SIARAN MEDIA KERJASAMA BERSAMA MARDEC BAKAL BAWA PEMBANGUNAN LEBIH SISTEMATIK UNTUK TINGKAT PENDAPATAN PEKEBUN KECIL GETAH
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin pada 5 Oktober 2022 (Rabu) telah merasmikan program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia Bersama Pekebun Kecil Getah 2022 Wilayah Utara bertempat di Dewan Al-Hana, Sik, Kedah Darul Aman.
2. Seramai 300 orang pekebun kecil getah dari Wilayah Utara Semenanjung dilibatkan dalam program ini. Dalam ucapannya, YB Menteri KPPK menjelaskan mengenai usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan dalam membantu industri getah negara khususnya yang melibatkan pekebun kecil getah.
3. Dalam program sama, YB Menteri KPPK juga menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang merupakan agensi di bawah Kementerian dan Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia (MARDEC). Memorandum berkenaan berkaitan penerokaan model baharu pembangunan pekebun kecil yang lebih sistematik, yang dijangka meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.
4. Pada program ini juga, LGM telah membuka pameran dan kaunter penerangan termasuk khidmat bantuan mengenai Projek Transformasi Perusahaan Getah (TARGET), Insentif Pengeluaran Lateks (IPL), Insentif Pengeluaran Getah (IPG), Sistem Permit Autoriti Transaksi- Getah (PATG) dan penggunaan aplikasi RRIMNiaga yang merupakan usaha-usaha dilaksanakan LGM dalam meningkatkan pendapatan dan daya saing pekebun kecil getah.
5. Kementerian yakin kerjasama antara agensi di bawah KPPK bersama pemegang taruh dapat meningkatkan lagi daya saing industri getah negara dalam mendepani keperluan dan persaingan ekonomi. KPPK juga komited untuk terus membela nasib pekebun kecil dengan menerapkan amalan pertanian baik yang sekaligus memberi peluang kepada pekebun kecil meningkatkan nilai tambah produk berkaitan getah.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 5 OKTOBER 2022
KENYATAAN MEDIA JELAJAH MARI KENALI SAWIT BAGI PELAJAR-PELAJAR SEKOLAH LANGKAH BERTERUSAN KPPK MEMPERTAHANKAN INDUSTRI SAWIT MALAYSIA
1. YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada hari ini telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Perdana Jelajah Mari Kenali Sawit. Program ini merupakan lanjutan daripada penerbitan buku Mari Kenali Sawit yang telah dilancarkan pada 5 Januari 2022 di Putrajaya dan di peringkat Ampang pada 15 Januari 2022 lalu.
2. Penerbitan buku Mari Kenali Sawit adalah untuk memberi pendedahan kepada murid-murid sekolah rendah dan menengah mengenai fakta sawit yang betul dan kepentingan serta sumbangan industri sawit kepada pembangunan sosioekonomi dan pendapatan negara. Pengedaran buku ini dibuat secara berperingkat dan diberi secara percuma ke sekolah-sekolah seluruh Malaysia.
3. Program Jelajah Mari Kenali Sawit mempunyai beberapa komponen melalui pelbagai aktiviti yang akan dilaksanakan sebagai pengisian Program berkenaan. Antaranya adalah seperti penganjuran ceramah, bengkel dan taklimat mengenai maklumat yang tepat berkaitan khasiat serta kebaikan sawit Malaysia. Selain itu, program pertandingan pidato untuk pelajar-pelajar sekolah akan turut diadakan untuk melahirkan duta-duta kecil bagi mempromosikan minyak sawit keluaran Malaysia.
4. Fasa pertama bagi program jelajah Mari Kenali Sawit melibatkan 100 buah sekolah menengah kebangsaan dan swasta terpilih di Semenanjung manakala fasa seterusnya pula akan melibatkan sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak. Sumbangan kewangan berjumlah RM500,000 telah disampaikan oleh YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi kepada wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang ditaja oleh syarikat-syarikat perladangan dan industri sawit di Malaysia. Selain itu, Majlis Getah Malaysia (MRC) yang merupakan agensi bawah KPPK turut menyumbang peranti seperti laptop dan tablet kepada sekolah dan pelajar terpilih yang memerlukan.
