KENYATAAN MEDIA MIACES BUKA RUANG PEMAIN INDUSTRI AGRIKOMODITI TEMPATAN JANA PENDAPATAN KEPADA NEGARA __________________________________________________________
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini telah menghadiri Majlis Berbuka Puasa sempena Malaysia International Agricommodity & Summit 2022 (MIACES’22) bertempat di Connexion Conference & Event Centre, The Vertical, Bangsar South City, Kuala Lumpur.
2. Majlis ini bertujuan mengumpulkan semua agensi dan majlis di bawah Kementerian yang terlibat dengan program MIACES’22 selain menjalin rangkaian kerjasama antara peserta industri dalam memperkembang eksport produk komoditi negara ke pasaran baharu.
3. Menerusi penganjuran MIACES’22 yang bakal berlangsung pada 26 hingga 28 Julai 2022, Kementerian berhasrat untuk menjadikan ia sebagai platform mempromosi produk komoditi selain menaik taraf produk yang telah sedia ada melalui pelbagai kajian teknologi.
4. MIACES’22 setakat ini telah menerima pengesahan kehadiran lima (5) Menteri dari Bangladesh, Indonesia, Sri Lanka, India, dan Iran hadir serta dijangka beberapa negara lain juga akan hadir. Kehadiran pemimpin tertinggi negaranegara luar bakal membuka ruang perbincangan komprehensif dalam memperkasakan industri agrokomoditi Malaysia. Penganjuran MIACES’22 ini akan membuka ruang kepada pemain industri tempatan untuk menjana pendapatan dan seterusnya meningkatkan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
5. Sejajar dengan pelaksanaan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 di bawah Kementerian yang berpaksikan Rancangan Malaysia Ke-12, MIACES’22 merupakan antara inisiatif memastikan sektor agrikomoditi negara terus berkembang dalam negara serta di peringkat antarabangsa.
6. Kementerian yakin jumlah eksport agrikomoditi Malaysia akan terus mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan dalam proses negara beralih daripada fasa pandemik ke fasa endemik COVID-19. Sehingga November 2021, pendapatan eksport agrikomoditi dianggarkan RM189.8 bilion iaitu meningkat 41.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2020 yang mana perubahan ini didorong oleh peningkatan import di negara pasaran utama selain nilai komoditi yang tinggi khususnya membabitkan produk berasaskan sawit.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 14 APRIL 2022
KEBENARAN OPERASI SEKTOR PERLADANGAN DAN KOMODITI SEPANJANG PKP, DARURAT JAMINAN PEMULIHAN EKONOMI SERTA BEKALAN BARANGAN KEPERLUAN
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam melaksanakan keputusan Kerajaan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah mulai 13 hingga 26 Januari 2021, akan memantau seterusnya memastikan semua aktiviti sektor perladangan dan komoditi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
2. KPPK juga menyambut baik perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga tarikh yang lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung penularan pandemik COVID-19.
3. Kerajaan juga telah membenarkan lima sektor ekonomi perlu termasuk perladangan dan komoditi beroperasi dalam tempoh PKP tersebut. Ia merangkumi semua aktiviti pengeluaran agrikomoditi iaitu sawit, getah, kayu-kayan termasuk sektor perabot, koko, lada, kenaf dan biodiesel serta rantaiannya bagi ladang dan pekebun kecil, dagangan, input pertanian, kilang pemprosesan di samping pensijilan. Aktiviti-aktiviti ini juga dibenarkan untuk terus beroperasi dalam tempoh darurat.
4. Keputusan Kerajaan itu adalah amat wajar bagi memastikan sumber pendapatan negara khususnya pekebun kecil agrikomoditi tidak terjejas, menjamin proses pemulihan semula ekonomi negara serta memastikan rakyat terus mendapat akses barangan keperluan sepanjang tempoh berkenaan.
5. Walau bagaimanapun semua peladang, pengilang dan syarikat yang beroperasi sepanjang tempoh PKP dan darurat perlu mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan yang boleh dirujuk di laman web KPPK demi memastikan keselamatan rakyat adalah terjamin. Sebarang pertanyaan berhubung SOP tersebut boleh dikemukakan kepada KPPK melalui talian hotline 03-88803498 pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang atau emel hotlinempic [AT] mpic [DOT] gov [DOT] my.
6. Dengan adanya pelaksanaan langkah-langkah untuk mengimbangi kesejahteraan dan kesihatan rakyat serta pemulihan ekonomi, KPPK berharap semua pihak dalam sektor ini yang dibenarkan beroperasi, dapat menyesuaikan diri dengan amalan kebiasaan baharu terutamanya dalam mematuhi penjarakan sosial, kebersihan diri dan tempat kerja serta garis panduan yang ditetapkan dari semasa ke semasa.
