KENYATAAN MEDIA
IPOSC 2022 SEBAGAI PLATFORM MENENTANG KEMPEN FITNAH
ANTI-SAWIT BLOK BARAT
1. Persidangan Kelestarian Minyak Sawit Antarabangsa Ke-7 2022 (IPOSC 2022), yang bakal diadakan pada 13 September 2022 akan menjadi platform yang penting untuk Malaysia menyangkal kempen fitnah blok Barat terhadap komoditi emas negara.
2. Persidangan yang diadakan setiap dua tahun sekali bertemakan "Mengalih Pematuhan Kemampanan kepada Pengawasan Kemampanan” pada tahun ini akan menyaksikan para pakar terkemuka berkongsi pandangan tentang perkembangan terkini dan cadangan penyelesaian untuk cabaran kemampanan semasa.
3. IPOSC telah bermula sejak tahun 2008 dan persidangan ke-7 ini akan diadakan di Kuala Lumpur, selepas persidangan terakhir yang diadakan secara dalam talian pada 2020 akibat pandemik COVID19. Persidangan yang merupakan sebahagian daripada usaha agresif Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui kempen "Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit" ini akan menentang maklumat salah dan palsu mengenai minyak emas Malaysia.
4. IPOSC 2022 bertujuan untuk menjadi platform mengemas kini perkembangan yang relevan dan baru dalam isu kemampanan dalam industri sawit kepada pihak berkepentingan mengenai. Ia merupakan inisiatif dalam mengemas kini maklumat semasa industri minyak sawit Malaysia kepada pihak berkepentingan global sebagai maklum balas terhadap kebimbangan mereka dalam isu kemampanan. Ia termasuk isu-isu karbon sifar bersih dan usaha penyahkarbonan, pembiayaan hijau dan peluang ‘Environmental, Social, and Governance’ (ESG), serta perundangan antarabangsa berkaitan penebangan hutan yang akan memberi kesan kepada komoditi seperti minyak sawit.
5. Industri minyak sawit Malaysia kini berada di barisan hadapan inisiatif kemampanan, yang merangkumi pensijilan kemampanan, pelaporan kemampanan dan tadbir urus ESG. Malaysia ingin terus meletakkan industri minyak sawitnya sebagai peneraju dalam kemampanan dan penglibatan ESG.
6. Antara topik yang bakal dibincangkan dalam IPOSC 2022 adalah peluang dan kekangan dalam isu sifar bersih dan penyahkarbonan dalam industri minyak sawit, selaras dengan komitmen global untuk mencapai neutraliti karbon seawal 2050.
7. Inisiatif-inisiatif untuk menangani halangan dalam perdagangan global dan pemecut kemampanan dalam sektor kewangan, pengguna dan biofuel juga akan dibincangkan merangkumi
peranan pembiayaan hijau, pelaburan ESG dan pensijilan biofuel berisiko rendah ‘Indirect Land Use Change’ (ILUC).
8. Satu lagi topik perbincangan adalah impak perundangan berkaitan penebangan hutan terhadap potensi industri minyak sawit yang meneliti implikasi peraturan baharu di negara maju, bertujuan untuk membendung penggunaan dan import komoditi yang dikaitkan dengan penebangan hutan, serta peranan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) yang baru dalam menangani isu ini.
9. Secara konsisten, kajian telah menunjukkan bahawa minyak sawit lebih mesra alam berbanding dengan tanaman minyak lain. Sebagai contoh, minyak sawit adalah sinki karbon yang lebih cekap dan penggunaan baja juga kurang selian menghasilkan lebih banyak minyak untuk sehektar berbanding dengan ‘rapeseed’, kacang soya dan bunga matahari.
10. KPPK yakin persidangan ini akan melonjakkan status Malaysia sebagai pemimpin global dalam pengurusan mampan industri minyak sawit dan seterusnya membantu menyangkal dakwaan tidak berasas dari Barat. Industri minyak sawit Malaysia bukan penyebab kerosakan ekologi, dan ini adalah fakta.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
8 SEPTEMBER 2022
PERSEKITARAN PERNIAGAAN KONDUSIF BAGI PEMBANGUNAN DAN
JAMINAN KEMAMPANAN INDUSTRI PERABOT KAYU NEGARA SEIRING
LANGKAH PEMULIHAN PASCA COVID-19
________________________________________________________________
1. Kementerian telah mengadakan lawatan ke Dynamic Furniture Industries (M) Sdn. Bhd di Banting dan Sesi Libat Urus dengan Malaysia Furniture Council (MFC) pada hari ini. Kementerian sedar akan keperluan untuk memberi penekanan bagi memperkukuh aktiviti industri perabot kayu sebagai langkah pemulihan susulan pandemik COVID-19. Industri perabot perkayuan Malaysia berupaya membangun dengan persekitaran perniagaan yang kondusif bagi penghasilan produk berkualiti tinggi dengan pasaran dagangan yang meluas.