5. KPPK terus komited untuk mempertahankan industri minyak sawit Malaysia bukan sahaja pada peringkat global malah pada peringkat domestik melalui program promosi dan kesedaran kepada generasi muda khususnya pelajarpelajar sekolah. KPPK percaya bahawa usaha ini adalah satu bentuk pelaburan kepada generasi muda yang akan mempertahankan industri sawit Malaysia pada masa hadapan.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 6 APRIL 2022
KENYATAAN MEDIA BAJET 2023: SEKTOR AGRIKOMODITI NEGARA TERUS DIPERKUKUH DEMI KEMAKMURAN BERSAMA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, atas pembentangan Bajet 2023 bertemakan ‘Keluarga Malaysia,Makmur Bersama’ di Dewan Rakyat hari ini.
2. Kementerian turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas peruntukan bagi memacu kelestarian industri Agrikomoditi negara. Komitmen KPPK tidak berbelah bahagi dan bersedia melaksanakan program, inisiatif dan polisi ke arah kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi, dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.
3. Bajet 2023 turut memperlihatkan bahawa Kerajaan mengambil pendekatan responsif, bertanggungjawab dan reformis dalam memenuhi keperluan rakyat dan perniagaan, serta memacu pertumbuhan sosioekonomi yang mampan. Pembaharuan ekonomi yang ditekankan dalam Bajet 2023 ini menyasarkan semua rakyat Malaysia mendapat manfaat yang lebih besar, melalui peluang pekerjaan dan pendapatan lebih baik, kehidupan lebih sejahtera dan peluang sosioekonomi yang inklusif dan mampan.
4. Pada tahun 2021, sektor Agrikomoditi telah menyumbang sebanyak 6.1% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi nilai eksport sebanyak RM209.5 bilion. Kejayaan ini membuktikan sektor Agrikomoditi mampu untuk terus berdaya saing dalam menjana pendapatan serta meningkatkan ekonomi negara. Menerusi Bajet 2023, sebanyak RM495.9 juta diperuntukkan kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) merangkumi RM241 juta untuk perbelanjaan mengurus Kementerian dan RM254.8 juta perbelanjaan pembangunan.
5. Walaupun terdapat pengurangan sebanyak RM176 juta atau 26% berbanding peruntukan pada tahun lepas, Kementerian selaku peneraju sektor Agrikomoditi, komited untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara sekali gus menjadi penebat kepada ketidaktentuan ekonomi yang dijangka bakal berlaku pada tahun 2023.
6. Bajet 2023 memberi fokus kepada pembangunan sektor Agrikomoditi yang lebih bersasar terutamanya melibatkan perkaraperkara berikut:
(i) Insentif Pengeluaran Lateks diperkenalkan bersama dengan Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) untuk menambah baik rantaian bekalan bahan mentah getah melalui koperasi; (ii) RM315 juta untuk Program Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil bagi tujuan menggantikan pokok getah tua yang tidak lagi berhasil untuk manfaat 387,000 pekebun kecil; (iii) RM40 juta untuk Program Pembangunan Semula Hasil Baharu bagi menggalakan pekebun kecil meneroka pendapatan baharu seperti tanaman makanan jangka pendek; (iv) RM70 juta untuk Program Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi terus menambah baik tahap kelestarian dan menggalakkan kitaran semula bahan sisa sawit; dan (v) Penyaluran Semula Hasil Levi Tambahan bagi menyokong majikan membiayai inisiatif automasi dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
7. Tahun 2023 dijangka akan lebih mencabar berikutan ramalan inflasi yang bakal melanda dunia, namun KPPK bertekad untuk mendepaninya demi membangunkan industri Agrikomoditi; menjamin kemampanan industri; produktiviti melalui penyelidikan; pembangunan, pengkomersilan dan inovasi; penjanaan nilai; pembangunan pasaran; dan keterangkuman dalam memperluaskan dan mengimbangi kekayaan secara saksama.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 7 OKTOBER 2022
KENYATAAN MEDIA KPPK TERUS PANTAU TREND PENURUNAN HARGA GETAH DEMI MEMASTIKAN NASIB PEKEBUN KECIL TERBELA ________________________________________________________________________
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melihat situasi kejatuhan harga getah pada masa ini sebagai satu keadaan yang secara langsung memberi kesan kepada pekebun kecil getah di seluruh negara serta rantaian yang terlibat. Harga getah pada ketika ini telah mengalami kejatuhan sebanyak 11.7% bagi tempoh Julai hingga Ogos, yang mana harga peringkat ladang telah merosot kepada RM2.50 – RM2.80 sekilogram berbanding RM3.00 sekilogram semasa tempoh enam bulan pertama tahun ini.