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 14 Januari 2021
KPPK SUMBANG 230 TILAM BERASASKAN KENAF BERNILAI RM40,000 DALAM MISI BANTUAN PRIHATIN BANJIR DI TEMERLOH
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali hari ini meneruskan Misi Bantuan PrihatinMangsa Banjir Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) di kawasan yang antara terjejas teruk iaitu Temerloh. Berdasarkan Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), data sehingga jam 5 petang hari ini menunjukkan, sebanyak 117 keluarga dengan 392 mangsa masih berada di sembilan Pusat Pemindahaan Sementara (PPS) di sekitar daerah berkenaan daripada jumlah 1,775 keluarga dan 6,148 mangsa di seluruh Pahang.
2. Sumbangan pada misi kali ini yang diketuai YB Menteri sendiri, membabitkan sumbangan sebanyak 230 unit tilam termasuk yang berasaskan kenaf bernilai hampir RM40,000 selain barangan keperluan lain kepada 230 keluarga yang terjejas di Kampung Mempateh, Lanchang di Temerloh, Pahang. Tilam kenaf berkenaan adalah sumbangan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dalam usaha mempromosikan barangan kenaf sebagai salah satu produk komoditi yang mempunyai masa hadapan yang baik. Kesemua sumbangan disampaikan oleh YB Menteri pada majlis ringkas di PASTI Darul Ansar, Lanchang. Hadir sama ialah Ketua Pengarah LKTN, Idris Mohd Salleh dan wakil Pegawai Daerah Temerloh.
3. KPPK dan agensi-agensi di bawahnya termasuk Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), LKTN, Lembaga Getah Malaysia (LGM), Majlis Getah Malaysia (MRC), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk bantuan kepada mangsa bah besar kali ini yang sebahagian besar mereka, adalah dalam kalangan petani dan pekebun kecil getah serta sawit. Sebanyak empat misi sudah disempurnakan sebelum ini iaitu di Raub, Chenor, Kemaman di Terengganu dan Kluang di Johor sepanjang minggu lalu.
4. Misi kemanusiaan KPPK ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha Kementerian membantu rakyat yang ketika ini ditimpa musibah di negeri-negeri yang terjejas. Kementerian turut merancang untuk melancarkan misi bantuan pasca banjir apabila semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke kediaman masingmasing sebaik sahaja dibenarkan oleh pihak berkuasa.
5. Marilah sama-sama kita berdoa supaya Allah SWT segera mengakhirkan segala musibah dan bencana yang sedang dihadapi oleh negara kita termasuk pandemik COVID-19 agar segala perancangan untuk meningkatkan dan memajukan ekonomi demi kesejahteraan rakya dapat dilaksanakan dengan baik.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Temerloh 15 Januari 2021
SUMBANGAN SARUNG TANGAN PERUBATAN BAGI BANTUAN KEMANUSIAAN COVID-19 DARIPADA SMART GLOVE CORPORATION SDN BHD DAN MAJLIS PROMOSI EKSPORT GETAH MALAYSIA (MREPC)
Selaku Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) dan Syarikat Smart Glove Corporation Sdn. Bhd. masing-masing menyumbang sebanyak 500,000 sarung tangan getah dan menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 1 juta yang disalurkan kepada pihak Kementerian. Pihak Kementerian telah mengenal pasti khasnya petugas-petugas di barisan hadapan (FrontLiners) untuk diagihkan bekalan ini bagi kegunaan mereka.
Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia merupakan pengeluar sarung tangan getah nombor satu dunia. Malaysia juga merupakan pembekal utama sarung tangan getah kepada sektor perubatan yang kini berhadapan dengan keadaan yang kritikal iaitu COVID-19.Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) adalah salah satu agensi di Kementerian ini yang bertanggungjawab mempromosikan produk getah domestik terutama sarung tangan, kateter, seismic bearing dan sebagainya ke luar negara.
MREPC bekerjasama erat dengan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) di dalam memastikan sarung tangan standard Malaysia terus menjadi pilihan utama dunia.
MARGMA menganggarkan keperluan global sarung tangan getah adalah sebanyak 330 bilion unit. Eksport Malaysia pada tahun ini sahaja dijangkakan sebanyak 225 bilion unit setahun, yang bernilai lebih RM20 bilion berbanding dengan 170 bilion unit tahun lepas yang menjana pendapatan eksport sebanyak RM17.3 bilion. Industri sarung tangan getah negara kita amat penting kerana eksport dari Malaysia memenuhi 65% daripada permintaan global.
