BERITA SAWIT 2022

KUALA LUMPUR: Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) memainkan peranan utama dalam mengambil langkah proaktif mempromosikan agenda kemampanan dan mengetengahkan semua usaha yang dilakukan oleh Malaysia dan Indonesia, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata majlis itu memainkan peranan penting dalam memastikan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) memberi pengiktirafan sewajarnya kepada agenda kemampanan yang dilaksanakan oleh negara-negara anggota, serta menghentikan semua tuduhan yang tidak berasas terhadap produk dan industri minyak sawit.

PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menegaskan bahawa tidak akan ada perubahan dasar di dalam mandat sedia ada berkenaan biodiesel negara.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata berdasarkan ketetapan di bawah Dasar Biofuel Nasional (NBP) Malaysia yang dilancarkan pada Mac 2006, kementerian kekal komited untuk mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Kementerian juga, katanya komited memperluaskan penggunaan produk minyak sawit hiliran bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil kelapa sawit melalui mekanisme kawalan harga pasaran minyak sawit.

"Kementerian komited membantu mengurangkan pergantungan negara kepada bahan api fosil sebagai salah satu inisiatif keselamatan tenaga," katanya dalam satu kenyataan.

Zuraida bagaimanapun berkata, KPPK memberi jaminan akan memperhalusi cadangan yang diutarakan oleh Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA), mengenai mandat biodiesel yang sedia ada.

Beliau berkata, kementerian turut mengambil maklum mengenai penjelasan berhubung Malaysia tidak seharusnya mengurang atau menghentikan mandat biodiesel kerana industri itu menggunakan tidak sampai sejuta tan minyak sawit setiap tahun berbanding lebih 40 juta tan yang digunakan di seluruh dunia.

Katanya, MBA juga menyuarakan pandangan bahawa jika bahan api bio yang diperoleh daripada minyak sayuran diharamkan, ia akan membawa impak besar ke atas pasaran minyak sayuran global.

"Kebimbangan ini disuarakan ekoran pandangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 25 April lalu bahawa kedua-dua negara pengeksport dan pengimport minyak sawit harus 'mempertimbangkan semula keutamaan makanan berbanding bahan api untuk sementara waktu'.

"Perlu diingatkan bahawa suatu ketika dulu, jiran Malaysia dan pengeksport minyak sawit terbesar dunia, Indonesia, hampir melarang eksport olein sawit yang ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD).

"Ini mendorong kenyataan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, seorang pakar minyak sawit, untuk mengetengahkan pandangan beliau yang berlatarbelakangkan masalah bekalan minyak makan global yang tersekat di tengah-tengah keadaan cuaca buruk dan konflik Russia-Ukraine," katanya.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, gangguan daripada ketegangan geopolitik memburukkan lagi kenaikan harga dalam komoditi makanan yang berlarutan.

Beliau berkata, Indeks Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) mencapai tahap tertinggi dalam sedekad dan ia memberi ancaman bukan hanya kepada masalah kekurangan zat makanan global tetapi juga melonjakkan inflasi merentasi ekonomi maju, membangun dan kurang maju.

Katanya, Indonesia telah mengisytiharkan larangan eksport minyak masak dan bahan mentah pada 28 April lalu (yang berkuat kuasa sehingga 23 Mei) dalam usaha memastikan bekalan minyak masak mencukupi dan pada harga berpatutan untuk rakyatnya.

"Namun, keadaan kini telah kembali normal dan kita perlu bersikap rasional. KPPK ingin sekali lagi menegaskan bahawa tidak akan ada perubahan dasar di dalam mandat sedia ada berkenaan biodiesel negara.

"Sekali lagi KPPK mengucapkan terima kasih kepada MBA atas maklum balas mereka mengenai peranan dasar biofuel ke arah pemuliharaan alam semula jadi untuk generasi muda Malaysia.

"Pada dasarnya, KPPK mengalu-alukan semua kritikan atau pandangan membina yang membolehkan pihak kerajaan dan pemain industri mencapai penyelesaian menang-menang," katanya

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/06/961872/dasar-biodisel-malaysia-tidak-berubah

Sumber: Berita Harian

 

.




KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Ravi Muthayah mengetuai delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland bagi mesyuarat substantif pertama berkaitan tindakan Malaysia terhadap Kesatuan Eropah (EU) berhubung isu diskriminasi industri minyak sawit negara.

Menurut KPPK dalam catatan di laman Facebook hari ini, tindakan terbabit adalah melalui mekanisme Penyelesaian Pertikaian di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

SUMBER: BERITA HARIAN, MS 2
2 APRIL 2022




KUALA LUMPUR: Beberapa negara utama dunia kembali memilih minyak sawit, susulan kesukaran yang dihadapi perniagaan disebabkan perang Russia-Ukraine yang menjejaskan bekalan komoditi lain.

Pengarah Bahagian Alam Sekitar dan Kelestarian Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Dr Ruslan Abdullah, berkata keadaan mendesak itu turut menyaksikan negara-negara berkenaan menerima pakai piawaian yang ditetapkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) selepas menyedari operasi perniagaan semakin sukar akibat konflik terbabit.