2. Sektor ini berupaya memenuhi permintaan pasaran sekiranya keperluan pekerja dipenuhi. Ini kerana pertumbuhan pesat industri perabot kayu amat bergantung kepada pekerja tempatan dan asing dan berkemahiran. Dalam hal ini, saya menyeru agar pihak industri mematuhi garis panduan penetapan standard minimum keperluan pekerja sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kementerian.
3. Kerajaan juga telah mensasarkan nilai eksport produk kayu sebanyak RM19 bilion menjelang tahun 2025 yang merangkumi perabot kayu di bawah Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030. Bagi memastikan perancangan ini tercapai, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) komited untuk membantu industri berdaya saing ke arah
kemampanan serta kemakmuran bersama. Malaysia merupakan pengeksport perabot dan komponen perabot ke-10 utama dunia. Malaysia telah mencapai nilai eksport berjumlah RM10.41 bilion pada tahun 2021 dengan lima (5) destinasi eksport utama iaitu Amerika Syarikat, Japan, Singapura, United Kingdom dan Australia. Industri perabot kayu juga mempunyai potensi untuk bertumbuh positif pada tahun ini dengan permintaan yang semakin meningkat daripada pasaran utama dan sejajar peralihan negara ke fasa endemik.
4. Bagi merancakkan permintaan yang tinggi, saya dan delegasi Kementerian berusaha meluaskan pasaran komoditi negara termasuk sektor kayukayan, dengan mengadakan Siri Jelajah Agrikomoditi di peringkat antarabangsa. Terbaru, kami telah mengadakan siri jelajah ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, India, Bangladesh, Turki dan Pakistan.
Kementerian juga akan menganjurkan Malaysia International Agricommodity Expo and Summit (MiACES) yang akan diadakan pada 26 hingga 28 Julai 2022 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
5. Pelbagai program telah dilaksanakan oleh Agensi dan Majlis di bawah Kementerian untuk membantu industri perabot. Antaranya termasuk Program Inkubator Reka Bentuk Kayu yang diterajui oleh Majlis KayuKayan Malaysia (MTC). Program tersebut bertujuan untuk membangunkan perabot kayu bagi pasaran antarabangsa. Di samping itu, mendorong industri ke arah transformasi daripada pengeluaran produk berasaskan Original Equipment Manufacturer (OEM) kepada Original Design Manufacturing (ODM) serta Original Brand Manufacturing (OBM). Selain itu, sebagai usaha pemulihan industri susulan pandemik COVID-19, MTC turut memperkenalkan Export Assistance Programme (EAP) pada tahun 2021 dengan pemberian insentif bagi membantu pemain industri perkayuan membiayai kos pengangkutan laut.
6. Program lawatan dan sesi libat urus ini turut disertai oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), MTC serta Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC).
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
9 APRIL 2022
KENYATAAN MEDIA
DASAR AGRIKOMODITI NEGARA 2021-2030
(DAKN 2030) PENGGERAK SEKTOR AGRIKOMODITI UNTUK TERUS
MEMACU EKONOMI NEGARA
_____________________________________________________________________________________
1. Yang Berhormat Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah melancarkan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) di Hotel Everly, Putrajaya hari ini.
2. DAKN 2030 yang merupakan kesinambungan kepada Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020 telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 Januari 2022. Penggubalan dan hala tuju dasar ini adalah berteraskan kepada Agenda Nasional seperti Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDG), Rancangan Malaysia Ke-12 dan Rancangan Fizikal Negara Ke-3 (RFN3).
3. DAKN 2030 menggariskan hala tuju pembangunan industri Agrikomoditi negara yang merangkumi lapan komoditi utama iaitu kelapa sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, fiber berasaskan tumbuhan (kenaf), biojisim dan biobahan api.
4. DAKN 2030 digubal bagi memastikan sektor ini terus dipacu dan memberi sumbangan secara berterusan kepada negara melalui Keluaran Dalam Negeri Kasar Negara (KDNK) dan pendapatan eksport negara. Pada masa yang sama, DAKN 2030 dijangka akan dapat membangunkan rakyat dengan pengurangan jurang pendapatan dan kadar kemiskinan, terutamanya bagi masyarakat luar bandar.