Di atas kepentingan ini, Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah bersetuju menyenaraikan kilang peranti perubatan dan pembedahan terutamanya pembuatan sarung tangan untuk terus beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Selain memberi tumpuan kepada sektor getah, saya juga ingin menasihatkan semua pengusaha getah yang beroperasi dan mendapat kelonggaran semasa musim wabak COVID-19 ini, supaya mereka sentiasa patuh kepada SOP yang telah ditetapkan. Ini bagi membolehkan mereka beroperasi tanpa menyalahi undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan.
Baru-baru ini kita telah menerima laporan tentang 2 kilang sarung tangan getah perubatan yang dikenalpasti telah melanggar peraturan yang menyebabkan pencemaran alam sekitar di negara kita. Kita tidak mahu perkara ini berulang dan saya memohon kepada semua pengusaha industri getah supaya patuh kepada semua arahan yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan dan Kementerian.
YB TUAN WILLIE MONGIN Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi 16 April 20
KPPK CADANG TIGA PROJEK UTAMA SEKTOR AGRIKOMODITI DI KEDAH SEMPENA LAWATAN KERJA DAN PERTEMUAN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI BERSAMA MENTERI BESAR KEDAH
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali dan delegasi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kedah YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi Md Nor di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman dalam lawatan kerja dua hari ke negeri ini mulai 15 Jun 2020.
2. Pertemuan antara pemimpin serta pegawai Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri ini adalah bagi membincangkan isu dan cabaran industri komoditi negara dan peranan masing-masing bagi menjayakan agenda pembangunan industri tersebut. Perbincangan juga memberi tumpuan kepada hasrat KPPK untuk membangunkan industri komoditi di negeri ini melalui cadangan tiga projek utama iaitu pembangunan ladang komuniti getah, pembangunan ladang buluh di kawasan terosot dan peluasan ladang nukleus bagi pengeluaran biji benih kenaf.
3. Projek pembangunan ladang komuniti getah berintegrasi bertujuan untuk menstrukturkan semula dan memusatkan kawasan pengeluaran getah negara. Konsep projek ini adalah melalui pembangunan tanah milik Kerajaan Negeri yang diuruskan oleh institusi atau entiti Kerajaan Negeri dengan bantuan teknikal daripada Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan agensi berkaitan. Setiap peserta projek dijangka mampu memperoleh pendapatan sehingga hampir RM2,000 sebulan melalui program tersebut.
4. Pada hari ini juga YB Dato' Dr Mohd Khairuddin berbesar hati meluluskan pemajakan dan pengurusan ladang LGM di Estet Sg. Sari, Kuala Nerang, Kedah seluas 204 hektar yang diusahakan oleh Kedah Agro Holdings Berhad.
5. Bagi pembangunan ladang buluh, ia melibatkan kawasan seluas 500 hingga 1,000 hektar yang ditawarkan untuk dilaksanakan oleh Syarikat Kerajaan Negeri melalui Program Pembangunan Ladang Hutan di bawah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB). Ia mampu menghasilkan pendapatan bersih sebanyak RM36,000 setiap hektar setahun selepas buluh matang, sekiranya dilaksanakan dengan baik dan tersusun mengikut perancangan yang disyorkan.
6. Pembangunan ladang nukleus bagi pengeluaran biji benih kenaf yang sedang dilaksanakan di negeri ini dicadangkan untuk diperluaskan dengan tambahan sehingga 300 hektar. Pelaksanaan projek melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) ini dianggarkan dapat menghasilkan sebanyak 90,000 kilogram biji benih tambahan kepada keperluan biji benih kenaf negara. Peluasan kawasan ini dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan penjanaan pendapatan kepada 470 rakyat tempatan.
7. Menambah nilai satu lagi produk pelancongan di Kedah, dilaksanakan Pembangunan Hub Usahawan Coklat Langkawi di Langkawi dengan sasaran seramai 20 orang Usahawan baru dibangunkan oleh Lembaga Koko Malaysia menerusi geran berkaitan. Adalah diharapkan dengan perbincangan dan pertemuan antara kedua-dua
1. Adalah diharapkan dengan perbincangan dan pertemuan antara kedua-dua pemimpin utama dari Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, ia dapat membuka satu lembaran baru untuk industri komoditi di negeri Kedah yang akan menjadi pemangkin kepada sektor agrikomoditi negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 16 Jun 2020