi pemerkasaan setiap undang-undang melibatkan kebajikan pekerja, sekali gus menyatakan pendirian tegas Malaysia menentang amalan buruh paksa.

6. Komitmen Malaysia itu dibuktikan melalui Kajian Mengenai Situasi Buruh di Sektor Perladangan yang siap tahun lalu dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perangkaan dan wakil ILO selama dua tahun bermula pada 2018.

7. KPPK melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) dengan kerjasama Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi berkaitan sentiasa mengawasi, memantau dan memperingatkan pihak industri untuk mengambil berat kebajikan pekerja di sektor agrikomoditi serta mematuhi undang-undang demi kemaslahatan bersama.

YB DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
2 April 2021


KENYATAAN MEDIA
KERAJAAN PERLUASKAN PENANAMAN KENAF SECARA INTEGRASI DI PERAK


1. Kerajaan kini giat mempromosikan penanaman kenaf di seluruh negara dan Perak merupakan salah satu negeri yang berpotensi serta berminat untuk memperluaskan tanaman komoditi berkenaan. Program penanaman kenaf di negeri ini adalah bertujuan untuk mempromosikan komoditi itu sebagai sumber ekonomi dan pendapatan baharu kepada penduduk setempat dengan memberikan tumpuan kepada kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan.

2. Bagi tahun ini, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mensasarkan tanaman kenaf di Perak seluas 80 hektar. LKTN telah mengenal pasti dua kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai projek perintis tanaman kenaf iaitu di Lambor, Perak Tengah dan Slim River, Muallim.

3. Usaha ini adalah antara komitmen Menteri Perusahaan Perladangan dan
Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali untuk mempopularkan kenaf sebagai komoditi masa hadapan apabila hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Penanaman Kenaf di Kg. Balun, Slim River diikuti Majlis Pelancaran Penuaian Kenaf di Kg. Lambor, Perak Tengah, Perak esok.

4. Projek perintis tanaman kenaf di Slim River, Muallim dilaksanakan dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Pondok Muallim melibatkan kawasan kelompok seluas 4 hektar. Potensi tanaman kenaf di sekitar kawasan projek perintis adalah seluas 20 hektar.

5. Sementara itu, Ladang Rakyat Kenaf Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) Lambor adalah projek perintis usahasama antara PPPNP dengan LKTN di tanah milik perbadanan itu seluas 563 hektar. Dianggarkan tanaman kenaf seluas 140 hektar dapat ditanam dalam satu-satu masa. Namun sasaran awal ialah penanaman di Lambor seluas 60 hektar secara berperingkat. Ia melibatkan 30
1

pekebun kecil dengan hasil keseluruhan projek adalah kira-kira sebanyak RM240,000 semusim. Sehingga 15 April 2021, seluas 5 hektar tanaman kenaf telah ditanam.

6. Konsep tanaman yang dijalankan adalah secara integrasi tanaman kelapa sawit dan kenaf. Kesesuaian umur pokok kelapa sawit adalah 2 tahun ke bawah. Nisbah keluasan tanaman kelapa sawit berbanding tanaman kenaf adalah 4:1. Pemilihan peserta bagi projek ini adalah dalam kalangan penduduk setempat bawah kategori penerima bantuan zakat (asnaf) Kerajaan Negeri Perak.

7. Kerjasama strategik antara LKTN dan PPPNP adalah untuk membangunkan industri kenaf di Perak di samping mempromosikan kenaf kepada masyarakat awam sebagai sumber ekonomi dan pendapatan boleh jana melalui industri kenaf. Pendekatan kerjasama ini juga merupakan salah satu strategi LKTN untuk memperkembangkan kawasan penanaman kenaf dan juga pembangunan industri hiliran kenaf ke seluruh Malaysia.

8. Menjadi harapan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi supaya usaha memperluaskan tanaman kenaf ini sebagai sumber ekonomi dan pendapatan yang baharu kepada penduduk setempat berterusan dengan galakan dan sokongan oleh LKTN sebagai agensi yang bertanggungjawab ke atas pembangunan komoditi itu.


DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Slim River, Perak
21 April 2021