5. Sumbangan sektor Agrikomoditi kepada pembangunan sosio ekonomi rakyat sejak sedekad yang lalu terbukti apabila telah menjana sumber pendapatan kepada hampir 1.3 juta pekebun kecil dan peluang pekerjaan kepada hampir sejuta rakyat tempatan.
6. Selain itu, pencapaian negara di peringkat antarabangsa juga menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan. Malaysia merupakan pengeksport sarung tangan getah terbesar dunia, pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia selepas Indonesia, pengeksport kayu dan produk kayu ke-10 terbesar, pengeksport perabot kayu ke-12 terbesar, pengisar koko ke-6 terbesar dan pengeluar lada ke-5 terbesar di dunia.
7. Sumbangan sektor Agrikomoditi kepada KDNK negara juga tidak dapat dinafikan dengan nilai sumbangan yang menunjukkan peningkatan daripada RM76.2 bilion pada tahun 2010 kepada RM84.3 bilion pada tahun 2021. Peningkatan sebanyak 6.1% merupakan satu permulaan yang baik dalam usaha kerajaan untuk memastikan nasib pekebun kecil dan pemain industri dalam sektor ini terus terbela. Pada masa yang sama, sektor Agrikomoditi telah menyumbang sebanyak 44.5% kepada KDNK Sektor Pertanian. Sub sektor sawit merupakan penyumbang
utama kepada KDNK Agrikomoditi iaitu sebanyak 53.4% diikuti dengan getah 19.9%, kayu 18.8%, lada 2.7%, koko 2.0% dan tembakau 3.2%.
8. Sektor Agrikomoditi telah mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM270.2 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 39.7% berbanding tahun 2020 manakala, imbangan dagangan adalah sebanyak RM148.8 bilion. Pendapatan eksport adalah sebanyak RM209.5 bilion atau 16.9% daripada keseluruhan pendapatan eksport negara. Sawit dan getah merupakan penyumbang utama dalam peningkatan nilai eksport agrikomoditi. Sawit meningkat sebanyak 48.0% kepada RM108.5 bilion manakala getah meningkat sebanyak 44.3% kepada RM71.0 bilion berbanding tahun 2020.
9. Justeru, bagi memastikan sektor ini terus kukuh dan mampan, Rangka DAKN 2030 digubal dengan tiga komponen utama berdasarkan Hala Tuju Strategik keseluruhan sektor Agrikomoditi (Visi dan Teras DAKN 2030), Aspirasi DAKN 2030 dan Keutamaan Rentas Sektor.
10. Secara keseluruhan, DAKN 2030 merangkumi lima teras utama iaitu Kemampanan, Produktiviti, Penjanaan Nilai, Pembangunan Pasaran dan Keterangkuman dengan 14 indikator dan sasaran keseluruhan. Manakala, lapan komoditi dan empat keutamaan rentas sektor pula mengandungi 130 strategi dan 112 indikator dan sasaran. DAKN 2030 juga turut menyenaraikan 11 program flagship dan memberi tumpuan untuk menggalakkan pertumbuhan industri berasaskan Agrikomoditi dan mempertingkatkan penerimagunaan ekonomi kitaran.
11. Selain itu Kementerian juga akan menganjurkan Malaysia International Agricommodity Expo and Summit (MiACEs) pada pertengahan tahun ini dengan menghimpunkan kesemua sektor agrikomiditi negara di bawah satu ekspo bertaraf antarabangsa.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
9 Mac 2022
KENYATAAN MEDIA
PERTANDINGAN PIDATO ‘HARGAI SAWIT MALAYSIA’ GALAK
PELAJAR HARGAI DAN PERTAHANKAN KOMODITI SAWIT
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia telah menganjurkan pertandingan pidato ‘Hargai Sawit Malaysia’ dengan matlamat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan pelajar mengenai sawit Malaysia.
2. Pertandingan pidato ‘Hargai Sawit Malaysia’ yang melibatkan penyertaan pelajar-pelajar dari sekolah rendah dan menengah ini turut memfokuskan kepada usaha KPPK untuk mencari duta kecil bagi mempromosikan manfaat dan kebaikan minyak sawit keluaran Malaysia.
3. Menerusi pertandingan pidato ini, para pelajar didedahkan lebih awal mengenai sejarah dan perkembangan sektor sawit di dalam negara, selain memupuk pemikiran kreatif dan kritis dalam kalangan pelajar. Bahkan, penganjuran program ini juga dapat membantu mengasah bakat pelajar dalam pengucapan awam, sekaligus membina keyakinan diri dan membentuk personaliti yang baik.