2. Kementerian telah meneliti perkara ini dan mendapati terdapat beberapa faktor yang menyebabkan harga getah yang rendah ini. Antaranya disebabkan oleh prospek ekonomi global yang lembab berikutan aktiviti kilang global yang lebih perlahan, peningkatan kos bahan mentah dan tenaga global, peningkatan lebihan stok getah asli dunia serta kemerosotan prospek harga minyak mentah akibat kebimbangan pengurangan permintaan minyak disebabkan oleh kelembapan ekonomi dunia.
3. Pada masa sama, kebimbangan mengenai hubungan perdagangan Amerika Syarikat-China serta ketidaktentuan daripada konflik Rusia-Ukraine juga dilihat antara faktor geopolitik yang turut menyebabkan penurunan harga getah. Bahkan, faktor pasaran serantau dan faktor ekonomi global diyakini memberi pengaruh besar ke atas pergerakan harga getah dalam negara, memandangkan Malaysia hanya mengeluarkan 4% daripada keseluruhan pengeluaran getah dunia.
4. Menyedari perkara berkenaan, Kementerian bersama-sama agensi di bawahnya iaitu Lembaga Getah Malaysia (LGM) serta Majlis Getah Malaysia (MRC) komited untuk memastikan nasib pekebun kecil terus dilindungi, menerusi inisiatif yang berterusan dilaksanakan termasuk: i. Insentif Pengeluaran Getah (IPG) Kerajaan telah melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sejak tahun 2015 bertujuan untuk mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil ketika harga getah rendah di samping menggalakkan aktiviti penorehan. Melalui pelaksanaan IPG,pekebun kecil akan menerima harga getah peringkat ladang (50% kandungan getah kering) sekurang-kurangnya pada harga RM2.50 sekilogram. Usaha ini dilakukan demi memastikan kebajikan para pekebun kecil dan industri getah secara keseluruhannya terjamin. ii. Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) Bagi setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program ini, mereka akan menerima insentif tunai sebanyak RM1.00 sekilogram bagi 100% kandungan getah kering (KGK). Para peserta juga menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850.00 bagi setiap hektar secara sekali beri (one-off). Manakala bagi koperasi atau pelesen runcit getah yang menyertai program IPL ini pula, mereka akan memperoleh manfaat bantuan pembinaan baru atau tambah baik pusat pengumpulan lateks (PMG) berjumlah RM50,000 atau kemudahan alat mengumpul lateks serta perkakasan yang berkaitan dengannya. iii. Tender secara atas talian (MyRol) MyROL merupakan salah satu kaedah pemasaran getah melalui kaedah tender secara atas talian. Melalui MyRol, kecekapan rantaian nilai getah peringkat ladang dapat ditingkatkan yang mana pekebun akan menikmati harga yang lebih kompetitif kerana getah yang dijual berkualiti tinggi di samping kuantiti yang banyak hasil dari jualan secara berkelompok. iv. Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) Pelaksanaan Projek TARGET melalui Konsep Koperasi Pekebun Dan Pengusaha Ladang Getah Tempatan bertujuan untuk menyatukan pekebun kecil, usahawan getah dan koperasi kecil dalam satu konsortium yang besar agar mampu memproses getah sekerap (cuplump) kepada bentuk getah krip. Getah krip yang mempunyai Kandungan Getah Kering (KGK) yang lebih tinggi dapat memberikan harga jualan yang lebih baik berbanding getah sekerap. v. Taklimat dan hebahan berkenaan kualiti getah LGM turut mengadakan taklimat beserta hebahan berkenaan Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), IPG, RRIMniaga dan isu-isu berkaitan getah kepada pekebun kecil. Taklimat berkenaan kualiti getah diadakan untuk mendidik dan membanteras kegiatan mencemar getah secara sengaja di kalangan pekebun kecil supaya mereka mendapat harga getah yang lebih baik. Ini kerana kualiti getah turut mempengaruhi harga yang diterima oleh pekebun kecil. vi. Permit Autoriti Transaksi-Getah atau PAT-G Permit ini diberi secara percuma kepada pekebun kecil dan wajib digunakan semasa melakukan transaksi penjualan getah milik pekebun kecil kepada pembeli getah yang berlesen dengan LGM. Dengan adanya pengenalan ini, ianya bukan sahaja dapat mengekang kes kecurian getah, namun bertindak sebagai pemudah cara kepada setiap pelaksanaan program dan inisiatif yang dijalankan Kerajaan melibatkan pekebun kecil getah seperti perlaksanaan IPG dan IPL. Di samping itu, ia membantu mewujudkan rantaian yang boleh