4. Selain dapat menangkis maklumat-maklumat tidak tepat berkaitan sawit Malaysia, ia juga dapat menyuntik semangat patriotik dalam kalangan pelajar, seterusnya mendorong mereka mempertahankan industri sawit Malaysia sebagai khazanah negara.
5. Pertandingan pidato ini telah dijalankan dengan penyertaan secara dalam talian, di mana peserta perlu menyampaikan pidato dalam video pendek dengan durasi tiga hingga lima minit mengenai topik pilihan masing-masing berkaitan minyak sawit Malaysia.
6. Penganjuran pertandingan pidato ini selari dengan pendekatan KPPK sebelum ini yang berhasrat untuk memberi pendedahan kepada pelajar sekolah berhubung fakta dan sumbangan sektor sawit, menerusi pemberian secara percuma 300,000 naskhah buku ‘Mari Kenali Sawit’ kepada pelajar sekolah rendah dan menengah kerajaan serta swasta di seluruh negara.
7. Sejumlah 1,828 penyertaan diterima dari semua kategori umur dan sejumlah 221 video disenarai pendek. Pemenang akan menerima hadiah berupa produk-produk berasakan sawit sumbangan FGV Holdings Berhad. Video-video yang terpilih telah di senarai pendek mengikut kategori masing-masing dan dinilai berdasarkan kriteria berikut:
a. Kreativiti pembentangan slaid;
b. Keyakinan menyampaikan pidato;
c. Ketetapan maklumat yang disampaikan;
d. Kefasihan pembentangan; dan
e. Nilai promosi yang dibawa
Berikut merupakan pemenang yang menerima markah tertinggi adalah seperti berikut:
Kategori Bahasa Malaysia Bawah 12 Tahun
KELANTAN
NUR ZARALISYA ADLINA BINTI
ABD ZULFIRMAN
SK Dato Hashim 2
https://youtu.be/BRSe5mVr3T4
SELANGOR
JAMIATUL HAI RIYA BINTI
ABDULLAH
SK Pandan
https://youtu.be/Oob_bYraemI
SELANGOR
IRIS RAMADHANI BINTI NOOR
MOHAMAD
SK Sri Serdang
Kategori Bahasa Inggeris Bawah 12 Tahun
MELAKA
LEKHASHINI A/P MAHENDRAN
SRJK (T) Jasin, Melaka
NEGERI SEMBILAN
HAMSHINI A/P P.
PATHMARUBEN
SK Puteri Seremban
https://youtu.be/WBJPWjL7fok
PAHANG
SHAREN A/L JEGATHESE
SJK (T) Bentong
Kategori Bahasa Inggeris Bawah 15 Tahun
JOHOR
FARINA KHAIRAH BT AZLAN
SMK Dato' Penggawa Barat,
Johor
NEGERI SEMBILAN
CARYS LEE HUI ERN
SMJK (C) Chan Wa
PAHANG
AINA IMANINA BINTI TAUPID
SBP Intergasi Termeloh
PAHANG
NUR RAHWANI BINTI
RASNAIZAM
SBP Intergasi Termeloh
PERAK
NURUL IMAN BINTI MOHD
HAFIZ
SMK Methodist Tanjung
Malim
SELANGOR
SYAZREENA BINTI ABDUL
ZAWI
SM Sains Hulu Selangor
SELANGOR
AMANDA CHIN QIAN KHAI
SMK Bandar Damai Perdana
SELANGOR
AYNA MARLISA
SMK Hulu Klang
SELANGOR
AZEEF AZRYLL BIN NAZRAL
SAFRIL
SMK TTDI Jaya
TERENGGANU
HASIF IRSYAD BIN ZULKEFLI
Maktab Rendah Sains Mara
Kota Putra
TERENGGANU
NUR EMYLIA QISTINA BINTI
NOOR AZLI
SM Sains Hulu Terangganu
TERENGGANU
MUHAMMAD AMJAD BIN
AHMAD ZAKI
SMK Imtiaz Yayasan Besut
Kategori Bahasa Inggeris Bawah 18 Tahun
NEGERI SEMBILAN
DAMIA IZUREEN BT
SHUHAIZILLKIFLY
SMK Taman Semarak
PERAK
YONG KAI PEI
SMJK (C) San Min
PERAK
MELSON LIM ZHI HONG
SMJK (C) San Min
SELANGOR
SHREE SAHANAA A/P
MOHANADAS
SMK Perempuan Methodist
Klang
SELANGOR
DIGAMBARIE A/P MURALI
SMK Taman Tasik Ampang
8. Pada masa yang sama, Program Jelajah Mari Kenali Sawit turut dijalankan di 100 buah sekolah menengah di Semenanjung Malaysia bagi menarik minat para pelajar menghargai hasil sumber komoditi sawit. Penerapan program ini juga sejajar dengan matlamat ke-9 Sustainable Development Goals (SDG) iaitu memperkasakan bidang industri, inovasi dan infrastruktur.
9. Kementerian yakin menerusi penganjuran program pidato dan jelajah ini dapat membantu dalam memperkasa dan mempertingkatkan industri sawit negara dari anasir dan persepsi negatif yang dibawa oleh negara luar. Sekaligus, membantu mempromosikan industri komoditi ini ke serata dunia.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
9 NOVEMBER 2022
KENYATAAN MEDIA
POTENSI MINYAK SAWIT MALAYSIA KEKAL UTUH WALAUPUN HARGA CPO
MELEMAH
________________________________________________________________________________
1. Eksport minyak sawit Malaysia dan produk-produk berasaskan minyak sawit menokok sebanyak 55.2 peratus kepada RM67.48 bilion dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini daripada RM43.47 bilion sepanjang tempoh sama pada 2021. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 66.1 peratus hasil eksport adalah daripada minyak sawit, iaitu RM44.63 bilion berbanding hanya RM28.8 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.
2. Dari segi volum, eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan minyak sawit dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini juga meningkat sebanyak 2.8 peratus kepada 11.47 juta tan metrik (MT) berbanding 11.15 juta MT tahun lalu. Malaysia merekodkan eksport yang kukuh walaupun berlaku kemerosotan harga minyak sawit mentah (CPO) dan penyusutan pengeluaran CPO sebanyak 1.1 peratus kepada 8.27 juta MT sepanjang tempoh berkenaan berbanding 8.36 juta MT dalam tempoh separuh pertama 2021.
3. Kemerosotan yang berlaku adalah disebabkan pengeluaran buah tandan segar (FFB) yang menyusut sebanyak 3.6 peratus per hektar sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2022, berbanding 7.16 tan per hektar sepanjang tempoh sama tahun lalu. Sementara itu, lonjakan mendadak dalam hasil eksport sebahagiannya adalah disebabkan peningkatan harga CPO, baik di dalam atau luar negara. Antara Januari hingga Jun 2022, harga CPO melonjak sebanyak 55.9 peratus kepada RM6,330 per MT daripada RM4,061.50 per MT bagi tempoh sama 2021.
4. Mengikut Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), hasil daripada eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan minyak sawit bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini meningkat kepada RM56.47 bilion atau peningkatan sebanyak 58.8 peratus berbanding lima bulan pertama 2021.
5. Saya amat gembira dengan hasil menggalakkan yang direkodkan sepanjang enam bulan pertama 2022 yang membolehkan pemain-pemain industri - sama ada pekebun kecil atau syarikat perladangan senaraian awam - mendapat manfaat daripada peningkatan harga CPO untuk menjana perolehan yang lebih tinggi. Jelas sekali, lonjakan dalam perolehan hasil akan menyaksikan peningkatan dalam pendapatan yang kemudian boleh menyumbang dalam bentuk pelbagai cukai untuk digunakan oleh kerajaan Keluarga Malaysia bagi melaksanakan program-program berkaitan sosio-ekonomi yang penting bagi mempercepatkan usaha pemulihan ekonomi negara daripada kesan pandemik COVID-19.
6. Kementerian dan saya secara peribadi amat gembira melihat sawit atau 'tanaman emas' kita sudah dapat diterima dengan meluas di peringkat global seperti ditunjukkan dalam bentuk eksport yang menggalakkan dalam tempoh separuh pertama 2022. Dalam hal ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan seluruh agensi berkaitan atas usaha agresif dan tidak pernah jemu dalam mempromosikan minyak sawit Malaysia, khususnya dalam pelbagai misi perdagangan bersama saya di luar negara.
7. Kementerian yakin potensi dan prospek untuk minyak sawit Malaysia akan kekal cerah untuk tempoh separuh kedua 2022, memandangkan penerimaan global kepada komoditi negara sudah semakin meluas, termasuk oleh pasaran-pasaran yang bukan tradisional. Saya melihat perkembangan ini sebagai satu kejayaan daripada kempen KPPK, iaitu 'Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit' atau 'The Global Movement to Champion the Goodness of Palm Oil' yang bertujuan menepis dakyah-dakyah dan maklumat-maklumat salah
mengenai komoditi terbesar Malaysia ini.
DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
09 OGOS 2022
Pelawat Hari Ini : 5978 | Pelawat Bulan : 311655