dikesan (traceability) dalam memastikan kelestarian industri getah. vii. RRIMniaga RRIMniaga adalah inovasi LGM yang merupakan satu aplikasi telefon pintar bagi tujuan merekodkan urus niaga getah oleh pelesen (peniaga getah). Aplikasi ini diinovasikan bagi memudahkan urusniaga getah. Melalui penggunaan RRIMniaga, proses jual beli getah adalah lebih mudah dan proses penyaluran bantuan seperti tuntutan IPG dan IPL bagi pemohon yang layak akan dilakukan secara automatik dalam talian. Justeru, penggunaan sistem RRIMniaga secara tidak langsung membantu menjaga kebajikan pekebun kecil getah. viii. Bantuan tanaman semula getah Kerajaan melalui RISDA telah menaikkan kadar bantuan tanam semula getah. Kadar bantuan tanam semula ini telah dinaikkan bermula tahun 2021 kepada RM13,710 per hektar di Semenanjung Malaysia, RM14,805 per hektar di Sarawak dan RM14,955 per hektar di Sabah. Bagi tahun sebelumnya iaitu dari 2010-2020, kadar bantuan tanam semula getah adalah RM9,230 sehektar di Semenanjung, RM13,500 (Sarawak) dan RM14,000 (Sabah). Kementerian komited untuk membela nasib pekebun kecil dan melindungi sektor getah yang merupakan komoditi kedua terbesar negara. Trend kejatuhan harga getah akan terus dipantau dan saya sendiri akan memastikan segala inisiatif terlaksana bagi memastikan sektor getah negara terus mampan.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 07 SEPTEMBER 2022
KENYATAAN MEDIA INDUSTRI KOMODITI PERLU PEKA DENGAN PERATURAN BURUH PAKSA CBP BAGI MENGELAK SEKATAN KEMASUKAN KE US ___________________________________________________________________
1. Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat telah menjelaskan kepada media Malaysia pada Khamis lalu (2 Jun), bagaimana mereka memperoleh bukti dakwaan buruh paksa serta prosedur siasatan yang telah dilakukan. Hasil siasatan CBP itu telah menyebabkan produk daripada enam firma Malaysia masih dilarang daripada memasuki pasaran negara itu akibat Perintah Penahanan Pelepasan (WRO).
2. Walaupun Malaysia tidak sepenuhnya bersetuju dengan tindakan CBP, namun agensi penguatkuasaan berkenaan mempunyai hak prerogatif untuk mengambil tindakan berdasarkan apa yang pada ketika itu dianggap sebagai maklumat yang mereka perolehi.
3. KPPK tidak berniat untuk mempertikai hak prerogatif ini, tetapi dakwaan ini adalah tidak adil dan berat sebelah. Sekatan kemasukan minyak sawit dan produk minyak sawit Malaysia (dan selepas itu, sarung tangan getah) hanya berdasarkan tuduhan buruh paksa yang dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan-kumpulan lain. Namun begitu, CBP dalam memperincikan laluan yang diambil dan tindakan seterusnya terhadap beberapa syarikat, telah menyatakan bahawa siasatannya dilakukan berdasarkan maklumat, analisis dan andaian yang munasabah.
4. Dalam hal ini, minyak sawit Malaysia dan produk berkaitan minyak sawit mungkin terpaksa bersaing secara langsung dengan minyak kacang soya, di mana AS merupakan pengeluar utama di dunia dan pengeksport kedua tertinggi.
5. Berdasarkan keadaan ini dan selepas CBP menjelaskan bagaimana keputusan larangan ini diambil, pemain industri Malaysia terutama dalam sektor perladangan dan sarung getah yang berintensif buruh perlu mengambil kira sensitiviti CBP dan mencari pelan tindakan supaya tidak dikenakan WRO sekali lagi, dengan tuduhan buruh paksa.
6. Sehubungan ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menghargai usaha Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) untuk bekerjasama dengan CBP dalam isu tadbir urus isu buruh asing dan tempatan.
7. Difahamkan bahawa MARGMA telah menerajui usaha sedemikian sejak 2018 apabila ia mendukung dasar hutang sifar dan turut memulakan tindakan pemulihan yang perlu diambil oleh setiap ahli untuk memisahkan mereka daripada stigma buruh paksa, menggunakan 11 petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
8. MARGMA juga telah membentuk Unit ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) dan satu pasukan petugas untuk mendidik dan menyedarkan ahli-ahli persatuan itu dan pekerja mereka mengenai 11 petunjuk ILO mengenai buruh paksa. Usaha giat ini dilakukan melalui kerjasama dengan ILO dan kedutaan/suruhanjaya tinggi AS, UK dan Kesatuan Eropah (EU) di Malaysia.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 8 JUN 2022